Saturday, September 22, 2012

Suami Soleh Menjadi Idaman Isteri Solehah Untuk Membina Keluarga Bahagia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap pasangan lelaki dan wanita yang bercadang mendirikan rumah tangga mengimpikan kebahagiaan dan sakinah mawahdah. Mereka akan berusaha mencari pasangan terbaik kerana bila bertemu pasangan yang beriman dan bertakwa dan mempunyai akhlak yang baik maka akan mudahlah mengemudi bahtera kehidupan nanti. Wanita solehah akan berdoa, berusaha agar bakal suaminya nanti dapat membimbingnya ke jalan Allah sama-sama mendidik anak-anaknya menjadi soleh dan solehah.

Suami soleh adalah seorang suami yang berpegang teguh dengan syariat Allah dalam kehidupannya. Dia menunaikan segala kewajipan kepada Allah , keluarga dan semua orang yang menjadi tanggungannya dengan penuh semangat dan lapang dada. Dia juga tidak tamak, tidak menuntut hak lebih banyak dari yang semestinya bahkan bertolak ansur dengan kekurangan yang ada.

Terdapat lapan ciri-ciri suami yang soleh . Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Memiliki hati yang lemah lembut.

Suami soleh haruslah memiliki hati lembut dan perasan yang peka, dapat merasakan perasan orang lain. Ia dapat merasakan derita orang lain dan berusaha meringankan tanpa diminta. Ia ubati luka itu dengan kata-kata indah, senyuman tulus serta hadiah-hadiah yang menyenangkan.  Kadang-kadang seorang isteri tertimpa musibah, ia seorang diri menanggung bebannya, hatinya luka, fikirannya keruh dan ghairah pun padam.

Rasulullah SAW. memberikan petunjuk agar suami selalu berusaha mengubati hati isteri-isterinya apabila ia terluka.

Dari Anas ra. berkata: “Shafiyyah mendengar bahawa Hafshah berkata Shafiyyah itu anak Yahudi. Maka menagislah ia. Lantas Rasulullah SAW. menghampiri sedangkan Shafiyyah masih dalam tangisannya.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Shafiyyah menjawab: “Hafshah berkata kepadaku bahawa aku anak Yahudi.”

Bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Engkau adalah anak Nabi, bapa saudaramu Nabi dan engkau menjadi isteri Nabi. Dengan apa dia membanggakan dirinya atas dirimu?”

Kemudian Nabi bersabda maksudnya : “ Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah.” (Hadis Riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Oleh itu pentingnya para suami mengambil teladan hikmah nabawiah yang agung ini dalam mengubati hati isteri yang terluka.

2. Menjaga rahsia rumah tangga.

Suami yang soleh mengetahui tentang kewajipan menjaga rahsia terutamanya rahsia rumahtangga. Islam melarang keras suami isteri menceritakan rahsia rumah tangga mereka kepada orang lain.

Dari Abu Sa’id Al Khudriy r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukkan manusia di hadapan Allah pada hari kiamat adalah seorang suami yang membuka rahsia dirinya kepada isteri dan isteri yang membuka rahsia dirinya kepada suami lantas salah seorang daripadanya menceritakan kepada orang ketiga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Keharmonian hubungan suami isteri terjaga apabila keduanya saling menjaga rahsia. Menyebarkan rahsia itu menimbulkan kesan yang sangat buruk, akan meruntuhkan dinding kepercayan suami isteri, menambah keruhnya hati serta membuka pintu pengkhianatan lebih lebar. Selesaikanlah  segala permasalahan rumah tangga dengan bijak. Sekiranya gagal untuk menyelesaikan sendiri rujuklah  kepada orang  yang boleh dipercayai.

3. Mentaati perintah Allah.

Suami soleh dan isteri solehah hendaklah selalu bekerjasama dalam menegakkan ketaatan kepada Allah SWT serta saling menasihati dalam mencari reda Allah.
                                                 
Allah SWT berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan  bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Maaidah ayat 2)

Sesungguhnya bekerjasama dalam ketaatan dan ibadah khususnya seperti solat, zikir, sedekah dan lain-lainnya memiliki pahala yang agung dan kesan positif dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW  memuji suami isteri yang saling tolong menolong dalam taat kepada Rabbnya, rukuk dan sujud di tengah malam .

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun mengerjakan solat dan membangunkan isterinya. Jika ia enggan, disiramkan air diwajahnya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun malam mengerjakan solat dan membangun suaminya, apabila ia enggan disiramkan air di wajahnya.”  (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

4. Memuliakan keluarga isteri.

Suami yang baik ialah suami yang memuliakan isteri dan memuliakan kedua mertuanya serta kerabat dan sahabat-sahabatnya.

Dari Anas ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hubungkanlah silaturrahim.” (Muttafaqun Alaihi)

Bagi suami yang ingin membahagiakan isterinya hendaklah menjaga perangai ini. Kunjungilah keluarga isteri, selalu bertanya khabar mereka dan membantu bila mereka memerlukan. Bukankah seorang suami juga suka jika isterinya memuliakan saudara-saudara dan sahabatnya? Suami perlu faham bahawa ibu dan bapa mertua adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.

5. Memberi nasihat terhadap isteri.

Suami yang soleh hendaklah mampu mendidik dan mengajar isterinya dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat seperti ilmu tentang halal dan haram, ilmu kekeluargaan, ilmu fekah, akhlak , fiqhud dakwah dan ilmu kemasyarakatan.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah  At-Tahrim ayat 6)

Isteri yang solehah memperhatikan dan mencintai ilmu. Usahakanlah untuk memberi pengajaran kepadanya dan lapangkanlah jalan menuju kesana.

Rasulullah SAW. melarang orang yang menghalang wanita ke masjid.

Dari ibnu Umar r.a. sesungguhnya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “ Apabila isteri-isterimu meminta izin untuk ke masjid pada malam hari izinkanlah.” (Muttafaqun Alaihi)

Daripada hadis di atas jelas sekali bahawa wanita mempunyai hak untuk mempelajari ilmu agama di luar rumah sekiranya suami tidak mampu mengajarnya sendiri.

6. Memiliki rasa cemburu (tidak dayus).

Sifat seorang lelaki soleh adalah memiliki rasa cemburu kepada isterinya kerana itu mengisyaratkan cinta dan tinggi nilai isteri dihatinya. Islam memuji lelaki yang memiliki rasa cemburu dan mencela yang tidak memilikinya kerana bererti lemahnya emosi dan tanggungjawab. Namun, Islam juga menetapkan batas-batasnya agar keharmonian rumah tangga tetap terpelihara.

Dari Abu Huraurah r.a. berkata, Rasulullah SAW. maksudnya : “ Allah itu pencemburu dan seorang mukmin juga pencemburu. Kecemburuan Allah adalah bila ada seorang hamba datang kepadaNya dengan perbuatan yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang yang tidak memiliki rasa cemburu terhadap kehormatan isterinya dengan membiarkan isterinya bersolek, membuka aurat, bercampur bebas dengan lelaki bukan mahram merupakan seorang yang dayus dan layak untuk mendapat azab ysang pedih di akhirat nanti.

Dari Ibnu Umar ra. berkata, bersabda Rasulullah SAW. maksudnya :” Tiga golongan yang yang tidak akan masuk syurga; orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang yang dayus dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat  Nasai dan hakim)

7. Memiliki sifat sabar dan penyantun.

Seorang suami harus memiliki sifat sabar dan penyantun. Ini kerana tiada sesuatu yang begitu ideal dalam kehidupan berumahtangga. Sebuah keluarga biasanya akan mengalami goncangan dan masalah. Jangan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Dengan berbekal sifat sabar segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sifat santun dan pemaaf merupakan perangai yang dicintai Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT maksudnya : “(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 134)

8. Memiliki sifat pemaaf.

Suami perlu memiliki jiwa pemaaf kerana  Allah SWT telah menghendaki wanita bersifat seperti dari tulang rusuk yang bengkok. Banyak masalah akan dapat diselesaikan sekiranya suami bersifat pemaaf. Kadang-kadang suami keliru membenci sesuatu yang ada pada isteri. Ternyata yang dibenci itu mengandungi kebaikan dan akan diperlukan pada saat tertentu.

Firman Allah SWT  maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata . Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa' ayat 19)

Kita tidak harus mengharapkan wanita seperti malaikat, tanpa cacat. Wanita adalah makhluk Allah yang memiliki kelebihan dan kekurangan. Janganlah disebabkan sedikit kekurangannya telah menenggelamkan kesemua kebaikannya. Contohilah akhlak Rasulullah SAW  terhadap isteri-isteri baginda.

Dari Abu Hurairah ra., bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Bila benci terhadap sebahagiannya ada bahagian lain yang menyenangkan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah lapan ciri-ciri suami soleh yang diambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW untuk menjadi pedoman setiap suami yang ingin mendapat status suami yang soleh. Sekiranya dalam satu keluarga itu terdapat suami yang soleh maka suami yang soleh ini akan mendidik dan memproses isterinya untuk menjadi solehah. Dari sinilah akan melahirkan rumah tangga muslim atau baitul muslim yang memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam.





Tanda Cinta Kepada Allah Dan RasulNya Perlu Kepada Pengobanan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua orang boleh berkata dan mendakwa, "Saya cinta dan kasih kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW" . Adakah cinta dan kasih itu hanya ucapan di mulut sahaja atau adakah selepas berkata-kata perlu kepada tindakan?

Sebenarnya cinta dan kasih itu tidak bernilai dan berfungsi jika ianya terletak dibibir mulut sahaja kerana selepas berkata-kata perlu diiringi dengan tindakan, pengorbanan dan perbuatan.

Cinta dan kasih kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dibuktikan dengan pengobanan di jalan Allah SWT atau disebut Infak ïŹsabilillah.  Maksud Infak fisabilillah atau berkorban pada jalan Allah mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredai oleh Allah atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga, masa, ïŹkiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk Allah.

Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah SWT ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk dirinya berehat , tidak ada masa untuk berborak-borak kosong atau menghabiskan masa berjam-jam menonton filem-filem rekaan yang kurang berfaedah.

Jiwa mereka yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya akan menfaatkan apa saja yang dimiliki untuk berkhidmat kepada Islam. Memiliki rumah yang besar dan cantik akan digunakan untuk majlis ilmu dan program tarbiah. Jika memiliki syarikat maka sebahagian keuntungan syarikat akan diinfakkan dijalan Allah SWT, semuanya dilakukan semata-mata mencari keredaan-Nya.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi melalui Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka aku mendekatkan diri-Ku kepadanya sedepa. Kalau hamba-Ku datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dari Anas r.a)

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap perjuangan untuk mendapat cinta dan kasih yang suci perlu kepada kesabaran dan ujian. Kesabaran dan istiqamah ini adalah satu nilai yang cukup berharga disisi Allah SWT dan tidak ada balasan yang paling setimpal untuknya melainkan pahala yang besar dan balasan syurga.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berkorban untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 111)

Semua sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Usman dan ramai lagi telah membuktikan cinta dan kasih mereka kepada Allah dan Rasul-Nya dengan berkorban apa sahaja yang diperlukan. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia.

Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah Allah pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, ïŹkiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.

Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah kerana hendak membuktikan cinta dan kasihnya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.

Apakah ciri-ciri atau  bukti cinta dan kasih seorang mukmin itu kepada Allah dan Rasul-Nya?

1. Dia akan meletakkan kepentingan Allah dan Rasul-Nya lebih daripada kepentingan lain walaupun terhadap diri sendiri dan ahli keluarganya.

2. Dia tunduk, patuh dan menyerahkan dirinya sepenuhnya tanpa syarat kepada semua suruhan Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya.

3. Dia bekerja untuk mendaulatkan sistem hidup Islam (melaksanakan syariat Allah SWT) samaada dalam keluarga, organisasi/ pertubuhan atau parti politik, bukannya untuk mengejar pangkat, kuasa dan wang ringgit semata-mata. Niat yang ikhlas perlu disertai dengan matlamat yang bersih dan betul.

4. Cinta kepada Rasulullah bukan sahaja kita berdemontrasi marah kepada orang kafir yang mempersendakan Islam dan baginda SAW, tetapi kita perlu mengikuti ajaran dan sunah yang dibawa oleh baginda SAW dalam kehidupan kita sehari-hari. Nabi SAW memiliki akhlak yang mulia bersifat berlemah lembut, pemaaf, pengasih, penyayang, pemurah, tidak ada perasaan dendan dan hasad dengki. Jika seseorang mempertikaikan hukum hudud yang dibawa dan dilaksanakan oleh Nabi SAW itu bermakna dia juga sedang menghina baginda SAW tanpa disedari.

5. Dia perlu memberi sedekah dan infak hartanya dijalan Allah SWT. Bukan setakat hartanya malahan masa, tenaga, buah fikirannya di perah sepenuhnya untuk mendaulatkan Islam, berdakwah, mentarbiah dan kerja-kerja amar makruf nahi munkar.

Dalam ïŹrman-Nya yang lain, Allah SWT menyeru yang bermaksud : “Wahai mereka-mereka yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat melepaskan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu hendaklah kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang paling baik jika kamu orang yang mengetahui.” (Surah as-Saf ayat 10-11)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita memperkukuhkan cinta dan kasih kita kepada Allah dan Rasul-Nya dengan bekerja dan berkorban dijalan Allah SWT kerana ini adalah tanda-tanda cinta tersebut di realisasikan dalam kehidupan. Ulama ada berkata, " Sekiranya kalian ingin menjadi para mujahidin di akhirat kalian perlu menjadi para mujahidin ketika di dunia."

Seseorang hamba Allah dimasukan ke syurga dengan rahmat Allah SWT bukan kerana amalannya di dunia tetapi untuk mendapat rahmat Allah SWT perlu beramal soleh, beramal ibadah dan berjihad dijalan Allah SWT dengan harta dan jiwa raga.


Friday, September 21, 2012

Tanggungjawab Ibu Bapa Melahirkan Anak-anak Yang Soleh

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri, secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang, memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang ada untuk menjamin kebahagiaan anak mereka di masa akan datang.

Walaupun dalam keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.
 

Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.

Adakah kasih sayang terhadap anak-anak hanya tertumpu kepada fizikal anak semata-mata? Adakah ibu bapa berfikir bahawa perkara yang paling penting adalah bagaimana ingin mendidik anak-anak itu supaya mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mementingkan kehidupan cara Islam.

Bagaimanapun dalam Islam ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hal ini jika ibu bapa tersalah didik hingga anak-anak menjadi salah satu dari tiga golongan itu, sudah tentu anak-anaknya tidak akan menjadi seorang Islam yang baik. Jika ibu bapa prihatin sejak anak dalam kandungan lagi hingga di lahirkan apabila ajaran Islam di ajarkan dan telah menjadi sebati dalam jiwa dan diri anak-anak maka anak-anak itu sedang berada di dalam keadaan fitrah (bersih). Islam adalah agama fitrah yang bersih daripada syirik dan kemungkaran.

Sahabat yang dimuliakan,
Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan reda dan sabar. Mereka juga sedar jika Allah SWT tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.

Sebagai hamba Allah yang bertakwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah SWT  ini dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. Firman Allah SWT maksudnya :

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi  ayat 46)

Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :

“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Surah az-Zaariyat ayat 58)

Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun buang air besar atau kecil.

Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dari Aisyah r.ha ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :

“Apa yang di lakukan Rasulullah SAW di rumahnya? Aisyah r.ha menjawab : Rasulullah SAW membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika baginda SAW mendengarkan azan baginda pun keluar (ke masjid)”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.

Sahabat yang dihormati,
Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat.

Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis 


Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.

Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan generasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.

Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.

Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :

“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”

Sahabat yang dikasihi,

Ibu bapa yang bertakwa akan sentiasa merindukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan mereka ketika mereka berada di alam barzakh, kerana doa anak yang soleh mustajab di sisi Allah SWT.

Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan taat dan menghormati kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)


Oleh itu pastikan anak-anak perempuan kita menutup aurat ketika keluar rumah (di ajar memakai tudung kepala diawal usia), anak lelaki perlulah dipantau tidak memakai seluar pendik ketika di padang permainan atau ketika keluar rumah, ajar mereka mengenai batas aurat dan pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Perbuatan Menghina Rasulullah SAW Akan Mendapat Azab Di Dunia Lagi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Persoalan menghina Rasulullah SAW bukan perkara baharu. Sejak dilantik menjadi Rasul Nabi SAW telah dihina bahkan diperlaku dengan perbuatan keji dan kejam.

Pada zaman kini, gaya penghinaan terhadap baginda berubah mengikut arus perubahan semasa. Negara-negara Barat yang mula-mula mencetuskan bermacam-macam tohmahan terhadap Islam mula menggunakan strategi mereka terkini selepas daripada serangan pemikiran iaitu serangan melalui media elektronik dan media cetak terhadap Islam dan Nabi SAW.

Terdapat dua kisah dizaman Nabi SAW mereka yang menghina baginda telah ditimpa musibah dan kematian mengerikan menandakan kemurkaan Allah SWT terhadap individu yang menghina baginda SAW.

Dua peristiwa tersebut adalah kematian Utaibah bin Abu Lahab dan lelaki Nasrani yang murtad daripada Islam.

Pertama : Kisah kematian Utaibah bin Abu Lahab .

Selepas Nabi SAW diangkat menjadi Rasul, Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah SAW. Dia juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah SAW, "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah SAW. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah SWT. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Suatu masa , Utaibah mengikut satu kafilah dagang yang hendak pergi berniaga ke negeri Syam. Ditengah perjalanan rombongan itu terserempak dengan seekor harimau yang sangat besar.

Sangat menghairankan kerana harimau itu hanya merenung ke arah Utaibah seorang. Ia seperti tidak menghiraukan peserta kafilah yang lain. Dengan bantuan rakan-rakan Utaibah terselamat daripada di ganggu oleh harimau tersebut.

Tetapi harimau itu tidak lari jauh. Tanpa disedari semua peserta rombongan, rupa-rupanya mereka sedang diekori. Sampai menjelang tengah malam semasa rombongan berhenti rehat, harimau itu masih memerhatikan mangsanya.

Apabila semua peserta rombongan sudah lena dalam keletihan masing-masing, haiwan pemangsa itu pun menyerang Utaibah dan membahamnya, dia tidak sempat hendak menyelamatkan dirinya di tengah-tengah malam yang gelap gelita.

Demikianlah balasan Allah kepada orang yang derhaka. Utaibah bukan sahaja tidak mahu beriman, bahkan dia turut menghina Rasulullah SAW. Akhirnya Allah SWT pun membalas kejahatan Utaibah didunia ini lagi sebelum membalasnya di akhirat.

Kedua : Kisah seorang lelaki Nasrani yang murtad.

Satu lagi kisah yang menerangkan kepada kita bahawa betapa hinanya golongan yang menghina dan mengeji Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadis:

Daripada Anas bin Malik berkata: Ada seorang lelaki beragama Nasrani telah memeluk Islam, beliau membaca (hafaz) Surah al-Baqarah dan Surah al-Imran. Dia adalah salah seorang juru tulis Nabi SAW. Lalu dia murtad dan berkata, "Muhammad tidak mengetahui apa pun kecuali apa yang aku tuliskan kepadanya."

Setelah itu beliau mati dan dikebumikan. Tetapi tanah mengeluarkan (tubuhnya) semula. Lalu berkata kaumnya, "Ini adalah perbuatan Muhammad dan sahabatnya setelah (Nasrani tersebut) lari dari (agama) mereka, mereka membongkar semula mayat saudara kita dan dibuangnya."

Maka keesokan hari mereka menggalikan semula tanah sedalam mungkin (untuk menanam mayat saudaranya yang berpaling daripada ajaran Nabi itu), tetapi sekali lagi tanah meludah kembali (mayat itu) ke permukaan bumi. Maka, ketika itu baharulah kaumnya mengetahui bahawa (kejadian itu) bukan dari perbuatan manusia, lalu dibuangnya keluar kubur. (Hadis Riwayat Bukhari:3617)

Sahabat yang dimuliakan,
Kedua-dua kisah diatas hendaklah menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa sesiapa sahaja yang cuba menghinakan peribadi Nabi SAW ketika di dunia ini mereka akan mendapat penghinaan, bala dan azab daripada Allah SWT sebelaum azab yang paling dahsyat ketika di akhirat nanti.

Di zaman morden ini terdapat beberapa siri penghinaan yang dilakukan oleh golongan kafir dan munafik kepada Rasulullah SAW.

1. Penghinaan yang berlaku pada tahun 1924, oleh Kamal Artatuk terhadap Rasulullah SAW dan ajaran Islam. Perlembagaan Islam di dalam kerajaan Khalifah Othmniah telah dipinda kepada peraturan barat dan sekular. Akibat daripada jenayah yang beliau lakukan di akhir kematiannya mendapat deman panas yang dahsyat hingga menjerit-jerit dan meraung kesakitan. Bila dikebumikan mayatnya bumi tidak menerimanya, hinggakan dia diletakkan di atas tugu konkrit dan ditindih dengan  batu besar ke atas keranda mayat beliau.

2. Pada tahun 1989 Salman Rushdie, seorang warga Iran telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya "The Satanic Verses". Beliau diburu oleh umat Islam tetapi beliau disembunyikan di tempat rahsia oleh kerajaan British.

3. Di Timur Tengah pula, muncul seorang penulis warganegara Syria iaitu Haidar bin Haidar yang bermastautin di Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak. Dia telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memalsukan watak sebenar Nabi SAW, Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemonstrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu daripada pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah dan telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Srikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

3. Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu "Nigeria This Day" telah menulis dalam kolumnya, "Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isterinya".

Kebiadapan sang penghina ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalanraya bagi menyatakan sikap dan bantahan dan kemuncaknya pejabat utama akhbar "Nigeria This Day" telah dibakar oleh penunjuk perasaan. Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria sehingga tidak ada lagi ketika ini pengamal media di Nigeria yang berani mengulang siar kenyataan-kenyataan yang menghina Rasulullah SAW.

4. Akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Dalam kartun tersebut telah digambarkan Nabi SAW sebagai seorang Arab badawi yang membawa pedang dan diapit oleh dua orang perempuan bercadar hitam di sebelah kiri dan kanannya. Bahkan, dalam salah satu kartun itu Rasulullah SAW digambarkan sebagai orang yang berserban dan pada serbannya terselit sebutir bom.

Hasil daripada terbitnya kartun-kartun biadab tersebut, beberapa negara umat Islam terus mengambil tindakan segera mengajar kebiadaban mereka. Antaranya Arab Saudi yang telah memanggil pulang dutanya di Denmark. Libya telah menutup kedutaannya di Copenhagen, Qatar dan Sudan serta diikuti oleh umat Islam di seluruh dunia Arab dan rantau Asia. Beberapa ketika kemudian setelah Denmark menyepi, bangun pula negara-negara Eropah lain simpati kepada Denmark dengan cara mengeluarkan karikatur yang sama di akhbar-akhbar mereka. Menurut BBC sehingga kini tujuh akhbar di Perancis, Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol telah mengeluarkan kartun yang sama atas alasan memberikan sokongan moral kepada Jyllands Posten.

5. Di Malaysia, akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama di tengah-tengah kemarahan umat Islam yang sedang memuncak. Kartun itu diselitkan dengan rencana yang bertajuk "Cartoons: Not Much Impact Here".

Ironisnya, kes yang berlaku kepada Sarawak Tribune ini tidak memberi pengajaran kepada akhbar-akhbar lain di Malaysia. Kebiadapan muncul lagi apabila akhbar harian Cina, Guang Ming Daily pernah mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut. Golongan bukan Islam ini menjadi begitu berani dan biadap kerana melihat kelemahan umat Islam dan pemerintah yang berada pada tahap paling lemah. Berkat bantahan massa dan NGO Islam, kerajaan dengan serta-merta menggantung penerbitan akhbar ini selama dua minggu.

6. Pada tahun 1997, seorang wanita Yahudi Israel, Tatyana Suskin (26) telah membuat dan menyebarkan dua puluh poster yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Di antaranya ialah poster seekor babi yang tertulis kalimah 'Muhammad' dengan pensil di kakinya yang menulis di atas Al-Quran. Lakaran biadab wanita Yahudi ini juga telah diterbitkan dalam beberapa akhbar di Barat.

7. Pada tahun 2004, dirilis filem dibawah garapan produser Theo Van Gogh yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Dokumentari ini yang kononnya sebagai ekspresi kebebasan berkarya dengan memasukkan penghinaan terhadap Islam dan Nabi SAW. Golongan liberal kapitalisme ini sentiasa menunjukkan kebencian mereka kepada orang yang beriman.

8. Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News yang berjudul ‘What Would You Do?’. Dengan berbekalkan kefahaman tekstual terhadap zahir ayat-ayat al Quran, Wilders telah meletak video-video terrorist untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Ketika ditemuramah, Geert Wilders mendakwa al-Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia menyerupai buku Hitler, Mein Kampf.

Begitupun sikap yang sejalan dengan al-Quran sebagaimana yang ditunjukkan apabila menghadapi orang-orang jahil, ialah :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini" (Surah al-Furqan ayat 63)

Kata Dr. Yusuf al Qardhawi berhubung perbuatan Wilders, "Kami bukanlah (umat yang gemar) memulakan provokasi dan juga tentangan, sebaliknya kami adalah umat yang sejahtera (Salam) dan perkataan 'Salam' merupakan antara nama-nama Allah yang suci dan ditinggikan."

9. Namun, hari ini umat Islam dikejutkan lagi dengan satu trailer pendek oleh musuh-musuh Islam yang menghina batang tubuh mulia Baginda SAW. Trailer ini telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu, dan kemudian syarikat google menegaskan untuk tidak membuang video tersebut untuk terus menjadi paparan bagi sesiapapun yang melayari internet.

Selaku seorang Muslim, isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam. Video ini sekali lagi telah menghina Baginda Nabi SAW dengan perwatakan sebagai seorang lelaki yang womanizer - 'gila perempuan'. Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan Para Sahabat rah.

Filem yang melabel Baginda SAW sebagai ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah seperti Mesir dan Libya. Rakyat Mesir dilaporkan telah mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.
 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita bersatu berdemontrasi aman dan membantah kepada sesiapa sahaja golongan kafir dan munafik yang cuba menimbulkan provokasi dengan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Wajib kita melahirkan kemarahan kepada golongan yang anti-Islam yang cuba melaga-lagakan di antara umat Islam dengan orang bukan Islam supaya dunia menjadi huru hara dengan persengkitaan dan permusuhan. Kerja-kerja jahat ini adalah agenda Yahudi dan Nasrani yang tidak akan senang hati apabila umat Islam tidak mengikuti mereka. Oleh itu kita perlu tetap istiqamah kepada ajaran Islam dan sentiasa mempertahankan kemuliaan junjungan kita Muhammad SAW. dan ajaran Islam jika ada golongan yang cuba membuat penghinaan secara biadab.





Wednesday, September 19, 2012

Penciptaan Dan Kedudukan Manusia Ketika Di Dalam Rahim Ibunya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah SAW bersabda, “Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging.

Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’

Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliau pun masuk neraka.

Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.”  (Hadis Sahih Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan hampir seumpama lafaznya juga yang telah dikeluarkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)

Huraian hadis : 

Telah masyhur di kalangan ulama’ Islam yang dahulu dan  sekarang berfahaman bahawa kejadian janin yang pertama ialah; air mani (Ű§Ù„Ù†Ű·ÙŰ©), segumpal darah (Ű§Ù„ŰčÙ„Ù‚Ű©), kemudian seketul daging (و(Ű§Ù„Ù…Ű¶ŰșŰ©. Semua proses kejadian ini ialah selama 120 hari,

Berdasarkan yang disebut dalam hadis, mereka menafsirkan  bahawa roh ditiup ke dalam janin pada waktu ianya  berupa seketul daging, yang pada zahirnya selepas 40 hari yang ketiga.

 Firman Allah SWT maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. (Surah al-Mukminun ayat 12-14)

Telah sabit dalam kajian saintifik gerakan janin dapat  dikesan pada peringkat awal, iaitu pada minggu ke lapan atau ketika kandungan janin sebesar 3sm atau panjang janin lebih kurang 15mm. Demikian juga dapat  dilihat gerakan pernafasan, anggota bahagian atas, denyutan jantung, kerdipan mata dan sebagainya. Gerakan tangan ke mulut, lidah dan menghisap jari semuanya dapat  dilihat diminggu ke enam belas, iaitu sebelum 120 hari.
 
Demikianlah sedikit perbincangan mengenai mukjizat Nabi SAW yang menceritakan proses kejadian janin yang begitu halus dan terperinci di zaman sebelum manusia mengenali sains dan teknologi lebih 14 abad yang lampau, ini menunjukkan kebenaran ajarannya, begitu juga dengan perkara lain seperti hadis ‘Zubab’ atau lalat dan seumpamanya. Semoga Allah menambahkan kekuatan berfikir dan  kefahaman yang luas kepada kita semua agar dapat  kita memahami isi kandungan ayat-ayat-Nya serta Sunnah Nabi SAW dan terus berpegang serta beramal dengan kedua-duanya.

Sahabat yang dimuliakan,
Begitu banyak pengajaran yang terdapat dalam hadis ini, namun kesimpulannya adalah mengagungkan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi. Selain itu kita wajib beriman kepada qada dan qadar ini dan bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.

Demikian pula dalam Al Quran surat Ali Imran 154, Allah SWT berfirman maksudnya, "Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyah. Mereka berkata, 'Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?’ Katakanlah: ‘Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah..." 

Rasulullah SAW bersaba maksudnya, "Janganlah kamu (sekalian) mati melainkan dalam keadaan ber baik sangka kepada Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Maksudnya kita mesti senantiasa berprasangka baik bahwa Allah akan menjadikan kita sebagai orang yang mati dalam husnul khatimah.Berdoalah kepada Allah SWT semoga Dia kekalkan  iman dan akidah kita tetap kukuh dari sekarang hinggalah ke akhir hayat .

Jika kita merasakan bahawa kita adalah ahli syurga, maka berusahalah menuntut ilmu agar kita dapat beramal dengan amalan ahli syurga. Maksudnya, hadis ini memberi dorongan atau motivasi kepada kita untuk berusaha mendapatkan syurga.

Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : “Tidak tertolak qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Hadis ini juga mengajar kita supaya tidak sombong dan memandang rendah pada orang lain kerana syurga dan neraka itu milik Allah yang Maha Agung dan Dia boleh memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Untuk menjauhkan diri dari termasuk menjadi ahli neraka maka perlulah menjauhkan diri daripada sifat-sifat ahli neraka iaitu sifat-sifat mazmumah (sombong, riak, dendam, suka membuat fitnah, mengadu domba, bongkak, takbur, iri hati hasad dengki, buruk sangka, dan sebagainya).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri setiap masa dan ketika. Peruntukkanlah masa untuk solat tahajud , berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT di malam hari ketika isteri dan anak-anak kita tidur. Bertaubat hingga menitiskan air mata, mohonlah belas kasihan Allah SWT, kerana betapa kerdilnya diri kita ini berbanding dengan kekuasaan-Nya, rahmat dan kasih sayang-Nya.

Tuesday, September 18, 2012

Penyesalan Dan Tangisan Di Hari Akhirat Sudah Tiada Berguna Lagi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kalian membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam Neraka Jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah hebat dan dahsyatnya seksaan di Neraka Jahanam, yang akan dipenuhi oleh jin  dan manusia yang derhaka dan melakukan dosa ketika di dunia.

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mereka mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas dirinya sendiri?  Jika di dunia manusia boleh menipu dan memberi rasuah kepada hakim atau pendakwa raya tetapi bukan di mahkamah Allah SWT. Ketika ini tidak seorang pun boleh melarikan diri.

Sebagai manusia yang kerdil, tetapi mengapa kita tidak takut kepada Tuhan Pemilik alam in? Manusia sanggup diperkudakan oleh syaitan dan hawa nafsu, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, sewenang-wenangnya melakukan fitnah dan pecah amanah, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: “Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda-nunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya tidak insaf dan sedar bahawa kematian akan datang tidak kira waktu.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.
Sahabat yang dimuliakan,
Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika kalian menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah SWT. Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri, bumi, langit hari dan masa. Menunduklah wajah yang dulunya rasa sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan takbur serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih keseronokan yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka  tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; “Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung.” (Surah al-Hajj, ayat 47)

Sahabat yang dikasihi,
Kita perlu ulang-ulangkan kisah-kisah hari akhirat dan seksaan neraka sebagai motivasi supaya kita tidak terlalu buru keduniaan sehingga melupakan bahawa setiap di antara kita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Dengan mengingatkan tentang kematian, seksa kubur, penderitaan di himpunkan di Padang Mahsyar, di hisab dan ditimbang segala amalan baik dan buruk, meniti siratul mustakim dan seksaan neraka maka akan menghidupkan hati yang leka dan lupa. Mengilapkan lagi hati yang berpenyakit kerana terlalu cintakan dunia dan takut mati. 

Jika kita sedang kejar kuasa (sedang sebuk berkempen) atau sebuk menghimpun harta dunia maka dengan kuasa dan harta yang akan diperolehi nanti akan digunakan untuk mencari reda Allah SWT bukan untuk bermegah-megah dan berlagak sombong dan bukan untuk menentang hukum-hukum Allah SWT.

Ingatlah setiap amanah yang diterima (jika berjaya mendapat kuasa) dan setiap ringgit harta di perolehi semuanya akan ditanya oleh Tuhan Rabbul Jalil dihari akhirat nanti. Jika kalian gagal melaksanakan amanah ini maka segala penyesalan dan tangisan di sana nati sudah tidak berguna lagi.

Monday, September 17, 2012

Tafsir Surah Adh - Dhuha Ayat 1-5

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah Adh-Dhuha adalah surah ke 93 , surah Makkiyah mengandungi 11 ayat. Maksud Adh-Dhuha adalah Waktu Matahari Sepenggalahan Naik.

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Firman Allah SWT maksudnya :

"Demi waktu Dhuha". (93:01)

Penjelasan :

* Allah bersumpah dengan waktu Dhuha (waktu naik matahari)

* Allah bersumpah pada waktu Dhuha kerana Ummu Jamil telah menyebarkan fitnahnya tentang pemberhentian wahyu pada waktu-waktu tersebut.

"Dan demi malam apabila telah sunyi". (93:02)

Penjelasan :

* Allah bersumpah dengan waktu malam (apabila ia menjadi gelap)

"Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci padamu". (93:03) 

Penjelasan :

* Allah tidak sekali-kali meninggalkan Rasulullah SAW bersendirian sewaktu fitnah-fitnah terebut melanda.

* Allah bersumpah bahawa Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW pada waktu Dhuha ataupun waktu malam.

* Allah menyayangi dan menjaga baginda sejak dari dalam kandungan hinggalah pada ketika surah itu diturunkan.

Asbabun Nuzul ayat 1-3 : 

Jundub r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersedih kerana Jibril tidak turun membawa wahyu beberapa hari. Lalu seorang wanita berkata, "Wahai Muhammad, mengapa aku melihat syaitanmu (maksudnya Jibril) telah meninggalkanmu." . Lalu turunlah ayat ini. (Hadis Riwayat Bukhari)

"Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan" (93:04)

Penjelasan :

* Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemimpin Agung di dunia dan di akhirat.

* Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa akhir perjuangan Rasulullah SAW itu akan bertemu kemenangan-kemenangan, sedangkan permulaannya penuh dengan kesulitan-kesulitan. Ada pula sebahagian mufasir yang mengertikan akhirat dengan 'kehidupan akhirat' beserta segala kesenangannya dan 'ula' dengan erti 'kehidupan dunia'.

"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu hati kamu menjadi puas." (93:05)

Penjelasan :

* Akan diberikan kepada Rasulullah SAW (di akhirat) segala nikmat yang paling besar yakni boleh mensyafaatkan sekalian manusia dan juga sungai Al-Kautsar di dalam syurga.

Asbabun Nuzul ayat 5 :

Dari Ibnu Abbas r.a. dari ayahnya, dia berkata, "Telah dinampakkan kepada Rasulullah SAW sesuatu yang akan diberikan untuk umatnya tahap demi tahap. Kerana itu Rasulullah SAW merasa sangat gembira. Lalu turun ayat ini. (Hadis Riwayat Hakim, Baihaqi dan Thabrani)

Asy- Syahid Sayyid Qutb rahimauhullah mentafsirkan ayat 1-5 Surah Adh-Dhuha dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran, beliau menyatakan :

Pokok pembicaraan surah Ad Dhuha ini, pengungkapannya dan pemandangan-pemandangannya,  bayangan-bayangan dan nada-nada pernyataannya merupakan suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Semuanya itu adalah dituju kepada Rasulullah SAW. untuk menghibur dan mententeramkan hatinya.

Surah ini merupakan surah Makkiyah. Turun ketika Nabi SAW sedang bersendirian. Surah ini turun setelah berlaku suatu tempoh masa tiadanya wahyu baru yang turun kepada baginda sehingga menimbulkan fitnah di kalangan penduduk di Kota Makkah.

Hadis daripada Jundub r.a, ia berkata, bahawasanya Rasulullah SAW telah tidak bangun untuk berqiyamullail selama 1 atau 2 malam. Kemudian telah datang kepada baginda seorang wanita seraya bertanya, "Bagaimanakah syaitanmu wahai Muhammad?" Nabi SAW diam. Setelah itu Allah telah menurunkan surah Ad-Dhuha sebagai jawapan kepada wanita tersebut. [Muttafaqun Alaih]

Dalam hadis yang lain pula, Ibn Abbas r.a  berkata, bahawasanya Ummu Jamil (isteri Abu Lahab) telah berkata, "Malaikat dan wahyu sudah tidak turun lagi. Tuhan telah memutuskan hubungan dengan dia". kemudian Ummu Jamil telah menyebarkan perkara tersebut ke khalayak ramai. Akibatnya Rasulullah SAW berasa susah hati. Lalu Allah telah menurunkan Surah Ad-Dhuha.

Berbagai-bagai riwayat telah memberikan bahawa penurunan wahyu telah putus seketika kepada Rasulullah SAW. Malaikat Jibril telah terlambat membawa wahyu Allah kepadanya kerana itu kaum musyrikin melancarkan kempen bahawa Muhammad telah ditinggalkan Tuhannya! Lalu Allah turunkan surah ini.

Penerimaan wahyu, pertemuan dengan Jibril dan perhubungan dengan Allah, merupakan bekalan-bekalan kepada Rasulullah SAW dalam mengharungi jalan dakwah yang sukar, merupakan air minum di panas yang terik dalam menghadapi keingkaran. Dan merupakan angin sepoi bahasa dalam cuaca panas menghadapi pendustaan kaum musyrikin. Dengan inilah Rasulullah SAW. dapat hidup dalam panas terik yang membakar yang dialami beliau ketika menghadapi manusia-manusia yang liar, penderhaka dan degil, dan ketika menghadapi tipudaya, gangguan dan penindasan yang ditimpakan ke atas dakwah, keimanan dan hidayat oleh pelampau-pelampau kaum musyrikin.

Apabila wahyu terputus seketika, maka putuslah bekalannya, keringlah matairnya dan sepilah hatinya dari kekasih, dan tinggallah baginda seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau kekasih tercinta yang biasa dinikmatinya. Dan ini menjadikan Rasulullah SAW. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut.
Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, perdampingan, kerelaan, ketenteraman dan keyakinan:

Tafsirannya :(ayat 1-5)

"Demi waktu Dhuha". (93:01)

"Dan demi malam apabila telah sunyi". (93:02)

Allah S.W.T. telah bersumpah dengan dua waktu yang jernih hening, dan menghubungkan di antara gejala-gejala alam dengan perasaan-perasaan jiwa serta menyarankan kepada hati manusia satu bentuk hidup yang sedar dan mempunyai hubungan saling mesra dengan alam yang indah dan dinamis, yang bermesra dengan setiap yang hidup.

Hati ini hidup dalam hubungan penuh kemesraan dengan alam ini dan tidak lagi merasa sepi dan dagang di alam ini. Dalam surah ini kesan rasa kemesraan itu benar-benar dirasai, seolah-olah Allah mahu menyarankan kepada Rasulullah SAW  dari awal surah lagi bahawa Tuhannya telah melimpahkan rasa kemesraan di sekeliling hidupnya di alam ini, ia bukannya terbuang dan terbiar dan bukan pula sebatang kara. Dan selepas menyampaikan saranan dari alam, maka secara langsung  Allah menekankan:

Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci padamu". (93:03)


Allah tidak sekali-kali membiar dan membuangmu sebagaimana dikatakan oleh kaum musyrikin yang mahu menyakiti hatimu dan merungsingkan fikiranmu, kerana Dia adalah “Tuhanmu” dan engkau adalah hamba-Nya yang dihubungkan kepada-Nya dan disandarkan kepada Rububiyah-Nya, dan Dialah Penjaga, Pelindung dan Penaungmu. Limpah kurnianya kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan untukmu di Akhirat adalah lebih balk dari limpah kurnia-Nya yang diberikan kepadamu di dunia:

"Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan" (93:04)

Itulah pengertian kebaikan dari awal hingga akhir. Dan Allah akan terus memberi taufiq yang dikehendakimu dalam menjalankan tugas dakwahmu, menghapuskan segala halangan dan rintangan dari jalanmu, memberi kemenangan kepada agama dan kebenaran yang diperjuangkanmu. Semua itu merupakan masalah-masalah yang merungsingkan Rasulullah SAW. sewaktu menghadapi kedegilan, pendustaan, gangguan, tipudaya dan penghinaan kaumnya. 

"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu hati kamu menjadi puas." (93:05)

Sahabat yang dimuliakan,
Surah Adh-Dhuha ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap perjuangan dalam usaha kita ingin menegakkan kebenaran Islam dimuka bumi ini pasti akan ada ujian dan dugaannya. Rasulullah SAW di fitnah oleh  pembesar Quraisy dan di hinakan apabila wahyu tidak turun beberapa hari. Pada mulanya baginda merasai sedih di atas tohmahan mereka tetapi setelah turun surah ini telah mengembirakan hati Nabi SAW, dan bagimana Allah SWT menyatakan kasih sayang-Nya kepada kekasih-Nya Muhammad SAW. dan jaminan Allah SWT bahawa perjuangan baginda akhirnya akan memperolehi kejayaan.

Sudah menjadi fitrah bahawa permulaan dalam kerja-kerja dakwah untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT dan menjalankan amar makruf nahi mugkar memang sukar tetapi di akhir perjuangan akan beroleh kejayaan dan kebahgiaan. 

Begitu juga hidup di dunia ini adalah satu ujian dan penuh kesukaran iaitu perlu berjihad dijalan Allah SWT dan istiqamah dengan Islam kerana sesungguhnya hidup di dunia adalah sementara. Jika kita menjalankan tugas yang diamanahkan Allah SWT di dunia ini insya Allah di akhirat nanti adalah balasan syurga yang akan disediakan oleh Allah SWT.

Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Ke 4 (Kesalahan Hudud - Minum Arak)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Arak adalah minuman yang diharamkan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud :

"Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala , mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Surah al-Maaidah ayat 90-91)

Berdasrkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa arak merupakan salah satu dari amalan dan perbuatan keji yang berasal daripada syaitan. Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjauhi amalan tersebut supaya beroleh keuntungan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap yang memabukkan itu adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan itu adalah haram." (Hadis Riwayat Muslim no. 3003)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW tentang setiap minuman yang memabukkan, samaada sedikit atau banyak, hukumnya adalah sama iaitu haram.

"Apa yang bila banyaknya memabukkan , maka sedikit daripadanya juga adalah haram." (Hadis Riwayat Ahmad : 3/343, Abu Daud : 3681, Tirmizi : 1865, Ibnu Majah : 3393, Ibn Hibban : 5358. Di nilai Hasan oleh Syaikh Al-Albani)

Islam melarang keras minuman keras (arak) adalah berdasarkan kesesuaian ajarannya yang mengkhendaki umatnya mempunyai fizikal yang sihat dan jiwa serta rohani yang mantap agar mampu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian.

Tidak diragukan lagi, bahawa arak adalah minuman yang boleh melemahkan keperibadian dan menghilangkan potensi diri terutama sekali akal. 

Arak juga digelar sebagai "Raja Segala Kejahatan" sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Khamar (arak) adalah induk/ ibu segala kejahatan." (Hadis Hasan, no. 3344 lihat Sahih al-Jamik, Syaikh Al-Albani.)

Sahabat yang dimuliakan,
Minum arak adalah salah satu dosa-dosa besar yang menyebabkan seseorang itu akan meninggalkan sembahyang, berzina dan sebaginya.

Abdullah bin Amru meriwayatkan sebuah hadis lain yang bermaksud : "Khamar (arak) adalah induk kejahatan dan merupakan salah satu dosa-dosa besar. Barang siapa yang minum khamar, dia akan meninggalkan sembahyang dan (biasanya) akan menyetubuhi ibunya dan ibu saudaranya (sebelah ibunya atau sebelah ayahnya)." 
(Fiqh Sunnah, Sayid Sabiq, Jilid 2, m.s. 371, bab Kesalaham minum Khamar.)

Islam tidak hanya mengharamkan kepada peminum minuman tersebut sahaja, tetapi meliputi 10 golongan yang berkaitan dengan perkara khamar ini, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sepuluh golongan yang dilaknat dalam perkara khamar : Pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan duit hasil jualannya, pembayar dan pemesannya." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah di nilai sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Misykah al-Mashobiih, no. 2776)

Berdasarkan ayat al-Quran surah al-Maaidah ayat 90 dan 91 di atas dan hadis sahih riwayat Muslim no. 3003,  jelaslah arak itu telah diharam oleh Allah SWT sesiapa yang meminumnya dengan sengaja dan disabitkan kesalahan tersebut maka dalam Islam terdapat hukum hudud yang akan dikenakan keatasnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesiapa yang meminum khamar maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika dia meminumnya lagi maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika ia minum lagi maka hendaklah kamu sebatnya lagi, kemudian jika dia minumnya lagi pada kali yang ke empat, maka hendaklah kamu bunuhnya." (Hadis Riwayat Tirmizi : 1364, An-Nasaie : 5567, Ahmad : 7435)

Terdapat dalil daripada riwayat para sahabat mengenai hukum hudud terhadap jenayah minum arak.

Anas bin Malik r. a berkata : "Rasulullah SAW telah mengenakan hukum pukul (sebat) dalam kes arak dengan menggunakan pelepah tamar dan kasut. Abu Bakar pula merotan sebanyak 40 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6275)

Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman Pemerentahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerentahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku  semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6281).

Perlu dijelaskan disini bahawa terdapat dua unsur dalam jenayah Minum Arak iaitu :
1. Unsur fizikal
2. Unsur moral.

Huraiannya :

1. Unsur fizikal.
Jumhur ulama menetapkan dan sepakat mengatakan bahawa unsur fizikal bagi kesalahan minum arak tetap dikira sebagai telah berlaku walaupun arak yang diminum itu tidak memabukkannya. Ini kerana perbuatan yang dilarang ialah perbuatan meminum arak, bukannya apa-apa yang terhasil daripada minuman tersebut. Sama sahaja darisegi hukumnya samaada meminum sedikit (belum mabuk)  atau minum banyak (sehingga mabuk).

2. Unsur moral.

Menurut Asy-Syaikh Abdul Qadir Audah : "Unsur moral bagi jenayah ini iaitu niat jahat akan dikira telah berlaku pada peminum arak berkenaan sekiranya dia tahu bahawa bahan-bahan yang diminum itu adalah arak atau minuman yang memabukkan. Tetapi sekiranya iai tidak tahu bahawa yang diminum itu adalah arak atau apa-apa sahaja minuman yang memabukkan, maka dia dianggap tidak berniat jahat walau pun ia mabuk selepas daripada meminum minuman tersebut."

Tambah beliau lagi, " Samada kejahilan tentang apa yang diminum itu berlaku dengan begitu sahaja atau terhasil daripada kesilapan yang teruk atau sebaliknya atau kerana kecuaian dan tidak berhati-hati . Ini kerana apa yang menjadi syarat ialah perbuatan itu dilakukan dengan sengaja iaitu sedar bahawa apa yang dilakukan adalah salah dan haram. "
(Kitab Tasyri' al-Jina'ie al-Islami, jilid 2, m.s. 504)

Seorang boleh didakwa dengan kesalahan minum arak sekiranya ia melakukan 3 perkara dibawah :

1. Minuman yang diminum itu ialah arak (khamar) iaitu minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal fikiran.

2. Ia mengetahui bahawa minuman yang diminum itu ialah arak yang diharamkan atau mengetahui bahawa minuman tersebut boleh memabukkannya dan menutup kewarasan akal fikirannya.

3. Perbuatan yang diminum itu adalah perbuatan yang memang disengajakan.

Syarat-syarat seseorang dikenakan hukum hudud minum arak :

1. Baligh, dewasa mengikut perkiraan syarak.

2. Berakal, mempunyai daya fikiran yang sempurna dan waras (tidak gila)

3. Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa pun.

4. Minuman itu masuk ke dalam rongga atau tubuh badan melalui mulut.

Untuk mensabitkan kesalahan minum arak perlu kepada 3 perkara ;

1. Pensabitan melalui keterangan saksi/ persaksian.

Saksi mestilah 2 orang lelaki yang memenuhi ciri-ciri dan syarat sebagai saksi seperti saksi kesalahan zina. Kesaksian wanita tidak diterima dalam kes-kes hudud.

2. Ikrar/ Pengakuan daripada tertuduh.

Ikrar/ pengakuan tersebut memadai dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Di buat dengan sekarela bukan dipaksa.

3. Qarinah / Bukti lain.

a. Bau mulut atau nafas seseorang yang minum arak atau muntah yang mengeluarkan arak/ sebarang minuman yang memabukkan.

b. Pemerhatian mahkamah terhadap keadaan situasi tertuduh melalui percakapan, perbuatan, tubuh badan dan sebagainya.

Dalam bab Qarinah, kedua-dua perkara di atas boleh dijadikan bukti seseorang itu telah melakukan kesalahan minum arak melainkan jika tertuduh dapat membuktikan sebaliknya.

Hukuman bagi kesalahan minum arak :

Seseorang yang didapati bersalah atas kesalahan minum arak akan dihukum dengan hukuman dibawah :

1. Sebat 40 kali atau 80 kali berdasarkan riwayat dibawah :

"Rasulullah SAW telah menghukum dengan 40 kali pukulan, Abu Bakar juga 40 kali dan Umar dengan 80 kali. Kesemuanya adalah sunah dan hukuman ini (40 kali) adalah hukuman yang saya sukai."
(Kata-kata Saidina Ali k.wj. ketika menghukum Al-Walid bin Uqbah kerana kesalahan minum arak. Ia direkodkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Sahihnya (Fiqh Sunnah, Sayid Sabiq, jilid 2, m/s : 265)

Ulama sepakat dengan hukuman rotan untuk pesalah minum arak tetapi berselisih pendapat mengenai jumlahnya. Perbezaan pendapat ini tidak harus dijadikan hujah oleh setengah golongan untuk menggugurkan kesalahan minum arak daripada termasuk kesalahan hudud. Ini kerana larangan minum arak adalah termaktub dalam al-Quran.

Menurut Asy-Syaikh Abdul Qadir Audah, "Pemerintah boleh mengenakan hukuman  sebanyak 80 kali sebatan atas dasar 40 kali (tambahan) itu merupakan sebagai hukuman takzir." (Kitab Tasyri' al-Jinaa- 'I al- Islami jilid 2, m/s: 505)

Sahabat yang dihormati,
Dosa minum arak adalah salah satu dosa besar sebagaimana hadis daripada Nabi SAW.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba, menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.” (Hadis Riwayat Hakim)

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang peminum khamar itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai kedadanya, mengalir air liurnya, tiap orang yang melihat akan jijik padanya kerana busuk baunya. Kamu jangan memberi salam kepada pemabuk dan jangan melawatnya jika mereka sakit dan jangan menyembahyangkan jika mati."
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Barang siapa meminum khamar (arak), Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh pagi. Apabila ia bertaubat, Allah menerima taubatnya. Kalau ia kembali meminum khamar lagi, Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh hari. Apabila ia bertaubat, Allah menerima taubatnya.”

Berdasarkan hadis Nabi SAW di atas yang menyatakan bahawa orang yang meminum khamar (minuman keras yang memabukkan) solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. Pakar-pakar hadis dan hukum Islam berupaya mencari alasan di balik itu. Mereka mengatakan, bahawa selama masa itu -empat puluh hari- darah, urat, dan tubuh secara umum orang yang meminum khamar masih dialiri oleh minuman kotor itu. Ini, misalnya, seperti pernah disebut oleh As-Suyuthi dalam Hasyiyah at-Tirmidziy. Para ulama juga mengatakan, bahawa meskipun yang disebut di dalam hadis itu hanya solat, tetapi pada hakikatnya mencakup ibadah-ibadah yang lain, termasuk puasa.

Oleh kerana kesan mudaratnya cukup besar samaada di dunia dan akhirat maka Islam mengharamkan minuman arak dan mengenakan hukum hudud kepada peminumnya . Wajib semua umat Islam menjauhinya dan berdakwah kepada masyarakat jangan mendekatinya.

Sepatutnya para pemimpin (umat Islam) yang beragama Islam perlu berusaha bagaimana boleh membatalkan lesen kilang arak yang telah diberikan dan tidak akan memberikan lesen-lesen baru supaya negara kita bebas daripada minuman yang diharamkan Allah SWT. Perlu digubal undang-undang supaya umat Islam dilarang bekerja di kilang-kilang arak atau bertugas dikaunter-kaunter pasaraya-pasaraya yang menjual arak (bezakan kaunter barangan halal dan haram- umat Islam hanya bertugas dikaunter yang tidak ada barangan haram). Ini adalah kerana hasil yang diperolehi daripada bekerja dikaunter yang ada miniman arak adalah haram berdasarkan hadis 10 golongan yang terlibat dengan arak.

Sahabat yang dikasihi,
Umat Islam tidak boleh mempertikaikan hukum hudud yang melibatkan hukuman terhadap meminum arak yang telah disabitkan kesalahan tersebut kerana Nabi SAW dan para sahabat telah menjalankan hukum hudud kepada peminum arak. 

Setiap umat Islam perlu bekerja sama dengan Jabatan Agama Islam diseluruh Malaysia dan NGO Islam untuk membentras minuman arak ini supaya minuman haram ini tidak diminum oleh umat Islam, belia dan remaja kita, supaya hukuman dan pendakwaan dapat dijalankan ke atas mereka dengan ini akan dapat menyekat gejala sosial yang meruntuhkan akhlak umat Islam.

(Rujukan : Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli al-Yamani)