Friday, September 21, 2012

Perbuatan Menghina Rasulullah SAW Akan Mendapat Azab Di Dunia Lagi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Persoalan menghina Rasulullah SAW bukan perkara baharu. Sejak dilantik menjadi Rasul Nabi SAW telah dihina bahkan diperlaku dengan perbuatan keji dan kejam.

Pada zaman kini, gaya penghinaan terhadap baginda berubah mengikut arus perubahan semasa. Negara-negara Barat yang mula-mula mencetuskan bermacam-macam tohmahan terhadap Islam mula menggunakan strategi mereka terkini selepas daripada serangan pemikiran iaitu serangan melalui media elektronik dan media cetak terhadap Islam dan Nabi SAW.

Terdapat dua kisah dizaman Nabi SAW mereka yang menghina baginda telah ditimpa musibah dan kematian mengerikan menandakan kemurkaan Allah SWT terhadap individu yang menghina baginda SAW.

Dua peristiwa tersebut adalah kematian Utaibah bin Abu Lahab dan lelaki Nasrani yang murtad daripada Islam.

Pertama : Kisah kematian Utaibah bin Abu Lahab .

Selepas Nabi SAW diangkat menjadi Rasul, Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah SAW. Dia juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah SAW, "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah SAW. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah SWT. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Suatu masa , Utaibah mengikut satu kafilah dagang yang hendak pergi berniaga ke negeri Syam. Ditengah perjalanan rombongan itu terserempak dengan seekor harimau yang sangat besar.

Sangat menghairankan kerana harimau itu hanya merenung ke arah Utaibah seorang. Ia seperti tidak menghiraukan peserta kafilah yang lain. Dengan bantuan rakan-rakan Utaibah terselamat daripada di ganggu oleh harimau tersebut.

Tetapi harimau itu tidak lari jauh. Tanpa disedari semua peserta rombongan, rupa-rupanya mereka sedang diekori. Sampai menjelang tengah malam semasa rombongan berhenti rehat, harimau itu masih memerhatikan mangsanya.

Apabila semua peserta rombongan sudah lena dalam keletihan masing-masing, haiwan pemangsa itu pun menyerang Utaibah dan membahamnya, dia tidak sempat hendak menyelamatkan dirinya di tengah-tengah malam yang gelap gelita.

Demikianlah balasan Allah kepada orang yang derhaka. Utaibah bukan sahaja tidak mahu beriman, bahkan dia turut menghina Rasulullah SAW. Akhirnya Allah SWT pun membalas kejahatan Utaibah didunia ini lagi sebelum membalasnya di akhirat.

Kedua : Kisah seorang lelaki Nasrani yang murtad.

Satu lagi kisah yang menerangkan kepada kita bahawa betapa hinanya golongan yang menghina dan mengeji Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadis:

Daripada Anas bin Malik berkata: Ada seorang lelaki beragama Nasrani telah memeluk Islam, beliau membaca (hafaz) Surah al-Baqarah dan Surah al-Imran. Dia adalah salah seorang juru tulis Nabi SAW. Lalu dia murtad dan berkata, "Muhammad tidak mengetahui apa pun kecuali apa yang aku tuliskan kepadanya."

Setelah itu beliau mati dan dikebumikan. Tetapi tanah mengeluarkan (tubuhnya) semula. Lalu berkata kaumnya, "Ini adalah perbuatan Muhammad dan sahabatnya setelah (Nasrani tersebut) lari dari (agama) mereka, mereka membongkar semula mayat saudara kita dan dibuangnya."

Maka keesokan hari mereka menggalikan semula tanah sedalam mungkin (untuk menanam mayat saudaranya yang berpaling daripada ajaran Nabi itu), tetapi sekali lagi tanah meludah kembali (mayat itu) ke permukaan bumi. Maka, ketika itu baharulah kaumnya mengetahui bahawa (kejadian itu) bukan dari perbuatan manusia, lalu dibuangnya keluar kubur. (Hadis Riwayat Bukhari:3617)

Sahabat yang dimuliakan,
Kedua-dua kisah diatas hendaklah menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa sesiapa sahaja yang cuba menghinakan peribadi Nabi SAW ketika di dunia ini mereka akan mendapat penghinaan, bala dan azab daripada Allah SWT sebelaum azab yang paling dahsyat ketika di akhirat nanti.

Di zaman morden ini terdapat beberapa siri penghinaan yang dilakukan oleh golongan kafir dan munafik kepada Rasulullah SAW.

1. Penghinaan yang berlaku pada tahun 1924, oleh Kamal Artatuk terhadap Rasulullah SAW dan ajaran Islam. Perlembagaan Islam di dalam kerajaan Khalifah Othmniah telah dipinda kepada peraturan barat dan sekular. Akibat daripada jenayah yang beliau lakukan di akhir kematiannya mendapat deman panas yang dahsyat hingga menjerit-jerit dan meraung kesakitan. Bila dikebumikan mayatnya bumi tidak menerimanya, hinggakan dia diletakkan di atas tugu konkrit dan ditindih dengan  batu besar ke atas keranda mayat beliau.

2. Pada tahun 1989 Salman Rushdie, seorang warga Iran telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya "The Satanic Verses". Beliau diburu oleh umat Islam tetapi beliau disembunyikan di tempat rahsia oleh kerajaan British.

3. Di Timur Tengah pula, muncul seorang penulis warganegara Syria iaitu Haidar bin Haidar yang bermastautin di Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak. Dia telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memalsukan watak sebenar Nabi SAW, Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemonstrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu daripada pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah dan telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Srikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

3. Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu "Nigeria This Day" telah menulis dalam kolumnya, "Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isterinya".

Kebiadapan sang penghina ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalanraya bagi menyatakan sikap dan bantahan dan kemuncaknya pejabat utama akhbar "Nigeria This Day" telah dibakar oleh penunjuk perasaan. Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria sehingga tidak ada lagi ketika ini pengamal media di Nigeria yang berani mengulang siar kenyataan-kenyataan yang menghina Rasulullah SAW.

4. Akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Dalam kartun tersebut telah digambarkan Nabi SAW sebagai seorang Arab badawi yang membawa pedang dan diapit oleh dua orang perempuan bercadar hitam di sebelah kiri dan kanannya. Bahkan, dalam salah satu kartun itu Rasulullah SAW digambarkan sebagai orang yang berserban dan pada serbannya terselit sebutir bom.

Hasil daripada terbitnya kartun-kartun biadab tersebut, beberapa negara umat Islam terus mengambil tindakan segera mengajar kebiadaban mereka. Antaranya Arab Saudi yang telah memanggil pulang dutanya di Denmark. Libya telah menutup kedutaannya di Copenhagen, Qatar dan Sudan serta diikuti oleh umat Islam di seluruh dunia Arab dan rantau Asia. Beberapa ketika kemudian setelah Denmark menyepi, bangun pula negara-negara Eropah lain simpati kepada Denmark dengan cara mengeluarkan karikatur yang sama di akhbar-akhbar mereka. Menurut BBC sehingga kini tujuh akhbar di Perancis, Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol telah mengeluarkan kartun yang sama atas alasan memberikan sokongan moral kepada Jyllands Posten.

5. Di Malaysia, akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama di tengah-tengah kemarahan umat Islam yang sedang memuncak. Kartun itu diselitkan dengan rencana yang bertajuk "Cartoons: Not Much Impact Here".

Ironisnya, kes yang berlaku kepada Sarawak Tribune ini tidak memberi pengajaran kepada akhbar-akhbar lain di Malaysia. Kebiadapan muncul lagi apabila akhbar harian Cina, Guang Ming Daily pernah mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut. Golongan bukan Islam ini menjadi begitu berani dan biadap kerana melihat kelemahan umat Islam dan pemerintah yang berada pada tahap paling lemah. Berkat bantahan massa dan NGO Islam, kerajaan dengan serta-merta menggantung penerbitan akhbar ini selama dua minggu.

6. Pada tahun 1997, seorang wanita Yahudi Israel, Tatyana Suskin (26) telah membuat dan menyebarkan dua puluh poster yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Di antaranya ialah poster seekor babi yang tertulis kalimah 'Muhammad' dengan pensil di kakinya yang menulis di atas Al-Quran. Lakaran biadab wanita Yahudi ini juga telah diterbitkan dalam beberapa akhbar di Barat.

7. Pada tahun 2004, dirilis filem dibawah garapan produser Theo Van Gogh yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Dokumentari ini yang kononnya sebagai ekspresi kebebasan berkarya dengan memasukkan penghinaan terhadap Islam dan Nabi SAW. Golongan liberal kapitalisme ini sentiasa menunjukkan kebencian mereka kepada orang yang beriman.

8. Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News yang berjudul ‘What Would You Do?’. Dengan berbekalkan kefahaman tekstual terhadap zahir ayat-ayat al Quran, Wilders telah meletak video-video terrorist untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Ketika ditemuramah, Geert Wilders mendakwa al-Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia menyerupai buku Hitler, Mein Kampf.

Begitupun sikap yang sejalan dengan al-Quran sebagaimana yang ditunjukkan apabila menghadapi orang-orang jahil, ialah :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini" (Surah al-Furqan ayat 63)

Kata Dr. Yusuf al Qardhawi berhubung perbuatan Wilders, "Kami bukanlah (umat yang gemar) memulakan provokasi dan juga tentangan, sebaliknya kami adalah umat yang sejahtera (Salam) dan perkataan 'Salam' merupakan antara nama-nama Allah yang suci dan ditinggikan."

9. Namun, hari ini umat Islam dikejutkan lagi dengan satu trailer pendek oleh musuh-musuh Islam yang menghina batang tubuh mulia Baginda SAW. Trailer ini telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu, dan kemudian syarikat google menegaskan untuk tidak membuang video tersebut untuk terus menjadi paparan bagi sesiapapun yang melayari internet.

Selaku seorang Muslim, isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam. Video ini sekali lagi telah menghina Baginda Nabi SAW dengan perwatakan sebagai seorang lelaki yang womanizer - 'gila perempuan'. Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan Para Sahabat rah.

Filem yang melabel Baginda SAW sebagai ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah seperti Mesir dan Libya. Rakyat Mesir dilaporkan telah mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.
 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita bersatu berdemontrasi aman dan membantah kepada sesiapa sahaja golongan kafir dan munafik yang cuba menimbulkan provokasi dengan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Wajib kita melahirkan kemarahan kepada golongan yang anti-Islam yang cuba melaga-lagakan di antara umat Islam dengan orang bukan Islam supaya dunia menjadi huru hara dengan persengkitaan dan permusuhan. Kerja-kerja jahat ini adalah agenda Yahudi dan Nasrani yang tidak akan senang hati apabila umat Islam tidak mengikuti mereka. Oleh itu kita perlu tetap istiqamah kepada ajaran Islam dan sentiasa mempertahankan kemuliaan junjungan kita Muhammad SAW. dan ajaran Islam jika ada golongan yang cuba membuat penghinaan secara biadab.





No comments: