Saturday, November 28, 2009

Golongan Bukan Nabi Yang Dimuliakan Allah

Rasulullah s.a.w. berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah, "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api Neraka, mereka tidak takut."

Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada Hari Qiyamat di tempat berkumpulnya para Nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahukan kepada mereka nanti. Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."

Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas.

"Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan. Kebahagiaan bagi mereka! Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."

Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata, "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barangsiapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya azab."

Tarbiyyah Melahirkan Mukmin Mujahid


Sahabat yang dirahmati Allah,
Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi Mukmin untuk dirinya, beramal dan bertakwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan Mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah.

Rasulullah s.a.w. mendidik sahabatnya hingga menjadi Mujahid yang kukuh iman mereka, sedia berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'ie yang jujur, berani, dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik.

Apabila Islam memerlulan pengorbanan, harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah s.a.w. dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman al-Affan dan Abdul Rahman 'Auf.

Semua itu adalah hasil daripada Tarbiyyah Imaniyah yang berjalan di Madrasah Rasulullah s.a.w. Didikan Rasulullah s.a.w. bukan untuk melahirkan ahli falsafah atau abid yang meninggalkan keperluan duniawi dan tidak menghiraukan tipu daya musuh yang ingin menghancurkan Islam.

Rasulullah s.a.w. pernah menegur lelaki yang ingin mengasingkan diri untuk beribadah dan meninggalkan jihad. Nabi s.a.w. bersabda kepada lelaki itu, " Jangan kamu lakukan demikian. Sesungguhnya tegak seorang kamu di jalan Allah (berjihad) itu lebih utama daripada sembahyangnya dirumahnya selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunkan kamu serta memasukkan kamu ke dalam Syurga? Berjihadlah pada jalan Allah. Sesiapa yang berperang pada jalan Allah di atas belakang unta, maka wajiblah baginya Syurga."
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Hasan al-Banna pernah menyebut :
"Jihad adalah fardu yang berjalan terus sampai Hari Qiyamat."

Pada hadis yang lain Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa mati padahal ia tidak berjihad dan tidak pernah berniat berjihad, maka matinya seperti mati jahiliah."

Sahabat yang dimuliakan,
Serendah-rendah tingkat jihad itu ialah dengan cara membantah di dalam hati, dan setinggi-tingginya ialah perang fisabilillah kerana kebenaran. Di antara kedua-dua tingkatan itu terdapat cara-cara jihad yang lain seperti berjihad dengan lidah, berjihad dengan pena, berjihad dengan tangan dan berjihad cara berani bercakap benar dihadapan raja yang zalim. Semua sifat dan tingkatan jihad tersebut akan lahir melalui proses Tarbiyyah Imaniyah, insya Allah.

Proses Tarbiyyah Imaniyah mestilah berterusan, tidak boleh diabaikan atau dihentikan separuh jalan atau ditamatkan. Silibusnya mencakupi sepanjang hayat.

Menurut Al Syekh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering. Ia akan terus hidup subur jika dibajai dan disirami. Demikian juga manusia. Hidup sebenarnya bagi individu atau jemaah adalah kerana adanya iman. Hidup manusia sebenarnya adalah hidup hatinya dengan keimanan bukan hidup jasad yang akan fana. Iman dalam hati itulah yang akan melahirkan kehidupan yang bermakna. Hati perlu digilap selalu kerana ia mungkin berkarat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya : Apakah pengilapnya wahai Rasulullah? Rasulullah menerangkan : Membaca al-Qur'an dan mengingati maut (mati)."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Iman yang berada pada jiwa manusia sentiasa terdedah kepada kelunturan dan kelemahan kerana dijangkiti oleh berbagai penyakit seperti kesibukan urusan duniawi dan lain-lain. Oleh itu kita perlu banyak memohon pertolongan kepada Allah s.w.t. dengan sentiasa memperbaharui keimanan kita.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, " Sesungguhnya iman itu boleh lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka hendaklah kamu memohon do'a kepada Allah s.w.t. supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu."
(Hadis Riwayat al-Hakim dan al- Tabrani)

Akhirkata kita perlu teruskan proses Tarbiyyah Imaniyah walaupun kita sentiasa sebuk dihempit urusan duniawi, kerana Tarbiyyah ini akan melahirkan Mukmin Mujahid. Ahli Hikmah ada berkata, "Sekiranya kamu ingin menjadi barisan para Mujahid di Hari Akhirat nanti, maka kamu hendaklah menjadi bariasan para Mujahid ketika di dunia ini."

Friday, November 27, 2009

Amalan Kebaikan dan Kejahatan Manusia

Dari Abul Abbas, Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib r.a. dari Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang beliau riwayatkan dari Allah s.w.t. Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudian menjelaskan hal itu. Maka barangsiapa berkeinginan dengan satu kebaikan, Allah mencatatnya satu kebaikan penuh. Dan barangsiapa berkeinginan dengan satu kebaikan kemudian ia laksanakan kebaikan itu, Allah mencatatnya sepuluh kebaikan sampai tujuhratus kali lipat, atau sampai berlipat ganda. Dan jika seseorang berkeinginan dengan satu kejahatan, namun belum melaksanakannya, Allah mencatatnya dengan satu kebaikan penuh. Dan barangsiapa berkeinginan dengan satu kejahatan, kemudian melaksanakannya, Allah mencatatnya (dosa dari) satu kejahatan sahaja."

(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Ringkasannya :
1.Berniat untuk membuat 1 kebaikan mendapat 1 kebaikan penuh.
2.Berniat untuk membuat 1 kebaikan dan melaksanakannya mendapat 10 kebaikan dan di gandakan hingga menjadi 700 kebaikan atau lebih.
3.Berniat untuk membuat kejahatan, belum melaksanakan mendapat 1 kebaikan penuh.
4.Berniat untuk membuat kejahatan dan melaksanakannya mendapai 1 kejahatan sahaja.

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Betapa besarnya rahmat Allah s.w.t.sehinggakan seseorang yang berniat hendak melakukan satu kejahatan dan belum melaksanakan hasrat tersebut ianya dibalas dan diberinya kebaikan dan pahala oleh Allah s.w.t.

Dalam keadaan yang menguntungkan ini pun di Hari Akhirat nanti majoriti manusia masih mempunyai berat timbangan kejahatan melebihi daripada kebaikannya dan dimasukkan ke dalam Neraka. Nauzubillah. Oleh itu marilah sama-sama kita pertingkatkan amal-amal soleh kita. Banyakkan niat-niat yang baik walaupun belum mampu untuk melaksanakannya dan bila berkemampuan teruskan melaksanakan kebaikan dan amalan soleh tersebut.

Hari Raya Aidil Adha dan Pengorbanan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Raya Aidil Adha, salah satu hari kebesaran umat Islam, sebenarnya mempunyai sejarah agong iaitu peristiwa korban Nabi Ibrahim a.s. terhadap anaknya Nabi Ismail a.s.Peristiwa agong dalam sejarah kemanusiaan insan sejagat ini diceritakan sendiri oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Qur'an, tanda kepatuhan dua insan mulia yang patuh, taat dan sabar ketika mendapat perintah dan arahan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami berikan khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata, 'Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar.' Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia. 'Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."
(Surah Asy-Syafaat ayat 100-107)

Sahabat yang dimuliakan,
Sejarah telah membuktikan bagaimana kesabaran yang amat tinggi yang telah Allah s.w.t. kurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. Bermula setelah dikurniakan oleh Allah seorang anak ketika baginda berada pada usia lanjut, dan diarahkan Allah s.w.t. supaya meninggalkan isteri (Hajar) dan anak yang masih bayi (Ismail) ditengah-tengah padang pasir yang tidak ada penghuninya. Walaupun hati amat sedih, pilu dan kasihan pada isteri dan anak yang dikasihi, tetapi arahan Allah s.w.t. tetap dipatuhi baginda tanpa soal. Baginda yakin Allah s.w.t. tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya. Arahan ini adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk menguji Rasul-Nya di atas nilai ketaatan dan kesabaran.

Setelah sekian lama berpisah apabila Ismail a.s. telah meningkat menjadi remaja datang lagi arahan Allah s.w.t.untuk menguji kedua-dua insan soleh ini iaitu untuk menyembelih anak yang tercinta. Ternyata kedua beranak ini tetap teguh iman mereka kepada Allah dan tidak ragu-ragu untuk melaksanakan arahan Yang Maha Agong dan Maha Bijaksana.Telah terbukti keikhlasan mereka dan sanggup berkorban demi Allah s.w.t.

Dalam peristiwa ini, Allah s.w.t. telah mengetahui akan keikhlasan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mereka berdua telah betul-betul Islam (menyerah). Ujian dari Allah s.w.t. telah berjaya, maka tidak perlu menyembelih Nabi Ismail dan Allah telah gantilan dengan seekor kibas.

Hasil dari peristiwa agong ini setiap Mukmin perlulah mengambil iktibar bahawa pengorbanan dan keikhlasan dalam melaksanakan ketaatan pada Allah s.w.t. perlu ada dalam jiwa dan hati mereka. Tanda ketaatan pada Allah perlulah kita korbankan 'Ismail' yang ada pada kita kerana Allah s.w.t.

Siapakah 'Ismail'kita? Setiap sesuatu yang kita sayang dan kita kasih padanya iaitu hawa nafsu, harta, pangkat, pemimpin yang dipuja, adat dan budaya, undang-undang ciptaan manusia (sanggup pertahankannya)dan ahli keluarga.

Allah s.w.t. telah minta kita untuk patuh dan tunduk kepada-Nya, dan tinggalkan sesuatu yang menghalang kita dari melaksanakan kepatuhan kepada-Nya, samaada kita tinggalkannya atau kita arahkannya untuk mentaati-Nya.

Hawa nafsu menyuruh kita membuat maksiat maka kita tahan ia dan jangan ikut arahannya, dan lemahkan nafsu dengan berpuasa, berzikir, solat tahajud dan membaca al-Qur'an. Nafsu tidak boleh dimatikan terus, tetapi perlu dikontrol supaya ia ikut arahan iman kepada Allah s.w.t.

Harta yang kita sayangi perlu dikeluarkan zakat dan keluarkan untuk sedekah membantu fakir miskin dan untuk berjihad di jalan Allah.

Pangkat, jika pangkat menghalang kita untuk berjihad dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada Allah maka tinggalkanlah pangkat itu dan carilah kerjaya lain yang dapat menyelamatkan kita dari azab Allah.

Begitu juga perkara-perkara lain sekiranya ia menjadi penghalang atau menganggu kepatuhan kepada arahan Allah s.w.t. maka korbankanlah ia, jika tidak kita akan jadi korban dan akan menderita di dunia dan di akhirat kerana dimurkai Allah s.w.t.

Sahabatku,
Sebebarnya apa sahaja ujian yang datang dari Allah s.w.t. adalah untuk Allah meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya. Allah s.w.t. hendak lihat sejauhmana keikhlasan, kejujuran, kepercayaan, ketaatan, keredhaan, ketenangan, penyerahan yang sebenarnya dan perlaksanaan kita terhadap ajaran-Nya.

Oleh itu marilah kita meraikan Hari Raya Aidil Adha ini dengan menyuburkan kembali peristiwa korban ini dalam sanubari kita. Kegembiraan kita buka kegembiraan yang sembarangan dan tanpa sandaran, tetapi kegembiraan kita adalah kerana membesarkan kejayaan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. di dalam membuktikan ketaatan mereka terhadap perintah-Nya.

Thursday, November 26, 2009

Pedoman Lelaki Muslim Mencari Wanita Solehah

Sahabat yang dimuliakan Allah,
Setiap makhluk diciptakan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga Allah s.w.t. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.Oleh itu Islam menggalakkan umatnya mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi s.a.w merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke Syurga. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi s.a.w dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak.

Persoalannya adalah bagaimana seorang Muslim dapat mengenalpasti ciri Muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.

Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara pendekatan yang dapat dilaksanakan :

1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku Muslimah dalam kehidupan harian.
Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu :
a. Ibadah yang khusyu'
b. Berpakaian menutup aurat yang sempurna.(menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan).
c. Cara percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).
d. Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya).
e. Bergaul dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah.

Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan kepada siapa yang mengenalinya.Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh Muslimah itu, bahawa ia sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya jadi tak natural(bersahaja).

2. Melihat keadaan rumah tangga keluarga wanita,
Hal ini adalah dibolehkan, semasa bertunang. Ia dapat dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama.

3. Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam.

Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak.

Sekiranya ibu bapa kita tergolong dalam golongan yang tidak menjadikan nilai agama sebagai tunggak dalam perjodohan anaknya maka adalah wajar mendapatkan bantuan mereka yang membimbing dalam pendidikan Islamnya sebagai orang tengah. Melalui kaedah ini adalah lebih baik dan terpelihara dari unsur kerosakan akhlak seperti percintaan sebelum pernikahan yang mendekati zina (bertemu janji berdua-duaan sebelum pernikahan).

Menurut al-Qur'an, wanita ideal mempunyai kriteria adalah seperti berikut :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "... Wanita yang baik (solehah)adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka." (Surah An-Nisa' ayat 34)

Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah s.w.t. tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata 'kita kawin dulu, nanti kita tarbiyyah kemudian'.Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidak ada masa untuk mendidik isteri,dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga Muslim kecundang ditengah jalan.Oleh itu pemilihan berdasarkan agama (wanita solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau kerjayanya.

Setiap wanita pula perlulah mempersiapkan diri mereka untuk menjadi wanita solehah samaada yang belum berkahwin atau yang telah bersuami. Kerana sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Di akhirat nanti wanita yang solehah di dunia ini apabila ia dimasukkan ke dalam Syurga, kedudukannya lebih cantik dan mulia daripada bidadari Syurga. Seandainya kedua-duanya suami dan isteri yang soleh dan solehah, andainya mereka dapat memasuki Syurga mereka akan di nikahkan semula oleh Allah s.w.t. di Syurga dan ini adalah kenikmatan yang tidak ada tolok bandingnya.

Wednesday, November 25, 2009

Mahu Menjadi Manusia Mulia dan Unggul

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang hidup di dunia ini mempunyai cita-cita untuk berjaya, samaada kejayaan di dunia lebih-lebih lagi kejayaan di hari akhirat. Siapa yang tidak mahu menjadi manusia mulia, baik dan unggul, yang berjasa dan di kasihi masyarakat kerana jasa dan keperhatinannya untuk membela nasib mereka. Malahan di sisi Allah pula diharapkan mendapat keredhaan-Nya kerana sentiasa beramal soleh dan melaksanakan tangguhjawab dengan ikhlas.


Adanya azam dan cita-cita itu insya Allah akan menjadikan kita lebih bermatlamat untuk hidup, lebih fokus dan bersemangat untuk melakukan yang terbaik. Manusia yang mulia adalah manusia yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang berdasarkan kehendak al-Qur'an dan Sunnah dalam semua aspek kehidupan. Tidak cukup dengan sekadar buat baik tetapi manusia yang mulia mestilah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu iman yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khusus dan fardu kifayah dan akhlak mulai yang merupakan cermin keimanan dan amal soleh.

Sahabat yang dimuliakan,
Keimanan kepada Allah adalah tunjang pembinaan negara dan ummah. Dengan ini akan lahirlah individu yang mulia seterusnya membentuk masyarakat berbudi luhur, berdisplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat.Manusia yang beruntung adalah mereka yang beriman dan amal soleh.

Beriman kepada Allah adalah proses peralhan jiwa manusia daripada kegelapan kepada cahaya iaitu dengan mengaku tanpa syarat 'Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah'

Iman merangkumi tiga unsur utama iaitu pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiganya unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan rohani yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga akan menghalang manusia daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

Sekadar mengaku beriman tanpa disusuli dengan ibadat adalah sia-sia. Orang yang mulia dan berkeperibadian unggul akan terserlah keimanannya melalui amal perbuatan dalam hidup seharian. Ibadat jadi bukti tunduknya hamba setelah mengaku beriman kepada Allah. Ibadat ini merangkumiibadat khusus yang menyentuh fardu ain dan fardu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia.

Manusia mulia dan unggul, seluruh hidupnya, baik hubungan dengan Allah atau manusia lain adalah ibadat. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayar 1-6 yang bermaksud, "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela."

Setelah memiliki iman yang sempurna dan melaksanakan ibadat yang ikhlas kepada Allah asas lain yang perlu ada adalah memiliki akhlak yang mulia. Akhlak mulai akan terserlah hasil keimanan yang kental. Tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai dan displin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif, maka lahirlah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah s.a.w. contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadis baginda bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
(Riwayat Ahmad)

Sahabat,
Berikut beberapa nilai baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu mulai dan unggul :
1. Amanah : Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertakwalah kepada Allah, Tuhannya."
(Surah al-Baqarah ayat 283)

2. Ikhlas : Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya."
(Surah al-Bayyinah ayat 5)

3. Tekun : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah amat menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun."
 (Riwayat Abu Daud).

4. Berdisplin : Amalan berdisplin dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

5. Bersyukur : Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras."
 (Surah Ibrahim ayat 7)

6. Sabar : Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu..."
 (Surah Ali-Imran ayat 200).

7. Adil : Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan dikhalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, dan berjimat cermat ketika susah dan senang dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri."
(Riwayat Abu Syeikh).

Akhirkata, untuk menjadi manusia yang mulia dan unggul bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi apabila ciri-ciri diatas di fahami dan dilaksanakan insya Allah, Allah s.w.t. akan kurniakan kemuliaan kepada kita samaada di dunia dan di hari akhirat.

Tuesday, November 24, 2009

Mintalah Kepada Allah



Abu Al-Ghifari berkata, Nabi Muhammad s.a.w pernah memberitahu mengenai apa yang disampaikan daripada Tuhannya, sesungguhnya Dia berkata, "Wahai hamba-hamba-Ku,sesungguhya akan Aku mengharamkan diriku daripada berlaku zalim dan aku haramkan kamu melakukan kezaliman. Oleh itu janganlah kamu saling zalim menzalimi antara satu sama lain.

Wahai hamba-hamba-Ku,kamu cenderung melakukan kesesatan, kecuali orang yang Aku berikan petunjuk. Mintalah petunjuk daripada-Ku supaya aku tunjukkan jalan yang benar.

Wahai hamba-hamba-Ku,kamu adalah orang yang lapar, kecuali orang yang Aku beri makan. Mintalah makanan daripada-Ku supaya aku beri kamu makanan.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu adalah orang yang tidak berpakaian, kecuali orang yang Aku beri pakaian. Mintalah pakaian daripada -Ku supaya aku berikan pakaian.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu melakukan kesilapan siang dan malam, sedangkan Aku mengampuni dosa-dosamu.Mintalah ampun daripada-Ku supaya Aku ampunkan dosa-dosa kamu.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat datangkan kemudaratan kepada-Ku maupaun kebaikan kepada-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku, sekalipun dari orang yang paling awal sehingga orang yang paling akhir, baik manusia maupun jin, semuanya bertakwa sebagaimana ketakwaan orang yang paling bertakwa dikalangan kamu, hal ini tidak menambah walau sedikit pun kekuasaan-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku, sekali pun dari orang yang paling awal sehingga orang paling akhir, baik manusia maupun jin, semuanya berdiri di satu tanah lapang lalu semuanya memohon kepada-Ku dan Aku pun menunaikan semua permintaan itu, hal itu tidak mengurangi sedikit pun apa yang ada di sisi-Ku sebagaimana tidak berkurangan air laut yang melekat pada jarum yang dimasukkan ke dalamnya.

Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya amal-amal kamu, Aku lah yang menghitung untuk kamu dan Aku akan sempurnakannya untuk kamu.'

Oleh sebab itu, bagi sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah dia memuji Allah. Sebaliknya sesiapa yang mendapat selain daripada itu, jangan dia menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri."

(Hadis Riwayat Nawawi)

Monday, November 23, 2009

Bangunlah Dari Tidurmu!

Sahabatku,
Bangunlah dari tidurmu!
Lipatlah kain selimutmu!
Fajar telah menyingsing tiba,
sahutlah seruan mu'azin dari ufuk bukit sana!


Bangkitlah menyahut seruan Ilahi, tunaikan subuhmu bersama jemaah,
kerana lepas ini kau ada tugas yang sedia menanti...untuk gerakkan umat ini yang masih lena dibuai mimpi-mimpi indah.
sedang leka dan khayal, semalaman tidak tidur kerana berseronok dan berpesta membuat dosa.
Belianya keletihan semalaman 'berjihad' memecut motor macam peleset!Menyambung nyawa mengejar fartamogana.


Beliawanisnya berpeleseran mencari 'cinta agong' walaupun sang suria sudah tidak kelihatan lagi.
Warga emas pula hanya berborak dikedai-kedai kopi, menghabiskan sisa-sisa umur, dan hanya serah pada takdir, tidak mahu membantu sebagai penasihat.
Di sana sini, kerosakan akhlak, keruntuhan nilail dan kehilangan nilai-nilai kemanusiaan telah bermaharajalela menguasai masyarakatmu.

Ayuh! Persiapkan dirimu dengan bekalan fizikal, mental, emosi dan spritual yang kental agar kau.tidak keletihan diperjalanan yang jauh, menyahut panggilan suci ini.
Panggilan suci ini untuk mengajak yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar.
Tugas murni ini warisan para ambia, aulia, syuhada dan solihin.

Ingatlah! Umat ini sudah lama disuap 'madu yang bercampur racun' oleh penjajah!
Ratusan tahun lamanya, mereka menjadi 'tuan' ditanah air datok dan moyang kita dilahirkan, mereka sudah lama pergi tetapi mereka tinggalkan 'wasiat' dan 'pewaris' yang buta, tuli, yang jahil tak dapat bezakan antara permata dan kaca. Mengikut saja tanpa usul pereksa.

Nilai-nilai Tauhid tidak ada dalam kamus hidup mereka, perjuangan mereka hanya mengutamakan suku kaum dan asabiyah, sedangkan Islam datang membawa rahmat untuk sekelian alam. 

Nilai-nilai iman telah menjadi dagang ditanah air sendiri, sedangkan nilai manusia di agongkan dan bermati-matian dipertahankan.

Sedangkan Nabi  berwasiat dan tinggalkan dua pusaka, sesiapa yang berpegang teguh mereka tidak akan sesat selamanya, iaitu al-Qur'an dan Sunnah Nabi-Nya.

Oleh itu, bangunlah, gerakkanlah umat ini, tanpa dikira masa dan harta yang dicurahkan, sesungguhnya sesaat masa yang terluang dan seringgit yang diberikan akan dinilai sebagai amal soleh. 'Saham' kamu disana bukan di sini. Di sanlah tempat yang kekal abadi untuk dinikmati hasilnya.

Hati Yang Sejahtera.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Dalam kehidupan di dunia ini, Allah s.w.t. yang bersifat Maha Bijaksana telah mensyaratkan supaya manusia berusaha untuk memiliki hati yang sejahtera., untuk layak diterima sebagai hamba-Nya di akhirat kelak.

Para hukama ada menyebut. "Hendaklah anda membenarkan ucapan dengan amalan. Membenarkan amalan dengan niat yang ikhlas. Membenarkan niat dan ikhlas dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal dan punca segala perkara."

Berusahalah kalian untuk mendidik hati supaya sentiasa memiliki hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik kepada Allah s.w.t. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dan hati yang sentiasa bersikap positif terhadap semua perkara dan hati yang ghairah dengan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan, dan membenci kejahatan walaupun sekecil mana sekalipun.

Sahabat yang dimuliakan,
Jauhkanlah diri kalian daripada perkara dosa dan maksiat kerana sesungguhnya perkara yang mungkar ini boleh melemahkan dan mematikan hati. Satu dosa yang dilakukan maka akan jadilah satu titik hitam, dan kalau terlalu banyak titik-titik hitam maka akan jadilah keseluruhan hati itu hitam legam maka ketika ini hati akan menjadi sakit dan sukar untuk menerima kebenaran.

Oleh itu, apabila berlaku sahaja titik-titik hitam ini maka cepat-cepatlah sucikan balik hati itu dengan istighfar dan memohon  ampun kepada Allah s.w.t. Hati yang bersih ini akan kenal mana yang baik dan mana yang tidak baik, hati yang begini mampu membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan dan mampu pula mengerakkan dirinya untuk mengambil tindakan dengan keputusan yang baik.

Sahabatku,
Jika hati kalian telah menjadi hati yang sejahtera maka kalian akan merasai dekat dengan Allah dan menjadikan  kehidupanmu berpaksikan keredhaan Allah, bebas dari pengaruh nafsu amarah, syahwat dan syaitan.

Kalian akan dipandu oleh nilai-nilai murni, dan dapat memandu kepada kebaikan orang lain. Hati yang sejahtera juga  sentiasa akan melahirkan sifat tawaduk dan merendahkan diri dan tidak berskap sombong dan bangga diri.

Di dalam proses tarbiyyah Imaniah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w, baginda menekankan aspek pembersihan hati dan jiwa daripada syirik dan karat-karat jahiliah. Tidak mungkin manusia mampu melaksanakan amanah dan tugasnya kalau hatinya masih kotor dengan hawa nafsu dan  kotoran jahiliah.

Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha untuk memperbaiki akhlak dan keperibadiaan kita, tingkatkan hubungan hati dengan Allah s.w.t. dan berusaha untuk menjadikan hati kita sentiasa percaya dan yakin dengan perkara-perkara ghaib dan berupaya menjadikan diri ini lebih berharga, menjadikan ia lebih banyak menyumbang kepada kebaikan yang banyak di duni ini. Lebih banyak seseorang memberi sumbangan kebaikan kepada manusia lain, lebih berjayalah hidupnya di dunia dan di hari akhirat.

Nabi s.a.w ada barsabda yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia, manusia yang paling banyak dapat memberi manfaat kepada orang lain."

Sunday, November 22, 2009

Lupa Mati Lebih Bahaya daripada Mati

Hidup Bertambah Amal :
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Jangan sekali-kali ada  seorang diantara kamu yang bercita-cita untuk mati,disebabkan oleh sesuatu bencana yang menimpanya. Kalau pun terpaksa menginginkan kematian, maka ucapkanlah : 'Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup akan lebih baik bagiku. Dan matikanlah aku, jika mati akan lebih baik bagiku'."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sekali-kali jangan ada seorang pun daripada kamu yang menginginkan mati, dan jangan berdo'a memintanya sebelum ia datang kepadanya. Kerana sesungguhnya, jika seorang dari kamu sekelian mati, bererti terputuslah amalnya. Pada hal seorang Mukmin akan menambah kebaikan baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sekali-kali jangan ada seorang pun dari kamu sekalian yang menginginkan mati. Jika dia orang baik, barangkali dia akan bertambah kebaikannya. Dan jika dia orang jahat, barangkali dia akan memohon keredhaan Allah (taubat)."
 (Hadis Riwayat Bukhari).

Riwayat al-Bazzar, dari Jabir bin Abdullah, dia berkata : "Bersabda Rasulullah s.a.w., 'Janganlah kamu sekelian menginginkan mati, kerana kedahsyatan di awal kematian amatlah berat. Dan sungguh bahagia, jika seorang hamba diberi panjang umur, lalu Allah mengurniakan taubat kepadanya."
(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Ahmad dan Id bin Hamid)

Bahaya Lupa Mati :
Menurut ulama, kematian bukan sekadar ketiadaan atau kebinasaan, tetapi sebenarnya mati adalah terputusnya hubungan roh dengan tubuh, terhalangnya hubungan antara keduanya, dan bergantinya keadaan dari satu alam ke alam yang lainnya. Mati termasuk musibah yang besar, dan Allah s.w.t. menyebutnya dengan nama musibah.
 Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Lalu kamu ditimpa musibah kematian."
(Surah al-Maaidah ayat 106)

Mati memang musibah yang besar. Namun demikian, para ulama mengatakan bahawa ada musibah yang lebih besar daripada mati. Apakah ia? Yakni 'lalai terhadap mati' atau tidak ambil peduli, atau jarang memikirkannya, serta tidak beramal baik sebagai persiapan untuk menghadapi kedatangannya. Walhal, mati itu sendiri merupakan pengajaran bagi orang yang mengambil iktibar, sekaligus pemikiran bagi orang yang mahu berfikir.

Salm bin Basyir melaporkan bahawa Abu Hurairah menangis dalam sakitnya, lalu ada orang bertanya kepadanya apakah yang menyebabkannya menangis. Dia menjawab, "Aku tidak menangis kerana dunia ini, tetapi kerana jauhnya perjalananku dan sedikitnya bekalanku. Aku berjalan mendaki, tempat mendapat adalah Syurga dan Neraka, aku tidak tahu di antara keduanya di mana aku di masukkan."
(Ibnu Mubarak, Az-Zuhd, 38, Siyar, 2/578).

Siapa yang Gembira Bertemu Allah, Dia juga Gembira Bertemu dengannya :
Ubaidah bin Somid menceritakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, " Siapa yang gembira bertemu Allah, Dia juga gembira bertemu dengan-Nya."
Kemudian Aisyah r.ha., salah seorang daripada isteri baginda berkata, "Kami benci kematian."
Nabi berkata, " Bukan itu maksudnya, tetapi Mukmin jika kematian mendatanginya maka diberinya berita gembira berupa redha Allah dan kemuliaan-Nya, sehingga dia menggemari semua benda yang ada di hadapannya. Maka dia gembira bertemu Allah, dan Allah juga gembira bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir jika kematian mendatanginya, dia diberikan berita tentang azab seksa Allah. Sehingga dia membenci semua benda yang berada dihadapannya, maka dia benci bertemu dengan Allah dan Allah juga benci bertemu dengannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Para Syuhada Tidak Mati?
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang gugur di jalan Allah, (bahawa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."
(Surah al-Baqarah ayat 154)

Mati Kafir di laknat dan kekal dalan Neraka :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Sesungguhnya orang kafir dan mereka yang mati dalam keadaan kafir, mereka itu mendapat laknat Allah, dan juga dilaknat oleh para malaikat dan manusia seluruhnya. Mereka kekal di dalam laknat itu; tidak akan diringankan seksa dari mereka dan tidak (pula) mereka diberi tangguh."
(Surah al-Baqarah ayat 161-162)

(Di petik dari Majalah Solusi 05/2009, tulisan Jaafar Salleh)