Saturday, January 29, 2011

Siapakah Qarin (Jin Kafir) Yang Sebenarnya?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi.
Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ( Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong'. (Allah berfirman) : 'Janganlah kamu bertengkar dihadapan-Ku, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.'. Keputusan-Ku tidak dapat diubah dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku." 
(Surah Qaf ayat 27-29)

Menurut Ibn Kathir rh, ayat "(qarin) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada 'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya".

Disifatkan bahawa qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri. Seterusnya Ibn Kathir rh. memetik firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan manusia :-

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ibrahim ayat 22)

Ibn Kathir rh menerangkan bahawa apabila dihadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T.  mengatakan bahawa semuanya sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh masing2 dan bukan dosa orang lain. [Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah al-Tafsir 'an al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar el-Wafa' 2003. syiekh Ahmad Muhammad Syakir]

Satu persoalan yang timbul, adakah qarin Nabi S.A.W.  juga seperti qarin manusia yang lain? Tentu sekali tidak. Nabi S.A.W telah megislamkan qarinnya.
Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjeru­muskan manusia dan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.

Dalam surah al-An'am: 112 Allah S.W.T berfirman maksudnya: "Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu."

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud:
"Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."

Tersebut dalam Al-Quran tentang tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya men­catat amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan dan ada yang membawa wahyu kepada rasul-­rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta‑duta. Ada pula yang bertugas memelihara, Al -Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga ner­aka. Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muji Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi keampunan.

Tersebut juga dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang kelihatan oleh Rasulullah S.A.W., ketika beliau mula-mula menerima wahyu.

Tersebut juga dalam Al-Quran bahawa malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril . Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati)) akan didatangi oleh malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka. Dalam Peperangan Badar malaikat telah datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya.

Dijelaskan juga dalam hadis  bahawa malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik seman­gat dan iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukan­lah badan kasar, melainkan roh manusia jua.

Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau was-was, melainkan pen­garuh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan. 

Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Termizi, an-Nisai demikian maksudnya : "Sesungguhnya dari syaitan ada semacam gang­guan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran dan sen­tuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka sesiapa merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu daripada Allah dan terima kasihlah ia kepada-Nya."

Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hen­daklah berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Kemudian ia membaca syaitan menyu­ruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kekejian.

Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin. Maksud qarin di sini ialah syaitan yang senti­asa berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, man­akala qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penung­gangnya. Demikianlah perbandingan yang diberi oleh Rasulullah S.A.W.

Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penung­gang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.

Maksud sebenar hadis ini ialah iblis dan syaitan itu sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. banyak di antara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah S.W.T. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.

Sahabat yang dimuliakan,
Iblis menggoda dan menipu manusia. Gambaran godaan iblis dan syaitan terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam, iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi. Ketika manusia hendak berhijrah, iblis dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanah air yang telah mereka diami sejak dahulu kala. Adakah mereka akan meninggalkan langit atau tempat mereka berlindung. Pada hal tempat yang hendak dituju belum pasti dapat menjamin kebahagiaan mereka.

Begitu juga halnya ketika manusia hendak berji­had ke jalan Allah. Iblis dan syaitan menakut­ nakutkan manusia supaya mereka sayangkan dunia yang begitu indah termasuk harta benda yang mere­ka miliki. Kemudian dibisikkan dalam hati mereka adakah mereka sanggup melihat isteri-isteri dikah­wini oleh orang lain apabila mereka mati ketika berjihad. Harta yang ditinggalkan akan dibahagi­ bahagi untuk orang yang masih hidup. Orang lain bersuka-ria menikmati harta peninggalan. Isteri yang ada berkahwin lain. Perjuanan seumpama ini adalah merugikan.

Sesungguhnya syaitan itu duduk mengganggu manusia dengan berbagai-bagai cara. la duduk melakukan gangguan kepada manusia dengan alasan Islam. Lalu ia berkata: "Apakah kamu masuk Islam dan meninggalkan agama kamu dan agama nenek-moyang kamu? Tetapi manusia itu menen­tangnya dan masuk Islam. Lalu syaitan itu duduk mengganggu manusia dengan jalan hijrah." Syaitan berkata: "Apakah kamu hendak hijrah, meninggalkan bumi dan langitmu? Tetapi manusia itu menentang dan hijrah. Kemudian syaitan itu duduk dan menganggu manusia dengan jalan jihad dan berkata: Apakah kamu akan berjihad sedangkan jihad itu menghilangkan nyawa dan harta. Kamu akan terbunuh. Maka isteri kamu akan dikahwini oleh orang lain, manakala harta-harta kamu akan dibahagi-bahagikan. Tetapi manusia tetap menentang syaitan dan terus berjihad.

Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi antara manusia dan qarinnya atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan diarahkan menurut kehendaknya. Mereka inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan. Inilah jawapan Allah S.W.T ketika iblis bersumpah akan membinasakan manusia seperti yang tersebut dalam surah al Hijr: 42 yang bermak­sud : "Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka kecuali orang yang mengikut kamu iaitu orang-orang yang sesat."

Selain gangguan qarin, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah S.A.W ada bersabda, yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa a.s. dan ibun­ya Maryam berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 36 yang bermaksud : "Sesungguhnya aku melindungi akan dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam."

Lantaran gangguan-gangguan yang sedia menung­gu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaik-baik seorang bayi itu dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gang­guan iblis dan syaitan."

Daripada Abu Rafi r.a  (bekas hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah S.A.W) ia berkata Yang maksudnya : "Aku lihat Rasulullah S.A.W membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah R.A melahirkannya."

Sahabat,
Marilah kita berhati-hati dalam kehidupan kita setiap hari kerana musuh sebenar kita berada di dalam diri kita sendiri, yang sentiasa menjalankan godaan dan hasutan siang dan malam tanpa berhenti-henti. Hikmah Allah S.W.T . menghantar satu qarin mengiringi kelahir seorang bayi adalah untuk menguji manusia supaya tetap istiqamah dengan jalan iman dan Islam dan tidak mudah terpedaya dengan hasutan qarin, iblis atau syaitan.


Friday, January 28, 2011

Seorang Saudagar dan 4 Isterinya.

Al-kisah, tersebutlah sebuah cerita ada seorang saudagar pintar yang amat kaya raya. Dia mempunyai 4 orang isteri semasa hidupnya. Ikutilah ceritanya... untuk di jadikan pedoman...


Dia sangat sayangkan isteri keempatnya, dengan menghiaskannya dengan pakaian yang serba mahal lagi ekslusif, serta menjamu seleranya dengan berbagai jenis makanan yang serba lazat. Dia sangat menjaga terhadap isteri keempatnya ini dengan memberinya segala apa yang terbaik.

Dia juga amat menyayangi isterinya yang ketiga. Dia bermegah dengannya dan senantiasa dengan bangga menunjukkannya kepada kawan-kawannya di mana dia pergi. Walau bagaimana pun, dia amat takut yang isteri ketiganya ini, sebagai buah hatinya, akan lari mengikuti lelaki lain.

Saudagar ini juga memilikki isteri kedua yang juga amat di sayanginya. Isterinya yang ini seorang yang amat perhatian, sentiasa bersabar, bahkan dia juga bertindak sebagai penasihat peribadi saudagar kaya tersebut. Apabila saudagar itu menghadapi masalah dia akan merujuk kepada isteri keduanya ini, dan isterinya pula akan sentiasa membantu saudagar itu dalam keadaan-keadaan yang menekan jiwanya.

Isteri pertama saudagar ini pula merupakan seorang isteri yang amat setia kepadanya, dan telah banyak memberi bantuan kepada saudagar ini dalam menjaga harta kekayaan serta perniagaannya. Disamping itu, isteri pertamanya ini juga mengendalikan segala urusan rumahtangga saudagar ini. Namun demikian, saudagar itu tidak menyayangi isteri pertamanya, walau pun isterinya amat mengasihinya , bahkan dia tidak peduli terhadap kebaikan isteri pertamanya ini.

Pada suatu hari, saudagar tadi jatuh sakit karena kecapean. Setelah beberapa hari dia merasakan dia akan menemui ajalnya dalam waktu dekat. Dia pun mula memikirkan tentang segala kemewahan hidupnya selama ini dan mula berfikir, "Sekarang aku ada 4 isteri, tapi bila aku mati nanti aku akan berada keseorangan. Alangkah sunyinya aku kelak!"

Dia pun bertanya isteri keempatnya,

"Aku sayangkan engkau melebihi daripada yang lain. Aku beri engkau pakaian yang istimewa paling berharga, serta ku berikan engkau berbagai kemewahan lain. Kini aku sedang sakit dan akan menemui ajalku tak lama lagi, adakah engkau akan ikut aku untuk menemani aku?"

"Tidak mungkin", jawab isteri keempatnya itu, kemudian terus beredar meninggalkannya tanpa berkata-kata lagi. Jawapan yang di terimanya itu sungguh menyayat hatinya, bagaikan pisau telah menghiris jantung hatinya.Dengan amat dukacitanya, saudagar itu kemudian bertanya pula isteri ketiganya,"Aku telah mencurahkan kasih sayangku kepada engkaukau sepanjang hayatku. Dan sekarang aku sedang sakit menunggu maut, adakah engkau akan ikut bersamaku untuk menemaniku?""Tidak!" jawab isteri ketiganya dengan tegas. "Hidup ini lebih baik di sini! Aku akan kawin lagi setelah engkau mati." Hancur lebur perasaan saudagar itu bila mendengar jawapan tersebut.

Saudagar itu berpaling pula kepada isteri keduanya seraya berkata,"Aku selalu mengadu masalah kepada engkau untuk memberi bantuan kepadaku, dan engkau sentiasa telah menolong aku dalam kesusahan. Kini aku perlukan bantuanmu lagi. Apabila aku mati nanti, adakah engkau akan mengikutiku untuk menemani aku?""Mohon maaf temanku, aku tak dapat menolongmu lagi kali ini., jawab isteri keduanya. "Paling jauh aku boleh temani mu sampai menghantarmu ke kubur saja". Jawapan ini datang seperti halilintar yang membelah dan saudagar ini merasa sungguh kecewa.

Kemudian, dengan tiba-tiba satu suara memanggilnya dengan berkata,"Aku akan tinggal bersamamu. Aku akan ikut engkau kemana engkau akan pergi untuk menemanimu."Saudagar itu pun melihat keatas, dan dilihatnya isteri pertamanya berada di situ. Dia kelihatan amatlah kurus kering, seolah-olah telah lama kelaparan. Dengan perasaan yang amat sedih dan kesal sekali, saudagar itu pun berkata, "Kasihan aku melihat engkau. Aku sepatutnya aku memperhatikan jamu semasa aku masih kuat dulu!"

Kesimpulannya:

Sebenarnya kita semua mempunyai 4 isteri di sepanjang hayat kita;

Isteri keempat kita ialah tubuh badan kita, betapa banyak waktu kita curahkan untuknya untuk menjaganya serta menghiaskannya sehingga menawan pandangan orang lain, ia tidak akan berkekalan dengan kita.

Isteri ketiga kita? Ya, ia merupakan segala-gala yang kita miliki di dunia - harta benda, status, pangkat dan kekayaan. Bila kita mati, semuanya itu akan menjadi milik orang lain, bukan?

Isteri kedua kita adalah keluarga dan sahabat kita. Bagaimana dekat sekali pun antara kita dengan mereka apabila kita masih hidup, paling jauh mereka akan dapat menemani kita ialah sampai di tanah perkuburan saja.

Akan tetapi isteri pertama kita pula merupakan jiwa atau Roh kita, lazimnya tidak di hiraukan, (diberi makan dengan berbagai amalan kebajikan dan ibadat - solat, puasa, zakat, naik haji, sadaqah, dll.) dalamkesibukan harian kita untuk mencari nafkah, harta benda dan kekayaan, kesenangan serta status atau pangkat/darjat dalam hidup. Dialah hanya satu-satunya yang akan menemani kita sehingga kedalam kubur.

(Di petik daripada tulisan Mohamad Zuhairi Abd Hadi)


Kebaikan dan Fadilat Surah-surah Dalam Al-Quran

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat banyak kebaikan dan fadilat surah-surah dalam al-Quran untuk menjadi peduman kita.

1. SURAH AL-FATIHAH

Daripada Abdul Malik bin ‘Umair rah. meriwayatkan secara mursal bahawa Rasulallah S.A.W. bersabda MAKSUDNYA : “Dalam surah al-Fatihah terdapat penawar untuk segala penyakit.” (Hadis riwayat Darimi dan Baihaqi)

Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

Didalam kitab Sahih Muslim terdapat satu Hadis yang diriwayatkan oleh dari Hazrat Abdullah bin Abas (r.a) bahawa pada suatu ketika Rasulallah S.A.W.  sedang duduk bersama kami. Baginda  bersabda maksudnya : “Dilangit telah dibuka satu pintu yang belum pernah dibuka  sebelum ini, dan dari pintu tersebut turun satu malaikat yang pernah diturunkan sebelum ini. Malaikat itu berkata kepada ku, “Terimalah satu berita gembira dengan dua nur yang belum pernah diberikan kepada  sesiapa pun sebelum ini, pertama adalah surah al-Fatihah dan kedua adalah tiga ayat trakhir dari surah al-Baqarah.”

2. SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : " Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Quran ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Quran. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Quran seluruhnya.. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)

Rasulullah S.A.W. juga bersabda maksudnya : "Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).

Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AT-DHUHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI'AH

Menurut beberapa hadis Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya Allah tidak akan merasai kepapaan".

Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah : "Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya".

5. SURAH AL-KHAUTHAR

Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah S.W.T. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya Allah dia dapat melihat Rasulullah S.A.W.  dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KHAAFIRUUN

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan .
(Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK

Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah S.A.W.  mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya Allah, akan terselamat dari azab kubur..

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah S.A.W.  menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”(Hadis Riwayat Tarmizi)

Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk. (Hadis Riwayat Tarmizi)

8. SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah S.A.W.  pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara maksudnya : "Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Quran." Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu." Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah S.A.W.  sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Quran keseluruhannya. "

Dari Rasulullah S.A.W.  pernah bersabda kepada Saiyidina Ali k.w, "Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : "Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas.. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat.."

9. SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan : "Bahawa Rasulullah S.A.W. pada setiap malam apabila hendak tidur, baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala".

Barangsiapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

10. SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.

 

Hati Orang Mukmin Adalah Hati Yang Bersih , Tegas dan Lemah Lembut.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berkata Wahab bin Munabbih, bahwasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya : 'Sesungguhnya semua petala langit-Ku dan bumi-Ku menjadi sempit untuk merangkul-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalb (hati) hamba-Ku yang mukmin'.” 
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sebaik-baik hati adalah hati orang mukmin iaitu hati yang bersih, tegas dan lemah lembut . Sesungguhnya dengan ketiga-tiga sifat ini jadilah ia seorang mukmin yang dikasihi oleh Allah S.W.T.

Saiyidina Ali k.w. berkata : "Adapun Allah S.W.T.  di muka bumi ini mempunyai bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lemah lembut. Kemudian beliau menjelaskan pula; maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lemah lembut dalam pergaulan dangan kaum muslimin."

Pertama : Hati yang bersih dalam keyakinan.

Yang dimaksudnya dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah S.W.T.  sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh Al-Quran. Firman Allah S.W.T. maksudnya ; "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata : 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.' Allah berfirman, 'Belum percayakah engkau?' Dia (Ibrahim) menjawab, 'Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap)" 
(Surah al-Baqarah ayat 260)

Kini nyatalah, bahawasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.
Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Keyakinan itu adalah keseluruhan iman."

Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi harta benda manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah S.W.T., kerana tiada sesuatu kurnia yang lebih utama sesudah keyakinan daripada keselamatan."

Ingatlah! Sebaik-baik hati yang dikasihi oleh Allah Ta'ala, ialah hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Hati seorang mukmin adalah hati yang tidak ada selaput dengan syak wasangka, hatinya bersih, sihat dan terang benderang umpama lampu yang menerangi sekelilingnya. Sesungguhnya hati seorang musrik adalah hati yang hitam, kotor dan busuk walaupun pada lahiriahnya nampak baik. Lebih teruk lagi hati seorang munafik, hatinya terbelenggu di atas kulitnya. Hati yang penuh dendam kesumat kepada orang-orang beriman, hatinya berpenyakit dan Allah S.W.T tambah lagi penyakitnya. Hatinya juga umpama setumpuk kudis yang diselaputi nanah dan darah busuk.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Bahawasanya iman itu mula muncul di hati sebagai sinaran putih, lalu ia membesar sehingga seluruh hati itu menjadi putih. Sedang nifaq pula, mula muncul di hati seperti setitik-titik hitam, lalu merebak sehingga seluruh hati itu menjadi hitam."

Mudah-mudahan Allah S.W.T.  pelihara kita sekalian daripada bahaya nifaq, serta diakhiri hayat kita menjadi seorang mukmin yang dikasihi Allah S.W.T.

Sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan sentiasa mengerjakan dan membanyakkan amalan-amalan yang soleh dengan sepenuh ikhlas kepada-Nya. Manakala nifaq pula akan bertambah dengan bertambahnya amalan-amalan yang jahat, seperti meninggalakan perkara-perkara yang wajib dan melakukan perkara-perkara yang ditegahkan oleh agama.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam."

Hadis ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : "Bahkan telah termetrai dimuka hati mereka apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Mutahffifun ayat 14)

Memanglah, tiada sesuatu yang bencana dan mudaratnya lebih berat ke atas manusia di dunia dan akhirat daripada dosa. Sebab seseorang manusia tidak akan disentuh kecelakaan atau ditimpa kesusahan, melainkan tersebab oleh dosanya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiada akan menimpa kamu sesuatu kecelakaan melainkan disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri." (Surah as-Syura ayat 30)

Oleh itu, maka hendaklah setiap mukmin itu berjaga-jaga supaya tiada melakukan dosa, malah sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Andainya telah terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka hendaklah menyegerakan taubat kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa menerima taubat hamba-hambanya serta mangampunkan segala dosa mereka, sedang Dia Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Barangsiapa yang tiada bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang teraniaya." (Surah al-Hujarat ayat 11)

Maksud mereka telah menganiaya diri sendiri adalah dengan mendedahkannya kepada kemurkaan Allah S.W.T., disebabkan mereka telah terjebak ke dalam maksiat, malah terus melakukan maksiat itu tanpa bertaubat. Padahal Allah S.W.T. telah menganjurkan kepada kita untuk bertaubat serta berjanji akan menerima taubat mereka.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kitab ini (al-Quran) diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui, yang mengampuni dosa dan menerima taubat, sangat keras hukuman-Nya, yang memiliki karunia. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nyalah (semua makhluk)  kembali." (Surah Al-Mu'min ayat 2- 3)

Cubalah renungkan ayat ini dan perhatikan maksud yang terkandung di dalamnya dari pengertian yang mulia dan rahsia yang amat berkesan, yang boleh membangkitkan perasaan takut dan harapan serta gemar dan gerun dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiadalah yang mengambil peringatan, melainkan orang yang kembali (ke pangkal jalan). Maka serulah Tuhan dengam penuh tulus-ikhlas, beragama kepadaNya." (Surah al-Mu'min ayat 13-14)
 
Kedua : Tegas dalam agama.

Kita perlu tegas dalam agama, ialah berpegang-teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkata benar walaupun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah S.W.T. telah memuji pencinta-pencintaNya dalam firman-Nya yang bermaksud : "..yang berjihad  di jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela." (Surah al-Maidah ayat 54)

Rasulullah S.A.W. pernah mensifatkan Saiyidina Umar Ibnul-Khattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya yang bermaksud : "Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rakan di antara orang ramai."

Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum muslimin dalam menjalankan perintah Allah S.W.T. dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengejarkan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau sentiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Semoga Allah S.W.T. reda terhadapnya dan reda terhadap  para sahabat Rasulullah S.A.W. umumnya.

Ketiga : Berlemah lembut dalam pergaulan dengan kaum muslimin."

Adapun hati yang lemah lembut dalam pergaulan sesama mukmin itu adalah melengkapkan diri dengan sifat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama mukmin, kerana yang demikian itu adalah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur.

Dengan sifat itulah Allah S.W.T.  telah memuji-muji Rasulullah S.A.W. di dalam firmanNya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari segolongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (Surah at-Taubah ayat 128)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Orang-orang yang mengasihi (orang lain) akan dikasihi Tuhan Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain) tidak akan dikasihi Tuhan."

Sabdanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terutama dari umatku tidak akan masuk syurga kerana banyak solat atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syurga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap muslim."

Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa para mukmin itu kurang mengerjakan ibadat seperti solat dan puasa. Malah sebaliknya, mereka sentiasa memperbanyakkan ibadat solat dan puasa serta melakukan  amalan yang soleh yang lain. Akan tetapi umat baginda akan masuk syurga kerana sifat mulia yang mereka miliki iaitu bersih hati, murah hati dan perasaan  belas kasihan sesama mukmin. Kerana sifat-sifat ini amat di sukai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjaga hati kita supaya menjadi bersih, tegas dan lemah lembut. Kita  semak balik hati kita adakah ianya cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan perkara yang ditegah dan maksiat?. Jika masih kekal untuk mencintai kebaikan alhamdulillah. Tetapi jika hati kita masih cenderung untuk melakukan kemungkaran atau reda dengan maksiat maka berhati-hatilah itu petanda kita akan jauh daripada Allah S.W.T. maka perbaikilah segera hati kita jangan ditangguh-tangguhkan lagi.

Thursday, January 27, 2011

Sifat Pemurah Mendatangkan Keberkatan Hidup dan Kasih Sayang Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : "Seorang mukmin adalah orang yang mulia lagi pemurah dan orang fasik adalah penipu dan tercela." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : "Tidak pernah terkumpul sifat bakhil dan iman di hati seorang hamba." (Hadis Sahih Riwayat Nasa'i)

Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Islam. Pepatah ada mengatakan " Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah". Kata-kata ini begitu sinonim dengan sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang berada di tengah-tengah antara bakhil dan boros.

Sabda Rasulullah S.A.W.  bermaksud: "Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Rasulullah S.A.W. merupakan antara lelaki yang kaya kerana 1/5 daripada harta rampasan perang(ghanimah) adalah milik Baginda. Namun baginda tidak meninggalkan apa-apa harta selepas kewafatan baginda. Baginda merupakan seorang pemimpin yang pemurah mengamalkan budaya hidup setara rakyat jelata. Diriwayatkan bahawa bagida membahagikan harta rampasan perang miliknya dalam masa tidak sampai satu jam kepada sahabat-sahabat yang memerlukannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Sukakan harta (hubbul Mal) merupakan fitrah semulajadi manusia, sebagai alat bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun untuk mencapai kebahagiaan itu ialah dengan banyak memberi sumbangan, sedekah dan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah dan bukan membelanjakan harta untuk diri sendiri dan keluarga semata-mata.

Harta yang dibelanjakan di jalan Allah S.W.T. adalah seolah-olah kita berniaga dengan Allah S.W.T. dan sesungguhnya tidaka akan rugi sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan Allah S.W.T.

Selain itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat Islam terbangun.

Hasilnya kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan jadi maju. Yang kurang, dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Yang tidak sudah, dapat disudahkan. Yang tidak mampu, dapat hidup bersama-sama dengan orang yang mampu. Agar yang sedih menjadi ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat dijaga.

Sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan antara orang kaya dan miskin semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan wujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang. Sudah tentu kadar jenayah juga akan berkurangan. Maka semua orang akan hidup dalam aman bahagia, murni dan harmoni. Itulah kesan daripada sifat pemurah dan tawaduknya orang-orang kaya. Banyak masalah masyarakat dapat diselesaikan. Sebab itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan dikasihi juga oleh semua orang.

Firman Allah SWT maksudnya : "Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah ayat 195)

Sahabt yang dikasihi,
Ingatlah! Dengan sifat pemurah kalian tidak akan menjadikan papa. Bersedekahlah selalu kerana setiap amalan tidak akan menjadi sia-sia. Dan jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu, kalian akan dekat dengan Tuhan, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dengan neraka.

Sifat bakhli, jauh dengan Tuhan, jauh dengan manusia, jauh dengan syurga dekat dengan neraka. Sifat pemurah itu menghilangkan hangat kubur, penaung di Padang Mahsyar dan penutup aurat di akhirat.

Orang pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah sebaliknya orang bakhil walaupun ahli ibadah, selalunya su'ul khatimah (kematian yang buruk). Pemurahlah, ia akan menambah rezeki, menambah harta, memajukan negara, pembersih jiwa, membuang ego, dan di sukai dan dikasihi Allah S.W.T.

Bila sifat pemurah sudah hilang di dalam kehidupan datanglah kemurkaan Allah. Akibatnya, akan ditimpa bermacam mala petaka dan akan menjadi papa kedana, saudagar akan muflis kerana rugi dalam perniagaan, orang kaya kehilangan hartanya tidak tahu puncanya. Pemerintah dan pentadbir pening kepala kerana tidaka ada keberkataan, bala datang silih berganti, rakyat akan menderita dan kesetabilan dalam masyarakat tidak wujud. Oleh itu jauhilah dosa dan hidupkan semula sifat pemurah hingga ianya menjadi budaya dan pembahagiaan harta kekayaan di dalam masyarakat akan berlaku.

Sahabat yang dikasihi,
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Adapun hamba-hamba TuhanYang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan dimula bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan "salam" (Surah al-Furqan ayat 63)

Marilah kita sama-sama merenung segala sifat yang perlu ada pada mereka yang ingin menjadi hamba Allah yang pengasih dan pemurah. Cuba tanya dan muhasabah diri kita adakah semua sifat itu sudah ada ataupun semuanya belum tersemat lagi di dalam kita.

Marilah kita sama-sama melakukan reformasi diri ke arah yang lebih terbaik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Hari kematian kita tidak tahu, begitu juga dengan segala amalan kita adakah diterima ataupun tidak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menambah amalan serta memastikan segala sifat yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah dan al-Furqan di atas itu mampu kita hayati bersama. Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang diberitahu oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bukanlah sesuatu yang hanya berbentuk teori tetapi ia mampu dibuat dan diamalkan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan sentiasa mengamalkan segala apa yang terkandung dalam Al-Quran.



Wednesday, January 26, 2011

Sifat Suka Bantu Membantu Adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang di ciptakan oleh Allah S.W.T. adalah berbeza-beza samaada darisegi rupa paras, bangsa, keturunan, latar belakang pendidikan termasuk juga ada yang fakir, miskin , kaya, cerdik, kurang cerdik, cacat anggota dan sempurna anggota dan sebagainya. Tetapi sesungguhnya Allah S.W.T. tidak pandang pada fizikal manusia yang Allah S.W.T pandang adalah pada hatinya iaitu hati yang bertakwa kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan manusia adalah orang yang paling bertakwa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi  Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 
(Surah al-Hujurat ayat 13)

Salah satu sifat orang mukmin adalah hati dan jiwanya sentiasa suka bantu membantu. Hati dan jiwanya akan resah apabila berlalu satu hati tidak ada bantuan yang dapat diberikan. Dia akan memberikan bantuan walaupun sekecil mana kepada saudara-sauadara yang perlukan bantuan dan khidmat daripada dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah S.W.T bahawa Dia akan membalas dengan balasan yang lebih baik samaada di dunia atau pun di hari akhirat.

Terdapat empat jenis bantuan yang boleh di salurkan semata-mata mencari keredaan Allah S.W.T. iaitu :

Pertama : Bantuan berbentuk sedekah .

 Memberi bantuan kewangan berbentuk sedekah kepada fakir-miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, golongan kurang upaya, bantuan perubatan, bantuan pelajaran kepada pelajar miskin dan bantuan kepada musafir yang keputusan belanja.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

 Kedua : Bantuan berbentuk pinjaman kewangan.

Kehidupan di dunia ibarat roda ada masa di atas dan ada masa di bawah. Ada masa mudah darisegi kewangan dan ada kalanya sempit dengan masaalah kewangan . Kesusahan ini adalah lumrah kehidupan. Ketika kita senang janganlah bermegah  dengan kekayaan kerana  lihatlah dibawah jika ada saudara kita yang memerlukan pinjaman kewangan untuk menyelesaikan masaalah mereka bantulah sekadar kemampuan kita kerana dengan bantuan itu akan meringankan beban yang ditanggung oleh saudara yang memerlukannya. Contoh ketika hari raya (saudara kita yang mempunyai tanggungan yang ramai), dipermulaan awal tahun persekolahan, ketika sakit perlukan kos rawatan dan sebagainya. Ada juga memerlukan pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Berilah tempuh bayaran balik dengan masa yang berpatutan.

Nabi S.A.W. berwasiat kepada Sayidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Jangan engkau mengherdik orang yang meminta pertolongan, sekalipun ia datang dengan naik kuda (berkenderaan) dan berilah ia, kerana sesungguhnya sedekah itu lebih dahulu jatuh ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan peminta."

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah S.W.T.  akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).
Ketiga : Bantuan berbentuk masa dan tenaga.

Diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W. bahawa baginda ditanya Abu Dzar, "Bagaimana saya bersedekah sementara saya tidak berharta?" .

Maka baginda menjawab, "Salah satu pintu sedekah adalah mengucapkan takbir (Allah Akbar), tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (Laailaha illah Allah), memohon ampun kepada Allah, memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran, menyingkirkan duri dari jalan, menunjuki orang yang buta, tuli dan bisu hingga ia mengerti, membantu orang yang memerlukan bantuan dengan susah payah, menapaki jalan yang terjal untuk menolong orang-orang yang lemah, mengangkat beban yang berat untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Ini adalah pintu-pintu sedekahmu yang kamu amalkan. Bahkan kamu berhubungan badan (menjima') dengan isteri juga terdapat pahala."

Berdasarkan hadis diatas banyak cara dan jalan berbentuk bantuan dalam bentuk masa dan tenaga yang boleh kita berikan.

Keempat : Bantuan berbentuk nasihat yang baik dan ilmu yang bermanfaat.

Sebahagian daripada bantuan tidak memerlukan kewangan tetapi ianya berbentuk nasihat yang baik dan memberikan ilmu yang bermanfaat. Contoh masaalah rumah tangga (suami/ isteri/ anak-anak/ ibu bapa/ mertua), masaalah ditempat kerja , masaalah stress dan tekanan jiwa dan sebagainya.
 
Firman Allah S.W.T. maksudnya : ”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”. (Surah Al-Ashr ayat 1-3)
Dari Abi Hurairah dari Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
Sesungguhnya agama itu nasihat , sesungguhnya agama itu nasihat , sesungguhnya agama itu nasihat“,  mereka (shahabat) bertanya siapa yang berhak nasihat ya Rasulullah ? bersabda (Nabi) “Bagi Allah dan bagi kitab-Nya Allah, dan bagi utusan-Nya dan bagi imamnya orang muslim dan bagi umumnya muslim
 Sahabat yang dikasihi,
Ketika kita berada di hari akhirat nanti, tidak ada siapa yang dapat membantu dan menolong kita untuk meringankan beban dosa dan kesalahan yang kita lakukan ketika di dunia dahulu melainkan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.

 Allah S.W.T. bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya apabila sifat ini iaitu sifat pengasih dan penyayang ada dimiliki oleh para hamba-Nya kepada sesama muslim, Dia akan mengasihinya. Jika sifat yang mulia ini tidak ada, yang dimiliki adalah  sifat pentingkan diri sendiri, benci kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, kedekut untuk sedekah dan infak di jalan Allah dan berkata dalam hati : 'hartaku adalah milikku sepenuhnya orang lain tak ada hak' maka Allah S.W.T. amat murka dan sedikit pun Allah S.W.T. tidak akan pandang kepada kesusahan manusia seperti ini nanti di hari akhirat. Dia tidak akan mendapat perlindungan Arasy dan hartanya yang dahulu dimegah-megahkan sedikit pun tidak dapat menolongnya daripada kepanasan di Padang Mahsyar.

 Nabi S.A.W  bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat : 'Dimanakah golongan yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu? Pada hari ini Aku payungi mereka di bawah payungan-Ku pada hari yang tiada perlindungan kecuali dari Aku”. (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita dimanakah kedudukan kita sekarang ini? Adakah kita merasai bahawa pada harta kita itu ada hak-hak orang lain yang perlu kita berikan? Adakah kita merasai bahawa harta kita sebenarnya adalah apa yg kita belanjakan mengikut kehendak Allah S.W.T.? Dan bukannya apa yang kita simpan dibank atau dirumah.

Tuesday, January 25, 2011

Ikutilah Empat Golongan Yang di Beri Nikmat Oleh Allah S.W.T

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T telah memilih dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, dalam hidupnya sentiasa mentaati Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Kedudukan mereka adalah sama dengan kekasih Allah S.W.T. yang telah dimuliakan dan diberi nikmat di dunia dan akhirat,iaitu para nabi, para siddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh.

Firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para siddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui." (Surah An-Nisa': 69 -- 70).

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya kita ingin berjaya dan berbahagia di dunia dan akhirat perlulah kita mencontohi perjuangan dan pengorbanan empat golongan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. iaitu :

Pertama : Para Nabi dan Rasul.

Semua para Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. adalah hamba Allah yang paling mulia dan mendapat kedudukan yang paling tinggi di hari akhirat nanti iaitu Syurga Firdaus. Para Nabi dan Rasul sentiasa di uji oleh Allah S.W.T. untuk mengajak kaum mereka untuk mentauhidkan Allah S.W.T. dan meninggalkan sembahan-sembahan mereka.

Rasul (para rasul yang diberi risalah oleh Allah). iaitu, para nabi yang diutus untuk sekelompok umat manusia atau kepada seluruh umat manusia. Hanya Nabi Muhammad S.A.W.  yang diutus untuk seluruh umat manusia untuk menyampaikan perintah Allah, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud : "Hai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan Tuhan kepadamu"
(Surah Al-Maidah ayat 67)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Kewajiban Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan risalah "
(Surah Al-Maidah ayat 99).

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak lesu (dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah menyukai orang-orang yang sabar."
(Surah Ali Imran ayat 146)

Setiap para Nabi dan Rasul telah dihina, disakiti dengan berbagai serangan fizikal dan mental tapi mereka tetap bersabar. Sebahagian daripada para Rasul ada yang dibunuh oleh kaumnya sendiri.

Kedua : Para siddiqun.

Siddiqun (orang-orang yang meyakini Allah dan Rasul-Nya). Allah telah menganugerahi mereka keyakinan kepada Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang siddiqin (Surah Al-Hadid ayat 19).

Salah seorang sahabat Nabi S.A.W yang mendapat gelaran siddiq adalah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq keran beliau orang lelaki yang pertama menerima Islam .

Sayidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad S.A.W. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah S.A.W. tanpa ditemani oleh orang lain.

Beliau mendapat gelaran as-siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Sayidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Siddiq (bentuk tunggal dari shiddiqun) adalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kerana perkataan yang disampaikan Rasulullah S.A.W.

Ketiga : Orang-orang yang mati syahid (para syuhada).

Syuhada (orang-orang yang syahid). Allah menganugerahkan 'kesaksian' kepada mereka, yakni orang-orang yang dekat dengan Allah, yang selalu menghadap Allah dengan pengetahuan yang luas tentang-Nya. Allah berfirman maksudnya : "Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu juga menyatakan hal itu (Surah Ali-Imran ayat 18).

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;(dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman".
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Ibnu Abbas menjelaskan bahawa suatu saat, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Allah telah menjadikan roh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada di pinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga, kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat daripada emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata : "Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini (ayat 169, 170 dan 171) ( Hadis Sahih menurut Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Barangsiapa sungguh-sungguh memohon mati syahid kepada Allah, maka Allah menghantarkannya ke kedudukan orang-orang yang mati syahid, sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya”

Keempat : Orang-orang soleh.

Orang-orang soleh adalah orang-orang yang tidak mempunyai cacat dalam perbuatan dan keimanan mereka kepada apa yang berasal dari Allah. Apabila ada cacat, maka batallah kedudukannya sebagai orang soleh. Kesolehan seperti inilah yang disukai para nabi. Jadi, setiap orang yang tidak ada cacat dalam keyakinan, kesaksian, dan sentiasa patuh kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya maka ia termasuk orang yang soleh.

Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : “Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk adalah ibarat penjual minyak wangi dan peniup tungku. Penjual minyak wangi boleh memberimu tanpa kita harus membeli, atau (paling tidak) engkau akan mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan peniup tungku boleh membakar pakaianmu atau engkau akan mencium bau busuk darinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menjelaskan hadis ini Imam An-Nawawi berkata, “Hadis ini berbicara tentang keutamaan bergaul dengan orang-orang yang soleh, pelaku kebaikan, akhlak mulia, warak, berilmu, dan mempunyai sopan santun. Sebaliknya, hadis ini melarang kita bergaul dengan pelaku kejahatan, pembuat bidah, suka mengumpat, berbuat dosa, dan sikap tidak terpuji lainnya.”

Saydina Ali bin Abi Thalib k.w. berkata, “Hati-hatilah kalian dalam memilih teman, sesungguhnya teman adalah bekal di dunia dan akhirat.”

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mencontohi empat golongan yang dinyatakan di atas yang akan menyelamatkan kita daripada azab Allah S.W.T. Jika kita ingin mendapat nikmat iman dan nikmat Islam dan mendapat keredaan dan golongan yang di kasihi Allah S.W.T. maka kita perlu mentaati suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan larangan-Nya dan mengikuti sunnah dan ajaran Rasulullah S.A.W dalam kehidupan kita.

Doa ini sering kita baca semasa kita membaca surah al-Fatihah  maksudnya : "Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang di murkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." (Surah al-Fatihah ayat 6-7)

Monday, January 24, 2011

Kesan keimanan Yang Sebenar.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman adalah perkara penting yang mesti ada pada diri seorang mukmin. Tanpa iman seorang itu akan menjadi kufur dan terkeluar daripada Islam. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dilaksanakan dalam kehidupan. Asas iman yang mesti ada pada seorang mukmin adalah mempercayai dan menghayati Rukun Iman yang enam.

Iman yang sebenar ialah iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik kepada Allah S.W.T. dan dijauhi daripada syirik keci iaitu riak kepada-Nya. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, mengerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T., menjadikan perkara ghaib seolah-olah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian memudahkan mereka yang mempunyai iman seperti ini menyebabkan kita berkorban apa saja demi jalan Allah S.W.T., menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila pengertian iman seperti ini memenuhi hati seorang mukmin jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata  kepada Allah S.W.T. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam penghidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelosok jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seorang mukmin. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah mukmin, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekalipun kulit mukmin itu hitam atau sawo matang. Manakala diakhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasai lebih manis dari madu.

Sebahagian dari tanda-tanda lahir bagi kemanisan iman ialah kecintaan seseorang mukmin untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukan serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita meras pelek dan menganggap perkara ini hanyalah hayalan semata-mata kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh, sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadis Nabi S.A.W. yang mulia telah menyebut maksudnya : "Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan iman ; beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci di campakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah."

Iman adalah kemanisan dan kemanisan tersebut akan bertambah apabila iman bertambah kuat dan termateri. Sebahagian dari iman yang benar dan ibadah yang sah ialah Allah S.W.T. akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin. Ilham dan lintasan hati akan menyuluh jalan orang-orang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalaahan dan menolong mencari kebenaran.

Kasyaf adalah juga sebahagian kesan iman yang benar. Kasyaf yang dimaksudkan disisni ialah Allah S.W.T membuka tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib, termasuk juga dalam pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan izin Allah S.W.T. Kasyaf seperti ini dipanggil Firasat Mukmin. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Takutlah Firasat orang-orang mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan Nur Allah"

Dalam satu athar (kejadian atau kisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayidina Othman bin Affan r.a telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya :" Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya" Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya: "Adakah wahyu turun selepas Rasulullah S.A.W ,wahai Amir al-Mukminin? Soalan itu di jawab oleh beliau  dengan katanya : "Tidak malah ianya adalah Firasat Orang Mukmin".

Kesan zina tersebut yang dilihat oleh Saydina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalam hadis Rasulullah S.A.W. pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara haram.

Firasat Mukmin adalah pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan. Allah memberikannya kepada para wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75. maksudnya : "Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya".
Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini di sebut karamah. Karamah adalah satu kebenaran yang mesti diterima, tetapi tidak boleh dijadikan dalil terhadap hukum hakam, kerana dalil hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran dan as-Sunah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebagainya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.

Sebahagian dari mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagiannya pula adalah karut daripada gangguan syaitan. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Mimpi orang yang bertakwa pada ghalibnya adalah  benar dan jelas dan memerlukan takbir atau tafsiran.

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya seorang mukmin sejati yang mana imannya benar-benar meresap masuk dalam hati dan jiwanya adalah orang yang paling takut hatinya dan takut kepada kemaksiatan dengan segenap jalannya. Banyaknya maksiat itulah yang akan menyebabkan wujud selaput hitam pekat pada hati menyebabkan cahaya dan hidayah Allah tidak dapat memasuki hati manusia.
Seorang mukmin sejati juga  adalah orang yang sabar terhadap bujukan-bujukan dunia dan waspada terhadap apa-apa yang dipandang indah oleh syaitan, jin dan manusia. Semuanya barang perhiasan dunia dan kenikmatannya hanya sementara bila tiba masanya manusia akan mati dan menemui Allah S.W.T. kerana apabila mati anak Adam semua yang dimiliki akan ditinggalkan kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.




Sunday, January 23, 2011

Siapa Dua Golongan Penghuni Neraka?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Nabi S.A.W.  yang bermaksud :  "Ada dua golongan yang bakal menjadi penghuni neraka iaitu pertama golongan penguasa yang mempunyai cemati-cemati bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang.Ini bermaksud, penguasa yang zalim. Kedua, perempuan yang hanya berpakaiaan tetapi sebenarnya dianggap bertelanjang iaitu membogel, berlenggang-lenggok sewaktu berjalan dengan menghayun bahu.Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidaklah akan masuk syurga dan tidaklah akan cium bau wanginya dan sesungguhnya kesemerbakan bau syurga itu sudah tercium dari perjalanan sekian dan sekian (amat jauh terhidunya)".

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa dua golongan manusia yang dijamin oleh Allah S.W.T. akan memasuki neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, mereka itu adalah :

Pertama : Penguasa (pemimpin) yang zalim dan tidak adil.

Sesiapa yang bertanggungjawab memimpin umat sedangkan dia berbuat sesuka hati, merampas hak rakyat, menagkap dan menyiksa rakyat yang tidak berdosa dan dipenjarakan tanpa dibicarakan dimahkamah, menjalankan undang-undang bukan daripada Allah S.W.T., mengutamakan kroni dan ahli keluarga dalam pembahagiaan kekayaan negara dan menentang ulama yang ikhlas dalam mempertahankan agama Allah, maka penguasa seperti ini tidak akan mencium bau syurga.

Sabda Nabi SAW, maksudnya; “Dua golongan dalam umatku, apabila mereka baik, maka baiklah seluruh manusia dan apabila mereka rosak, maka seluruh umat turut menjadi rosak. Mereka ialah para umara’ (pemimpin) dan ahli feqh (ulama)”
(Hadis Riwayat Ibnu Abdil Bar dan Abu Naim).

Dalam hadis lain, Nabi S.A.W bersabda lagi, maksudnya; “Ditimpa kecelakaan ke atas umatku berpunca daripada ulama mereka yang telah jahat” (Hadis Riwayat Al Hakim).

Imam Al Ghazali di dalam Ehya’ Ulumuddin ketika mengulas hadis di atas berkata; “Punca kerosakan akhlak rakyat dalam sesebuah negara ialah kerana para pemimpin mereka telah rosak. Punca pemimpin mereka rosak ialah kerana para ulama mereka juga telah rosak”. Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa, bila para pemimpin negara rosak akhlak, dengan rasuah, politik wang, skendal seks, jatuh menjatuh, tuduh menuduh sesama sendiri, pecah amanah, gila dunia, gila pangkat, zalim dan sebagainya.

Semantara para ulama  pula, yang peranannya menasihat dan memimpin para umara’, bila mereka tidak melaksanakan tanggungjawabnya, mereka juga terlibat dengan krisis, mengutuk dan mengecam, gila dunia dan gila pangkat dan lain-lain, maka tidak hairan rakyat dan orang awam turut sama megikut jejak langkah mereka. Bahkan bertindak lebih ganas lagi.

Bila keadaan umat ini makin kusut, bagaimana kita yang hidup di zaman ini hendak menghadapinya. Dalam hal ini Allah SWT sendiri dalam sebuah hadis qudsi telah menunjuk jalan kepada hamba-Nya, maksudnyal “Firman Allah .Aku adalah Allah yang tiada lagi Tuhan selain Aku. Aku adalah Pemilik segala-galanya dan Raja bagi segala raja. Sesungguhnya hati segala raja dan pemimpin adalah dalam tangan (kekuasaan) Aku. Sesungguhnya apabila hati segala rakyat taat kepada Aku, maka ketika itu Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi lemah-lembut dan mencurah rasa kasih sayang kepada mereka. Tetapi apabila hati rakyat mula berpaling daripada Aku (tidak taat dan derhaka), maka Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi kejam dan zalim terhadap mereka. Mereka ditimpa siksaan yang amat berat. Oleh itu, janganlah (rakyat) cuba untuk menentang raja-raja dan para pemimpin mereka. Sebaliknya, apabila mereka melihat raja dan pemimpin mereka zalim, maka hendaklah mereka perbanyakkan berzikir dan mengingati Aku dan terus menerus mentaati perintah Aku. Maka urusan menangani sikap raja dan pemimpin mereka adalah di tangan Aku” (Riwayat At Tabrani dan Abu Darda’).

Sekiranya pemimpin melakukan sesuatu tindakan yang akan melahirkan kemudaratan yang lebih besar seperti seseorang penguasa memberi arahan yang bercanggah dengan undang-undang, maka ia merupakan perkara yang boleh mengundang kemudaratan yang besar, ini kerana, sudah tidak wujud lagi “kedaulatan undang-undang” atau pemimpin melakukan rasuah, merampas harta rakyat dan sebagainya. Justeru itu, selayaknya diberikan nasihat dan kritikan secara terbuka.

Tindakan ini pernah dilakukan oleh imam Nawawi terhadap Sultan Zahir Bebrus yang memerintah kerajaan mesir kerana telah mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang Islam ketika itu. Ekoran dari arahan tersebut, menyebabkan Imam Nawawi telah bertindak mengeluarkan fatwa kepada orang ramai agar supaya arahan Sultan Zahir Bebrus itu tidak ditaati disebabkan tindakan mungkar yang dilakukan oleh Sultan tersebut.

Tindakan ulamak tersebut bertepatan dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya :
“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaknya dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika tidak mampu juga, maka hendaknya mengingkari dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Shahih Riwayat Ibnu Majah dan Muslim).

Kedua : Perempuan yang hanya berpakaiaan tetapi sebenarnya dianggap bertelanjang iaitu membogel, berlenggang-lenggok sewaktu berjalan dengan menghayun bahu.Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggol unta yang senget.

Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya :
"Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Di riwayatkan bahawa Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasullullah S.A.W dengan memakai pakaian yang nipis. Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, "Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid, tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja." (Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari)

Di dalam Surah An Nisaa: Ayat 34, Allah S.W.T Berfirman maksudnya :
"Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita."

Di dalam Surah Al-A'raf: ayat 26, Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Hai anak keturunan Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itu adalah yang paling baik."

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata itu adalah zina."

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan"
(Surah An Nur: 31)

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan janganlah memperlihatkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, atau bapa-bapa mereka, atau bapa-bapa mentua mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka (anak tiri), atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita (rakan sejawat atau yang berkhidmat) dengan mereka, atau hamba sahaya mereka, atau orang-orang lelaki yang menjadi pengikut mereka yang tidak mempunyai syahwat (nafsu) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum timbul berahinya apabila melihat aurat perempuan." (Surah An Nur ayat 31)

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam peristiwa Mi’raj Rasulullah ke langit, baginda telah melihat gambaran hukuman yang dikenakan ke atas wanita yang tidak menjaga aurat ini.

1. Ada wanita yang menangis-nangis meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang membantunya -  ini lah hukuman bagi wanita yang berhias untuk selain suaminya.

2. Dan ada wanita yang tergantung dirinya pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk yang panas – inilah hukuman kepada wanita yang tidak menutup aurat termasuk rambutnya.

3. Ada juga wanita yang mukanya HITAM dan MEMAMAH isi perutnya sendiri – inilah hukuman terhadap wanita yang menggoda dan mengghairahkan lelaki.

Aurat wanita merupakan antara bahaya tersembunyi yang boleh MEROSAKKAN IMAN kaum lelaki secara halus. Akibat dari wanita-wanita seksi dan tidak menutup aurat dengan betul lah maka wanita-wanita yang menutup aurat pun menjadi mangsa, kerana lelaki boleh membayangkan tubuh wanita hasil dari yang ditengok dari wanita-wanita seksi terutamanya yang menampakkan bentuk tubuh sebelum itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa riwayat hadis menyatakan mengenai jarak tercium kesemerbakan bau syurga itu. Ada yang menyatakan sejarak empat puluh tahun, juga tujuh puluh tahun dan ada pula menyatakan lima ratus tahun. Dua golongan yang dinyatakan dalam hadis tersebut iaitu penuasa yang zalim dan wanita yang tidak menutup aurat tidak akan dapat mencium bau wangi syurga.

Oleh yang demikian itu, kita perlulah perbanyakkan amal solah, amal ibadah dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Jika kita dilantik menjadi pemimpin maka berlaku adillah kerana sifat adil lebih menghampirkan diri kepada takwa. Para suami dan bapa perlu menasihatkan isteri dan anak-anak gadis , kakak dan adik perempuan supaya menutup aurat dengan sempurna, janganlah mendedahkan aurat dan rambut mereka kerana ianya mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.

Di samping itu banyakkan beristighfar dan bersedekah jariah dan sebagainya bagi persediaan diri kita untuk menghadapi hari akhirat  kelak kerana sedekah juga boleh menghapuskan dosa-dosa kita.Sebagai penutupnya, sebagai hamba Allah yang beriman dan bertakwa marilah kita jauhi  perbuatan-perbuatan seperti yang telah dijelaskan di atas dan ingatlah bahawasanya kehidupan kita di dunia ini adalah sementara dan singkat sahaja.


Dua Puluh Perkara Yang Boleh Membatalkan Syahadah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Persoalan akidah adalah persoalan asas, yang mana setiap Muslim mestilah memiliki akidah yang sahih, betul dan tidak ada cacat di dalam akidahnya. Jika akidah seseorang telah cacat atau rosak maka sebenarnya dia telah terkeluar daripada Islam. Untuk kembali balik kepada Islam perlulah bertaubat dan memperbarui semula dua kalimah syahadah iaitu

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah  dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”


 Apabila akidah seseorang sudah sempurna barulah semua amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang dikerjakan akan bernilai di sisi Allah S.W.T. dengan diberi-Nya pahala.

Di dalam buku bertajuk " Iman dan 20 perkara yang membatalkan syahadatain oleh As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa dan Abu 'Ala Al-Maududi" telah dijelaskan bahawa terdapat 20 perkara yang boleh membatalkan syahadah seorang muslim. 

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Tawakkkal atau bergantung harap kepada sesuatu selain daripada Allah.

2. Mengengkari nikmat Allah samada yang terang atau tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Bukanlah menjadi bidang kuasa manusia dalam urusan memberi dan menahan rezeki seseorang tetapi ia merupakan hak Allah.

3. Beribadat khusus, berkerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana segala yang kita lakukan mestilah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. 

4. Menggubal undang-undang atau peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia.

5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.

6. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

7. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.

8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.

9. Menghina sesuatu daripada al-Quran atau hadis atau pun kitab orang alim yang menegakkannya atau pun mempersendakan hukum daripada hukum Allah.

10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah

11. Tidak beriman kepada semua sumber hukum daripada al-Quran dan Hadith.

12. Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang yang berakidah Islam dan beriman.

13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah S.A.W. di mana bagi mereka yang datang selepas kewafatannya mesti beradab dalam percakapan, penulisan dan syarahan.

14. Rasa takut dan gentar dalam menegakkan Islam dan rasa lapang, riang dalam menegakkan perkara syirik.

15.Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dan isi yang terkandung dalam ayat itu dan juga menyatakan bahawa isi yang terkandung dalam ayat al-Quran hanya boleh difahami oleh setengah orang melalui ilham. Begitu juga bagi mereka yang menuduh perkara demikian terhadap sunnah nabi.

16. Tidak mengetahui tentang makrifat Allah dengan pengenalan yang jelas serta mengengkari sifat ketuhananNya atau nama-nama Allah.

17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan bahawa adanya sifat yang terpuji yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat kepujian atau tidak beriktikad bahawa baginda adalah sebagai contoh ikutan utama bagi umat manusia.

18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah engkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.
Suatu kaedah : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin maka ia menjadi kafir, sebaliknya sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka dia menjadi kafir. Sesiapa yang syak tentang kekafiran orang kafir maka dia juga menjadi kafir."

19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadat) bukan kerana Allah seperti sembelih binatang bukan kerana Allah, sujud dan tawaf pada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.

20. Melakukan syirik khafi atau kecil di mana ia tidak membatalkan syahadah dan ia juga boleh boleh diubati dengan doa seperti solat kerana pujian manusia dan sebagainya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jaga akidah kita supaya tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang boleh mencacatkannya, kerana Allah S.W.T tidak mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan akan mengampunkan dosa selain itu.

Syirik iaitu menyamakan selain Allah dengan Allah dalam Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Umumnya menyekutukan dalam Uluhiyyah Allah, iaitu hal-hal yang merupakan kekhususan bagi Allah, seperti berdoa kepada selain Allah disamping berdoa kepada Allah, atau memalingkan suatu bentuk ibadah seperti menyembelih (kurban), bernazar, berdoa dan 20 perkara yang dijelaskan di atas adalah perkara-perkara yang boleh menjadikan syirik kepada Allah S.W.T.

Kerana itu, barangsiapa menyembah selain Allah bererti ia meletakkan ibadah tidak pada tempatnya dan memberikannya kepada yang tidak berhak, dan itu merupakan kezaliman yang paling besar.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar" (Surah Luqman ayat 13)

Allah tidak akan mengampuni orang yang berbuat syirik kepadaNya, jika ia meninggal dunia dalam kemusyrikannya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".(Surah An-Nisaa' ayat 48)

Syurga pun diharamkan atas orang Musyrik. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun". (Surah al-Maaidah ayat 72).

Syirik menghapuskan pahala segala amal kebaikan. Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya : "Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan". (Surah al-An'am ayat 88)

Oleh itu marilah sama-sama kita jaga akidah kita dan mereka yang dibawah tanggungan kita, jiran tetanga, saudara-mara dan sahabat- handai supaya akidah mereka tidak cacat dan rosak hingga menyebabkan segala amal-amal soleh di tolak oleh Allah S.W.T. Kepentingan akidah ini lebih penting daripada kita jaga makan-minum dan kesihatan fizikal kita kerana di sinilah akan menentukan kebahagiaan kita hidup di hari akhirat nanti.