Friday, January 28, 2011

Hati Orang Mukmin Adalah Hati Yang Bersih , Tegas dan Lemah Lembut.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berkata Wahab bin Munabbih, bahwasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya : 'Sesungguhnya semua petala langit-Ku dan bumi-Ku menjadi sempit untuk merangkul-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalb (hati) hamba-Ku yang mukmin'.” 
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sebaik-baik hati adalah hati orang mukmin iaitu hati yang bersih, tegas dan lemah lembut . Sesungguhnya dengan ketiga-tiga sifat ini jadilah ia seorang mukmin yang dikasihi oleh Allah S.W.T.

Saiyidina Ali k.w. berkata : "Adapun Allah S.W.T.  di muka bumi ini mempunyai bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lemah lembut. Kemudian beliau menjelaskan pula; maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lemah lembut dalam pergaulan dangan kaum muslimin."

Pertama : Hati yang bersih dalam keyakinan.

Yang dimaksudnya dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah S.W.T.  sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh Al-Quran. Firman Allah S.W.T. maksudnya ; "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata : 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.' Allah berfirman, 'Belum percayakah engkau?' Dia (Ibrahim) menjawab, 'Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap)" 
(Surah al-Baqarah ayat 260)

Kini nyatalah, bahawasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.
Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Keyakinan itu adalah keseluruhan iman."

Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi harta benda manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah S.W.T., kerana tiada sesuatu kurnia yang lebih utama sesudah keyakinan daripada keselamatan."

Ingatlah! Sebaik-baik hati yang dikasihi oleh Allah Ta'ala, ialah hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Hati seorang mukmin adalah hati yang tidak ada selaput dengan syak wasangka, hatinya bersih, sihat dan terang benderang umpama lampu yang menerangi sekelilingnya. Sesungguhnya hati seorang musrik adalah hati yang hitam, kotor dan busuk walaupun pada lahiriahnya nampak baik. Lebih teruk lagi hati seorang munafik, hatinya terbelenggu di atas kulitnya. Hati yang penuh dendam kesumat kepada orang-orang beriman, hatinya berpenyakit dan Allah S.W.T tambah lagi penyakitnya. Hatinya juga umpama setumpuk kudis yang diselaputi nanah dan darah busuk.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Bahawasanya iman itu mula muncul di hati sebagai sinaran putih, lalu ia membesar sehingga seluruh hati itu menjadi putih. Sedang nifaq pula, mula muncul di hati seperti setitik-titik hitam, lalu merebak sehingga seluruh hati itu menjadi hitam."

Mudah-mudahan Allah S.W.T.  pelihara kita sekalian daripada bahaya nifaq, serta diakhiri hayat kita menjadi seorang mukmin yang dikasihi Allah S.W.T.

Sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan sentiasa mengerjakan dan membanyakkan amalan-amalan yang soleh dengan sepenuh ikhlas kepada-Nya. Manakala nifaq pula akan bertambah dengan bertambahnya amalan-amalan yang jahat, seperti meninggalakan perkara-perkara yang wajib dan melakukan perkara-perkara yang ditegahkan oleh agama.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam."

Hadis ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : "Bahkan telah termetrai dimuka hati mereka apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Mutahffifun ayat 14)

Memanglah, tiada sesuatu yang bencana dan mudaratnya lebih berat ke atas manusia di dunia dan akhirat daripada dosa. Sebab seseorang manusia tidak akan disentuh kecelakaan atau ditimpa kesusahan, melainkan tersebab oleh dosanya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiada akan menimpa kamu sesuatu kecelakaan melainkan disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri." (Surah as-Syura ayat 30)

Oleh itu, maka hendaklah setiap mukmin itu berjaga-jaga supaya tiada melakukan dosa, malah sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Andainya telah terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka hendaklah menyegerakan taubat kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa menerima taubat hamba-hambanya serta mangampunkan segala dosa mereka, sedang Dia Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Barangsiapa yang tiada bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang teraniaya." (Surah al-Hujarat ayat 11)

Maksud mereka telah menganiaya diri sendiri adalah dengan mendedahkannya kepada kemurkaan Allah S.W.T., disebabkan mereka telah terjebak ke dalam maksiat, malah terus melakukan maksiat itu tanpa bertaubat. Padahal Allah S.W.T. telah menganjurkan kepada kita untuk bertaubat serta berjanji akan menerima taubat mereka.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kitab ini (al-Quran) diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui, yang mengampuni dosa dan menerima taubat, sangat keras hukuman-Nya, yang memiliki karunia. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nyalah (semua makhluk)  kembali." (Surah Al-Mu'min ayat 2- 3)

Cubalah renungkan ayat ini dan perhatikan maksud yang terkandung di dalamnya dari pengertian yang mulia dan rahsia yang amat berkesan, yang boleh membangkitkan perasaan takut dan harapan serta gemar dan gerun dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiadalah yang mengambil peringatan, melainkan orang yang kembali (ke pangkal jalan). Maka serulah Tuhan dengam penuh tulus-ikhlas, beragama kepadaNya." (Surah al-Mu'min ayat 13-14)
 
Kedua : Tegas dalam agama.

Kita perlu tegas dalam agama, ialah berpegang-teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkata benar walaupun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah S.W.T. telah memuji pencinta-pencintaNya dalam firman-Nya yang bermaksud : "..yang berjihad  di jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela." (Surah al-Maidah ayat 54)

Rasulullah S.A.W. pernah mensifatkan Saiyidina Umar Ibnul-Khattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya yang bermaksud : "Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rakan di antara orang ramai."

Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum muslimin dalam menjalankan perintah Allah S.W.T. dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengejarkan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau sentiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Semoga Allah S.W.T. reda terhadapnya dan reda terhadap  para sahabat Rasulullah S.A.W. umumnya.

Ketiga : Berlemah lembut dalam pergaulan dengan kaum muslimin."

Adapun hati yang lemah lembut dalam pergaulan sesama mukmin itu adalah melengkapkan diri dengan sifat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama mukmin, kerana yang demikian itu adalah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur.

Dengan sifat itulah Allah S.W.T.  telah memuji-muji Rasulullah S.A.W. di dalam firmanNya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari segolongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (Surah at-Taubah ayat 128)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Orang-orang yang mengasihi (orang lain) akan dikasihi Tuhan Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain) tidak akan dikasihi Tuhan."

Sabdanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terutama dari umatku tidak akan masuk syurga kerana banyak solat atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syurga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap muslim."

Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa para mukmin itu kurang mengerjakan ibadat seperti solat dan puasa. Malah sebaliknya, mereka sentiasa memperbanyakkan ibadat solat dan puasa serta melakukan  amalan yang soleh yang lain. Akan tetapi umat baginda akan masuk syurga kerana sifat mulia yang mereka miliki iaitu bersih hati, murah hati dan perasaan  belas kasihan sesama mukmin. Kerana sifat-sifat ini amat di sukai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjaga hati kita supaya menjadi bersih, tegas dan lemah lembut. Kita  semak balik hati kita adakah ianya cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan perkara yang ditegah dan maksiat?. Jika masih kekal untuk mencintai kebaikan alhamdulillah. Tetapi jika hati kita masih cenderung untuk melakukan kemungkaran atau reda dengan maksiat maka berhati-hatilah itu petanda kita akan jauh daripada Allah S.W.T. maka perbaikilah segera hati kita jangan ditangguh-tangguhkan lagi.

No comments: