Monday, January 24, 2011

Kesan keimanan Yang Sebenar.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman adalah perkara penting yang mesti ada pada diri seorang mukmin. Tanpa iman seorang itu akan menjadi kufur dan terkeluar daripada Islam. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dilaksanakan dalam kehidupan. Asas iman yang mesti ada pada seorang mukmin adalah mempercayai dan menghayati Rukun Iman yang enam.

Iman yang sebenar ialah iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik kepada Allah S.W.T. dan dijauhi daripada syirik keci iaitu riak kepada-Nya. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, mengerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T., menjadikan perkara ghaib seolah-olah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian memudahkan mereka yang mempunyai iman seperti ini menyebabkan kita berkorban apa saja demi jalan Allah S.W.T., menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila pengertian iman seperti ini memenuhi hati seorang mukmin jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata  kepada Allah S.W.T. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam penghidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelosok jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seorang mukmin. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah mukmin, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekalipun kulit mukmin itu hitam atau sawo matang. Manakala diakhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasai lebih manis dari madu.

Sebahagian dari tanda-tanda lahir bagi kemanisan iman ialah kecintaan seseorang mukmin untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukan serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita meras pelek dan menganggap perkara ini hanyalah hayalan semata-mata kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh, sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadis Nabi S.A.W. yang mulia telah menyebut maksudnya : "Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan iman ; beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci di campakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah."

Iman adalah kemanisan dan kemanisan tersebut akan bertambah apabila iman bertambah kuat dan termateri. Sebahagian dari iman yang benar dan ibadah yang sah ialah Allah S.W.T. akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin. Ilham dan lintasan hati akan menyuluh jalan orang-orang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalaahan dan menolong mencari kebenaran.

Kasyaf adalah juga sebahagian kesan iman yang benar. Kasyaf yang dimaksudkan disisni ialah Allah S.W.T membuka tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib, termasuk juga dalam pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan izin Allah S.W.T. Kasyaf seperti ini dipanggil Firasat Mukmin. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Takutlah Firasat orang-orang mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan Nur Allah"

Dalam satu athar (kejadian atau kisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayidina Othman bin Affan r.a telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya :" Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya" Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya: "Adakah wahyu turun selepas Rasulullah S.A.W ,wahai Amir al-Mukminin? Soalan itu di jawab oleh beliau  dengan katanya : "Tidak malah ianya adalah Firasat Orang Mukmin".

Kesan zina tersebut yang dilihat oleh Saydina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalam hadis Rasulullah S.A.W. pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara haram.

Firasat Mukmin adalah pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan. Allah memberikannya kepada para wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75. maksudnya : "Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya".
Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini di sebut karamah. Karamah adalah satu kebenaran yang mesti diterima, tetapi tidak boleh dijadikan dalil terhadap hukum hakam, kerana dalil hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran dan as-Sunah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebagainya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.

Sebahagian dari mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagiannya pula adalah karut daripada gangguan syaitan. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Mimpi orang yang bertakwa pada ghalibnya adalah  benar dan jelas dan memerlukan takbir atau tafsiran.

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya seorang mukmin sejati yang mana imannya benar-benar meresap masuk dalam hati dan jiwanya adalah orang yang paling takut hatinya dan takut kepada kemaksiatan dengan segenap jalannya. Banyaknya maksiat itulah yang akan menyebabkan wujud selaput hitam pekat pada hati menyebabkan cahaya dan hidayah Allah tidak dapat memasuki hati manusia.
Seorang mukmin sejati juga  adalah orang yang sabar terhadap bujukan-bujukan dunia dan waspada terhadap apa-apa yang dipandang indah oleh syaitan, jin dan manusia. Semuanya barang perhiasan dunia dan kenikmatannya hanya sementara bila tiba masanya manusia akan mati dan menemui Allah S.W.T. kerana apabila mati anak Adam semua yang dimiliki akan ditinggalkan kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.




No comments: