Wednesday, January 26, 2011

Sifat Suka Bantu Membantu Adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang di ciptakan oleh Allah S.W.T. adalah berbeza-beza samaada darisegi rupa paras, bangsa, keturunan, latar belakang pendidikan termasuk juga ada yang fakir, miskin , kaya, cerdik, kurang cerdik, cacat anggota dan sempurna anggota dan sebagainya. Tetapi sesungguhnya Allah S.W.T. tidak pandang pada fizikal manusia yang Allah S.W.T pandang adalah pada hatinya iaitu hati yang bertakwa kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan manusia adalah orang yang paling bertakwa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi  Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 
(Surah al-Hujurat ayat 13)

Salah satu sifat orang mukmin adalah hati dan jiwanya sentiasa suka bantu membantu. Hati dan jiwanya akan resah apabila berlalu satu hati tidak ada bantuan yang dapat diberikan. Dia akan memberikan bantuan walaupun sekecil mana kepada saudara-sauadara yang perlukan bantuan dan khidmat daripada dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah S.W.T bahawa Dia akan membalas dengan balasan yang lebih baik samaada di dunia atau pun di hari akhirat.

Terdapat empat jenis bantuan yang boleh di salurkan semata-mata mencari keredaan Allah S.W.T. iaitu :

Pertama : Bantuan berbentuk sedekah .

 Memberi bantuan kewangan berbentuk sedekah kepada fakir-miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, golongan kurang upaya, bantuan perubatan, bantuan pelajaran kepada pelajar miskin dan bantuan kepada musafir yang keputusan belanja.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

 Kedua : Bantuan berbentuk pinjaman kewangan.

Kehidupan di dunia ibarat roda ada masa di atas dan ada masa di bawah. Ada masa mudah darisegi kewangan dan ada kalanya sempit dengan masaalah kewangan . Kesusahan ini adalah lumrah kehidupan. Ketika kita senang janganlah bermegah  dengan kekayaan kerana  lihatlah dibawah jika ada saudara kita yang memerlukan pinjaman kewangan untuk menyelesaikan masaalah mereka bantulah sekadar kemampuan kita kerana dengan bantuan itu akan meringankan beban yang ditanggung oleh saudara yang memerlukannya. Contoh ketika hari raya (saudara kita yang mempunyai tanggungan yang ramai), dipermulaan awal tahun persekolahan, ketika sakit perlukan kos rawatan dan sebagainya. Ada juga memerlukan pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Berilah tempuh bayaran balik dengan masa yang berpatutan.

Nabi S.A.W. berwasiat kepada Sayidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Jangan engkau mengherdik orang yang meminta pertolongan, sekalipun ia datang dengan naik kuda (berkenderaan) dan berilah ia, kerana sesungguhnya sedekah itu lebih dahulu jatuh ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan peminta."

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah S.W.T.  akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).
Ketiga : Bantuan berbentuk masa dan tenaga.

Diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W. bahawa baginda ditanya Abu Dzar, "Bagaimana saya bersedekah sementara saya tidak berharta?" .

Maka baginda menjawab, "Salah satu pintu sedekah adalah mengucapkan takbir (Allah Akbar), tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (Laailaha illah Allah), memohon ampun kepada Allah, memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran, menyingkirkan duri dari jalan, menunjuki orang yang buta, tuli dan bisu hingga ia mengerti, membantu orang yang memerlukan bantuan dengan susah payah, menapaki jalan yang terjal untuk menolong orang-orang yang lemah, mengangkat beban yang berat untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Ini adalah pintu-pintu sedekahmu yang kamu amalkan. Bahkan kamu berhubungan badan (menjima') dengan isteri juga terdapat pahala."

Berdasarkan hadis diatas banyak cara dan jalan berbentuk bantuan dalam bentuk masa dan tenaga yang boleh kita berikan.

Keempat : Bantuan berbentuk nasihat yang baik dan ilmu yang bermanfaat.

Sebahagian daripada bantuan tidak memerlukan kewangan tetapi ianya berbentuk nasihat yang baik dan memberikan ilmu yang bermanfaat. Contoh masaalah rumah tangga (suami/ isteri/ anak-anak/ ibu bapa/ mertua), masaalah ditempat kerja , masaalah stress dan tekanan jiwa dan sebagainya.
 
Firman Allah S.W.T. maksudnya : ”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”. (Surah Al-Ashr ayat 1-3)
Dari Abi Hurairah dari Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
Sesungguhnya agama itu nasihat , sesungguhnya agama itu nasihat , sesungguhnya agama itu nasihat“,  mereka (shahabat) bertanya siapa yang berhak nasihat ya Rasulullah ? bersabda (Nabi) “Bagi Allah dan bagi kitab-Nya Allah, dan bagi utusan-Nya dan bagi imamnya orang muslim dan bagi umumnya muslim
 Sahabat yang dikasihi,
Ketika kita berada di hari akhirat nanti, tidak ada siapa yang dapat membantu dan menolong kita untuk meringankan beban dosa dan kesalahan yang kita lakukan ketika di dunia dahulu melainkan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.

 Allah S.W.T. bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya apabila sifat ini iaitu sifat pengasih dan penyayang ada dimiliki oleh para hamba-Nya kepada sesama muslim, Dia akan mengasihinya. Jika sifat yang mulia ini tidak ada, yang dimiliki adalah  sifat pentingkan diri sendiri, benci kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, kedekut untuk sedekah dan infak di jalan Allah dan berkata dalam hati : 'hartaku adalah milikku sepenuhnya orang lain tak ada hak' maka Allah S.W.T. amat murka dan sedikit pun Allah S.W.T. tidak akan pandang kepada kesusahan manusia seperti ini nanti di hari akhirat. Dia tidak akan mendapat perlindungan Arasy dan hartanya yang dahulu dimegah-megahkan sedikit pun tidak dapat menolongnya daripada kepanasan di Padang Mahsyar.

 Nabi S.A.W  bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat : 'Dimanakah golongan yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu? Pada hari ini Aku payungi mereka di bawah payungan-Ku pada hari yang tiada perlindungan kecuali dari Aku”. (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita dimanakah kedudukan kita sekarang ini? Adakah kita merasai bahawa pada harta kita itu ada hak-hak orang lain yang perlu kita berikan? Adakah kita merasai bahawa harta kita sebenarnya adalah apa yg kita belanjakan mengikut kehendak Allah S.W.T.? Dan bukannya apa yang kita simpan dibank atau dirumah.

No comments: