Saturday, April 23, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Menjauhi Tujuh Strategi Syaitan Untuk Mempengaruhi Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iblis telah berjanji dihadapan Allah SWT bahawa dia akan menggoda dan menyesatkan seberapa ramai manusia di muka bumi ini supaya mereka akan bersama-samanya di neraka.

Iblis dan bala tenteranya terdiri daripada syaitan dan jin akan bekerja siang malam tanpa jemu dan rehat untuk menyesatkan manusia yang leka dan lalai dan sentiasa mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT maksudnya : " ... dan (syaitan) itu mengatakan, 'Aku pasti akan mengambil bagian tertentu dari hamba-hamba-Mu, dan pasti akan ku sesatkan mereka, dan akan ku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka..."
(Surah an-Nissa' ayat 118-119)

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah menyatakan terdapat tujuh strategi syaitan untuk menyesatkan manusia ke lembah nista yang akan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

Strategi tersebuat adalah seperti berikut :

PERTAMA : Syaitan menawarkan kekufuran.

Manusia dengan kadar keimanan yang tidak stabil sangat mudah terumbang ambing dalam kehidupannya. Peluang inilah yang dimanfaatkan sebaiknya oleh iblis atau syaitan untuk menggoda dan menghasut manusia untuk mengingkari Tuhan. Contohnya jika seseorang manusia itu ditimpa bencana, sakit atau sebarang musibah, lalu orang itu akan mudah berkata bahawa "Tuhan ini tidak adil". Sejak mendengar ucapan itu, syaitan telah mendorong manusia untuk terus mengingkari jalan Tuhan dan para nabi dan rasul-Nya bahkan memesongakn ajaran yang telah dipegang sehingga menjadi kufur dan sesat. Na'uzubillahiminzalik

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang jahiliah."
(Surah Ali-Imran ayat 154)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan (kecurigaan), kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa."
(Surah al-Hujurat ayat 12)

Do'a Sa'id bin Jabir, "Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu dan sebaik-baik sangkaan dengan-Mu."

KEDUA: Syaitan menawarkan segala hal yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Apabila manusia lari daripada sunnah Rasulullah SAW , dan mengambil sunnah yang lain iaitu amalan Yahudi dan Nasrani maka sebenarnya syaitan telah berjaya menguasainya. Segala bentuk penipuan dalam perniagaan, mengambil rasuah, malas menuntut ilmu, tidak mahu solat jemaah, menghina para ulama, mengambil asabiyah dalam perjuangannya dan banyak lagi. Semua hal itu adalah kenikmatan yang ada di dunia yang kosong dan menipu.

Oleh itu pastikan hidup kita sentiasa dihiasi dengan amalan, ajaran dan sunnah Nabi SAW semoga kita terselamat daripada tipu daya syaitan.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat petunjuk..(”Musnad Imam Ahmad, 4/126-127, Abu Daud, 5/13.no.4607, at-Tirmidzi, Kitab al-ilm, 5/44.no.2676, dia berkata, hadits Hasan Sahih, Ibnu Majah.no.96.43.)

KETIGA: Syaitan menawarkan dosa-dosa kecil .

Dalam kehidupan sehari-hari, manusia sangat mudah melakukan dosa-dosa kecil. Semua sifat-sifat mazmumah adalah dosa-dosa kecil seperti makan dan minum berlebih-lebihan, suka membuang masa dengan sia-sia, suka membazir, marah, hasad dengki, iri hati, kasih pada harta, riak, takbur, ujub dan kasih dunia.

Akhbar arus perdana  atau media elektronik juga turut menyuburkan dosa-dosa kecil ini dengan menyajikan sajian berita atau gosip-gosip artis, politik bahkan sesiapapun. Perlu diingat berterusan melakukan dosa-dosa kecil akan menjadi dosa besar. Jika satu dosa kecil dilakukan akan menjadi satu titik hitam, bila titik-titik hitam ini menjadi banyak maka hati akan mati dan tertutup hijab dengan Allah SWT.

Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”
(Surah Ali Imran: 135)

Kita tidak boleh menganggap remeh ke atas dosa-dosa kecil kerana Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEEMPAT: Syaitan menawarkan hal-hal yang melalaikan sehingga manusia terlalai dengan sifat-sifat yang wajib.

Ia dipanggil mubah atau boleh ertinya hal yang boleh dilakukan, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala dan tidak juga menjadi dosa. Bagaimana pun, mubah adalah awal kepada perbuatan dosa.

Contohnya dalam konteks keluarga, ibu-bapa yang leka dengan hiburan atau banyak membuang masa menonton television,  melayan hobi-hobi yang kurang manfaatnya sehingga terlupa mendidik anak-anak dan menguruskan rumah tangganya dan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat. Suka kepada kemewahan dalam menyediakan makanan, menghias rumah, kereta, kerap kali melancung tetapi rukun Islam ke 5 (menunaikan fardu haji) belum ditunaikan.

Sikap orang mukmin pula akan menjadikan perkara harus itu menjadi sunat apabila dia niatkan kerana Allah SWT. Makan, minum, tidur dan riadah semuanya adalah kerana Allah, insya Allah akan mendapat pahala.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

KELIMA: Syaitan menawarkan dosa besar seperti syirik, rasuah, zina, derhaka pada orang tua, fitnah, minum arak dan dosa besar yang lain.

Matlamat utama iblis dan syaitan laknatullah adalah untuk mensyirikkan dan memurtadkan  orang yang beriman jika ini berjaya maka iblis dan syaitan tak perlu bekerja keras lagi kerana matlamat utamanya telah tercapai. Jika yang ini gagal dia akan menggoda orang beriman supaya melakukan dosa-dosa besar yang lain kerana janji Allah SWT bahawa sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar sedangkan dia tak bertaubat maka nerakalah tempat tinggalnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; “Wahai Iblis, bagaimanakah caranya kamu memperdayakan manusia?”

Berkata Iblis ; “ Ya Nabi Allah, pertama sekali aku palingkan imannya supaya manusia itu berubah I’tikadnya dari Mukmin kepada musyrik, baik dari segi perkataan maupun dari segi perbuatan dan niatnya. Kalau aku tidak dapat memalingkan dia dari I’tikad, maka aku akan mencari jalan supaya mengurangkan pahalanya didalam ibadah. Lama kelamaan dia akan terjerumus juga kedalam perangkap aku. Sebenarnya aku tak pernah lalai dan letih didalam melaksanakan kerjaku ini”.

KEENAM: Syaitan menawarkan ibadat yang dianggap utama sehingga ibadat yang lain  lebih utama sampai dilupakan.

Hal ini biasanya berkaitan dengan ibadat kepada Tuhan yang berlebihan sehingga ibadah kepada sesama manusia dan alam tidak ditunaikan. Contohnya kerana sibuk dengan amalan berzikir dan melakukan ibadah khusus maka mereka melupakan amalan kerja-kerja kebajikan dan  sosial seperti membantu kaum dhu'afa, menyelamatkan ekonomi umat Islam, membantu pendidikan dan keperluan  sosial yang lain. Malas menuntut ilmu kerana banyak berzikir (ibadah khusus) sebenarnya adalah datangnya daripada hasutan syaitan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu daripada sesuatu bab terlebih baik daripada kamu sembahyang seratus rakaat."

KETUJUH: Syaitan membawa bala tentera yang terdiri daripada jin dan pengikut manusia yang lainnya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (Surah al-An'am ayat 112)

Manusia yang menjadi  pengikut syaitan adalah manusia yang suka mencaci, saling memfitnah, berjudi, pelacuran, ataupun mengambil dadah sebagai makanannya. Manusia pengikut ajaran syaitan itulah yang akhirnya akan menjadi iblis besar.

Sahabat yang dikasihi,
Begitulah tujuh  strategi syaitan dalam menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan paling menakutkan kita adalah ianya sering berlaku di dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati Tuhan dengan membaca al-Quran, sentiasa beristighfar, solat malam, mengingati mati, memohon doa dan perlindungan dari Allah SWT semoga kita semua terpelihara dan di jauhkan-Nya daripada hasutan syaitan yang menyesatkan.

No comments: