Thursday, July 14, 2011

Penyakit-penyakit Hati dan Lima Penawar Untuk Mengubatinya

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.
Nabi SAW  bersabda maksudnya :"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." 
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir
 
Hati yang sejahtera dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran syurga-Nya di akhirat nanti.
Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah SWT;
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya; "Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."(Surah al-Ra'd ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.
 
Maksudnya; "Sungguh menghairankan urusan orang beriman, semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman." (Hadis Riwayat Muslim)
 
Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.
Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;
 
1. Penyakit hati terhadap Allah.
2. Penyakit hati terhadap manusia.
 
Antara penyakit hati terhadap Allah :

1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati Allah
3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan Allah
5. Tidak takut pada ancaman Allah
6. Tidak harap pada rahmat Allah
7. Tidak redha akan takdir Allah
8. Tidak puas dengan pemberian Allah
9. Tidak sabar atas ujian Allah
10.Tidak syukur atas nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi Allah
12.Tidak terasa hebatnya Allah
13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah
14.Tidak tawakal pada Allah
15.Tidak rindu pada Syurga dan tidak takut pada Neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan kemasyhuran
 
Antara penyakit hati terhadap manusia :
 
1. Benci membenci
2. Gembira atas kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan ragam manusia
18.Memandang hina kepada seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan suci.
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk memiliki hati yang sejahtera dan tenang maka ianya perlu kepada penawarnya. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli makrifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada lima :

Pertama : Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya.

Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah  ramai di kalangan umat Islam yang membaca al-Quran tetapi melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kekuatan besar dari sentuhan Al-Quran ini dirasakan benar oleh para sahabat Rasulullah SAW kerana memang mereka menerima Al-Quran ini dengan segenap hati, pikiran dan kemauan mereka.

Seperti yang diriwayatkan oleh Ath-Thobroni dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amr bin Ash bahwa ia berkata : Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis.

Maka Rasulullah SAW  pun menghampirinya dan bertanya, “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abu Bakar?”.

"Surah inilah yang membuat aku menangis”.

Maka Rasulullah menenangkan dengan sabdanya :“Jika kalian tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka.”

Maka sangat tepat ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradlawi yang menegaskan bahawa:“Al-Quran adalah “roh Rabbani” kekuatan Rabbani yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati. Sebagaimana Al-Quran juga undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif.”

Kedua : Mengosongkan perut.

Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW. sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Kata Imam Shafie : "Perut kita terbahagi kepada tiga iaitu sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi udara."

Jika keseimbangan antara ketiga-tiganya tidak di capai, maka kita akan menjadi malas untuk beribadat ataupun untuk bekerja. Apabila perut kurang diisi dengan makanan, maka kita menjadi rajin dan ringan tulang untuk menambahkan ibadah kita. Tidak hairanlah jika kita dapat menggandakan amalan kita pada bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain.

Ketiga : Bangun bersolat malam.

Ramai orang boleh bangun malam tetapi bangun kerana untuk qada hajat atau kerana anak menangis, atau kerana ingin melihat perlawanan bola sepak, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau dua rakaat, memang sangat berat.

Solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat muakkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah SAW. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Keempat : Bermunajat dan berdoa kepada Allah pada waktu sahur.

Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sahur sahaja sebelum berpuasa dalam bulan Ramadan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.  (Surah al-Zaariyaat ayat15-18)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :"Allah SWT. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Duduk di majlis orang-orang soleh.

Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang soleh tentu menenangkan hati dan jiwa.

Firman Allah SWT. maksudnya :“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Az-Zariyat ayat 55)

Sabda Nabi SAW. maksudnya : “Sesungguhnya para malaikat mengepakkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Hadis yang lain sabda Nabi SAW. maksudnya : "Seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu niscaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju Syurga "(Hadis Sahih Riwayat Al Jami)

"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga". (Hasid Riwayat Muslim).

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.”(Hadis Riwayat Bukhari)

“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam maka jarak antaranya dengan para nabi di syurga kelak adalah sekadar satu tingkat sahaja.”(Hadis Riwayat  ad-Darini)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada penyakit-penyakit hati dan amalkan lima penawar atau petua untuk memulihkan hati-hati kita supaya ianya sejahtera dan sihat daripada segala penyakit . Jika kita biarkan hati kita yang sedang sakit dan tidak di cari penawarnya dikhuatiri hati yang sakit ini akan terus menjadi parah dan payah untuk diubati. Syarat untuk memasuki syurga Allah hati itu mestilah hati yang bersih, sihat dan sejahtera.

Sebagaimana firman Allah SWT. yang bermaksud :"Wahai mereka yang berjiwa mutmainnah (tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) reda dan diredai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah Al-Fajr ayat 27-30).

No comments: