Monday, May 25, 2015

Solat Tahajud Adalah Amalan Orang Mukmin.

“Tahajud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajud dikerjakan dua rekaat.

1. Berdoa Sebelum Memulakan Solat Tahajud.

Dari Ibnu Abbas r.a : Apabila Rasulullah SAW  bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi SAW membaca : 

Wahai Allah.. Untuk-Mulah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk-Mulah segala puji. 

Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk-Mulah segala puji ; 

Cahaya langit dan bumi. Untuk-Mulah segala puji. 

Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar, 

Para Nabi Maha Benar dan Muhammad Sallallaahu ‘Alaihi Wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar. 

Wahai Allah..Aku pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum. 

Oleh  itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan. 

Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau ). 

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0581)

2. Bangun Di Waktu 1/3 Akhir  Malam.

Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda, “Allah Tabaaraka Wa Ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. 

Dia (Allah) berfirman : ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.” 

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0602)

3. Kebaikan Tahajud Menurut Al-Quran.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

1 comment:

Muji Anto said...
This comment has been removed by a blog administrator.