Saturday, April 10, 2010

Islam Dan Amalan Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,


Syukur kita ke hadrat Allah SWT, segala puji bagi Allah Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat-sahabatnya serta pengikut-pengikutnya sepanjang zaman hingga ke akhir zaman.

Umat Islam dewasa ini ramai telah meninggalkan amalan Islam, ilmu yang dimiliki hanya difikiran sahaja tetapi dari segi praktik kehidupan mengambil cara hidup selain cara hidup Islam.
Sebagaimana yang telah sama-sama kita fahami tentang ilmu-ilmu yang bermanafaat dan seumpamanya.  Marilah kita lihat beberapa kelebihan orang-orang yang berilmu adalah :-
1. Amalnya diterima oleh Allah s.w.t. (Imu adalah imam bagi amal).
2. Menjadi kekasih Allah.
3. Menjadi pewaris nabi-nabi.
4. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
5. Menghampiri darjat nabi-nabi kerana nabi-nabi adalah orang-orang yang berilmu.
6. Disihatkan tubuh badan oleh Allah.
7. Dimudahkan rezekinya oleh Allah (mendapat rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka).
8. Dipanjangkan umur oleh Allah.
9. Mendapat 500 darjat.
10. Diberi izin oleh Allah untuk memberi syafaat pada Hari Qiamat.
Permasalahan umat Islam pada hari ini semakin membimbangkan kita. Ini bagi orang-orang yang mengambil berat tentang perkembangan Islam terutamanya di masa kini. Bagi mereka yang mementingkan diri sendiri mereka tidak ambil peduli apa yang telah berlaku di dalam masyarakat kita.
Kita kena juga bagi peringatan kepada mereka yang sebegini bahawa mereka tidak termasuk ke dalam golongan umat Nabi Muhammad s.a.w., bagi sesiapa yang tidak mengasihi saudara-saudara Islamnya yang lain seperti tidak mengambil tahu tentang mereka, tidak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, dan sebagainya.
 
Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu mengasihi saudara-saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri."

Sahabat yang dimuliakan,
Persoalan yang dapat kita timbulkan ialah mengapa pada hari ini umat Islam memandang mudah tentang Islam dan tidak mahu lagi beramal dengan amalan-amalan Islam?
Pertama, mengapa kita begitu mengambil mudah dengan Islam? Satu sebabnya ialah kita memperolehi Islam dengan cara yang terlalu mudah dan tidak menempuh kesusahan sedikit pun, iaitu hanya melalui keturunan (melalui kedua ibu bapa kita yang Islam). Ibu bapa kita Islam, maka secara automatik kita tergolong sebagai orang Islam sejak kita dilahirkan. Kalau tidak sudah tentu kita juga tidak berpeluang untuk memperolehi nikmat Islam.
 
Kita tidak menempuh kepayahan dan kesusahan sepertimana orang-orang dahulu memperolehi Islam, iaitu melalui peperangan dan pertumpahan darah. Mereka bersusah-payah untuk memperolehi nikmat Islam, jadi mereka menghargai Islam yang diperolehi dengan sebaik-baiknya. Maka jadilah kita sebagai Islam baka (keturunan) semata-mata, tidak tahu tentang Islam.
 
Kita tidak belajar dan mengkaji Islam secara ilmiah dan bersungguh-sungguh. Kita belajar pun secara sambil lewa, sebagai sampingan sahaja menyebabkan kita jahil tentang segala perkara dalam agama kita sendiri.
 
Oleh itu bolehlah kita bahagikan Islam yang di anuti oleh masyarakat kita terbagi kepada tiga bahagian.
 
Pertama Islam Keturunan (mengikut saja Islam itu dari ibu bapa mereka)
Kedua Islam Taklid (mengikut saja ajaran Islam itu tanpa ilmu dan kefahaman)
Ketiga Islam Kefahaman Yang Sebenarnya. (memahami Islam dengan ilmu dan yakin dan mengamalkan ilmu tersebut).
 
Kedua, mengapa kita tidak lagi beramal atau mahu beramal dengan amalan-amalan Islam? Apakah kita dapat menerima secara rasional dan masuk akal bahawa kita orang Islam dan mengaku sebagai orang Islam tetapi tidak mahu mengambil dan mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Islam?
  
Apakah kita layak untuk terus menjadi orang Islam dengan tidak mengamalkan amalan-amalan Islam? Malah mengambil amalan-amalan selain Islam sebagai gantinya? Kita bukan sahaja tidak mahu beramal dengan amalan-amalan Islam, malah mengambil pula amalan-amalan bukan Islam. Kita menganggap bahawa Islam ini tidak sempurna, tidak sesuai untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman hidup.

Seolah-olahnya kita mencabar Allah s.w.t. dan mengatakan ada ajaran yang lebih baik selain daripada ajaran Islam.
  
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan rezekiKu untuk kamu dan Aku redha Islam sebagai agama bagi kamu."
(Surah al-Maidah ayat 3)
 
Tidak ada kekurangan pada Islam, yang kurangnya adalah kita yang serba kekurangan tetapi merasa diri serba lengkap. Agama dipandang tidak ada harga dan nilai dalam kehidupan. Agama hanya dilihat dari satu sudut sahaja iaitu agama adalah untuk beribadat semata-mata tanpa ada kaitannya dengan aktiviti kehidupan di dunia ini.
 
Kalaulah benar kita tidak memerlukan agama dalam kehidupan kita, tidak perlulah Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad saw ke dunia ini. Ini ada kaitannya dengan kesan peninggalan penjajah yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dahulu. Kejayaan penjajah yang paling berjaya adalah penjajahan akidah, penjajahan pemikiran, penjajahan sistem pemerintahan dan bukannya penjajahan negara.
 
Negara kita telah merdeka sejak 40 tahun yang lalu, tetapi kita belum lagi berjaya untuk memerdekakan sistem pemerintahan penjajah. Mereka tidak akan meninggalkan negara kita tanpa meninggalkan sesuatu yang mesti diwarisi oleh masyarakat di Malaysia ini, terutamanya orang-orang Islam.
 
Ramai di antara kita yang tidak merasakan agama adalah perlu dalam kehidupan dan ramai yang sudah tidak beramal dengan amalan-amalan Islam. Islam hanya tinggal nama sahaja, tidak lebih dari itu.
 
Mungkin sudah sampai masanya Islam itu akan kembali kepada asalnya. Nabi s.a.w menyatakan bahawa Islam itu pada asalnya adalah dagang, dan ia akan kembali dagang seperti asalnya. Yakni, pada zaman mula-mula Islam dahulu orang pelik tengok orang bersembahyang, mengikut sunnah Nabi s.a.w dan sebagainya. Dan ia akan kembali dagang semula seperti dahulu.
 
Pada hari ini ianya sudah menampakkan kebenarannya. Orang benci dan pelik melihat orang berjubah, memakai serban, memakai tudung labuh dan sebagainya lagi. Yang tak pelik kalau melihat orang tidak menutup aurat, memakai pakaian anjuran bukan Islam.
 
Kalau silap hari bulan, kita pun termasuk sama dengan orang-orang yang benci mengenainya, na'uzubillah. Kalau ada yang beramal dengan Islam pun tidak dengan sepenuhnya. Mana yang kita rasakan sesuai dengan nafsu kita, kita ambil dan mana yang tidak bersesuaian dengan nafsu kita, kita tinggalkan. Seolah-olah Islam ini kita yang punya.
 
Kononnya juga, kita ingin hidup sederhana. Inilah yang salah. Sederhana hingga akhirnya kita akan meninggalkan terus amalan-amalan Islam dan mengambil amalan-amalan lain terutamanya amalan-amalan barat sebagai ikutan. Bila ada orang atau pihak lain yang berusaha untuk menegakkan kebenaran hukum Islam dan beramal dengan amalan-amalan Islam, mereka akan dikatakan sebagai 'pelampau', 'ekstrim', 'keterlaluan' dan pelbagai tuduhan dan tohmahan, label yang sebenarnya datang dari orang-orang Yahudi dan Kristian yang tidak mahu melihat Islam yang sebenar itu muncul kembali bersinar di bumi Allah s.w.t ini. Kalau setakat Islam yang palsu dan secara 'sederhana' tidak menjadi masalah.
 
Sahabat yang dihormati,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Islam bermula dagang dan akan kembali dagang. Maka berbahagilah sesiapa yang melaksanakannya semasa dagang”
(Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu marilah kita sama-sama kembali mengambil Islam sepenuhnya mengikut acuan Islam sebenarnya bukannya mengikut acuan manusia, kerana acuan manusia akan membawa kepada kesesatan dan kehancuran.

No comments: