Sahabat yang dirahmati Allah,
Rahmat secara umumnya bermaksud kasih sayang kasih sayang antara Pencipta yang Maha Agong terhadap hamba-Nya.
Kita masih bernafas dan sihat tubuh badan kerana rahmat Allah. Kita telah diberi-Nya rezeki yang tak putus-putus, masih beriman dan bertaqwa dan masih berpeluang menjalani ibadah dan menikmati rezeki daripada Allah s.w.t. semuanya kerana rahmat Allah s.w.t.. Hidup dan mati kita, diterima-Nya amal ibadah dan amal soleh kita dihari akhirat dan dimasukkan kedalam Syurga-Nya seluas langit dan bumi adalah kerana rahmat-Nya.
Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )
Begitu juga dengan sabda Rasulullah s.a.w dari Abu Hurairah r.a maksudnya : "Allah s.w.t memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin , manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah s.w.t mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti."
(Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim )
Allah s.w.t yang Maha Pemurah memberikan rezeki kepada semua makhluknya yang hidup di dunia ini samaada mereka orang beriman atau orang yang tidak beriman dikalangan manusia dan jin . Tetapi Allah s.w.t memberi dengan penuh kasih sayang dan rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Sesungguhnya rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.
Sahabat yang dimuliakan,
Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api Neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam Syurga Allah s.w.t. adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah perlulah ada beberapa syarat yang terdapat di dalam al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w.
Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t.
Dosa yang paling besar disisi Allah s.w.t. adalah syirik kepada-Nya. Syirik terbahagi dua iaitu syirik besar (akbar) dan syirik kecil (tersembunyi). Allah s.w.t. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)
Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab,"Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).
Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah.
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah Al Insan, Ayat 25- 26)“
Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”(Surah Al A’raf, Ayat 205)
Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."(Hadis Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibn Majah)
Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah s.w.t. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)
Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.
Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)
Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.
Dihari akhirat Allah s.w.t tidak akan menerima amalan yan g dilakukan tidak ikhlas iaitu kerana riak dan mencari habuan dunia.Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah namun Islam membuat satu garis panduan unutk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.
Firman Allah s.w.t maksudnya :"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya." (Surah Al-Bayyinah ayat 5)
Al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”
Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan mengerjakan amal soleh.
Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam Syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”(Surah An-Nahl ayat 32)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :Itulah Syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”(Surah Al-A’raaf ayat 43)
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."(Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Apabila kita telah melaksanakan lima perkara yang tersebut di atas maka barulah kita layak mendapat rahmat Allah s.w.t. Mereka yang hidup di dunia ini bergelumang dengan maksiat, melakukan dosa , melanggar hukum-hukum Allah , bersikap sombong, riak dan takbur tidak mungkin akan mendapat redha , kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Pada hari ketika wajah mereka dibolak-balikkan di dalam Neraka, mereka berkata: sekiranya kami mentaati Allah dan Rasul-Nya. Dan mereka berkata: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Ya Tuhan kami, timpakan kepada mereka azab dua kali lipat dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar." (Surah Al-Ahzab ayat 66-68)
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Orang-orang yang merusak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di muka bumi, orang-orang itulah yang mendapat laknat dan lagi mereka yang memperoleh kediaman yang buruk (Jahannam)." (Surah Ar'd ayat 25).
Oleh itu marilah sama-sama kita mentaati Allah s.w.t. jauhkan daripada syirik, sentiasa berzikir, bertaubat, membuat amal soleh, amal kebajikan dan beribadah dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya.Semoga dengan ketaatan kita mengikut perintah Allah s.w.t. didunia dan meninggalkan larangan-Nya kita akan dikasihi oleh Allah s.w.t maka dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang-Nya, Dia akan memasuki kita ke dalam Syurga-Nya dengan rahmat-Nya.
No comments:
Post a Comment