Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu hadis yang sangat ringkas tetapi merangkumi perkara-perkara penting dalam ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dalam satu majlis. Alangkah baiknya jika hadis ini dapat kita hafal, fahami dan amalkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim Mukmin yang mengandungi banyak manfaatnya dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t.
Dari Salman r.a. berkata, "Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang 40 hadis yang baginda sendiri telah bersabda bahawa sesiapa di kalangan umat baginda s.a.w. yang menghafal hadis itu akan masuk Syurga.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya :
"1. Kamu beriman kepada Allah s.w.t.
2. Hari akhirat.
3. Para malaikat.
4. Kitab-kitab Allah.
5. Para Nabi.
6. Kebangkita selepas mati.
7. Takdir baik dan buruk adalah daripada Allah s.w.t.
8. Bersaksi bahawa tiada tuhan selain daripada Allah s.w.t dan sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul-Nya.
9. Mendirikan solah (fardu) pada waktunya dengan wudhu' yang sempurna.
10. Menunaikan zakat.
11. Berpuasa pada bulan Ramadhan.
12. Mengerjakan haji jika kamu mempunyai harta.
13. Hendaklah bersolah (sunat) sebanyak 12 rekaat dalam sehari semalam. (maksudnya solat sunat mengiringi solat fardu ; dua rekaat sebelum subuh, empat rekaat sebelum zuhur. dua rekaat selepas zuhur, dua rekaat selepas magrib dan dua rekaat selepas isyak)
14. Jangan kamu meninggalkan solat witir pada setiap malam.
15. Jangan kamu menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu pun.
16. Jangan kamu menderhakai kedua ibu bapamu.
17. Jangan kamu makan harta anak yatim secara zalim.
18. Jangan kamu meminum arak.
19. Jangan kamu berzina.
20. Jangan kamu bersumpah dusta dengan nama Allah s.w.t.
21. Jangan kamu memberi persaksian palsu.
22. Jangan kamu mengikut hawa nafsu.
23. Jangan kamu mengumpat saudaramu yang Islam.
24. Jangan kamu menuduh wanita yang suci dengan zina (demikian juga lelaki yang suci).
25. Jangan kamu berdengki terhadap saudara Islammu.
26. Jangan kamu bermain (dengan permainan yang sia-sia).
27. Jangan kamu leka bersama orang yang lalai.
28. Jangan kamu mengatakan kepada orang yang pendek :"Wahai sipendek" dengan niat yang mengaibkannya.
29. Jangan kamu mempersenda-sendakan seseorang pun dikalangan manusia.
30. Jangan kamu membawa mulut (mengadu domba) antara dua orang yang bersaudara.
31. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t. di atas nikmat-Nya.
32. Bersabarlah di atas bala dan musibah.
33. Jangan kamu berasa terselamat daripada azab Allah s.w.t.
34. Jangan kamu memutuskan tali persaudaraan.
35. Eratkan tali persaudaraan dengan ahli keluargamu.
36. Jangan kamu melaknat sesuatu pun daripada makhluk ciptaan Allah s.w.t.
37. Perbanyakkan sebutan Subhanallah, Alhamdulillah dan Lailahaillallah.
38. Jangan kamu meninggalkan solah Jumaat dan solah dua hari raya.
39. Ketahuilah bahawa apa-apa (susah atau senang) yang telah ditakdirkan untuk kamu pasti tidak akan terlepas daripada kamu dan apa-apa sahaja yang tidak ditakdirkan untuk kamu, pasti tidak akan datang kepada kamu.
40. Jangan meninggalkan membaca al-Qur'an walau dalam apa-apa keadaan sekalipun."
Salman r.a berkata bahawa beliau telah bertanya Nabi s.a.w. tentang ganjaran yang akan diberi untuk sesiapa yang menghafal hadis tersebut. Baginda menjawab : "Allah s.w.t akan membangkitkan mereka bersama dengan para Nabi dan ulama'. "
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hafal. fahami dan laksanakan 40 perkara yang dinyatakan di dalam hadis di atas. Semoga Allah s.w.t mengampuni kesalahan-kesalahan kita dan dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya. Dia akan masukkan kita ke dalam golongan hamba-Nya yang soleh. Kurniaan ini adalah tidak mustahil memandangkan kedudukan Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah akau bertawakkal dan hanya kepada-Nya akau kembali."
(Surah Hud ayat 88).
No comments:
Post a Comment