Tuesday, October 12, 2010

Sebelas Nasihat Sayyidina Ali k.w.

Sayyidina Ali k.w berkata :

1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu' ;

2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia. ;

3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.;

4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' (memelihara diri dan  hati-hati dari dosa). ;

5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi. ;

6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki. ;

7. Do'a yang paling sempurna ialah do'a yang dilandasi keikhlasan. ;

8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,

9. Siapa yang banyak salahnya,maka hilanglah harga dirinya,

10. Siapa yang hilang harga dirinya, berarti dia tidak wara',

11. Sedang orang yang tidak wara' itu berarti hatinya mati.

Sahabat yang dimuliakan,
Sayyidaina Ali k.w adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang memiliki cukup tinggi ilmunya. Kata-katanya merupakan mutiara hikmat yang amat berguna untuk kita ambil sebagai pengajaran.

Nabi s.a.w.bersabda maksudnya : “Aku adalah gedung ilmu dan Ali adalah pintunya”.

Terdapat 11 nasihat Sayyidna Ali k.w.

1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu' ;

Imam Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah s.w.t., ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.

2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia. ;

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)

3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.;

Wasiat Nabi s.a.w. kepada Sayyidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang membaca Al-Quran, dan tidak menghalalkan yang halal serta tidak mengharamkan yang haram, maka ia termasuk orang-orang yang membuang kitab Allah (Al-Quran) di belakang punggungnya (meninggalkan Al-Quran)."

4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' (memelihara diri dan  hati-hati dari dosa). ;

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa."(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sikap wara'. Sikap wara' adalah sikap berhati-hati dalam menghindari larangan Allah s.w.t. Sikap ini amat jelas terdapat pada diri Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat baginda. Sikap wara' pada masa itu telah menjadi suatu amalan yang di hayati oleh generasi awal. Sehingga kurun tersebut dianggap sebagai kurun terbaik dalam sejarah umat Islam.

5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi. ;

Orang yang beriman adalah insan yang bersih hati dan jiwanya daripada bersangka buruk kepada saudaranya yang lain. Dia juga tidak akan menyakiti Muslim lain dengan lidah dan tangannya. Dari hati dan jiwa yang bersih ini akan melahirkan kasih sayang semata-mata kerana Allah s.w.t.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya, siapakah yang paling mulia diantara manusia?. Nabi s.a.w. menjawab yang bermaksud : "Setiap orang yang hatinya 'makhmum' dan lidahnya jujur."

Sahabat r.a bertanya, "Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang di maksudkan dengan hati 'makhmum'? Baginda menjawab, "Makhmum' ialah orang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikitpun perasaan dengki atau irihati padanya."

6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki. ;

Nikmat yang kekal yang paling baik adalah nikmat mendapat pahala dan redha Allah s.w.t. Balasannya bukan di dunia tetapi balasannya adalah di hari akhirat iaitu dengan balasan Syurga.

Rasulullah shallallaahu alaihi wa sallam bersabda maksudnya :  “Sesungguhnya Syurga terdiri atas seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya”.

Tingkatan Syurga yang paling tinggi ialah Firdaus. Nabi memerintahkan ummatnya untuk berdo'a memohon Firdaus melalui sabdanya yang bermaksud :  “Jika kalian meminta pada Allah mintalah kepadaNya Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah Syurga yang paling utama, dan merupakan tingkatan tertinggi dari Syurga, diatasnya terdapat ‘Arsy Ar Rahman dan dari Firdaus itulah memancar sungai-sungai Syurga”.

7. Do'a yang paling sempurna ialah do'a yang dilandasi keikhlasan. ;

Firman Allah, “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (Al-Baqarah: 186)

Keikhlasan merupakan poros semua amalan dan ibadah, termasuk dalam berdo'a.  Do'a orang yang ikhlas, akan lebih didengar dan diperhatikan oleh Allah. Allah Subhanahu wa ta’alla berfirman,

ۧۯْŰčُÙˆŰ§ Ű§Ù„Ù„َّهَ مُŰźْلِŰ”ِينَ لَهُ Ű§Ù„ŰŻِّينَ وَلَوْ كَ۱ِهَ Ű§Ù„ْكَŰ§Ùِ۱ُونَ

“ Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya.” (Surah Ghafir ayat14).

8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,

Hadis riwayat Mughirah bin Syu`bah Radhiyallahu’anhu:Dari Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam., baginda bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan atas kamu sekalian; mendurhakai ibu, mengubur anak-anak perempuan dalam keadaan hidup, (prilaku) menahan dan meminta. Dan Allah juga tidak menyukai tiga perkara yaitu; banyak bicara, banyak bertanya serta menyia-nyiakan harta. (Shahih Muslim)

Banyak berbicara jika tidak berhati-hati dikhuatiri akan berlaku mengumpat atau memfitnah orang lain. Nabi s.a.w ada menyatakan yang banyak memasukkan seseorang ke dalam Neraka adalah disebabkan lidah dan kemaluan manusia.

9. Siapa yang banyak salahnya,maka hilanglah harga dirinya,

Orang yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat maka akan mendapat dosa. Dosa-dosa ini sebenarnya boleh menghilangkan harga diri seseorang. Di dunia ia dipandang hina oleh manusia dan dihari akhirat Allah s.w.t akan menghinanya pula.

Abdullah bin Mubarak berkata:“Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna  menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”

10. Siapa yang hilang harga dirinya, berarti dia tidak wara',

Jiwa seorang Mukmin sentiasa berhat-hati di dalam kehidupan di dunia ini, sentiasa peka dan sensitif kalau-kalau ada perbuatan, percakapan dan niat dihatinya yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Dia bukankan saja meninggalkan yang haram tetapi dia juga meninggalkan perkara-perkara yang makruh , syubhah dan boleh mendatangkan fitnah. Orang yang telah hilang harga dirinya sebenarnya ia tidak bersifat wara'

11. Sedang orang yang tidak wara' itu berarti hatinya mati.

Orang yang tidak wara' sebenarnya hatinya telah mati, dan orang yang wara' hatinya hidup dan merasa sensitif dengan kebaikan atau kejahatan.

Kepekaan hati untuk mengenal perkara yang hak dan batil di sebut sebagai 'furqan' (pembeza). Jiwa yang memiliki 'furqan' akan segera mengesan dan membezakan antara yang hak dan yang batil. Hanya seseorang yang mempunyai sifat wara' akan dapat merasakan perasaan seperti ini dan hatinya terasah dengan baik akan mempunyai perasaan yang kuat. Hatinya akan menjadi sensitif terhadap kebatilan dan amat peka dengan kebenaran.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Al-Birr (kebaikan) itu adalah akhlak yang baik manakala dosa itu segala sesuatu yang terasa tidak tenang dalan hati serta dikhuatiri diketahui oleh orang lain." (Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dan pengajaran daripada 11 perkara nasihat Sayyidan Ali k.w. Semoga dengan panduan dan pengajaran tadi dapat membimbing kita kejalan yang hak dan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

 


No comments: