Friday, January 14, 2011

Hayatilah Lima Pengajaran Daripada Kisah Nabi Terdahulu.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. ke muka bumi ini adalah untuk mengajak  manusia untuk beriman kepada Allah S.W.T. , patuh kepada syariat yang dibawa dan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Di bawah ini dibawakan satu kisah Nabi yang terdahulu yang diceritakan oleh Nabi S.A.W. sebagai pengajar kepada umatnya.

"Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku  diperintahkan memakan perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintah-Mu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T.  bahawa tafsirannya adalah seperti berikut :
"Pertama :  Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kedua :  Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (S.A.W.) - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat).
(Surah Muhammad ayat 2)

Ketiga : Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".(Surah an-Nisa' ayat 58)

Keempat : Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
 
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Kelima : Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang atau mengumpat). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah S.A.W. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah S.A.W. ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah S.A.W. " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Terdapat sebuah hadis daripada Nabi S.A.W. mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T. : "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Sahabat yang dimuliakan,
Kisah Nabi terdahulu dalam hadis ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah perasaan marah, melaksanakan amal kebajikan dan kebaikan, melaksanakan amanah, membantu mereka yang berhajat kepada pertolongan dan perbuatan suka mengumpat.

Oleh itu renungkanlah kelima-lima perkara tersebut sebagai pengajaran untuk kita hayati di dalam kehidupan kita semata-mata mencari keredaan Allah S.W.T.

No comments: