Thursday, July 30, 2009

Keadaan Roh di Saat Kematian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut sampai ke perut dan dari perut sampai ke dada dan kemudian mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasulullah SAW. lagi :

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril a.s. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibril a.s."

"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibril a.s. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."

Dari sebuah hadis yang lain bahawa Allah SWT  menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata :

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT.."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT. berfirman yang bermaksud : "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah SWT. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang -alik mengerjakankan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut nyawa orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT. berfirman yang bermaksud : "Wahai malaikat-Ku, tulis Asma-Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah s.w.t.. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah SWT. maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. "

Saidina Abu Bakar r.a. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a. :
"Roh itu menuju ketujuh tempat :
1.Roh para Nabi dan Rasul menuju ke Syurga Adnin.
2.Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3.Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga 'Illiyyin.
4.Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6.Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka di seksa berserta jasadnya sehingga sampai hari kiamat."

Telah bersabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kubur :
1.Orang yang mati syahid
2.Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadan.
3.Orang berpuasa di hari Arafah."

Kisah orang beriman, Bidadari menantinya...
Berkata Sunaid bin Daud, telah berbicara kepadaku anak saudaraku, Juwairiyah bin Asmaa', katanya : "Kami pernah berada di Abbadan, maka telah datang menemui kami seorang pemuda dari Kufah. Pemuda itu adalah seorang yang kuat beribadah. Kemudian pemuda itu meninggal dunia pada hari yang sangat panas. Maka aku berkata : "Biarlah kita tunggu waktu teduh sedikit, barulah kita pergi menanamnya."

Aku tertidur, maka aku lihat seolah-olah aku sedang berada di sebuah tanah perkuburan. Di sana terlihat sebuah kubah yang berkilau-kilau cahayanya, sangat indah sekali. Sedang aku melihat kepadanya , tiba-tiba ia terbelah dua dan keluarlah daripadanya seorang jariah (bidadari), yang belum pernah kulihat jariah secantiknya sebelum ini.

Jariah itu datang kepadaku, seraya berkata : "Atas nama Allah, kuharap janganlah engkau tahan pemuda itu sehingga waktu petang!" Maka ketika itu aku sedar dari tidurku dalam keadaan terperanjat lalu aku segerakan menguruskan jenazahnya. Aku menanamnya di tempat aku bermimpi melihat kubah yang indah itu."

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia akan menemui kematian dan saatnya akan tiba bila-bila masa tanpa kita ketahui waktunya. Oleh itu pertingkatkanlah amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan semoga amalan kita ini dapat menjadi bekalan dan teman ketika kita bertemu dengan Allah SWT nanti di alam barzakh dan hari akhirat.

No comments: