Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nasihat- menasihati membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kerugian. Ianya untuk semua golongan manusia. Maka nasihat membawa maksud untuk membaiki keadaan yang rosak atau untuk meningkatkan mutunya dan inginkan kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Deen itu ialah nasihat. Mereka (sahabat-sahabat r.hum) bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab, untuk Allah, dan kitab-Nya, dan Rasul-Nya, dan imam-imam muslimin, dan seluruh muslimin." (Hadis Riwayat Muslim)
Ternyata perlaksanaan Islam sangat dipengaruhi oleh kemahuan memberi dan menerima nasihat. Para ulama' merumuskan bahawa peredaran Islam berpaksi pada hadis tersebut di atas. Islam berkembang dan membangun apabila nasihat-menasihati tersebar luas.Dan sebaliknya apabila umat Islam meninggalkan nasihat-menasihati maka akan berlakulah kelemahan dan menuju kehancuran. Berdasarkan hadis tersebut huraiannya adalah seperti berikut :
Nasihat Untuk Allah :
Maksudnya ialah kita beriman kepada Allah sepenuhnya tidak ragui-ragu, matlamat hidup semata-mata mencari keredhan-Nya, marah dan benci kerana-Nya, iltizam dan terikat dengan syariat-Nya.
Nasihat Untuk Kitab :
Maksudnya ialah mengimani kitab suci al-Qur'an dan sumber-sumber senawi-Nya. Membaca,memahami dan melaksanakan tuntutan yang terkandung dalam kitab Allah ini.
Nasihat Untuk Rasulullah SAW :
Maksudnya ialah meyakini dan akur kepada risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. untuk menyelamatkan umat manusia. Melaksanakan sunnah dan ajaran yang dibawa baginda meliputi semua urusan duniawi dan ukrawi. Kita juga perlu mengimani bahawa jalan hidup yang berjaya ialah jalan hidup berdakwah kepada kebaikan Islam.
Nasihat Untuk Imam-imam Muslimin :
Maksudnya ialah seqah (yakin) dan taat kepada pemimpin-pemimpin Islam (yang melaksanakan al-Quran dan As-Sunnah) dan menegur mereka bila mereka menyeleweng.Imam dan ulama pewaris Nabi ini bersedia menerima teguran dari umat Islam.
Nasihat Untuk Seluruh Muslimin :
Sesama muslimin juga diberi tauliah saling nasihat- menasihati agar kesejahteraan Islam terpelihara. Hal ini dituntut sehingga menjadi satu daripada hak sesama muslim, iaitu memberi nasihat apabila dipinta.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat, maka nasihatlah ia."
(Hadis)
Telah menjadi satu penghayatan di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. apabila mereka bertemu mereka bertanya khabar untuk mengetahui iman masing-masing.
"Apa khabar iman kamu?" dan apabila berpisah mereka membaca Surah al-'Ashr yang mengandungi nasihat padat supaya tidak sia-siakan umur malah terus beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran dan saling berpesan supaya istiqamah dan berterusan dengan Islam.
Terdapat dua jalan untuk melaksanakan nasihat-manasihati :
1.Melalui Jalan Mengajar (ta'alim).
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Sebaik-baik kamu ialah yang membaca al-Quran dan mengajarkan kepada manusia".
(Hadis Riwayat Bukhari)
Ilmu yang asas adalah ilmu Fardu Ain merangkumi ilmu tentang aqidah Islam, feqah dan tasauf. Termasuk juga ilmu hadis dan tafsir al-Quran. Orang-orang yang tinggi kedudukannya disisi Allah adalah orang yang berilmu. Pastilah akan lahir mesyarakat yang baik sekiranya ahli masyarakat hampir dengan Allah SWT.
2.Lisan yang Sejahtera :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Percakapan anak Adam merugikannya kecuali (yang berunsur) amar makruf nahi mungkar dan mengingati Allah."
(Hadis)
Imam al-Ghazali berpendapat orang yang berilmu serta arif dalam percakapan lebih diutamakan bergaul dengan orang ramai daripada beribadah sunat demi membimbing mereka ke jalan kebenaran.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita nasihat menasihat kepada kebenaran dan nasihat menasihati untuk sentiasa bersabar.
Fudhail bin 'Iyad berkata, "Orang yang paling berjaya disisi kami ialah bukan mereka yang banyak solat dan puasa tetapi diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan nasihat terhadap umat. Dakwah juga adalah dalam rangka memenuhi tuntutan nasihat-menasihati agar orang yang didakwahkan menghindarkan keburukan yang dilakukan sebelumnya serta membaiki dan membina dirinya menjadi Muslim Mukmin yang sebenar."
Kita perlu membina persekitara yang baik (biah solehah) supaya proses nasihat-menasihati dapat berfungsi dengan baik dan memberi kesan dalam hati manusia. Oleh itu proses tarbiyyah perlu berjalan dalam suasana yang harmoni dan berterusan.Apabila tugas dakwah, tarbiyyah dan nasihat-menasihati berjalan kita akan berjaya menjadi khalifah Allah dimuka bumi ini dan insya Allah akan dapat ganjaran yang besar disisi Allah s.w.t. diakhirat nanti.
No comments:
Post a Comment