Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setelah seratus tahun tahun berlalu, Allah SWT mengutuskan malaikat untuk membangunkan Nabi Uzair a.s. Dalam keadaan terpinga-pinga Nabi Uzair pun bangun. Alangkah terkejutnya Nabi Uzair a.s. apabila melihat keadaan di situ sudah banyak berubah. Di mana keldai yang selalu menjadi tunggangannya? Sedangkan sebelum tidor, keldainya itu telah ditambat pada sebatang pokok yang menjadi tempatnya berteduh.
Malaikat bertanya : "Berapa lamakah kamu tertidur wahai Uzair?"
"Saya rasa saya telah tertidur selama sehari atau setengah hari," jawab Nabi Uzair.
"Sesungguhnya kamu telah tertidur selama seratus tahun. Lihatlah makanan dan minuman kamu, semuanya tidak berubah seperti asalnya. Tetapi lihatlah keldaimu. Ia telah terbaring mati selama seratus tahun, kini bangkainya telah berubah menjadi selonggok debu tanah.
Nabi Uzair melihat kearah makanannya semuanya masih segar dan sedia dimakan. Tetapi keldainya sudah pun menjadi selonggok debu tanah. Nabi Uzair pelik dengan keadaan ini. Benarkah dia telah tertidur selama seratus tahun? Dengan kuasa Allah SWT., tiba-tiba longgokan tanah itu bergerak dan berubah menjadi tulang-tulang yang tersusun rapi. Kemudian, tumbuh daging membentuk tubuh keldai. Akhirnya, keldai Nabi Uzair bangkit semula daripada kematiannya setelah seratus tahun dengan cara yang menakjubkan.
Nabi Uzair a.s. sedar bahawa Allah SWT sedang memberi peringatan kepadanya kerana persoalan yang bermain di fikirannya tentang kuasa Allah SWT dalam menghidupkan orang-orang yang telah mati.
"Astaghfirullah, kini aku benar-banar yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." ucap Nabi Uzair."
Nabi Uzair kembali ke kampungnya yang kini telah berubah menjadi bandar besar. Tidak ada seorang pun penduduk di situ yang mengenali Nabi Uzair. Begitu juga Nabi Uzair yang tidak pernah melihat mereka semua sebelum ini. Sehinggalah apabila Nabi Uzair bertemu dengan perempuan tua yang buta dan pernah bekerja sebagai pembantu di rumahnya dahulu.
Apabila Nabi Uzair memperkenalkan dirinya, perempuan tua itu menangis lalu berkata : "Uzair adalah Nabi Allah yang mulia. Teladan dan ajarannya kekal diamalkan oleh Bani Israil sehingga sekarang. Salah satu keistimewaan Uzair ialah ucapannya sentiasa didengar dan dikabulkan Allah SWT. Kalau benar engkau adalah Uzair, maka buktikanlah."
Nabi Uzair mengangkat tangan dan berdoa agar Allah mengembalikan pengelihatan perempuan tua itu. Ketika itu juga pengelihatan perempuan itu pulih seperti sedia kala. Dia amat terkejut apabila mendapati tuannya hilang seratus tahun kini sedang berdiri di hadapannya. Kedatangan Nabi Uzair dengan cerita tidurnya selama seratus tahun telah mengemparkan seluruh masyarakat Bani Israil. Mereka gembira kerana Allah SWT telah mengembalikan Nabi Uzair kepada mereka.
Sahabat yang dimuliakan,
Kisah Nabi Uzair a.s. terdapat dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 259 yang bermaksud : "Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun , kemudian menghidupkannya kembali..."
Pengajaran yang boleh diperolehi daripada kisah ini adalah bagaimana Allah SWT Maha Berkuasa Menghidupkan dan Mematikan manusia yang dikehendaki-Nya sebagai iktibar bahawa amat mudah bagi Allah SWT menghidupkan manusia. Semua kekuasaan dan kehebatan adalah milik Allah SWT, manusia wajib meyakini dan reda di atas qadak dan qadar Allah SWT.
No comments:
Post a Comment