Sunday, August 2, 2009

Persiapan Diri Untuk Menyambut Kedatangan Ramadan al-Mubarak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin yang hati dan jiwanya sentiasa berhubung dengan Allah akan menanti kehadiran Ramadan al-Mubarak adalah umpama penantian sepasang suami isteri yang bahagia menanti kelahiran anak pertama mereka, dengan penuh gembira dan debaran. Persiapan dibuat rapi, persalinan dan pakaiannya telah disediakan awal, takut bila-bila masa, bayi yang dinanti akan lahir kedunia.

Apakah kita merasai perasaan yang sama? Berapa kalikah dalam kehidupan kita telah kita lalui kehadiran Ramadan, adakah setiap kali ia datang telah menambahkan takwa kita kepada Allah? Atau adakah ia datang dan pergi sama dengan bulan-bulan yang lain?

Tinggal beberapa hari lagi bulan Ramadan akan tiba, oleh itu saya mengajak diri saya dan diri saudara, untuk Ramadan kali ini kita membuat persiapan awal lebih rapi dan teliti. Kita penuhi keperluan empat fakulti insan iaitu persiapan jiwa (spritual), fikiran (mental), perasaan (emosi) dan badan (fizikal). Apabila lengkap persiapan ini, insya Allah kualiti puasa dan ibadah kita akan lebih baik untuk kita persembahkan kepada Allah SWT.

Terdapat sepuluh persiapan untuk kita menyambut kedatangan Ramadan al- Mubarak :

1.Berdoa kepada Allah SWT. semuga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan ketika kedatangan bulan Ramadan (persiapan spritual) :

"Ya Allah! Berkatilah kami didalam Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kebulan Ramadan"

2.Bersyukur dan memuji Allah diatas kedatangan bulan Ramadan.(persiapan spritual)

3.Gembira dan teruja dengan Ramadan (persiapan emosi) :

Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :

"Apabila tibanya malam bulan Ramadan syaitan dan jin jahat diikat, ditutup pintu-pintu neraka, dibuka pintu-pintu syurga dan malaikat menyeru, 'Hai mereka yang mencari kebaikan ayuhlah, hai mereka yang mahu melakukan kesalahan tangguhlah,' setiap malam Allah akan memerdekakan hambaNya dari api neraka."

4.Menyediakan perancangan yang rapi untuk manfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.berazam untuk khatam 30 juzuk al-Quran (persiapan fizikal)

5.Membuat keazaman yang jujur untuk merebut dan memenuhkan setiap masa didalam bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan yang soleh,memulakan bersedekah, mengasihi , merai dan mengingati anak-anak yatim dan membatu fakir miskin (persiapan emosi)

6.Mempelajari dan memahami hukum hakam berkaitan Ramadan. (persiapan mental)

7.Kita menyambut kedatangan Ramadan dengan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan kesemua dosa dan maksiat.dan berazam untuk mendapat malam Lailatul qadar (lebih baik dari seribu bulan) - persiapan spritual.

8.Membaca buku-buku, ceramah serta pengajian yang dapat menyemarakkan semangat untuk melakukan ketaatan didalam bulan Ramadan (persiapan mental dan fizikal)

9.Membuat persiapan menjadi pendakwah didalam bulan Ramadhan iaitu menyebarkan risalah-risalah dan adakan perbincangan yang berkaitan puasa dan hukum-hukumnya (persiapan mental dan fizikal)

10.Membukukan lambaran baru hubungan kita dengan :

a. Allah SWT iaitu bertaubat dan berdoa dan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

b.Rasulullah s.a.w. iaitu mentaati segala perintahnya dan menjauhi larangannya dan mengamalkan sunnahnya.

c. Ibu bapa , suami, isteri,anak-anak dan saudara mara iaitu dengan melakukan kebaikan dan menyambung hubungan silaturrahim.

d.Mesyarakat iaitu membina perhubungan persaudaraan Islam dan mendidik mereka untuk menjadi hamba Allah yang soleh dan bertakwa.

Sahabat yang dimuliakan,
Setelah kita atur semua program dan perancangan yang akan kita laksanakan dalan bulan Ramadan ini, kita perlu pastikan dihari pertama Ramadan terus dilaksanakan tanpa ada apa-apa alasan, beristiqamahlah hingga akhir bulan Ramadan. Insya Allah ibadah puasa yang kita laksanakan akan mendapat markah penuh iaitu bertakwa kepada Allah SWT.

No comments: