Thursday, August 6, 2009

Pesanan Luqman al-Hakim Kepada Anaknya.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
 Luqman al-Hakim adalah ahli hikmah yang mana namanya disebut di dalam al-Quran dan terdapat satu surah di dalam al-Quran iaitu Surah Luqman. Kata-kata nasihatnya umpama mutiara yang berharga dan boleh dijadikan panduan dalam kehidupan ini. Terdapat lima kata-kata nasihatnya :

Pertama : Hai anakku, jangan kau memerangi yang berdagang, jangan duduk bersama orang yang bodoh dan jangan bergaul dengan orang yang dua muka.

Luqman menasihati anaknya supaya jangan bermusuh dengan ahli perniagaan dan jangan mengambil orang jahil dan orang yang dua muka (munafik) sebagai teman dalam kehidupan kerana mereka boleh mempengaruhi akhlak dan keperibadian kita.

Kedua : Hai anakku, layanilah orang kecil sesuai dengan kecilnya, layanilah orang besar sesuai dengan kedudukannya, orang jahil sesuai berdasarkan kekurangan (ilmu) nya dan orang alim sesuai dengan kelebihannya.

Luqman mengajar anaknya supaya dapat mempersesuaikan diri dengan berbagai golongan manusia. Maksudnya pendidikan atau tarbiah atau perhubungan kita dengan seseorang yang mempunyai  latar belakang yang berbeza  perlulah diambil kira barulah ianya menepati sasarannya. Contoh jika kita berhadapan dengan orang bodoh (jahil) maka kita perlulah memberi didikan supaya mereka dapat tarbiah dan ilmu daripada kita, sebaliknya pula apabila  kita berhadapan dengan orang alim kita perlulah menghormatinya dan menimba ilmu yang bermanfaat daripadanya.

Ketiga : Hai anakku, jika benar ikhlas semasa berkata benar dan lemah lembut dan air muka yang jernih, tentu manusia akan mengasihimu, mereka akan membalasi engkau dengan (kebaikan) senilai emas dan perak.

Luqman mengajar anaknya supaya sentiasa bersifat ikhlas, berkata benar, lemah lembut dan air muka yang jernih kerana sifat-sifat yang mulia ini akan menjadikan manusia akan mengasihi kita dan dibalas dengan kebaikan.

Keempat : Jangan engkau bercakap dengan manusia sambil berpaling muka, nanti mereka membencimu, dan Allah lebih lagi akan murka padamu.

Pesanan Luqman lagi apabila bercakap dengan manusia perlulah jangan memalingkan muka kerana  cara ini dibenci oleh manusia dan Allah SWT sendiri membencinya. Nabi SAW sendiri apabila bercakap akan dihadapkan wajah baginda kepada orang yang ajak bercakap, ini adalah akhlak Islam yang diajarkan oleh baginda.

Kelima : Bersedekahlah kau dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu, kelak Dia akan menambahi kau dengan banyak kurnia-Nya dan akan padamlah kemurkaan-Nya kepadamu.

Luqman memberi nasihat supaya anaknya memperbanyakkan bersedekah kerana amalan bersedekah adalah amalan yang baik yang amat di tuntut oleh Islam. Sesiapa yang suka bersedekah maka Allah SWT akan menambahkan rezeki untuknya dan akan dihindari daripada kemurkaan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi.
Marilah kita amalkan bersama lima nasihat Luqman kepada anaknya ketika beliau memberi kata-kata nasihat seperti di atas. Nasihat ini amat berguna dan dapat membantu kita untuk menjadi mukmin yang berakhlak mulia dan dikasih oleh Allah SWT.

No comments: