Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Salafusoleh pernah berkata, "Adakalanya seorang yang melakukan kesalahan akhirnya masuk ke syurga dan adakalanya seorang hamba yang melakukan ketaatan di campakkan ke neraka." Salah seorang yang mendengar ucapan itu bertanya :
"Bagaimana itu boleh terjadi?"
Lalu beliau menjawab, "Dia melakukan dosa dan dosa itu selalu tampak di matanya. Ketika berdiri, duduk dan berjalan dia selalu teringat kepada dosa-dosanya yang menyebabkan hatinya hancur lalu segera bertaubat, menyesal dan memohon keampunan Allah SWT sehingga keadaan itu menyelamatkannya."
"Sementara orang yang melakukan kebaikan, selalu melihat kebaikan itu di depan matanya. Apabila dia berdiri, duduk dan berjalan semua kebaikan yang telah dilakukannya itu selalu diingat sehingga dia menjadi takbur, ujub dan merasa telah mendapat rahmat dari Allah SWT. Padahal situasi itu menjadi sebab kebinasaannya."
Menurut Ibnul Qayyim bahawa perkataan Salafusoleh itu bermaksud, "Apabila Allah menghendaki sesuatu kebaikan kepada seorang hamba, maka Allah juga berhak memberinya dosa yang menyebabkan hatinya hancur, tidak ujub dan tidak takbur. Akhirnya, dosa yang telah dilakukan itu lebih bermanfaat dari semua ketaatan yang dilakukannya."
Namun, hanya taubat yang sungguh-sungguh dan penuh penyesalan sahaja akan menyelamatkan seorang hamba yang berdosa itu dari seksa api neraka, umpama ubat yang diminum untuk mengeluarkan penyakit dari tubuh orang yang sakit."
Sahabat yang dimuliakan,
Masuknya kita ke syurga bukannya dengan amal soleh yang kita lakukan tetapi masuknya kita ke syurga Allah SWT adalah kerana rahmat-Nya. Walaubagaimana pun kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan amal soleh di dunia ini sebagai seorang hamba yang taat dan patuh kepada perintah-Nya. Oleh itu disamping kita mengerjakan amal soleh kita perlulah sentiasa bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT kerana ditakuti terdapat di dalam amalan-amalan kita sifat riak, sombong dan ujub. Sifat-sifat mazmumah ini akan merosakkan amal-amal soleh kita.
Kita juga dituntut untuk berdoa supaya sentiasa istiqamah dengan iman dan Islam dan mengharapkan rahmat dan reda Allah SWT sepanjang masa.
Oleh itu sepakat para ulama menyatakan bahawa taubat adalah dituntut sepanjang masa atas semua muslimin. Walaupun ia boleh menunaikan tanggungjawab di sisi Allah ia tetap bertaubat kerana mungkin ada lintasan hati yang merosakkan amalnya.
No comments:
Post a Comment