Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling unik, paling hebat dan paling gagah. Sebagai Khalifah Allah di muka bumi, mereka telah dibekalkan dengan potensi-potensi diri yang hebat untuk mencapai kecemerlangan di dalam hidup. Dengan potensi fizikal, akal, emosi dan ruh, seseorang itu boleh melangkaui segala kejayaan yang dicapai orang lain. Manusia benar-banar dicipta untuk berjaya.
Tidak kira siapa kita, baik sebagai anak, ibu bapa, usahawan, pelajar, guru, pendakwah, pemimpin masyarakat dan sebagainya, kita semua mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan cemerlang. Bukankah kelahiran kita kedunia ini hasil kejayaan 'perjuangan' kita di alam rahim dahulu? Sebenarnya, detik awal kehidupan kita sudah pun dimulai dengan kejayaan!
Kerana itu, mengapa harus kita hilang peduman, lemah semangat, putus asa dan berserah pada takdir semata? Kegagalan bukan untuk ditangisi, tetapi suatu momentum untuk kita bangkit kembali. Bukankah dunia ini tempat ujian? Maka gunakanlah seluruh potensi diri untuk menghadapinya.
Orang mukmin adalah mereka yang memiliki sifat takwa dan yang paling layak dan paling berpotensi untuk berjaya, kerana mereka memiliki iman. Iman mendorong mereka kepada kejayaan, sumber motivasi ketika menghadapi kegagalan dan ukuran sebenar sesuatu kejayaan itu.
As Syahid Syed Qutb rahimahullah telah bermadah :
Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil
Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya
Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah
Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya
Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya
Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu.."
(Surah al-Hujurat ayat 15)
Sahabat yang dikasihi,Hati orang-orang yang beriman tidak pernah ragu-ragu kepada Allah dan Rasul-Nya, yakin pada rukun-rukun iman yang lain, dengan keyakinan inilah lahir ubudiyah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. dan melahirkan amal-amal soleh.
Oleh itu, rasailah kehebatan diri sebagai orang-orang yang beriman dan sebagai orang mukmin dan mulakanlah langkah untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment