Monday, August 3, 2009

Kisah Pertemuan Asma' bt Yazid Dengan Rasulullah SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu ketika pada zaman Rasulullah SAW, berlaku kemuskilan di kalangan kaum wanita. Mereka ingin bertanya kepada Rasulullah SAW  apakah peranan wanita hanya bertumpu di rumah sebagai ibu dan isteri tidak sebagaimana kaum lelaki. Maka mereka pun meminta Asma' bt Yazid menanyakan hal ini kepada Rasulullah SAW.

"Wahai Rasulullah, saya datang ini sebagai wakil muslimah untuk membawa suara hati kami. Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kamu kepada kaum lelaki dan kaum wanita sekeliannya. Kami percaya kepadamu dan Tuhanmu. Cuma kami ingin penjelasan dari pihakmu apakah peranan kami hanya di rumah melayan suami, mengasuh anak-anak dan melahirkan anak-anak suami sahaja? Sedangkan kaum lelaki pula bidangnya lebih luas, menziarahi orang sakit, menyaksikan jenazah, mengerjakan haji dan berjihad. Kami seringkali ditinggalkan. Kamilah yang menjaga hartanya dan anak-anaknya. Apakah tidak ada peluang bagi kami menyamai pahala mereka?"

Maka Rasulullah berpaling kepada sahabat dan bertanya, "Pernahkah kamu semua mendengar satu persoalan yang baik dan bijak dalam menyelesaikan masaalah agama dari seorang wanita sepertinya?"

"Tidak," jawab sahabat.

"Kami tidak pernah melihat seorang wanita yang begitu berani mengemukakan permasalahan seperti ini wahai Rasulullah.?"

Maka Rasulullah berkata,"Dengarlah Asma' dan sampaikanlah kepada muslimah lain di belakangmu; mentaati suami itu, mengerjakan apa yang disenangi dan menurut kemahuannya, semua itu akan menyamai semua pahala yang diperolehi kaum lelaki."

Asma' pun menyampaikan kepada muslimah yang lain. Mereka melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana ternyata Allah itu Maha Adil, mengangkat darjat wanita dengan menetapkan pahala sesuai dengan kemampuan dan kejadian mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh kerana wanita mudah mendapat pahala (seperti pahala suaminya) apabila meredai suaminya berdakwah, berjihad dijalan Allah SWT dan solat berjemaah dimasjid maka wanita perlulah sentiasa jaga lidah supaya tidak menyakiti hati suaminya kerana dikhuatiri tindakkan tersebut akan menghapuskan pahala yang sepatutnya diperolehinya.

No comments: