Friday, October 30, 2009

Mukmin Yang Kuat Lebih Baik Daripada Mukmin Yang Lemah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bahawa sesungguhnya seorang mukmin itu mempunyai sifat-sifat yang akan mempersiapkan dirinya menjadi hamba yang mulia, berani mengatakan dan menegakkan kebenaran walaupun pahit ditelan. Jadikanlah diri kalian seorang Mukmin yang kuat, kerana sesungguhnya seorang mukmin yang kuat seperti ini lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu baik adanya. Jagalah apa yang bermanfaat bagimu, mintalah tolong kepada Allah dan jangan merasa tidak mampu." (Hadis Riwayat Muslim)

Mukmin yang kuat adalah mukmin yang lebih cintanya dan taqarrubnya kepada Allah SWT. , Rasul-Nya dan pada pemahaman Kitab-Nya. Kerana ia kuat dalam memahami dan meneliti, kuat dalam berfikir dan menganalisa kebenaran dan kebatilan.

Mukmin yang kuat disini bukan bermakna kuat fizikal semata-mata tetapi kuat yang dimaksudkan adalah kuat darisegi kerohanian, jiwa dan daya pemikiran. Ia mampu untuk melihat sesuatu perkara yang bermanfaat dan berbahaya. Contohnya apabila ia lihat temannya dalam keadaan lemah, ia berusaha untuk memperkuatkannya dan mengatasi kelemahannya. Apabila ia lihat umatnya dalam keadaan kritikal berpenyakit ia akan mencari ubatnya.

Sahabat yang dihormati,
Apabila kalian ingin menjadi mukmin yang kuat kalian perlu melihat kitab Allah itu dengan kekuatan analisa, pemahaman, pemikiran dan makrifat untuk mengetahui maksud yang dibaca. Kalian perlu menguasai jiwa, perasaan, nurani dan hati. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam bergulat, akan tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika sedang marah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Kalian perlu setiap hari mempersiapkan diri kalian dengan kekuatan iman dan hidupkan hati dengan zikrullah, memahami masaalah umat Islam dan berusaha untuk mengatasinya. Membaiki peribadi dan akhlak Islam, memperkukuhkan kekuatan akidah dan mempertingkatkan hubungan hati dengan Allah SWT.

Seorang mukmin yang lemah dia tetap mukmin dan mempunyai ciri-ciri kebaikan, hanya peribadinya tidaklah sama dengan sifat-sifat seorang mukmin yang kuat. Oleh itu bantulah saudaramu yang memerlukan bantuan, kerana Allah SWT. akan melapangkan rezekimu dan memberi ganjaran yang besar di hari akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Seorang mukmin adalah orang yang sama sekali tidak pernah merasa bahawa dirinya tidak mampu. Dibuangkan jauh-jauh segala kelemahan dirinya dengan sebuah keyakinan, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa telah membangkitkan dalam dirinya kebaikan, kemampuan dan kekuatan. Yakin dengan janji-janji Allah dan terus berjihad, berjuang dan berkorban apa sahaja demi mencari keredaan Allah SWT Yang penting laksanakan dahulu tugas dan tanggungjawab dan segala masaalah serahkan kepada Allah SWT, insya Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

No comments: