Sunday, October 25, 2009

Umat Menjadi Hebat Apabila Masjid Berfungsi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masjid ialah jantung umat Islam. Ia bukan sahaja menyediakan tempat kepada umat untuk solat malah ia mengerakkan umat untuk cergas dan melakukan semua perubahan hari demi hari. Sesiapa sahaja di kalangan orang Islam secara ikhlas datang ke masjid akan menjadi tetamu Allah. Ia akan mendapat kedamaian hati daripada keberkatan masjid. Jika ia duduk dalam masjid membaca Al-Quran, berzikir, mengikuti majlis ilmu dan menunaikan solat sunat maka tingkah laku dan sikapnya akan terpimpin. Perhubungan hati dan jiwanya dengan Allah SWT. semakin hampir dan akan memperolehi ketenangan dalam jiwanya.

Menurut satu hadis dari Nabi SAW. bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT. di hari kiamat nanti adalah insan yang hati dan jiwanya terpaut dengan masjid.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan meninggikan darjat?" Mereka menjawab, " Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, " Menyempurnakan wuduk di saat-saat sulit, banyaknya langkah ke masjid dan menunggu solat (berikutnya) setelah (melakukan solat). Maka itu merupakan pengikat.. itu merupakan pengikat." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam masjid juga ia berpeluang berkomunikasi dan bergaul mesra dengan ulama selepas majlis ilmu dan ia akan menjadi proaktif. Jika ia berpegang kepada pengajaran yang di ajar di dalam masjid ahli keluarganya juga akan terselamat dari kesesatan aqidah dan kesesatan cara hidup asing. Dari iktikaf hingga ke majlis ilmu dan khutbah, umat Islam sentiasa digerakkan supaya aktif membaiki iman, akhlak, jatidiri dan gaya hidup. Masjid menyiar dan melaungkan keagungan Allah SWT dan Deen Islam. Selagi Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW terpelihara, selagi itu pengajaran-pengajaran di dalam masjid akan berjaya mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan memimpin ke jalan kebenaran.

Masjid ialah pusat pendidikan dan latihan praktikal bagi umat sejak dari peringkat kanak-kanak mumayyiz. Kesan pada hati dan ingatan mereka terpahat hingga hari tua. Mereka akan ke masjid jika berlaku kegelinciran dalam hidup. Sebagaimana Ramadhan bulan rehat dan bulan pembersihan untuk hati yang ternoda pada sepanjang tahun maka begitu juga masjid sebagai tempat mengimbau kesalahan dan keterlanjuran sepanjang hari. Kunjungan lima kali sehari ke masjid diibaratkan sebagai mandi lima kali sehari di dalam sungai yang jernih dan tenang. Oleh itu untuk memulihkan penyakit sosial dalam masyarakat wajib bermula dari masjid.

Sahabat yang dihormati,
Betapa ramai bukan Islam mendapat kesedaran awal ketika berkunjung ke masjid atau mendengar laungan azan yang penuh makna. Melihat kepada tatacara solat berjemaah dilakukan dengan saf yang lurus dan bergerak mematuhi seorang imam. Seorang yang bijak boleh memahami bahawa Islam menyuruh umatnya berdisplin dan mentaati pemimpin yang bertakwa.

Betapa seorang yang bernajis atau berhadas besar dilarang memasuki masjid menunjukkan ia adalah tempat yang suci. Oleh yang demikian, masjid hendaklah dijadikan zon bebas dari sebarang pengaruh kecuali Al-Quran dan Sunah. Ia dibina dan ditadbir oleh orang bertakwa dan orang yang takut hanya kepada Allah SWT. Sehubungan itu, setiap kebenaran yang sepatutnya umat dapat daripada masjid tidak akan disorokkan. Firman Allah SWT. dalan surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mengerjakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain dari Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan mendapat petunjuk."

Sahabat yang dikasihi,
Masjid hendaklah diberikan peranan asalnya sebagai pusat pendidikan, komunikasi dan penyebaran Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW membina masjid sejurus sampai di Madinah dalam hijrah yang agong. Daripada masjid itulah terbentuknya tamadun pertama yang adil dan tepat dalam sejarah manusia hingga tempiasnya kita rasa pada hari ini. Oleh itu, untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan umat Islam hendaklah kembali kepada formula Rasulullah SAW membina umat, antaranya yang utama ialah peranan masjid yang berkesan dalam masyarakat.

No comments: