Saturday, October 24, 2009

Berwuduklah Dengan Sempurna

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Hadis ini berbicara tentang fadilat wuduk dan maqam orang yang berwuduk, serta bagaimana wuduk itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Allah. Wuduk yang dimaksudkan di sini bukan sekadar perlaksanaan secara formal akan gerakan-gerakan yang ada di dalamnya, akan tetapi sebuah kesempurnaan.

Mula-mula memohon perlindungan Allah SWT dari godaan syaitan (ta'awwudz), membasuh semua anggota wuduk. Bermula membasuh tangan, berkumur-kumur dan memasukkan air dan mengeluarkannya dari hidung, membasuh muka, kedua-dua tangan hingga kesiku, menyapu kepala dan telinga dan kedua kaki. Setiap basuhan anggota dilakukan dengan berdoalah kepada Allah SWT semoga Allah SWT bersihkan anggota kita daripada dosa. Setelah selesai berwuduk berdoalah dengan syahadatain, hakikatnya saat itu kita telah kembali bersih mentauhidkan Allah SWT. dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dihormati,
Wuduk adalah ibadat kepada Allah SWT, Ibadat adalah ketaatan. Dan taat itu akan diterima jika memenuhi syarat fardu dan sunahnya. Seseorang yang berwuduk yang mengucapkan syahadatain di akhir wuduknya dan ia merasa dengan sesungguhnya bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, maka bererti ia menaruh perhatian penuh untuk melaksanakan semua yang dititahkan Allah dan Rasul-Nya.

Dari wuduk yang sempurna dan terhapus semua dosa-dosanya (dosa-doas kecil sahaja kerana dosa-dosa besar terhapus dengan bertaubat kepada Allah) yang terdapat pada anggotanya maka memang layaklah untuknya terbuka delapan pintu-pintu syurga.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wuduknya dari bekas-bekas wuduk. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu apabila berwuduk maka berwuduklah dengan sempurna, dan tumpukan fikiran kepada setiap pergerakan semasa berwuduk. Salah satu Sunah Nabi SAW yang tidak pernah di tinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah sentiasa dalam keadaan berwuduk walaupun bukan untuk mengerjakan solat. Mereka yang sentiasa berwuduk akan di murahkan rezeki oleh Allah SWT dan syaitan sukar untuk menggoda dan menghasutnya.

No comments: