Wednesday, October 21, 2009

Sentiasa Sibuk Mendisiplinkan Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kalian dan dibahagiakan dengan keredhaan-Nya. Sentiasa beroleh taufik, hidayah dan keimanan mendalam. Hiasilah diri kalian dengan ketakwaan yang tinggi, mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sahabat yang di muliakan,
Jadilah kalian penyuluh ke jalan kebenaran. Elakkan kaki kalian menuju ke lorong maksiat dan keingkaran. Pimpinlah tangan rakan-rakan ke jalan ketaatan serta kejayaan hakiki.

Dalam kesibukan kalian memburu cita-cita dan kerjaya, ambillah sedikit waktu untuk meneliti hakikat kejadian kalian sebagai manusia. Renungkan maksud firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariat ayat 20-21, "Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?"

Dengan itu Allah memerintah supaya memikirkan penciptaan diri kita. Untuk apa kita diciptakan? Fikirlah tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya yang lain. Fikirkan tentang penciptaan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya. Seterusnya fikirkan tanda-tanda kekuasaan Allah dalam penciptaan lautan yang mengandungi berbagai kehidupan yang bermanfaat kepada kita.

Usah pula lupa untuk memikirkan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan langit. Selidikilah sistem cakerawala supaya kalian merasai keajaiban ciptaan Allah SWT. Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah SWT akan terbit rasa mengagungkan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya. Inilah akan melahirkan keinsafan dihati kalian seterusnya dapat menghampirkan diri dengan Allah, menjadikan kalian muslim dan sentiasa taat dengan perintah-Nya.

Sepanjang kesibukan kalian untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, hayatilah maksud firman Allah SWT. dalam surah Ali-Imran, ayat 191, "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, 'Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api Neraka'."

Oleh itu, sentiasalah meneliti serta menilai kualiti diri kalian kerana kalian tidak dijadikan untuk sia-sia. Adakah semua anggota badan yang Allah SWT kurniakan telah digunakan sebaik-baiknya untuk mentaati Allah SWT? Usahlah hanya mengingati Allah SWT ketika genting sahaja. Fikirkanlah mengenai kewajipan sebagai hamba Allah SWT. Gunakanlah segala kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Terhadap dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan, berazamlah untuk tidak mengulanginya. Sentiasalah bertekat untuk melaksanakan ketaatan dengan lebih baik pada masa-masa mendatang.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita renung sebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad SAW. Nabi Adam a.s. telah berkata :

"Sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad SAW  empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku :

1. Allah SWT menerima taubatku di Mekah sahaja tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat di mana sahaja mereka berada.

2. Aku berpakaian, apabila aku engkar dijadikan-Nya aku telanjang, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat dalam telanjang tetapi Allah SWT terus beri mereka pakaian.

3. Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah SWT tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

4. Aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan aku darinya, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah SWT diluar syurga, dimasukkannya ke dalam syurga setelah bertaubat."

Sahabat ayng diksihi,
Maka bersyukurlah kepada Allah SWT kerana betapa banyaknya nikmat Allah yang kalian terima. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan. Dengan hati kita berakidah bersih terhadap Allah SWT dan berperasaan baik terhadap semua makhluk. Dengan lidah kita mengucapkan kata puji-pujian kepada Allah SWT dan kata-kata yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Dengan anggota badan ertinya kita menggunakan semua pancaindera untuk mentaati-Nya serta menjauhi maksiat.

Akhir kata, dalam setiap perbuatan hendaklah ikhlas, dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT. Dengan ini akan ujud hati yang tenang, lapang, bebas dari sebarang tekanan dan kerungsingan.

No comments: