Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salam sejahtera, semoga sahabat sentiasa berada didalam keadaan sihat walafiat dan istiqamah dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Semoga jadilah kalian hamba Allah yang sujud dan rukuk dan sentiasa mengagongkan Allah dalam segenap kehidupan. Sentiasalah ikhlaskan hati serta awasilah diri dari sifat egoisme. Bebaskanlah diri dari sikap suka menonjolkan diri dan cintakan kemasyhuran. Belajarlah muhasabah diri setiap hari sehingga kalian mampu menjadi umpama pohon buah-buahan, manusia membalingnya dengan batu dan kalian membalasnya dengan buah.
Kalianlah harapan hari esok yang berupaya memperelokkan lagi warna-warna kehidupan Islam dengan ketakwaan yang tinggi. Penuhilah dunia dengan limpah kasih-sayang berdasarkan kasih Ilahi. Usir was-was dihati dan usah membuka ruang-ruang untuk umpat-mengumpat serta mengadu domba kerana perbuatan itu akan membunuh kasih-sayang dan menyuburkan kebencian.
Berlalunya hari-hari tanpa kasih sayang sungguh merupakan satu kerugian. Apabila perasaan persaudaraan Islam telah hilang dari hati manusia maka terhentilah semangat bantu-membantu. Alam ini berhajatkan hati, perasaan dan sentimen. Jadilah kalian sebagai hati bagi alam dan hidupkan ia dengan perasaan dan sentimen. Sesungguhnya manusia yang hidup hanya berdasarkan falsafah dan teori adalah umpama robot dan komputer yang memenuhi keperluan manusia.
Sahabat yang dimuliakan,
Usah leka diulit mimpi. Tugas ini merupakan tindakan segera! Langkah pertama kalian adalah menghindari halangan utama yang sentiasa melemahkan kekuatan iman dihati. Ingatlah kalian! Syaitan adalah halangan utama, syaitan akan menghasut dan memperdayakan hawa nafsu. Di dalam kitab yang ditulis oleh Imam Ghazali yang berjodol, 'Minhajul Abidin' yang menjelaskan terdapat tujuh langkah tipu daya syaitan yang menghasut manusia supaya terhindar daripada melaksanakan kebaikan serta mentaati perintah-perintah Allah.
Langkah pertama :
Syaitan sentiasa melarang manusia daripada mentaati Allah SWT. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Aku benar-benar mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Untuk itu aku mesti sentiasa taat kepada perintah Allah SWT sebagai bekalan menuju akhirat".
Langkah kedua :
Syaitan sentiasa memujuk manusia supaya menangguhkan ketaatan kepada Allah. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Kematianku berada dalam ketentuan Allah. Sekiranya aku menunda-nunda amalan hari ini ke hari esok, bagaimana pula amalan hari esok? Setiap hari aku punya amalan berlainan yang mesti dilaksanakan".
Langkah ketiga :
Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk tergesa-gesa dalam beramal mengerjakan sesuatu kebaikan kononnya boleh mengerjakan kebaikan yang lain. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Amalan yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna."
Langkah keempat :
Syaitan terus memperdayakan manusia supaya melakukan amalan secara sempurna agar tidak dicela manusia. Orang yang kuat imannya menegaskan : " Bagiku cukupah dengan penilaian Allah. Tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia dan amalan yang dikerjakan kerana selain daripada Allah akan ditolak".
Langkah kelima :
Seterusnya syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal : "Sungguh tinggi darjatmu dapat beramal soleh. Pintar dan cerdik sekali dirimu". Orang yang kuat imannya menegaskan : "Segala kekuatan itu adalah daripada Allah SWT. Allah SWT yang melimpahkan taufik dan hidayah-Nya untuk aku beramal ibadat. Tanpa pahala daripada Allah SWT apalah nilainya amalanku berbanding nikmat Allah yang luas sedangkan begitu banyak pula dosa-dosaku".
Langkah keenam ;
Dengan gagalnya hasutan syaitan dijalan sebelumnya, dia terus mencuba dengan cara yang lebih halus. Syaitan membisikkan : "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal secara sembunyi, jangan sampai diketahui orang. Nanti Allah jualah yang akan memberitahu kepada orang lain bahawa engkaulah hamba Allah yang ikhlas". Begitulah syaitan cuba mencampurkan amalan seseorang dengan tipu dayanya yang sangat halus sehinggakan terjerumus kedalam bab riya'.
Orang yang kuat imannya menegaskan : " Hai yang dilaknat Allah tidak berhenti-henti engkau menghasut untuk merosakkan amalanku. Aku adalah hamba Allah. Dia yang berkuasa atasku. Jika Allah SWT berkehendak memperlihatkan maupun menyembunyikan amalanku itu adalah hak-Nya. Aku tidak khuatir manusia tidak mengetahuinya kerana amalanku semata-mata kerana Allah SWT".
Langkah ketujuh :
Syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia, berbagai cara dicubanya. Dia cuba pula dengan cara menanamkan perasaan buruk sangka. "Hai manusia janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab jika Allah SWT telah menetapkanmu sejak azali sebagai orang yang akan berbahagia di akhirat nanti, maka meninggalkan ibadat tidak mendatangkan mudarat, engkau akan tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan sebaliknya, jika Allah SWT telah menetapkanmu sebagai orang yang celaka, tidak ada gunanya engkau beribadah. Nasibmu tetap akan malang".
Orang yang teguh imannya akan terus tetap pendirian : "Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku mentaati perintah Allah SWT. Allah SWT yang menentukan segala-galanya. Walau bagaimana ketetapan Allah SWT ke atasku, aku tetap akan beribadah dengan harapan Allah meredhaiku. Sekiranya ditakdirkan nasibku malang, setelah beribadat dan taat kepada Allah aku tidak akan menyesal. Aku tetap yakin akan janji-janji Allah SWT. Allah SWT tetap menjanjikan pahala kepada siapa sahaja yang taat kepada-Nya".
Sahabat yang dikasihi,
Begitulah sifat syaitan sentiasa dengan tipu dayanya bermaksud agar kita terlalai dan gagal melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT. Sentiasalah berhati-hati dalam setiap langkah dan mohon pertolongan serta perlindungan Allah SWT agar terpelihara daripada kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala-galanya berada dalam kekuasaan Allah, kepada-Nyalah kita mengarap keredaan.
No comments:
Post a Comment