Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Cinta adakalanya diertikan dengan kekasih. Seseorang yang dicintai disebut juga sebagai kekasih. Menjadi kekasih adalah idaman setiap jiwa, kerana fitrah manusia ingin cinta dan dicintai. Cinta dan kasih biasanya ada pra-syarat. Jika terpenuh segala ciri-ciri dan syarat, maka terjalinlah cinta dan kasih sayang.
Cinta yang agong adalah cinta kepada Tuhan. Kemuncak kebahagiaan mukmin adalah menjadi kekasih Allah SWT. Kekasih Allah SWT adalah mereka yang mendapat kasih dan reda Allah SWT. Untuk mendapat kasih dan reda Allah SWT juga ada pra-syaratnya. Mustahil Allah SWT akan kasihkan kita, jika jiwa kita kosong daripada cinta-kasih dan rindu kepada Allah SWT.
Apakah pra-syarat untuk mendapat cinta-kasih dan reda Allah SWT? Cinta dan kasih juga boleh terluka dan rosak. Rosak kerana perlakuan yang melukakan hati kekasih, lantas merosakkan makna cinta. Apakah perkara-perkara yang merosakkan cinta-kasih agong ini? Terdapat beberapa perkara yang merosakkan cinta-kasih agong ini iaitu syirik, nifaq, kufur, zalim, khianat, sombong dan suka bermusuhan. Mereka yang tergolong dalam kelompok ini, maka sukarlah jiwa mereka untuk mencintai AllahSWT dan jauh daripada kasih, cinta dan reda Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT adalah kesan fitrah daripada perasaan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya itu. Sesungguhnya kasih sayang Allah SWT kepada seorang hamba akan terjalin apabila seorang hamba itu mengikut jalan-jalan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.
Sifat-sifat pra-syarat untuk menjadi kekasih Allah SWT. adalah kita perlu berusaha membaiki amalan, berzikir, bertaubat, dan membersihkan diri. Kita juga perlu mencintai dan mencontohi Rasulullah SAW. dan berusaha menghidupkan sunnah baginda. Termasuk juga ciri kekasih Allah SWT ialah mereka yang berkasih sayang, menziarahi dan bersedekah kerana Allah SWT., dan bersama-sama di dalam perjuangan pada jalan Allah SWT. Mereka juga perlu memiliki sifat takwa, adil dan berusaha untuk penghidupan di dunia dan akhiratnya.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh memenuhi pra-syarat ini supaya kita akan dipilih oleh Allah SWT. untuk menjadi kekasih-Nya di dunia dan di hari akhirat. Tidak ada hamba Allah yang lebih berbahagia dan beruntung melainkan ia dipilih oleh Allah SWT. menjadi hamba dan kekasih-Nya.
No comments:
Post a Comment