Friday, October 23, 2009

Sifat Sombong di Benci Oleh Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."

Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sombong adalah penyakit berbahaya, dimana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk berbuat dosa yang akan menjauhkannya dari Syurga dan mendekatkan ke Neraka.

Sombong adalah sebuah penyakit yang akan menjadi penghalang bagi pelakunya dari syurga dan keselamatan. Sombong ibarat racun yang berada di dalam hati, jiwa dan perasaan. Di mana racun itu akan menyerap dalam jiwa, harta, kedudukan, kekuatan, kemampuan dan ilmu seseorang. Racun dalam jiwa manusia yang tidak akan boleh lepas dari was-was syaitan dan beranggapan bahawa ia adalah orang yang paling penting atau mempunyai kedudukan tinggi.

Orang yang sombong, mula-mula sombong dengan manusia, lama kelamaan dia akan menjadi sombong dengan Allah SWT.

Penyakit sombong ini boleh di ibaratkan seperti setitik noda dalam jiwanya. Jika hati telah ternoda dengan noda-noda kesombongan ini, si pemilik hati seperti itu selamanya akan berada di dalam keracunan, ia tidak akan boleh berlaku adil atau mengikuti kebenaran. Sombong adalah kegelapan. Kegelapan yang menyelimuti bashirah manusia sebelum penyelimuti akal fikirannya. Tatkala kesombongan menyelimuti mata hatinya, saat itu pula kesombongan menyelimuti akal fikirannya.

Sombong adalah sifat mazmumah (buruk), manusia yang sombong adalah mereka yang menolak kebenaran dan tidak menghargai kebolehan atau kelebihan orang lain. Lazimnya orang yang sombong suka berdusta dan bercakap bohong.

Sombong adalah pakaian Allah SWT, sesiapa yang cuba hendak mengambil pakaian Allah, maka Allah akan murka dan akan memasukkan ke dalam neraka. Kesombongan sebenarnya menghalang seseorang untuk membuat kebajikan dan tidak segan silu akan melecehkan orang lain. Allah SWT sama sekali tidak suka jika ada hamba-Nya yang dilecehkan. Dia Maha Benar dan mencintai kebenaran, sebagaimana Dia Maha Indah Yang mencintai keindahan.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita jauhkan diri kita dari sifat sombong. Lawan dari sifat sombong adalah sifat tawaduk iaitu sifat merendahkan diri. Hiasilah diri kalian semua dengan sifat-sifat tawaduk, lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa dan menghormati orang lain walaupun terhadap anak-anak kecil.

No comments: