Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa berjalan begitu cepat sekali, sekarang ini kita telah berada pada hari ke lapan puasa Ramadhan. Kita masih di fasa pertama iaitu 'permulaannya rahmat'. Marilah kita bermuhasabah dan menilai ibadah puasa yang dilaksanakan dan adakah segala pengisian Ramadhan kali ini dapat kita penuhkan dengan aktiviti ibadah atau masa berlalu begitu saja tanpa kita pergunakannya sebaik mungkin?
Amalan seorang Mukmin adalah hari ini lebih baik dari semalam dan amalan hari esok lebih baik dari hari ini. Setiap hari amalannya meningkat dan lebih berkualiti.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."
Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah masa yang Allah berikan pada kita dengan sebaik mungkin. Jika kita terlepas Ramadhan kali ini, tidak ada peningkatan dan perubahan dari Ramadhan sebelumnya maka kita akan mendapat kerugian. Kita belum pasti samaada Ramadhan tahun hadapan kita akan bertemu lagi kerana kematian seorang anak Adam itu akan datang bila-bila masa. Ada dikalangan sahabat-sahabat kita telah kembali menemui Allah s.w.t belum sempat menikmati kehadiran Ramadhan tahun ini.
Permulaan fasa pertama ini adalah Allah s.w.t memberi rahmat-Nya kepadahamba-hamba-Nya yang berpuasa. Rahmat bermaksud kasih sayang Allah. Apabila Allah s.w.t kasih pada seseorang hamba itu Dia akan memberikan :
1. Kerseonokkan dalam mengerjakan ibadah dan memperbanyakkannya.
2. Meningkat iman dan taqwanya kepada Allah s.w.t.
3. Bertambah ilmunya , cinta untuk menuntut ilmu dan diberi kemampuan untuk melaksanakan ilmu tersebut.
4. Bertambah cinta dan kasihnya pada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
5. Bertambah kasihnya kepada alim ulama' yang memberikannya ilmu.
6. Diberi oleh Allah kefahaman tentang agama.
7. Memiliki kekuatan untuk beristiqamah di jalan Allah s.w.t.
8.Merasa gelisah apabila hari berjalan tanpa memberi sedekah, tidak membaca al-Qur'an, meninggalkan qiyamulail dan solat terawih.
Adakah kalian telah memiliki ciri-ciri rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t?
Jika ada alhamdulillah, jika belum ada maka kalian kena muhasabah balik dimana kelemahan dan kekurangan diri kalian hinggakan rahmat Allah s.w.t belum kalian miliki sedangkan lapan hari puasa telah berlalu.
Sahabat yang dihormati,
Betapa rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa, dijauhkan oleh Allah s.w.t dari siksaan api Neraka.
Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ganjaran puasa pula akan diberikan sendiri oleh Allah s.w.t dan malaikat pencatat amal tidak tahu berapa banyak ganjaran yang hendak diberikan kepada manusia.
Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Semua amal anak Adam a.s. dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekelian"
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) maka Allah s.w.t.tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya."
(Riwayat Bukhari)
Allah s.w.t Maha Pemurah dan Maha Penyayang menjanjikan dua kegembiraan untuk orang yang berpuasa iaitu satu di dunia dan satu lagi dihari akhirat :
Nabi s.a.w pernah bersabda: "Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa, baginya ada dua saat kegembiraan.Pertama pada waktu berbuka dan kedua ketika menghadap Ilahi"
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita buat senaraikan beberapa amalan-amalan yang perlu kita laksanakan dibulan Ramadhan ini untuk mendapat taqwa dan redha Allah :
1. Membaca al-Qur'an dan melihat terjemahannya.
2. Solat fardu berjemaah dimasjid atau surau.
3. Solat terawih dan witir berjemaah di masjid atau disurau
4. Qiyamulali (solat tahajjud, hajat, taubat, istiqarah)
5. Membanyakkan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu dan solat dhuha.
6. Bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim , sekolah agama dan masjid.
7. Sentiasa berwudhuk
8.Menjamu orang berpuasa .
9. Berzikir kalimah tayyibah (zikir tahlil)
10. Membaca zikir al-Mathurat lepas subuh dan lepas asar (himpunan zikir-zikir Nabi s.a.w).
11. Menghadirkan diri di majlis ilmu dan tazkirah.
12. Berselawat kepada Nabi s.a.w.
13. Banyakkan berdo'a.
14. Segerakan berbuka dan mulakan dengan buah tamar dan
15. Melewatkan makan sahur.
Marilah sama-sama kita perelokkan ibadah puasa kita dengan memperbanyakkan amal ibadah, amal soleh dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Jika kita sentiasa istiqamah dengan perkara-perkara yang meningkatkan iman dan hubungan hati kita dengan Allah, maka ibadah puasa kita akan menjadikan kita Mukmin yang bertaqwa. Kita akan rugi jika di dalam fasa pertama ini kita tidak memperolehi rahmat daripada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment