بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak orang diberikan Allah kepintaran, kemasyhuran, kesihatan yang baik dan harta yang banyak, namun hatinya dilamun resah dan hidupnya dirasakan hambar. Mahligai yang besar dirasakan umpama sangkar atau penjara. Makanan yan sedap dirasakan tawar dan tidak menyelerakan. Anak pinak dan sahabat handai yang ramai dirasakan membosankan. Hidup seperti tiada erti dan hanya bertujuan menghabiskan saki baki umur sementara menunggu hari kematian.
Banyak pula orang hidupnya kelihatan susah, tiada kemasyhuran, rumah kecil dan makanannya sederhana, namun pada hakikatnya dia sangat bahagia dan gembira. Dia menikmati hidup riang kerana hatinya tenang, walaupun berdepan dengan kemelut hidup yang mencabar.
Tiada ketenangan hati jika tiada iman. Tiada diragu lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia.Tetapi ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran, dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan hari akhirat.
Ketenangan hati adalah nikmat Allah SWT yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihan-Nya sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah, yakin dikala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh-kesah dan berlapang dada semasa orang penik.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dan keimanan mereka yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath ayat 4)
Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit, seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi.”
(Surah Al- An’am ayat 125)
Sahabat yang dihormati,
Orang beriman memperolehi ketenangan hati kerana orang beriman menyahut panggilan fitrah, mereka menempuh hidup yang sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia tidak boleh dipenuhi dengan ilmu, peradaban dan falsafah tetapi ia hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah.Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan menghadapkan hidup kepada-Nya. Apabila fitrah telah dipenuhi dengan keimanan dan rasa puas maka manusia akan hidup gembira riang dan aman daripada ketakutan. Orang yang tidak mahu belajar mengenali Allah dan lupa diri sendiri maka Allah akan membiarkan hidup menderita.
Sahabat yang dikasihi,
Orang beriman mengetahui rahsia penciptaan alam dan dirinya sendiri. Orang beriman hatinya tenang dan puas kerana persoalan ini dijawab oleh Allah SAW. Hatinya yakin dan tidak ragu-ragu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi.Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaq ayat 12)
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah pada-Ku.” (Surah Az-Zariyaat ayat 56)
Dunia ini adalah kerajaan Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja dan mentaati-Nya. Orang beriman memahami semua ini lalu melaksanakannya. Orang beriman jelas matlamat hidup yang hendak ditujunya, sedangkan orang yang tidak beriman tidak tahu ke mana kesudahannya, hidup meraba-raba dalam kegelapan dan berjalan tanpa haluan.
Orang beriman bebas dari semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matlamat mencapai keredaan Allah. Dia tidak peduli samaada orang lain suka atau tidak terhadap dirinya, asalkan dia mendapat keredaan Allah.
Orang beriman merasakan perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sukar. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredaan Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Fath ayat 4)
Sahabat,
Orang-orang yang beriman berasa dirinya dekat dengan Allah, dia merasakan hidupnya tidak bersendirian atau kesepian. Dia merasakan sangat dekat dan erat dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah.” (Surah Al-Baqarah ayat 115)
Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dia (Allah) ada bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hadid ayat 4)
Orang beriman tidak akan merasa hidup terpencil, walaupun dia bersendirian semasa dia bekerja atau berada dirumahnya. Allah sentiasa menyertainya. Bahkan orang yang beriman merasakan hidup bersahabat dengan Nabi-nabi dan orang-orang soleh dari segenap umat dan zaman seperti firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu adalah bersama orang-orang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, orang-orang yang benar, orang-orang yang syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
Orang beriman juga selalu berbisik dan berdoa kepada Allah dalam solat dan ibadahnya. Oleh itu dia berasa tenang dan gembira kerana tidak keseorangan.
Allah SWT. panggil dengan pangilan yang lembut pada orang-orang yang beriman yang bermaksud : “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Masuklah kedalam jemaah-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”
(Surah Al-Fajr ayat 27-30)
No comments:
Post a Comment