Wednesday, September 16, 2009

Keadaan Iblis Ketika Umat Islam Membaca Al-Quran, Mengerjakan Haji Dan Puasa


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Iblis laknatullah akan merasa kecewa apabila umat Islam membaca al-Quran, mengerjakan fardu haji di Baitullah dan berpuasa dibulan Ramadan semata-mata kerana Allah SWT.


Pertama : Membaca al-Quran.

 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana keadaan kamu apabila umatku membaca Al-Quran?"

Berkata Iblis ; "Wahai Nabi Allah, apabila umatmu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah SWT. (iaitu ikhlas) maka akan hanguslah seluruh tubuhku dan aku merasa bagai putus segala urat sarafku dan bersegera aku lari dengan kuat menghindarkan diri darinya."

Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi 'Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum', sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi". (Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (hanya untuk tidur sahaja). Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya." (Hadis riwayat Imam Muslim).


Kedua : Mengerjakan fardu haji di Baitullah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana keadaanmu apabila umatku mengerjakan rukun haji dengan ikhlas kerana Allah SWT.?"

Berkata Iblis ; "Ya Nabi Allah, binasalah daku dan akan gugurlah dagingku yang ada ditubuhku, disebabkan umatmu telah mencukupkan rukun didalam agamanya".

Ketiga : Mengerjakan puasa di bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana pula keadaanmu apabila umatku mengerjakan puasa dalam bulan Ramadan kerana Allah SWT.?"

Berkata Iblis ; "Ya Nabi Allah, inilah satu bencana dan kesedihan yang teramat sangat kepadaku dan terhadap seluruh bala tenteraku atas sebab berikut :

1. Apabila masuk sahaja awal bulan Ramadan maka akan memancarlah cahaya Arsy Rahman dan Kursyi, dan semua Malaikat menyambut kedatangan bulan Ramadan itu dengan penuh kegembiraan yang amat sangat.

2. Bagi orang Islam yang berpuasa pula mereka mendapat satu kurnia yang sangat besar dari Allah SWT. dan dosanya diampunkan, dan begitu juga dengan dosa-dosa yang telah lalu digantikan dengan anugerah pahala dari Allah berganda-ganda, segala kesalahan yang dilakukan tidak akan dicatit selama dia berpuasa. Ini semua menyebabkan aku berasa dukacita yang amat sangat.

Yang paling menyakitkan hati ku ialah semua isi langit dan bumi, bulan, bintang, malaikat , segala kehidupan didarat dan dilaut hatta burung yang terbang diudara dan semua yang bernyawa akan mendo'akan siang dan malam memohon keampunan dari Tuhan mereka kepada orang-orang yang melakukan ibadah puasa. Satu lagi yang paling menyedihkan akan daku ialah, setinggi-tinggi yang didapati orang yang berpuasa Ramadan ialah 1000 kemerdekaan dari azab neraka, demikian juga di tutup pintu neraka dan di bukakan pula semua pintu syurga dengan selebar-lebarnya dan akan bertiuplah angin yang terdapat dibawah Arsy yang sepoi-sepoi itu melalui syurga.

"Ketahuilah dihari umat Islam berpuasa Ramadan, maka akan turunlah para malaikat dengan perintah Tuhan untuk menangkap kami dari bangsa iblis dan juga syaitan, lalu dibelengu dan dirantainya kami semua dengan rantai besi yang sangat panas, lalu dimasukkan kami semua kebawah bumi yang paling bawah sekali dan di azab dengan seksa azab yang amat sangat, seksaan ini akan berterusan sehingga semua umat Islam selesai berpuasa barulah kami semua dibebaskan kembali."

"Semua ini dilakukan oleh Allah SWT supaya kami tidak mengacau dan menganggu umatmu yang mana mereka sedang mengerjakan puasa. Mereka akan berasa lega dan gembira melakukan ibadah puasa tanpa gangguan dari kami, demikian juga dikala bangun untuk makan sahur diwaktu tengah malam, mereka akan berasa senang dan ringan dari perasaan malas dan takut seperti diwaktu bulan lain".

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang keistimewaan bulan Ramadan:

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud ; " Barangsiapa berpuasa Ramadan dengan reda (ikhlas) dan menjaga batas-batasnya (sah dan batalnya) dan larangan, serta memelihara dirinya dari kesalahan, nescaya puasanya itu akan menghapuskan semua dosa-dosanya yang telah lalu".

Sabda baginda lagi yang bermaksud ; "Telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat. Allah SWT. telah memfardukan atas kamu berpuasa padanya. Dibukakan di dalamnya semua pintu syurga, dan dikuncikan di dalamnya semua pintu neraka dan dibelenggu di dalamnya segala Iblis dan syaitan". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan An Nasaai serta Al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

No comments: