Saturday, May 7, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Bersyukurlah Di Atas Segala Nikmat Allah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada-Nya. Allah SWT akan membalasnya dengan Dia mengingati dan melimpahkan nikmat yang banyak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).

Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman. Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya.

Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya.

Allah SWT berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat nanti.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Hal itu berlaku apabila baginda menerima wahyu yang menjelaskan mengenai kejadian alam ini yang dibentang luas untuk kemudahan dan kenikmatan hidup manusia.

Melihat keadaan Rasulullah SAW menangis itu, Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan tuan menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa tuan dan juga yang terkemudian.”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku.”

Ayat yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah ayat 164, surah al-Baqarah bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”

Bahawasanya Nabi SAW merasakan betapa besarnya anugerah Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Orang beriman melihat seluruh kejadian alam dari kaca mata keimanan dan ketakwaan, yang diiringi dengan rasa kesyukuran, keinsafan dan keteguhan iman.

Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kepada kita dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya, antaranya nikmat umur, nikmat rezeki, nikmat kesihatan, nikmat keamanan, nikmat pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, berkata-kata dan sebagainya.

Sememangnya kita tidak akan mampu untuk menghitung segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kerdilnya kita di sisi-Nya, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An Nahl ayat 18, yang bermaksud : "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Amat Mengasihi".

Kadangkala apabila kita berada didalam kesusahan, perlu kepada pertolongan ada sahabat yang mulia hatinya dihantar oleh Allah SWT untuk membantu dan memberi pertolongan, hinggakan masalah tersebut dapat di atasi. Ini sebeanrnya adalah nikmat dan rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Dari itu bersyukurlah kerana Allah SWT telah pertemukan dengan sahabat-sahabat yang baik dunia dan akhirat.

Terdapat enam cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah SWT iaitu :

Pertama : Sentiasa membaca doa atau memuji Allah SWT dalam setiap perbuatan dan tindakan, seperti apabila hendak tidur dan bangun dari tidur, sebelum dan selepas makan, menaiki kenderaan dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Baqarah ayat 186)

Kedua : Disunatkan melakukan sujud syukur apabila mendapat kejayaan, kemenangan dan seumpamanya.

Doa sujud syukur : "Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha suci Allah sebaik-baik Pencipta."

Ketiga : Melakukan segala perintah-Nya dengan ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya dengan sabar.

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat : Memanfatkan pemberian Allah SWT dengan cara yang betul seperti menggunakan lidah untuk berzikir kepada Allah SWT dan menggunakan nikmat mata untuk membaca al-Quran dan sebagainya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

Kelima : Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sentiasa bersedekah dan menginfakkan harta dijalan Allah SWT.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu dilehernya. Lalu yang lain datang untuk memukul lehernya. Maka berkatalah (sedekah): ‘Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.”
(Hadis Riwayat al-Turmudzi).

Keenam : Sentiasa memohon kepada Allah SWT agar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW maksudnya : "Ya Allah! Bantulah kami supaya dapat selalu menyebut-Mu (berzikir mengingati-Mu), bersyukur dan beribadat yang sebaik-baiknya kepada-Mu".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita sentiasa menanamkan dalam jiwa dan sanubari sifat tawaduk dan rendah diri dan sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Perlulah kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT  agar menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan mendapat keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam Surah An Nahl ayat 78 yang bermaksud :"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur".

No comments: