Thursday, May 5, 2011

Berdoa Kepada Allah SWT Semasa di Timpa Musibah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW mengajarkan kepada kita supaya berdoa semasa ditimpa musibah semoga Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Baginda pernah mengajarkan doa kepada Ummu Salamah r.ha semasa beliau kematian suaminya (Abu Salamah).

Daripada Ummu Salamah r.ha. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :
“Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: 'Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya' nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya."

Ummu Salamah berkata lagi :
“Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah SAW."

Sifat orang mukmin tidak akan berputus asa walau bagaimana susah sekalipun musibah yang datang kepadanya, dia tetap reda dan berserah diri kepada Allah SWT. Oleh itu  amalkanlah doa ini tanda hati kita sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.

No comments: