Tuesday, May 17, 2011

Terdapat Lima Jenis Bid'ah Dalam Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sering mendengar perkataan bid'ah yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW. Terdapat banyak tafsiran mengenai erti bid'ah. Ada pendapat yang yang terlalu ekstrim yang menghukumkan semua perkara baru yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah bid'ah yang sesat tanpa merujuk kepada kaedah usul fiqh yang terdapat dalam ajaran Islam sendiri. Hingga menyebabkan kekeliruan dan timbul perpecahan dan perselisihan pendapat yang menimbulkan ketegangan dikalangan umat Islam.

Ada beberapa pendekatan yang dilakukan oleh para ulama dalam mendefinisikan bid’ah. Perbedaan cara pendekatan para ulama disebabkan, apakah kata bid’ah selalu merujuk dengan kesesatan, atau bergantung kepada sesuatu keadaan  dalam ajaran Islam?

Hal ini disebabkan erti bid’ah secara bahasa adalah : "Sesuatu yang asing, tidak dikenal pada zaman Rasulullah SAW."  

Sehingga  pengertian bid’ah yang sesat yang dimaksudkan adalah: "Segala bentuk perbuatan atau keyakinan yang bukan dari ajaran Islam, dikesankan seolah-olah sebahagian dari ajaran Islam, seperti Ajaran Qadiyani, kaum Mu’tazilah, Qodariyah, Syi’ah, Golongan anti hadis, NGO Wanita (yang mempertikaikan poligami dan harta pusaka menurut Islam), termasuk pula kumpulan Islam Liberal dan lain-lain."

Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfatul akhwadzi juz 7 hal 34 menyatakan: “Apabila pengertian bid’ah ditinjau dari segi bahasa, maka terbagi menjadi lima hukum :

Haram, seperti keyakinan kaum Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani dan lain-lain.

Makruh, seperti membuat hiasan-hiasan dalam masjid.

Wajib, seperti belajar ilmu nahu bahasa arab dan tajwid

Sunnah, seperti membangun sekolah agama, maahad tahfiz  atau madrasah.

Harus, seperti bersalaman setelah solat.

Menurut Imam ‘Izzuddin, “Segala kegiatan keagamaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW, hukumnya bergantung pada  salah satu kaidah hukum Islam iaitu haram, makruh, wajib, sunnah, atau harus. Sebagai contoh, belajar ilmu nahu (bahasa arab)  untuk memahami ilmu syariat Islam yang wajib, maka hukum belajar ilmu nahu (bahasa arab) menjadi wajib.”.(Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal. 6-8.)

Sahabat yang dimuliakan,
Penjelasan tentang bid’ah boleh kita ketahui dari dalil-dalil berikut :

Hadis riwayat Sayyidatina Aisyah :


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. رواه مسلم


“Dari ‘Aisyah r.ha, dia berkata : "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Hadis ini sering dijadikan dalil untuk melarang semua bentuk perbuatan yang tidak pernah dilaksanakan pada masa Nabi SAW. Padahal maksud yang sebenarnya bukanlah seperti itu.

Para ulama menyatakan bahawa hadis ini sebagai larangan dalam membuat-buat hukum baru yang tidak pernah dijelaskan dalam al-Quran ataupun hadis, baik secara jelas atau isyarat,  samada dalam bentuk ibadah khusus atau hukum- hakam yang mencakupi hukum hudud, qisas dan diyat.

Oleh kerana itu, ulama membuat beberapa kriteria dalam permasalahan bid’ah ini, iaitu :

Pertama, jika perbuatan itu memiliki dasar dalil-dalil syar’i yang kuat, baik yang berbentuk juz’i (cabang) atau umum, maka bukan tergolong bid’ah. Namun jika tidak ada dalil yang dapat dibuat sandaran, maka itulah bid’ah yang dilarang.

Kedua, memperhatikan pada ajaran ulama salaf (ulama pada abad l, ll dan lll Hijrah.) dan juga ulama mazhab.  Apabila sudah diajarkan oleh mereka, atau memiliki landasan yang kuat mengikut kaedah Islam yang mereka buat, maka perbuatan itu bukan tergolong bid’ah.

Ketiga, dengan jalan qiyas. Yakni, mengukur perbuatan tersebut dengan beberapa amaliyah yang telah ada hukumnya dari nash al-Quran dan hadis. Apabila perbuatan tersebut haram, maka perbuatan baru itu tergolong bid’ah muharromah (bid'ah haram) . Apabila memiliki mirip dengan yang wajib, maka perbuatan baru itu tergolong wajib. Dan begitu seterusnya samaada sunat atau makruh. (Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal.6-7.)

2. Hadis riwayat Ibn Mas’ud :

عَنْ عَبْدِ اللهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ, أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلاَ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. رواه ابن ماجه

“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Ingatlah, berhati-hatilah kalian, jangan sampai membuat hal-hal baru. Kerana perkara yang paling buruk adalah membuat hal baru . dan setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah. Dan semua bid’ah itu sesat (dolalah).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) .

Hadis inipun sering dijadikan dasar dalam memjelaskan erti bid’ah segala perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat atau tabi’in dengan pertimbangan bahawa hadis ini menggunakan kalimat kullu (semua), yang secara lahiriahnya seolah-olah diertikan semuanya atau seluruhnya.

Namun, dalam memahami makna hadis ini, khususnya pada kalimat وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, terdapat perbedaan pandangan pandangan di kalangan ulama.

Pertama, ulama memandang hadis ini adalah kalimat umum namun dikhususkan hanya pada sebagian saja (عام مخصوص البعض ), sehingga makna dari hadis ini adalah “bid’ah yang buruk itu sesat” .

Hal ini didasarkan pada kalimat kullu, kerana pada hakikatnya tidak semua kullu bermaksud seluruh atau semua, adakalanya ianya bermaksud kebanyakan (sebagian besar). Sebagaimana contoh-contoh berikut :

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 :

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

“Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30) .

Meskipun ayat ini menggunakan kalimat kullu, namun tidak berarti semua makhluk hidup diciptakan dari air. Sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an berikut ini:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ

“Dan Allah SWT menciptakan Jin dari percikan api yang menyala”.
(Surah ar-Rahman ayat 15.)

Begitu juga para malaikat, tidaklah Allah ciptakan dari air.

Hadis riwayat Imam Ahmad :

عَنِ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ

Dari al-Asyari berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “ setiap mata berzina” (musnad Imam Ahmad)

Sekalipun hadis di atas menggunakan kata kullu, namun bukan bermakna keseluruhan/semua, akan tetapi bermakna sebagian, iaitu mata yang melihat kepada ajnabiyah (bukan mahram).

Kedua, ulama menetapkan sifat umum dalam kalimat kullu, namun mengarahkan pengertian bid’ah secara syar’iyah iaitu perkara baru yang tidak didapatkan di masa Rasulullah SAW, dan tidak ada sandarannya sama sekali dalam usul hukum syariat.

Telah kita ketahui bahwa perkara yang bertentangan dengan syariat baik secara umum atau isi yang terkandung di dalamnya, maka haram dan sesat. Dengan demikian, makna hadis di atas adalah setiap perkara baru yang bertentangan dengan syariat adalah sesat, bukan bererti semua perkara baru adalah sesat walaupun tidak bertentangan dengan syai’at.

Oleh karena itu, jelas sekali bahwa bukan semua yang tidak dilakukan di zaman Nabi adalah sesat. Terbukti, para sahabat juga melaksanakan atau mengadakan perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Misalnya, usaha menghimpun dan membukukan al-Quran, menyatukan jamaah tarawih di masjid, azan Jumaat dua kali dan lain-lain.

Sehingga, apabila kalimat kullu di atas diertikan keseluruhan, yang bermaksud semua hal-hal yang baru tersebut sesat dan dosa. Ini bermakna para sahabat telah melakukan kesesatan dan perbuatan dosa secara bersama.

Padahal, sejarah telah membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang pilihan yang tidak diragukan lagi keimanan dan ketakwaannya. Bahkan diantara mereka sudah dijamin sebagai penghuni syurga.

Oleh kerana itu, sungguh tidak dapat diterima akal, kalau para sahabat Nabi SAW yang begitu agung dan begitu luas pengetahuannya tentang al-Quran dan hadis  tidak mengetahuinya, apalagi tidak mengindahkan larangan Rasulullah SAW. (Mawsu’ah Yusufiyyah juz ll hal 488.)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa bid'ah yang sesat (dolalah) adalah seperti berikut :

1. Mengambil dan menggantikan hukum-hukum  Allah SWT kepada hukum ciptaan manusia. (samaada hukum qisas, hudud dan diyat). Salah satu contoh bid'ah sesat adalah membuat tuduhan seseorang berzina dengan tidak membawa 4 orang saksi yang adil dan menggantikan dengan sumpat laknat. Sumpah laknat dalam ajaran Islam (bab tuduhan zina) hanya berlaku diantara suami dan isteri sahaja di panggil sumpah li'an.

Dalil Sumpah Li'an, firman Allah SWT maksudnya :  "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (Surah an-Nuur ayat 6-9)

2. Membawa ajaran sesat yang didakwa daripada ajaran Islam seperti ajaran Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani atau pun kumpulan sesat lain seperti kumpulan anti hadis, kumpulan NGO Wanita menentang poligami dan hukum faraid, kumpulan Islam Liberal dan lain-lain.  Salah satu contoh bid'ah sesat yang dibawa oleh ajaran Sy'iah adalah menghalalkan nikah mut'ah (nikah kontrak) sedangkan nikah ini sudah dimansuhkan hukumnya dan menyeksa diri semasa Hari Asyura.

3. Mengamalkan adat istiadat jahiliah yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti tolak bala dengan mandi safar, mempercayai nombor-nombor tertentu bawa sial atau bawa untung, bersanding dalam majlis perkahwinan (adat hindu), mempercayai amalan-amalan kurafat seperti membina bangunan di kuburan dan menabur bunga-bunga (seperti agama Kristin), mempercayai roh orang mati boleh balik kerumah, bertawasul dimakam orang yang telah mati dan bayar nazar di kuburan dan lain-lain lagi.

Amalan-amalan berikut tidak termasuk perkara bid'ah sesat (dolalah) :

1. Membukukan kitab suci al-Quran dizaman Sayyidina Othman r.a  

2. Solat sunat tarawih Ramadan berjemaah semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab sebanyak 20 rekaat.

3. Hukum hudud kerana minum arak di sebat sebanyak 80 kali dizaman Sayyidina Umar. (40 hukum asal dan 40 lagi hukum takzir)

4. Mengadakan majlis Maal Hijrah dan Maulidur Rasul. (Sambutan Maulidur Rasul dimulakan dizaman Sallehuddin al-Ayubi)

5. Berzikir dan berdoa secara beramai-ramai selepas solat fardu.

6. Menghadiahkan bacaan al-Quran dan berdoa untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Majoriti mengatakan sampai pahala tersebut.

Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”

7. Membaca talkin untuk simati dan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati
Ulama di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Berunai) mengatakan perkara tersebut bukan bid'ah sesat walaupun amalan tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Majlis fatwa kebangsaan tidak melarang amalan tersebut dan Majlis Fatwa Negeri Johor, Patani dan Brunei mengharuskannya amalan kenduri tahlil)

Oleh itu marilah sama-sama kita beramal denga sunah Rasulullah SAW dan meninggalkan perbuatan dan amalan bid'ah yang sesat  (dolalah). Kerana amalan yang sunnah jelas dan yang haram (bid'ah) juga jelas di antara yang halal dan haram ada amalan-amalan yang syubhah, sesiapa yang meninggalkan amalan yang syubhah bermakna dia menjaga agamanya. Semoga kita dipelihara oleh Allah SWT menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Golongan yang suka memecah belahkan umat dengan membidaahkan amalan umat Islam yang tak sesat adalah golongan yang suka memutuskan silaturahim dan suka memecahkan umat, hukumnya jelas berdosa besar.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :  "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :" Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)

No comments: