Friday, May 20, 2011

Suami Yang Bertanggungjawab Akan Memahami Hubungan Dengan Isterinya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya dan akan cuba menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh isterinya. Isteri yang baik pula akan menggunakan segala potensi yang dia miliki iaitu sifat lemah lembut dan penyayang akan dicurahkan kepada suaminya semoga terbina rumah tangga bahagia.

Terdapat 10 nasihat yang baik untuk suami supaya dapat dilaksanakan kepada isterinya.

1. Bersikap Tegas dan Lemah-lembut Terhadap Isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalunya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memberi Pujian Terhadap Isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Hadiah merupakan pelembut bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Rasulullah SAW menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang.ุง

Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

3. Menentukan Batas Tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengan engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengan sampai pun satu suapan yg engkau berikan ke mulut istrimu.”(Hadis Riwayat Muslim)

4. Menghindari Kritikan Terhadap Isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada  isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya

Firman Allah dalam surah An-Nisa‘ ayat 19 maksudnya : “Dan bergaullah  kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik.  Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.

5. Memperhatikan Sesuatu Yang Romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

Dari Umarah, ia berkata: Saya bertanya kepada Aisyah r.a : "Bagaimana keadaan Rasulullah SAW bila berduaan dengan isteri-isterinya? "Jawabnya: "Baginda adalah seorang lelaki seperti lelaki-lelaki lainnya, tetapi bezanya baginda seorang lelaki yang paling terhormat, paling lemah lembut, serta senang tertawa dan tersenyum." (Hadis Riwayat Khara’iti dan Ibnu ’Asakir)

Aisyah berkata : “Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Hadis Riwayat Muslim : 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah. (Hadis Riwayat  Muslim : 498).

Demikianlah romantiknya Rasulullah SAW bersama isteri baginda.

6. Memahami Isteri Yang Ingin Selalu Di Samping Suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."

Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Oleh itu suami isteri perlulah saling kasih mengasihi dan suami perlulah memahami segala keperluan isterinya.

7. Menjaga Perasaan Aman Dalam Kehidupan Isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."(Surah al-Nisaa' ayat 34)

8. Memahami Gelora Jiwa Isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya,maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai orang yang dapat membimbing hidupnya.

Di bawah ini dibawakan kisah seorang sahabat Nabi SAW yang ingin mengadu kepada Khalifah Umur disebabkan perangai buruk isterinya kepada dirinya :

Khalifah Umar : "Apa hajatmu datang ke mari?"

Jawab lelaki itu : "Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin."

Tanya Khalifah Umar : "Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"

Jawab lelaki itu lagi : "Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya , wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya ."

Berkata Khalifah Umar :

"Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku padahal semua itu tidak wajib ke atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja."

Kata orang itu pula : "Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba  wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata lagi Amirul Mukminin :

" Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu."

9. Membina Kerjasama Yang Baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

10. Memenuhi Keperluan Peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat."
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini adalah berbentuk umum sesiapa saja yang melapangkan kesusahan seorang muslim maka Allah SWT akan melapangkan dia daripada kesusahan di hari akhirat nanti termasuk juga apabila seorang suami memenuhi keperluan isterinya atau menunaikan hajatnya  maka ianya termasuk juga apa yang dimaksudkan oleh hadis di atas..

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita perbaiki hubungan mesra dan kasih sayang di anara kita  sebagai suami dan isteri. Suami yang bertanggungjawab akan memahami dan menjaga hubungan yang baik dengan isterinya, begitu juga isteri yang solehah akan sentiasa taat kepada suami , menjaga kehormatan diri dan sentiasa meneruskan tarbiah mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Kebahagiaan hidup di dunia dengan iman dan Islam akan berterusan nanti di hari akhirat iaitu dapat memasuki syurga yang penuh keindahan dan kenikmatan.

2 comments:

C@Rr0tSu$U said...

salam.. minta di syer entry ini di blog saye.. Terima kasih..

abubasyer said...

waalikumusalam, silakan nota ini boleh dikongsikan bersama. wassalam.