Thursday, May 19, 2011

Mujahadah Jalan Membentuk Peribadi Bertakwa

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Islam  telah  menunjukkan kepada kita  beberapa  jalan  yang boleh  menyampaikan  kita kepada takwa dan  salah  satu  diantara jalan-jalan tersebut ialah  dengan kita bermujahadah.  Berhubung dengan mujahadah  ini Ustaz Said Hawwa menjelaskan,

" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan  petunjuk  daripada Allah SWT ".

Oleh  itu  mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT  agar petunjuk  itu  masuk  ke dalam hati  kita.  Jadi  maknanya  untuk mendapat  dan  memperoleh petunjuk daripada Allah SWT  maka  perlu kepada  mujahadah.  Mujahadah  juga merupakan  jalan  untuk  kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk   kita hendak tingkatkan dan  tambah lagi petunjuk daripada Allah SWT iaitu dengan cara kita  mempertingkat mujahadah.

Untuk melaksanakan mujahadah ini kita perlu mengikuti  jalan yang  betul.  Sebab banyak orang yang berusaha  dan  bermujahadah tetapi  tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah  SWT. Banyak kegiatan-kegiatan  yang  dilakukan dan bermati-matian bermujahadah tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah  SWT.   Kerana  apa?    kerana jalannya  tidak   betul yakni tidak  mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hidayah (petunjuk) Allah SWT merupakan mukaddimah kepada takwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah SWT hasil  daripada bermujahadah maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah  merupakan  mukaddimah kepada takwa, mukaddimah  untuk  dia menjadi  seorang yang muttaqin  yakni yang bertakwa kepada  Allah SWT.  Ini  bermakna  takwa itu  diperolehi  hasil  dari  anugerah hidayah  yang  diberikan oleh Allah SWT kepada  orang-orang  yang bermujahadah.

Takwa  bukan  boleh kita buat-buat dalam jiwa kita tetapi dia mestilah dengan hidayah  daripada Allah  SWT. Ini bererti seseorang itu tidak boleh  menjadi  orang yang  bertakwa dengan akal fikirannya sendiri , dia  nak  berubah menjadi  orang  yang  baik dengan menggunakan  akal  fikiran  dia sendiri, tidak boleh, sebaliknya dia mestilah mendapat  hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT dengan  jalan  bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diajarkan oleh  Islam kepada kita melalui Rasulullah SAW.

Firman Allah  SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ". ( Surah al Ankabut : 69 )

Ini    merupakan   janji-janji   Allah SWT  kepada    mereka    yang bermujahadah,  Allah SWT akan   berikan   kepada   mereka    hidayah.   Sesungguhnya   Allah SWT   tidak  pernah  memungkiri   janjinya.   Sesungguhnya  Allah benar-benar akan berserta dengan  orang-orang yang berbuat baik.

Setelah  mendapat hidayah daripada Allah SWT  maka bermulalah  kita menjadi seorang yang bertakwa kepada Allah  SWT. Barulah  kita menuju ke arah kehidupan orang-orang  yang  disebut sebagai  Al-Muttaqin yakni yang bertakwa kepada Allah  SWT.

Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT maka  ke arah menjadi orang-orang yang bertakwa ini tidak akan wujud. Jadi kalau  kita  berusaha kuat mana sekalipun  kalau  tidak  mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah SWT maka tidak akan ada mukaddimah, tidak akan ada  permulaan  ataupun titik tolak untuk  kita  menjadi  seorang manusia yang bertakwa kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita  kepada  memperolehi hidayah daripada  Allah  SWT  sementara hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada takwa.  Jadi itu hubungan di antara ketiga-tiga perkara,  hubungan di antara  mujahadah,  hidayah, dan  takwa. 

Jadi  mujahadah  akan membawa  kita kepada hidayah sementara hidayah pula akan  membawa kita kepada takwa. Jadi kalau kita tidak ikut jalan yang  pertama ini  yakni  tidak bermujahadah maka tidak akan  ada  hidayah  dan tidak ada takwa dalam jiwa kita.

Satu perkara penting di dalam proses untuk kita bermujahadah dan  mendapatkan hidayah daripada Allah SWT ialah  uslub  ataupun jalan-jalan  yang  kita  lalui untuk  bermujahadah  itu  mestilah mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT.  Maknanya di  sini,  tidak  semestinya orang  yang  bermujahadah  itu  akan mendapat  hidayah  daripada  Allah  SWT  kerana  ada  orang  yang bermujahadah tetapi dia tidak mendapat hidayah. Ini adalah kerana hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT. 

Jadi kemungkinan ada  berlaku kesilapan di dalam  mujahadah  seseorang  itu   ataupun   dia bermujahadah  tidak  mengikut cara Rasulullah  SAW  bermujahadah, bagaimana   Rasulullah  SAW  menunjukkan  cara   memperoses   dan mengislah(memperbaiki)  diri. Jadi dia bermujahdah  tidak  dengan taufik  Allah  SWT,  tidak  dengan  persetujuan  Allah  SWT.  Dia bermujahadah  tanpa  pertolongan dan hidayah daripada  Allah  SWT maka sebab itulah tidak melahirkan natijah yang sebenarnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Justeru  itu di dalam langkah-langkah kita  bermujahadah  ke arah untuk mendapat hidayah dan takwa daripada Allah SWT ini maka kita hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa jalan-jalan yang kita  lalui  di dalam bermujahadah ini mestilah  terlebih  dahulu mendapat  taufik dan persetujuan daripada Allah SWT. Tidak  boleh kita  mereka-reka  cara  bermujahadah  ini  dengan  akal  fikiran ataupun dengan cara kita sendiri.


Titik-tolak  yang betul untuk kita mendekatkan  diri  kepada Allah SWT ialah dengan bermujahadah. Kita berjihad dan  berusaha. Sebab  itulah  ulama'-ulama' yang  muktabar  menggariskan  bahawa jihad  itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita.  Dalam hal matlamat hidup ini sekiranya kita baca  Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya  mereka semua beribadah(mengabdikan diri) kepadaKu". (Surah az Dzariyat ayat 56)


Walaupun  istilah dia berbeza, matlamat  kita  ialah  untuk beribadah  kepada  Allah, matlamat kita ialah  untuk  mengabdikan diri  kepada  Allah,  matlamat kita  ialah  jihad  untuk  mencari keredaan Allah tetapi disegi konsep atau tasawwur ataupun  perincian nya,  dia akan menjurus kepada hakikat yang sama. 

Matlamat hidup  kita sebagaimana yang telah digaris dan diperincikan  oleh ulama-ulama yang muktabar ialah kita perlu menjadikan jihad  itu sebagai  tujuan  kita diwujudkan. Kita  diwujudkan  adalah  untuk berjihad  menegakkan kalimah syahadah, menegakkan deen Allah  SWT di atas muka bumi ini. Untuk itu sebelum kita berjihad  hendaklah kita  fahami  jihad  ini  dengan  betul  kerana  jihad  ini   ada bermacam-macam  jenis  dan ada tertibnya, yang  mana  perlu  kita utamakan  terlebih dahulu dan yang mana selepas itu.  Jadi  jihad ini  ada  jihad melawan hawa nafsu,  melawan  orang-orang  kafir, melawan orang-orang munafik, orang-orang zalim dan sebagainya.


Jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad yang berterusan  dan perlu   diutamakan  kerana  hal  ini  telahpun  dinyatakan   oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap  hawanafsunya dalam mentaati Allah azzawajalla ".

Jihad melawan hawanafsu ini pula terbahagi kepada 4 bahagian:-

1.  Berjihad  untuk mendapat  hidayah(petunjuk)  daripada  Allah SWT.- kita berusaha, berikhtiar untuk mendapat petunjuk  daripada Allah SWT.(petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).


2. Melaksanakan Islam, petunjuk Allah SWT itu di dalam kehidupan kita setiap hari dalam pelbagai aspek kehidupan kita.


3. Menyampaikan  Islam yang telah kita  laksanakan  itu  kepada orang lain.

4. Bersabar di dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.

Jadi  ada 4 peringkat jihad didalam melawan hawa  nafsu  ini yang  mana apabila kita memperlengkapkan keempat-empat  peringkat jihad  ini  maka  barulah  sempurna  proses  jihad  kita  melawan hawanafsu ini.

Ini bermakna di dalam hidup kita ini setiap   masa berkehendakkan kepada jihad dan lebih-lebih lagilah apabila kita hendak melahirkan  dan  melaksanakan  Islam.  Jadi  di  mana   kita memperkatakan  Islam  maka  di situlah kena ada jihad tidak kiralah samaada  diperingkat  individu  ataupun   diperingkat jamaah.  Kita   seorang-seorang   memerlukan  jihad   apabila   hendak melaksanakan  Islam dan kita bersama-sama dengan  sahabat-sahabat ataupun jamaah juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

Mujahadah  itu sebenarnya mempunyai makna yang  cukup  luas.  Kita  datang  ke  sini  merupakan  satu  bentuk  mujahadah,  kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada  sumber-sumber  tarbiah yang betul seperti  al-Quran al-Karim  dan  Sunnah Rasulullah SAW serta buku-buku  yang  dikarang oleh  ulama-ulama  yang  muktabar  semua  itu  termasuk   dalam mujahadah. 

Kita hadir dalam halaqat, dalam tamrin  dan  program-program yang kita rancang, itu juga dikira mujahadah. Kita  pergi menziarahi  sahabat-sahabat  kita, kita pergi  menziarahi  sanak-saudara  kita  dalam  rangka hendak  menyebarkan  kefahaman   Islam misalnya  pun  dikira  sebagai  mujahadah. Mujahadah  untuk   kita mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT.


Kita  mendampingi  orang-orang  yang  tertentu  yang   boleh membawa  kita  ke  jalan yang haq maka itu  juga  dikira  sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada  gangguan-gangguan maksiat, menjauhkan diri kita, anak-isteri, keluarga dan sahabat-sahabat  kita  daripada  suasana-suasana  yang  tidak  Islam  dan dorongan-dorongan  hawanafsu  yang  menyesatkan  semua  itu  juga termasuk  dalam usaha  kita bermujahadah.

Jadi  alangkah  luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka  untuk kita  mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi semua  usaha  dan kerja-kerja  yang  kita  lakukan sekiranya  dibuat  dengan  penuh keikhlasan  kerana  Allah SWT maka itulah  yang  merupakan  titik tolak  yang  betul ke arah untuk kita mendapat  hidayah  daripada Allah  SWT. Jadi sekiranya apa yang kita buat, niat kita  lillahi taala  maka  itulah  jalan yang  akan  menyampaikan  kita  kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada makam(kedudukan) al-muttaqin ataupun orang-orang yang bertakwa.

Untuk menuju ke arah muttaqin, untuk sampai kepada kedudukan orang-orang  yang  bertakwa  ini,   kita  dapati  banyak  berlaku kesalahan-kesalahan.  Kita dapati di sana orang-orang yang  salah didalam memahami konsep mujahadah ini, mereka melakukan mujahadah dengan  konsep mereka yang tersendiri. Maka dengan  sebab  itulah kita dapati ramai yang bermujahadah tetapi tidak sampai kepada  natijah  yang betul yakni tidak mendapat hidayah  daripada  Allah SWT dan tidak dapat menjadi orang-orang yang benar-benar bertakwa kepada  Allah  SWT. 

Mereka bermujahadah  tetapi  tidak  mendapat hidayah  dan  takwa. Jadi inilah yang betul-betul kita  hendak  jaga supaya  jalan  yang kita lalui itu  betul-betul  mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Dalam hendak memastikan kita bermujahadah ini dengan taufik/jalan yang dipersetujui oleh Allah SWT  ini  maka sebab itulah kita tidak memilih  jalan  yang  lain melainkan  jalan  ataupun  uslub  yang  telah  ditunjukkan   oleh Rasulullah SAW dalam rangka kita bermujahadah ini dan juga  dalam rangka  kita nak kembali mengambil Islam. Jadi kita  bermujahadah ikut uslub Rasulullah SAW dan kita mengambil Islam ini juga  ikut uslub  ataupun  jalan  sebagaimana yang  telah  ditunjukkan  oleh Rasulullah SAW.

Sahabat yang dikasihi,
Justeru itu tidaklah boleh kita membuat kesimpulan  manakala kita  hendak  bermujahadah kita buat menurut  cara  kita  sendiri ataupun tektik tersendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub  yang sebenarnya  yakni uslub Rasulullah SAW. Kita tidak boleh  buat ataupun fikir dengan cara kita sendiri di dalam  bermujahadah ini. Dalam  hal mengikuti jalan yang betul untuk bermujahadah ini  telah berlaku kekeliruan di dalam kefahaman dan  jalan-jalan yang  hendak  diambil  akibat daripada  kejahilan  seseorang  itu tentang   konsep  mujahadah  yang  sebenarnya.   Kejahilan seseorang  itu terhadap jalan mujahadah yang telah  dilalui  oleh baginda   Rasulullah  SAW  itulah  yang  menyebabkan   berlakunya kesalahan-kesalahan,  ketidak-fahaman dan kekeliruan-keliruan  di dalam melaksanakan mujahadah ini.


Di  sini perlulah  memahami  betul-betul  'qadiah' ataupun  permasalahan  mujahadah ini dan jalan-jalan  yang  perlu kita  ikuti  di  dalam  rangka  untuk  kita  mendapatkan  hidayah daripada Allah SWT dan menjadi manusia yang benar-benar  bertakwa kepada  Allah  SWT. 

Jadi sebagaimana  yang  kita  jelaskan  tadi sekirannya  jalan  yang kita ikuti dalam bermujahadah  ini  tidak betul, walaupun kita bersungguh-sungguh melakukan mujahadah  ini, kita mencurahkan masa dan tenaga  , wang ringgit dan harta  benda yang  banyak  tetapi kejalan yang tidak betul maka  semuanya  itu akan  menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat  taufik  dan hidayah  daripada  Allah  SWT.  Kita  tidak  akan  sampai  kepada petunjuk dan takwa yang sebenarnya.

(Di petik dari silibus tarbiah KTD)

No comments: