Sunday, August 16, 2009

Kisah Amar bin Thabit : Mati Syahid di Saat Akhir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu ketika tatkala Rasulullah SAW. sedang bersiap di medan Perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak diduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui baginda. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah SAW
“Ini adalah satu keajaipan!”

Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetepi Amar ini engan ikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliah menonjol dalam jiwanya, walaupun orang baik dalam pergaulan.

Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab :
“Kalau aku tahu kebenaran yang kamu kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan terkemudian mengikutnya.” Demikian angkuhnya Amar.

Kaum muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya masih tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang.

Kini dalam saat orang bersiap-siap akan menuju ke medan perang, dia segera menemui Nabi SAW, menyatakan dirinya ingin masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Nabi SAW. Pedangnya yang tajam ikut di bawanya bersama.

Nabi SAW  menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula rela akan maju bersama Nabi SAW. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Dikalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya.

Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam peperangan Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pukulan pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju, sampai saatnya dia jatuh dan pengsan.

“Untuk apa ikut ke mari, ya Amar?” demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalu ikut-ikutan sahaja pada orang ramai.

Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata :
“Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku ini dan maju ke medan perang. Allah akan memberikan syahadah padaku dalam waktu yang tak lama lagi.”

Amar meninggal! Rohnya menghadap hadrat Ilahi sebagai pahlawan syahid. Waktu hal ini diketahui Rasulullah SAW maka baginda pun berkata yang bermaksud : “Amar itu akan berada dalam syurga nantinya.”

Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir ayat Amar dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a. sahabat yang banyak mengetahui hadis Nabi SAW  berkata kepada kaum muslimin : “Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekali pun juga terhadap Allah.”

“Jika kamu tidak tahu orangnya,” kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya : “Maka baiklah aku beritahukan itulah dia Amar bin Thabit.”

Sahabat yang dikasihi,
Demikianlah kisah seorang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. 

Tiba-tiba melihat persiapan peperangan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Nabi SAW. Ia menjadi muslim, lalu maju kemedan perang, sebagai mujahid yang berani. Akhirnya ia mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid, mati membela Agama Allah di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid, Nabi SAW menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini. Beruntung sungguh dia.

No comments: