بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Bagi menjaga kerukunan hidup bermasyarakat, Islam melarang perbuatan menceritakan keburukan atau skandal orang lain. Memperkatakan sesuatu keburukan, kecacatan serta kelemahan seseorang semasa ketiadaannya dikatakan mengumpat (ghibah). Perbuatan ini akan menyebabkan orang yang diumpat merasa kecewa, berkecil hati dan seterusnya akan menjejaskan hubungan sesama mereka. Orang yang diumpat tidak berpeluang membela dirinya sedangkan maruahnya seolah-olah dipersendakan.Sekiranya seseorang menceritakan keburukan seseorang sedangkan perkara tersebut tidak ada pada orang yang dituduh itu, maka namanya fitnah. Maka dosa fitnah lebih besar daripada mengumpat.
Seandainya sesuatu yang buruk terjadi terhadap kawan atau kenalan saudara, saudara tidak wajar menceritakan kepada orang di sekeliling. Berbuat demikian hanya menambah fitnah yang boleh menyebabkan kerosakan sosial. Perhatikanlah kecaman Allah s.w.t terhadap pengumpat.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Kecelakaan bagi setiap pengumpat lagi pencela."
(Surah Al-Humazah ayat 1)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu membenci memakannya." (Surah Al-Hujurat ayat 12)
Pernah diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW datang seorang perempuan hendak bertemu baginda SAW. Setelah perempuan itu keluar, Aisyah r.h berkata, "Wah pendeknya dia."
Segera Rasulullah SAW berkata, "Engkau telah mengumpatnya hai Aisyah."
Seterusnya baginda bersabda maksudnya, "Jangan kalian berghibah (mengumpat). Dalamnya ada tiga keburukan, 1.Doanya tidak dimakbulkan. 2.Kebaikannya tidak diterima. dan 3.Akan ditimpa padanya keburukan orang yang diumpat."
Disamping itu terdapat sebuah kisah yang berlaku di Madinah pada zaman silam yang telah diceritakan oleh Amr bin Dinar. Seorang lelaki Madinah mempunyai adik perempuan yang tinggal disebuah kampung pendalaman. Lelaki itu pergi menziarahi adiknya setelah diberitahu adiknya sakit tenat. Tidak berapa lama kemudian adiknya meninggal dunia. Setelah selesai mengkebumikan jenazah adiknya, lelaki tersebut segera pulang kerumahnya. Tiba-tiba dia mendapati dompetnya tiada dan mungkin telah terjatuh ke dalam lubang kubur adiknya. Menyedari hal yang demikian, lelaki tersebut terus ke kubur adiknya. Dia meminta penggali kubur membantunya mengali semula kubur tersebut. Dompetnya sememangnya terjatuh ke dalam kubur tersebut. Tetapi dia sangat terperanjat apabila keluar api menyala-nyala dari dalam kubur adiknya. Segera lelaki itu pulang untuk bertanyakan ibunya apakah yang telah dilakukan adiknya sepanjang hayatnya. Ibunya menjelaskan adik perempuannya itu sangat suka pergi ke rumah jiran menceritakan keburukan orang.
Dari cerita yang disebutkan jelaslah, mengumpat dan memfitnah akan menyebabkan diri si pengumpat menerima seksa kubur yang dahsyat. Oleh itu, untuk selamat di dunia dan di akhirat, jauhilah tabiat suka menceritakan keburukan orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Perbuatan mengumpat sememangnya membawa pelbagai keburukan. Sewajarnya sifat tersebut dijauhkan dari kehidupan kita. Mengawal mulut daripada menyebut kelemahan dan keburukan orang lain sememangnya sukar. Justeru itu apabila terlintas di hati menyebut keaiban orang lain, bersegeralah melihat ke dalam diri sendiri dahulu. Gambarkan sekiranya kelemahan saudara disebut-sebut tentunya saudara tidak suka. Begitulah sebaliknya perasaan orang lain. Kita tentunya suka orang memperkatakan sesuatu kebaikan kita. Tetapi mengapa kita hanya melihat keburukan-keburukan orang lain?
Jadi untuk menghindari perbuatan menyebut keburukan orang cuba kita lihat pula kebaikannya. Tetapi awas! Jangan pula asyek memuji-muji hinggakan berlebihan. Memuji dengan berlebihan juga boleh merosakkan pergaulan.
Setiap kali lintasan mengumpat mencabar kita, sentiasalah ingatkan diri sendiri bahawa mengumpat sangat Allah murkai. Gejala ini sebenarnya lahir dari tipu daya dan hasutan syaitan, akibatnya tidak lain daripada siksaan Neraka!
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Barangsiapa yang menjauhkan seseorang daripada mengumpat diri saudaranya, maka Allah menjanjikan pelepasan api neraka darinya."
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu sewajarnya kita menjauhkan diri daripada mereka yang suka mengumpat orang lain.. Sebaik-baiknya saudara patut menasihatkan rakan yang suka mengumpat agar beransur-ansur berusaha melenyapkan tabiat suka menyebut-nyebut kelemahan orang lain. Sikap demikian mesti sentiasa diletakkan dalam suasana saling ingat-mengingati. Barulah nanti mendatangkan hasil positif.
Walaubagaimanapun ada kalanya kita dibolehkan menyatakan kelemahan orang lain dalam keperluan seumpama pembelaan diri ataupun dalam keadaan teraniaya, kita sebutkan keburukan yang telah dilakukan oleh seseorang dengan tujuan mengelakkan orang lain menjadi mangsa.
Termasuk juga didalam pemilihan pemimpin masyarakat, negeri atau negara. Sebagai umat Islam yang beriman dan bertanggungjawab untuk menentukan pemilihan pemimpin, kita perlu mengetahui peribadi pemimpin yang akan dipilih buruk atau baik, orangnya amanah atau pun tidak.Ini adalah kerana kesilapan memilih pemimpin akan mengakibatkan mudharat yang lebih besar akan berlaku.
Tetapi mesti diingatkan kelonggaran ini mestilah dalam batasan yang dibolehkan. Bukannya dilakukan menurut hawa nafsu.
Akhirnya perlu ditegaskan bahawa masa untuk mengubah sikap daripada negatif kepada positif masih belum terlambat. Pintu keampunan serta rahmat Allah sentiasa terbuka luas, sebelumnya datang hari Kiamat. Selagi nyawa dikandung badan, anjuran untuk bertaubat mesti dipergunakan sebaik-baiknya. Jangan lupa untuk meminta maaf daripada individu yang telah saudara umpat! Ketahuilah Allah tidak mengampuni orang yang mengumpat sebelum orang yang diumpat memaafkannya.
No comments:
Post a Comment