Wednesday, August 19, 2009

Ramadan Datang Kembali

Sahabat yang dirahmati Allah.,

Ramadhan akan menjelma beberapa hari lagi,
kedatangannya membawa seribu rahmat untuk orang berpuasa.
Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan.
Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertakwa.
'Ya Allah, berkatilah kami dibulan Syaaban ini dan sampaikanlah kami di bulan Ramadan al-Mubarak.'

Sahabat,

Sudahkah kalian persiapkan diri dan hati untuk menyambut kedatangan Ramadan?
Adakah kalian merasa gembira atau resah bila kehadiran Ramadan?
Nabi SAW ada menyatakan sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan Ramadan ia dijauhkan dari api Neraka.!

Tanda orang mukmin itu, hatinya terpaut pada Ramadan, jiwa dan perasaannya seronok dan bergembira kerana di bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman dan takwanya kepada Allah SWT., dilipatkan ganda pahala dan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Sahabat,

Takwa adalah kekuatan dalaman anugrah Allah SAW  kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadah semata-mata mencari keredan-Nya, semakin tinggi takwa kita, maka semakin hampir dan mulia kalian di sisi Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Solat yang lima, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar."

Jadikanlah madrasah Ramadan ini untuk kalian bersihkan hati dari dosa-dosa dan jinakkanlah nafsu yang liar supaya ia ikut arahan iman, berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. 

Apabila puasa mengikut sunnah Nabi SAW, hati muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim akan lebih teliti dalam tindak tanduknya.

Apabila kalian berpuasa, puasalah segala-galanya ;
Berpuasa pada perut ialah tidak makan dan minum.
Berpuasa pada lidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat.
Berpuasa pada telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbualan lucah.
Berpuasa pada mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat dan pandangan marah.
Berpuasa pada kaki tidak menuju ketempat maksiat dan sia-sia.

Jagalah masa kalian, tinggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong.
Bila kalian dimarahi, bersabarlah dan katakanlah 'saya sedang berpuasa'
Gunakanlah masa kalian untuk membaca al-Quran, berzikir, berselawat, solat-solat sunat.
Tambahkanlah ilmu kalian dengan membaca hadis, tafsir al-Quran. buku-buku ulama muktabar dan hadirilah mana-mana majlis ilmu yang bermanfaat.

Sahabat,

Banyakkanlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah,
kerjakanlah solat tarawih sepenohnya dua puluh rekaat termasuk tiga witir.

Janganlah kalian merasa beban dengan ibadah sunat, kerana sesungguhnya satu amalan sunat yang kalian kerjakan akan mendapat pahala satu amalan fardu, dan satu amalan fardu akan digandakan Allah berlipat kaliganda.

Inilah rahmat Allah SWT  kepada hamba-hamba-Nya, di bulan yang mulia ini.

Sahabat,

Intai-intailah malam lailatul qadar kerana dimalam ini amalan kalianlebih baik dari seribu bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan.

Sekiranya kalian berumur 100 tahun pun masa ibadah kalian hanya 5% saja iaitu 5 tahun saja, bukankah peluang ini amat luar biasa?

Oleh itu janganlah disia-siakan 10 malam terakhir, asingkanlah diri dan beriktikaf di masjid untuk menumpukan ibadah kalian kepada Allah, semoga Ramadan tahun ini kalian bertemu lailatul qadar, ketika kedatangannya kalian sedang berdoa dan bermunajat.

Sahabat,

Ingatlah , orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi 'orang baru' kerana berjaya membuang segala kelemahan diri.

Ramadan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah.

Nabi SAW  pernah bersabda yang bermaksud, "Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadan, nescaya umatku berangan-angan setahun itu kesemuanya Ramadan."

Akhir kata, mulai sekarang, kalian buatlah persiapan serapi mungkin. Buatlah jadual harian sebulan penuh apakah bentuk amalan dan ibadah yang akan dilaksanakan. Anggaplah Ramadan kali ini merupakan Ramadhan terbaik yang akan kalian laksanakan dalam rangka mencari keredaan Allah SWT.

2 comments:

fiza said...

Selamat berpuasa Abubasyer... sy ader niat besar utk Ramadhan kali ni..doakan ager niat sy tercapai..

abubasyer said...

Saya do'akan semuga saudari fiza beroleh kejayaan diatas niat yang baik kerana Allah.Selamat berpuasa,sama-sama menjalani ibadah puasa dengan hati yang kusyuk kpd Allah s.w.t.