بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ketika dalam perjalanan pulang dari bertemu Rasulullah SAW, Saidina Ali k.w. terserempak dengan sahabatnya, Salman al-Farisi r.a. Kesempatan ini diambil oleh Ali k.w untuk berkongsi nasihat yang telah di sabdakan oleh Nabi SAW. Lalu Ali k.w. menceritakan nasihat Nabi SAW. kepadanya untuk didengar oleh Salman r.a. yang sedang dalam kesedihan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Ketahuilah olehmu Ali, bahawa rezeki para hamba itu ada di tangan Allah sehingga kesedihanmu itu sama sekali tiada gunanya. Ini kerana ia tidak membahayakan (tidak menghalang datangnya rezeki) dan tidak menguntungkan (menentukan datangnya rezeki). Cuma, kau mendapat pahala atas kesedihan yang menimpamu itu dan jadilah engkau orang yang bersyukur, taat dan bertawakal kepada Allah, maka engkau termasuk sahabat-Nya."
Kemudian Ali k.w bertanya kepada baginda, "Atas apa aku bersyukur?"
Balas baginda, "Atas agama Islam." (kerana nikmat Islam jauh lebih utama dari nikmat yang lain).
Sambung Ali k.w., "Apa pula yang harus aku taat?"
Beginda menjawab, " Bacalah Laa hau la wa laa quwwata illa billahil 'aliyyil azim." (akur pada bijaksana Allah dalam mengkadar rezeki).
Ali k.w mengajukan satu soalaan lagi, "Apa yang mesti ku tinggalkan?"
Baginda SAW menjawab, "Tinggalkan marah. Sesungguhnya ia dapat memadamkan murka Allah, memberatkan timbangan dan menuntun ke syurga."
Mendengar penjelasan sahabatnya itu, Salman berkata, "Semoga Allah menambah kemuliaan kepadamu, wahai Ali."
Ali mengakhiri pertemuan itu dengan nasihatnya, " Hai Salman, syurga teramat rindu kepada orang-orang yang susah dan sedih memperhatikan (dalam mencari) sesuatu yang halal."
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah pertemuan Saidina Ali k.w dengan sahabatnya Salman al-Farisi bahawa Nabi SAW telah menasihatkan beliau (Ali k.w) dengan empat nasihat iaitu "Jadilah engkau orang yang bersyukur, taat dan bertawakal kepada Allah, maka engkau termasuk sahabat-Nya."
Untuk menjadi sahabat Allah SWT perlulah bersyukur iaitu syukur di atas nikmat Islam, taat dan bertawakal kepada Allah SWT iaitu akur di atas kebijaksaan Allah mengatur rezeki untuk makhluk-Nya dan meninggalkan perasaan marah kerana dengan meninggalkan perasaan marah akan memadamkan kemurkaan Allah SWT, berat timbangan dan membuka ruang jalan ke syurga Allah SWT.
Marilah sama-sama kita amalkan sifat-sifat yang mulia di atas dan banyakkan bersabar kerana kemiskinan atau kekurangan harta ketika di dunia ini.
No comments:
Post a Comment