بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Saidina Umar Ibn Khattab r.a adalah khalifah yang kedua. Beliau menggantikan Saidina Abu Bakar r.a. Saidina Umar r.a seorang yang bekerja keras dan teliti kerana beliau seorang hamba Allah yang sejati. Seorang khalifah mestilah mengambil berat tentang umat Islam di dalam negaranya, seperti seorang ayah yang mengambil berat tentang anak-anaknya. Saidina Umar r.a. cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian. Di waktu siang pula beliau biasanya bekerja di rumah. Di waktu malam pula beliau keluar ke bandar Madinah untuk membantu setiap orang yang memerlukan bantuan.
Suatu malam sedang Sadina Umar r.a berjalan di dalam bandar dia terdengar suara tangisan beberepa kanak-kanak. Tangisan itu datang dari sebuah rumah kecil. Bila Sadina Umar r.a.melihat ke dalam beliau ternampak seorang wanita yang sedang duduk dengan anak-anak disekelilingnya. Wanita itu kelihatan sangat sedih manakala anak-anaknya kelihatan sangat lapar.
Sadina Umar r.a melihat terdapat sebuah periuk yang sedang menyala api di bawahnya. Fikirnya tentu ada makanan di dalam periuk itu dan sudah tentu wanita itu akan menghidangkannya dan anak-anak itu akan berhenti menangis. Sadina Umar r.a. melihat dan menunggu sementara isi di dalam periuk itu terus mendidih tetapi wanita itu masih tidak memberikan anak-anaknya makan. Akhirnya beliau menjadi hairan.
Saidina Umar r.a. lantas masuk ke dalam rumah tersebut dan menanyakan kepada wanita itu kenapa anaknya menangis. Dia memberitahu Saidina Umar r.a. yang mereka menangis kerana lapar. 'Tidakkah makanan dalam periuk itu sudah masak?' tanya Saidina Umar r.a.
Wanita itu menghampiri Saidina Umar r.a dan berbisik ke telinganya, "Jangan beritahu mereka yang tidak ada makananpun di dalam periuk itu, kerana saya tidak mempunyai duit lagi untuk membelinya. Periuk itu hanya berisi air tetapi anak-anak saya fikir tentu ada makanan di dalam periuk. Mereka sekarang lapar tetapi saya terus menunggu hingga mereka letih, mereka tentu akan tertidur. Kemudian mereka akan terlupa rasa lapar.
Setelah anak-anaknya tidur, wanita itu menerangkan kepada Saidina Umar r.a yang suaminya baru sahaja meninggal dunia. Itulah sebabnya dia tidak mempunyai duit untuk membeli makanan. Malangnya orang yang menguruskan Baitul Mal tidak tahu akan kesusahan yang ditanggung oleh wanita itu. Jika mereka tahu, tentunya mereka akan menolong.
Kemudian,Saidina Umar r.a, yang merasa kasihan dengan wanita miskin itu berkata :"Kenapa engkau tidak adukan perkara ini kepada khalifah?"
"Aku seorang perempuan" jawab wanita itu.
Setelah mendengar cerita sedih wanita tersebuat, beliau terus keluar daripada rumah wanitamiskin tersebut dan berlari ke Baitul Mal dan memasukkan tepung, daging dan gula ke dalam sebuah karung. Sebaik sahaja beliau hendak membawanya balik kepada wanita itu, salah seorang suruhannya menawarkan diri untuk membawakan karung itu.
"Aku akan membawa karung itu sendiri." kata Saidina Umar r.a.
"Di hari pengadilan nanti engkau tidak akan dapat memikul bebanan-bebanan aku, jadi tidak ada sebab kenapa engkau mesti membawanya hari ini."sambungnya lagi.
Khalifah membawa karung berisi makanan itu ke rumah wanita tersebut. Bila beliau sampai, beliau sendiri yang memasakkan makanan untuk anak-anak itu dan malah beliaulah yang memberi mereka makan. Sebaik sahaja beliau hendak meninggalkan rumah itu, wanita itu berkata kepadanya, "Engkaulah yang sepatutnya menjadi khalifah, bukannya Umar r.a.. Engkau baik, murah hati dan faham perasaan orang. Itulah sepatutnya yang ada pada seorang khalifah."
"Puan", jawab khalifah, "Akulah Umar . Adalah kesalahan aku kerana tidak mengetahui kesusahan engkau. Tetapi sekarang anak-anakmu telahpun makan dan sedang tidur dengan sukacita. Aku juga telah mengatur mulai hari ini, Baitul Mal akan memberi sumbangan kepada engkau supaya engkau dapat menyara mereka secara sempurna sehinggalah mereka dewasa."
Sahabat yang dikasihi,
Begitulah ciri-ciri pemimpin yang adil dan bertanggungjawab yang sentiasa prihatin di atas kesusahan rakyat jelata yang memerlukan bantuan daripada Baitul Mal. Adakah pemimpin kita pada masa ini memiliki sifat amanah dan prihatian seperti yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a? Adakah pemimpin yang telah terpilih dan berkuasa dalam masyarakat sentiasa istiqamah dengan ajaran Islam atau bersikap pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa yang ada? Sama-samalah kita fikirkan dan buatlah pilihan yanmg betul apabila kalian berpeluang untuk memilih mereka.
No comments:
Post a Comment