بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Junaid seorang ulama sufi pernah memberi kata-kata hikmat :
Pertama : Bidang kerohanian.
"Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara :
1.Menjauhkan dunia.
2.Berpuasa.
3.Berjaga sepanjang malam."
Kedua : Melihat fakir miskin merungut.
Apabila aku melihat seorang fakir yang merungut kerana tidak ada makanan pada hari itu, aku pun berkata kepadanya, "Tuan merungut tentang kurnia Allah yang besar itu (fakir), dan itulah kurniaan paling besar dari Allah SWT kepada para aulia. Aulia Allah SWT tidak merungut jika mereka ditimpa kefakiran (kemiskinan). Pergilah! Allah tidak akan membiarkan tuan tanpa makanan dan pakaian.
Ketiga : Melihat keindahan ciptaan Allah SWT.
Lebih baik mata itu buta jika tidak menghargai keindahan ciptaan Allah SWT. Lebih baik lidah itu bisu jika tidak menyebut nama Allah SWT. Lebih baik telinga itu pekak, jika tidak mendengar nasihat-nasihat Allah SWT. Lebih baik anggota badan itu mati, jika tidak melakukan suruhan-suruhan Allah SWT.
Keempat : Hati itu rumah Allah.
Hatimu itu rumah Allah. Jangan biarkan yang lain duduk di dalamnya kecuali Allah. (hati itu hendaklah sentiasa berhubung dan yakin pada Allah)
Sahabat yang dimuliakan,
Hayatilah kata-kata hikmat yang sungguh mendalam maksud yang tersurat dan tersirat. Bagaimana hati seorang mukmin yang hidup dan sentiasa muraqabah dengan Allah SWT tidak akan leka walaupun seketika. Baginya apa yang berlaku dilangit dan dibumi dan semua kejadian yang berlaku keatas diri manusia adalah mempunyai kebaikan dan hikmah . Manusia perlu bersyukur dan berbaik sangka dengan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment