بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada suatu ketika Siti Aisyah r.h, Ummul Mukminin pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, pernahkah tuan mengalami kesusahan yang lebih daripada kesusahan yang berlaku semasa perang Uhud?"
Jawab baginda, "Aku pernah mengalami kesusahan yang pernah kualami daripada apa yang berlaku semasa perang itu, iaitu peristiwa di hari 'Aqabah."
Baginda meneruskan cerita, "Ketika itu aku sendiri pergi menemui Ibnu 'Abdi Yalil bin 'Abdi Kulai, tetapi dia tidak memenuhi harapanku agar mereka beriman. Oleh itu aku beredar dengan perasaan sedih yang teramat. Aku sedar daripada kesedihanku setelah sampai di Qarn Tsatsa'alib. Ketika itu aku mengangkat kepalaku. Kelihatan sekelompok awan melindungiku. Setelah kuperhatikan, Jibril memanggilku dengan berkata, " Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jalla' mendengar ucapan kaummu kepadamu dan penolakan mereka terhadap ajakanmu. Dan Allah mengirim malaikat penjaga bukit kepadamu untuk kamu suruh sekehendak hatimu."
Lalu malaikat penjaga bukit memanggilku dan memberi salam kepadaku. Kemudian dia berkata, "Wahai Nabi! Allah telah mendengar ucapan kaummu terhadapmu. Aku ialah malaikat penjaga bukit. Tuhanmu mengutusku kepadamu untuk melayani apa sahaja perintah yang kamu kehendaki. Bahkan jika engkau kehendaki, akan kupertemukan kedua-dua bukit ini (bukit Qubais dan bukit yang dihadapannya) untuk ditimpakan ke atas mereka."
Jawab Rasulullah SAW "Bahkan yang kuharapkan, semoga Allah mengeluarkan daripada tulang-tulang sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dengan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa jua pun."
Demikianlah akhlak dan kesabaran baginda Nabi Muhammad s.a.w yang tinggi. Walaupun kaum baginda menolak dan berlaku sombong kepadanya, baginda tetap mengharapkan keimanan bagi mereka. Dan disebut dalam al-Qur'an sebagai rahmat kepada alam semesta.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat sekelian alam."
(Surah al-Anbiyaa' ayat 107)
Sahabat yang dimuliakan,
Begitu mulianya hati dan jiwa Nabi SAW dalam keadaan baginda menderita sakit kerana angkra penduduk kota Taif (Ibnu 'Abdi Yalil) yang membaling batu keatas diri baginda hingga cedera parah, baginda masih bersabar dan mendoakan agar penduduk yang jahil tersebut kembali beriman kepada Allah SWT. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa baginda adalah Rasul yang menjadi rahmat sekelian alam.
No comments:
Post a Comment