Friday, January 7, 2011

Jauhi Pembaziran Kerana Membazir adalah Saudara Syaitan.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia telah dijamin rezekinya oleh Allah S.W.T. Manusia hanya perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencari rezeki. Orang mukmin sentiasa bersyukur apabila ia memperolehi rezeki daripada Allah S.W.T samaada banyak atau sedikit.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Islam itu mudah dan indah. Lihat dalam bab anjuran bersyukur. Walau sikit rezeki yang kita dapat, Allah SWT suruh bersyukur. Lagi banyak rezeki lagi patut banyak-banyak syukur.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan jika kamu kufur engkar sesungguhnya azab siksaKu amatlah keras".

Agama Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran). 

Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah S.A.W.

Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah S.W.T.

Dalam membincangkan tentang konsep pembaziran, ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan) dan bukan material.

Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah tenaga, masa, ilmu, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.

Harta benda, wang, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya itu adalah nikmat pemberian Allah S.W.T. yang wajar kita hargai dengan memanfaatkannya ke jalan yang baik.

Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah S.W.T, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah S.W.T (kufur nikmat).

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah S.W.T menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27, yang bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".

Marilah kita amalkan sifat suka bersyukur, jauhi sama sekali sifat atau sikap kufur itu. Kemudian jangan kita menjadi saudara syaitan dengan sebab amalan suka membazir atau boros.

Pendek kata, umat Islam mesti hayati dan amalkan sifat terpuji suka bersyukur kerana mendapat apa jua nikmat atau rezeki kurniaan Allah walau sedikit . Dan jangan sekali-kali cuba mengamalkan amalan suka membazir, walau sekadar membuang sesudu nasi, 5 sen atau sebagainya. Yakinlah, bahawa dengan mengamalkan perintah Allah atau syariat-Nya dalam Islam ini pasti hidup umat Islam akan lebih baik, berkat dan sentiasa dalam lindungan serta keredaan Allah S.W.T, insya Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ibnu al-Qayum al-Jauziah mengatakan terdapat 9 bentuk pembaziran yang dilakukan oleh manusia, antaranya :

1. Pembaziran ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika ilmu tidak digunakan untuk jalan kebaikan . Jikalau menyampaikan ilmu dengan rasa riak atau ujub kerana ianya menghapuskan pahala.

2. Pembaziran amalan - iaitu membazir jika amalan tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas . Ada matlamat selain daripada Allah S.W.T. Amalan seperti ini tidak akan dipandang oleh-Nya.

3. Pembaziran kekayaan - iaitu membazir jika harta dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

4. Pembaziran hati - iaitu membazir jika hati kosong dari kasih kepada Allah. 

5. Pembaziran tubuh badan - iaitu jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

6. Pembaziran cinta - iaitu membazir jika cinta dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepadaNya

7. Pembaziran masa - iaitu membazir jika masa tidak diurus dengan sebaiknya.

8. Pembaziran akal - iaitu jika tidak memikirkan sesuatu yg bermakna kepada agama.

9. Pembaziran zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Alhamdulillah, terlalu banyak nikmat Allah kurniakan kepada kita semua.Tapi malangnya, manusia sering membazir. Contoh yang paling mudah adalah pembaziran makanan. Jika diperhatikan di tempat-tempat makan, pasti ada saja makanan yg tidak habis dimakan atau dibuang begitu saja.

Oleh itu, elakkan pembaziran supaya tidak tergolong dlm golongan "saudara-saudara syaitan", na'uzubillah.

Terdapat beberapa cara supaya kita dapat mengelakkan pembaziran iaitu :

1. Sebelum membeli makanan, fikirlah dahulu,supaya tidak tersalah beli atau jika hendak memasak,anggarkan kuantiti makanan yg sesuai dengan bilangan ahli keluarga atau tetamu untuk seorang makan.

2. Jika tak mampu menghabiskannya, rancanglah untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang tidak banyak.

3. Jika makanan adalah dalam kuantiti yyang banyak, elok juga jika diagihkan pada jiran atau kawan-kawan.

4. Jika setelah selesai makan, tapi masih berbaki, simpanlah makanan itu supaya boleh dimakan kemudian.

5. Jika berniat untuk membuang makanan, fikirlah sejenak akan nasib saudara-saudara kita di Palestin,  di Afrika dan mereka yg kurang bernasib baik. Jika ada sisi makanan yang hendak dibuang pastikan makanan tersebut diberikan kepada haiwan supaya tidak dikira sebagai membazir.

6. Jika punyai selera makan yg tinggi, makanlah dengan sederhana. Janganlah makan ketika perut terlalu lapar supaya tidak makan dengan berlebihan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "....,makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan."(Surah Al-A'raf ayat 31)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Maka sesungguhnya orang yang paling lama lapar pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak kenyang di dunia" (Hadis Riwayat Baihaqi dan AtTirmizi)

Akhirkata marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dan membuangkan tabiat suka membazir dan pastikan setiap wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, rumah , kenderaan, masa, tenaga dan ilmu digunakan dengan bijak dan berhemah dan tidak membazir, pada masa yang sama  dapat  menguruskan serta memanfaatkan rezeki dan nikmat-nikmat kurniaan Allah. Mudah-mudahan nota ini dapat menjadi peringatan untuk kita semua.





Wednesday, January 5, 2011

Sebelas Tanda-tanda Kesengsaraan dan Mendatangkan Kebencian Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunai ini adalah ujian daripada Allah S.W.T. Berjaya atau gagal seseorang mengemudi bahtera hidup di dunia adalah bergantung kepada matlamat hidup yang diprogramkan dalam hati dan mindanya. Jika dia meletakkan matlamat hidupnya hanya untuk dunia semata-mata, mencari harta dan kekayaan , kemegahan, kemewahan, keseronokkan, kemudian memuaskan hawa nafsunya semata-mata, maka dunia ini sajalah yang dia akan mendapat habuannya sedangkan di hari akhirat tidak ada bahagiaan untuknya.

Tetapi jika seseorang itu menjadikan dunai ini sebagai jambatan dan tempat persinggahan sementara waktu, dan menjadikan di dunia sebagai tempat dia beramal soleh dan mengumpul bekalan pahala sebanyak mungkin dan mengharapkan pertemuan dengan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti maka dia akan mendapat kebahagiaan samaada di dunia dan di hari akhirat.

Terdapat sebelas perkara yang boleh mendatangkan kesengsaraan dan kebencian Allah S.W.T. jika terdapat pada diri seseorang. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Tamak terhadap harta benda dunia.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi S.A.W. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"Nabi Muhammad S.A.W.  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".(Hadis Riwayat Abu Daud)

“Seorang laki-laki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu perbuatan yang jika aku mengerjakannya, maka aku akan dicintai Allah dan dicintai manusia’. Beliau lantas bersabda:
'Zuhudlah terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Zuhudlah pula terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia mencintaimu’.”
(Hadis Riwayatkan  Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad hasan)

Kedua : Keinginan kuat kepada nafsu syahwat dan kenikmatan dunia.

Setiap orang mempunyai potensi menjadi baik, tapi nafsu sangat bencikan kebaikan. Sebaliknya apa saja sifat buruk serta perbuatan jahat cukup serasi dengan nafsu.Oleh itu, usaha membina sikap yang baik sering memerlukan kesungguhan yang kental. Contohnya, sangat payah menahan marah dan bersifat sabar, memaafkan kesalahan orang lain, bersangka baik, tidak berdendam dan tidak iri hati. Ia sukar kerana ada saja bisikan berlawanan yang datang dari nafsu.

 Nafsu suka kepada kesenangan, kemewahan, bermalas-malas dan bersedap-sedap. Dengan itu nafsu tidak memujuk hati menempuh untuk jalan ke syurga kerana jalannya penuh dengan susah payah. Kerana jalan ke neraka penuh dengan hal-hal yang bersenangan dan keseronokan.

Dan firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal(nya)."(Surah An-Nazia'at ayat 40- 41.)

Ketiga : Gemar bercakap perkara yang tidak memberi faedah dan suka membuat fitnah.

Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat dan membuat fitnah. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat dan memfitnah adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. berwasiat kepada Saydina Ali k.w : "Wahai Ali ! Sejahat-jahatnya teman ialah teman yang tidak memperhatikan terhadap temannya dan suka membuka aib temannya. Wahai Ali ! Jauhilah dusta kerana dusta itu menghitamkan wajah. Bila seseorang itu sentiasa berdusta, dia di namakan pendusta di sisi Tuhan. Bila ia benar, dia di sebut di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan iman."

Keempat : Mengambil mudah solat lima waktu.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas" Iaitu orang yang melengah-lengahkan solat mereka sehingga sampai kepada waktu solat lain, maka bagi pelakunya jika mereka tidak bertaubat Allah menjanjikan mereka Neraka Jahanam tempat kembalinya".

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda " Sesiapa yang mengumpulkan dua solat tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar".
(Hadis Riwayat Al-Hakim)

Kelima : Bersubahat dengan orang-orang jahat.

Jika kita membiarkan sahaja maksiat berlaku dihadapan mata kita yang dilakukan oleh orang jahat ini bermakna kita bersubahat dengannya. Apabila kita biarkan anak-anak kita sewenang-wenangnya melakukan maksiat dengan menghampiri zina dan tidak ditegur atas perbuatannya ini bermakna kita bersubahat dan akan mendapat sahamnya.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran maka hendaklah ia merubah dgn tangan jika tidak boleh maka dengan  lisannya, jika tidak boleh juga maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.”
(Hadis Riwayat  Muslim)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan orang-orang yg beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (ialah) menjadi penolong sebagian yg lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yg makruf, mencegah dari yg mungkar.”
(Surah At-Taubah ayat  71)

Keenam : Berperangai buruk.

Berperangai buruk adalah sifat mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik yang dimiliki oleh mereka yang lemah imannya dan sifat yang dibenci oleh Allah S.W.T. Menurut Imam Ghazali antara sifat-sifat mazmumah ialah seperti berikut:
1. Gemar makan dan minum berlebih-lebihan
2. Banyak berkata-kata yang sia-sia.
3.  Marah.
4.  Hasad dengki dan iri hat.
5. Kasih kepada harta.
6. Takbur.
7. Riyak .
8. Ujub .
9. Kasih akan Dunia.

Ketujuh : Sombong dan suka membangga diri.

Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti  nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi S.A.W. bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Kelapan : Tidak suka menolong orang lain.

Seseorang yang tidak suka menolong orang lain adalah orang jahil dan mementingkan dirinya sendiri sahaja. Sifat ini adalah sifat Qarun yang kaya raya tetapi cukup sombong dan berbangga dengan kekayaan yang ia miliki. Apabila diminta hartanya untuk membayar zakat dan sedekah kepada orang miskin dia berkata bahawa kekayaannya adalah atas usahanya sendiri bukan mendapat bantuan orang lain. Sebenarnya dia tidak sadar bahawa apa sahaja yang ia miliki dan perolehi adalah dengan keizinan Allah S.W.T. dan ilmu yang ada padanya adalah yang telah diajarkan Nabi Musa a.s kepadanya.

Nabi S.A.W. memberi wasiat kepada Saydina Ali k.w yang bermaksud : "Wahai Ali ! Jangan engkau mengherdik orang yang meminta pertolongan, sekalipun ia datang dengan naik kuda (berkenderaan) dan berilah ia, kerana sesungguhnya sedekah itu lebih dahulu jatuh ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan peminta. Wahai Ali ! Sayangilah golongan fakir miskin nescaya engkau disayangi Allah.
Wahai Ali ! Jangan engkau membentak fakir miskin nescaya engkau tidak dibentak malaikat kelak di hari kiamat."

Kesembilan : Jiwa yang tidak mengasihi orang-orang beriman.

Orang fasik tidak merasai kasih sayang kepada orang-orang beriman. Hatinya sebenarnya berpenyakit dan Allah S.W.T tambah lagi penyakit itu hinggakan ia tidak dapat melihat lagi kebenaran dan hidayah daripada Allah S.W.T. Jika iman itu wujud dalam jiwa seseorang ianya pasti akan melahirkan kasih sayang dan ukhwah  sesama muslim.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat: 10)

Perkataan “ikhwah” atau bersaudara di dalam ayat ini menggambarkan hubungan yang seperti mempunyai pertalian darah dan hubungan kekeluargaan yang amat erat malah lebih erat dari itu. Begitulah hebatnya persaudaraan dikalangan orang-orang yang beriman. Ikatan ini sepatutnya lebih utuh dari pertalian darah. Memelihara hubungan persaudaraan sesama Islam merupakan terjemahan dari sifat keimanan.

Sekiranya timbul perbalahan maka Allah S.W.T. memerintahkan agar diatasinya dan bertaut kembali hubungan silaturrahim yakni ikatan kasih sayang. Ayat ini juga memerintahkan kita bertakwa yakni memelihara diri agar sentiasa melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Itulah dia formula utama dalam menjaga persaudaraan dan kasih sayang. Taat dan takut hanya kepada Allah S.W.T.

Kesepuluh : Bakhil dan kedekut.

Nabi S.A.W berwasiat kepada Saydina Ali k.w ; "Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya.

Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Kesebelas : Lupa kepada mati.

Sesiapa yang melupakan kematian sebenarnya hatinya telah mati. Apabila hati sudah mati , hati akan merasai keseronok dengan nikmat dunia dan akan bersungguh-sungguh mencari habuan dunia dengan tidak mengira halal haram semuanya dikebas dan sanggup memutuskan silaturahim semata-mata untuk mengejar kekayaan yang sementara ini.

Sekali Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong.

Lalu baginda bersabda yang bermaksud :
"Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, nescaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian."

"Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, 'aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki diri kita dan tinggalkanlah sebelas perkara yang boleh membawa kesengsaraan dan kebencian Allah S.W.T. Pertingkatkanlah amal soleh dan amal kebajikan sebagai pengorbanan dan usaha-usaha kita di dunia ini. Setiap kebaikan yang kita kerjakan tidak akan sia-sia dan akan mendapat rahmat dan keredaan Allah S.W.T.

Tuesday, January 4, 2011

Hubungan Baik Antara Sesama Manusia

Di samping perhubungan manusia dengan Allah, Islam menitikberatkan juga perhubungan antara manusia dengan manusia. Allah S.W.T berfirman, maksudnya, “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana-mana pun mereka berada (tanpa kemuliaan dan keamanan) kecuali (mereka berada) dengan tali (agama) daripada Allah dan tali (perdamaian) dengan manusia”. (Surah Ali-Imran ayat 112).

Apabila disebut, perhubungan baik dengan manusia, maka skop perhubungan itu bukan di kalangan manusia semata, tetapi meliputi alam makhluk yang bernyawa dan yang tidak bernyawa yang ternyata merupakan komponan atau mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan manusia.

Sudah menjadi kenyataan, apabila tidak ada perhubungan baik antara manusia dengan alam, misalnya sekelompok manusia melakukan kerosakan di mana-mana di atas muka bumi ini, maka berlakukah gejala alam yang bukan saja mejejaskan kehidupan kelompok manusia itu sendiri malah kelompok-kelompok manusia yang lain.

Pemeliharaan alam ini jelas menjadi kewajipan dan tanggungjawab manusia, kerana Allah S.W.T., menjadikan manuisa sebagai khlifah di muka bumi ini (Maksud ayat 30, surah al-Baqarah).


Dalam konteks perhubungan baik antara sesama manusia, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya, “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), dan Kami jadikan kalian berbagai bangsa dan suku agar kalian saling kenal mengenali (antara satu sama lain)”. (Surah al-Hujurat ayat 13).

Perhubungan manusia dengan Allah S.W.T., pula merupakan tujuan pokok manusia didiciptakan-Nya. Allah S.W.T., berfirman, bermaksud, “Dan aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku”. 
(Surah al-Dzariat ayat 56).

Tentang perhubungan baik yang khusus antara sesama manusia di kalangan ummah, iaitu persaudaraan seagama (ukhuwah Islamiah), Islam memperuntukkan peraturan atau undang-undang dalam sistem kehidupan sosial yang adil dan harmoni yang disebut sebagai Syariat Islamiyyah. Semua perkara dalam hal ini terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Dan, semuanya adalah untuk kebaikan, kebajikan, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia seluruhnya, di dunia dan akhirat.


Untuk kesejahteraan ummah, Islam menganjurkan penganutnya agar saling menjalinkan kasih sayang (mahabbah), hormat menghormati, bekerjasama, bertimbang rasa, tolong menolong, nasihat menasihati, berbaik-baik sangka antara satu sama lain.

Firman Allah S.W.T., yang bermaksud : ”Hai orang-orang beriman, janganlah berolok-olok satu kaum kepada kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang diprolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan itu), jangan juga wanita-wanita kepada wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada wanita-wanita (yang mengolok-olokkan itu), janganlah kalian mencela diri kalian sendiri dan janganlah kalian panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya kebanyakan prasangka itu adalah dosa. Janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kalian memakan daging saudaranya yang mati?". (Surah al-Hujurat ayat 11 dan 12).

Demikianlah, larangan Allah S.W.T. Umat Islam, bukan sahaja dilarang daripada melakukan perlakuan atau tindakan yang boleh mencederakan fizakal atau mengorbankan nyawa orang lain, tetapi juga ditegah daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati atau boleh memutuskan tali perhubungan.

Sebaliknya, Islam menekankan galakan agar manusia melakukan apa sahaja perbuatan yang akan menyenangkan hati dan membahagiakan kehidupan manusia yang lain. Sehinggakan senyuman kepada seseorang itu dikira sebagai satu sedekah (Maksud Hadis).

Islam menggalakkan perpaduan ummah. Allah S.W.T., berfirman maksudnya : "Sesungguhnya segala orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara yang bersengketa". (Surah al-Hujurat ayat 10).

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Mukmin dengan mukmin itu umpama bangunan, sebahagiannya saling berkaitan dengan bahagian yang lain" 

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

Untuk mengekalkan perpaduan ummah, Islam melarang sebarang perbuatan yang merupakan penindasan, penipuan atau penganiyaan antara satu sama lain, seperti rasuah, menyorok barang jualan, menabur fitnah, menghadu-dumba, makan riba, makan harta anak yatim dan sebagainya. 

Dilarang juga umat Islam melayani nafsu dan membiarkan hati dijangikiti penyakit mazmumah seperti hasad, tamak, riyak, ujub, takabbur dan sebagainya.
Di samping mendatangkan manfaat duniawi, jalinan persaudaraan sesama penganut Islam itu juga akan menghasilkan manfaat ukhrawi. 

Rasulullah saw bersabda, maksudnya : "Barangsiapa menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga".

Mu'az bin Jabal meriwayaatkan: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Suatu kelompok manusia pada hari kiamat kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arasy. Wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul-qadar. Waktu itu manusia panik sedangkan mereka tidak berasa panik dan manusia takut padahal mereka tidak berasa takut. Mereka itu adalah aulia Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir".

Lalu Mu'az bertanya: "Siapakah aulia itu, ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah". 
(Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim)


Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda  maksudnya : "Allah berfirman pada hari kiamat: 'Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku'".

Maksud persaudaraan kerana Allah itu ialah persaudaraan yang berasakan matlamat menegakkan kalimah Allah, mempertahnkan kebenaran (hak) dan menentang kebatilan. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah (Maksud hadis, riwayat Ibnu Hibban dan Hakim daripada Anas bin Malik).

Via: Muhammad Isa al-Jambuli

(Di petik daripada tulisan Wan Mohd Asyiq)
 

Keadaan Manusia di Padang Mahsyar.




-> Setelah semua mahkluk yang bernyawa dialam nyata ini mati dan hancur binasa ALLAH SWT memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan angin Sangkakala yang hebat itu untuk menghidupkan semula semua mahkluk yang sudah mati Israfil meniup dan berteriak dengan sekuat-kuatnya: "Wahai nyawa yang telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah buruk, urat yang telah putus berkecai, kulit-kulit yang telah pecah hancur, rambut-rambut yang telah luruh! Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman dari ALLAH SWT yang menjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!".

-> Maka dengan tiba-tiba mereka pun tegak bangun berdiri. Mereka lihat langit, didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah, tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada dihadapan mereka. Dilihat matahari telah hilang cahayanya. Maka sedarlah dan tahulah mereka bahawa mereka berada ditempat yang dijanjikan kiamat.

-> Lantas mereka berkata: "Inilah dia sebagaimana yang telah ALLAH janjikan dan inilah menunjukkan kebenaran para Rasul." Seperti yang telah ALLAH sebutkan dalam Al-Quran: "Mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?, Lalu dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang telah dijanjikan oleh ALLAH Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul !" (Yassin, Ayat: 52)

-> Mereka pun keluar dari kubur tanpa pakaian, tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dibadan. Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan bermacam-macam rupa.

1. Sesetengah mereka ada yang berupa kera kerana di dunia mereka suka membuat fitnah kepada orang lain.

2. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

3. Ada yang buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

4. Ada yang pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang mereka lakukan.

5. Ada yang mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan sentiasa menikam-nikam lidah sendiri.Ini adalah kumpulan ULAMA' yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

6. Ada pula yang luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi bohong.

7. Ada yang telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

8. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah yang sanggup menyimpan harta dari belanjakan ke jalan Allah.

9. Ada yang berkeadaan benar-benar mabuk,orang ini suka bercerita-cerita dalam masjid akan hal dunia.

10. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan harta riba.

11. Ada yang tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini suka menyakiti orang-orang sekampungnya.

12. Ada yang berupa khinzir kerana mereka mempermudah-mudahkan sembahyang lalai dalam sembahyang)

13. Ada pula yang bangkit dengan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini di dunia payah hendak mengeluarkan zakat.

14. Ada yang berkeadaan dimana darah yang amat busuk sentiasa keluar dari mulut mereka.Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

15. Ada yang sampai terasing daripada manusia serta badannya sangat busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia,tidak takut pada Allah.

16. Ada yang terpotong halkum,keadaannya tercerai dari leher. Orang ini selalu sanggup untuk bersaksi bohong.

17. Ada yang bangun dari kubur tiada berlidah dan mengali darah busuk dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.

18. Ada pula yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas langit.Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka.Mereka itu suka berbuat zina semasa hidup.

19. Ada yang berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api neraka.Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

20. Ada pula yang bangun dengan mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

21. Ada yang gigi mereka seperti tanduk lembu, lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari perut mereka. Mereka adalah orang yang suka meminum arak.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang segera menginsafi diri dan bertaubat di atas dosa dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap sesama manusia....

(Di petik daripada tulisan Nur Jihan Mat Basir)

Monday, January 3, 2011

Menghayati dan Memahami Hakikat Insan

Sahabat yang dirahmati Allah ,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.  dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-Nya yang mendapat keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. kerana masih memberi rezeki dan nikmat yang tidak terhingga kepada kita semua. Ini merupakan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dan yang paling istimewa Allah S.W.T.  telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan kejadian. Begitu juga, Allah S.W.T. telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhluk-Nya yang lain. 
Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah at-Tin ayat 4 :
Maksudnya : “ Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya) ”.

Berdasarkan ayat tersebut, para ulama sepakat mengatakan bahawa kemuliaan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain adalah disebabkan kemampuan manusia menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran. Dimana akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk atau diantara yang hak dengan yang batil.

Namun begitu kemuliaan dan keagongan tersebut tidak datang begitu sahaja, sebaliknya ia perlu dipenuhi dengan syarat-syaratnya, iaitu manusia perlu beriman kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya serta mengerjakan amal soleh. Sebaliknya jika manusia tidak beriman dan tidak berpegang dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka ia akan dicampakkan ke tempat yang serendah-rendahnya iaitu azab api neraka. Malahan manusia tidak berhak untuk menerima gelaran kemuliaan tersebut. 

Firman Allah S.W.T maksudnya : “ Kemudian ( jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu ), kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus ”. (Surah at-Tin ayat 5-6)

Sahabat yang dimuliakan,
Menyedari hakikat kemuliaan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada manusia begitu tinggi, maka seharusnya kita bersyukur dan sentiasa berusaha menjaga kemuliaan tersebut, terutamanya menjaga nikmat akal dan nikmat tubuh badan, kerana itu sebagai tanda syukur dan berterima kasih, kita perlu menggunakan kedua-dua nikmat tersebut dengan betul dan sebaik-baiknya. Disamping mensyukuri, kita juga dituntut untuk memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri dan tanggungjawab terhadap Allah S.W.T.

Dengan memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri atau dengan menjaga amanah diri, iaitu mengetahui serta sedar bahawa segala anggota badan seperti mata, telinga, tangan, kaki dan anggota-anggota yang lain merupakan amanah Allah S.W.T. Begitu juga, menjaga akal, menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan, menutup aurat dan sebagainya merupakan sebahagian daripada amanah yang telah ditetapkan oleh Islam.

Justeru, memelihara setiap anggota dan pancaindera dari digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah yang perlu dijaga dan dipelihara bagi tujuan kebaikan serta mendapat keredaan dari Allah S.W.T. sepanjang masa.

Kerana itu, bagi mereka yang tidak menjaga akal dan tubuh badan dengan sempurna dan ditambah lagi dengan menggunakan bahan-bahan terlarang seperti meminun arak, menyalahgunakan dadah, terlibat dengan pil axtacy, pil kuda, ubat batuk dan sebagainya. Bukan sahaja boleh merosakan akal fikiran malahan boleh memudaratkan tubuh badan serta mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Islam juga melarang menghisab rokok kerana bahan kimia yang terdapat dalam rokok telah disahkan oleh pakar perubatan bahawa ianya boleh mendatangkan mudarat dan menjejaskan kesihatan.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”(Surah al-Baqarah ayat 195)

Apabila manusia tidak menggunakan akal fikiran atau terlibat dengan bahan-bahan yang boleh merosakan akal fikiran seperti penyalahgunaan dadah dan pil khayal, maka ketika itu manusia tidak layak lagi menjadi makhluk Allah yang paling mulia. 

Hal ini sebagaimana yang digambarkan oleh Allah dalam surah al-A’raf ayat 179 maksudnya : "Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti-bukti kekuasaan Allah), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai."

Dari ayat tersebut, jelaslah bahawa apabila manusia mengabaikan akal fikiran serta tidak digunakan mengikut fitrah ia diciptakan oleh Allah, maka manusia pada ketika itu tidak layak lagi dimuliakan bahkan martabatnya menjadi lebih rendah dari binatang ternak.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Penyakit Aids amat menakutkan kita semua kerana sehingga kini masih tidak ada kaedah perubatan atau penawar berkesan yang boleh mengubatinya.

Cuba kita renung perangkaan 2005 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 70,559 orang pesakit HIV di seluruh Malaysia dimana 61,715 pesakit yang masih hidup. Bagi tahun 2005 sahaja sebanyak 6,120 kes baru dilaporkan iaitu kira-kira 17 kes sehari pesakit dijangkiti HIV. Perangkaan ini cukup menakutkan kita kerana dari keseluruhan pesakit HIV majoriti kaum Melayu atau umat Islam yang paling ramai dijangkti HIV.

Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan berlakunya AIDS atau dijangkit HIV positif diantaranya :

1. Disebabkan oleh hubungan seks sejenis atau Homoseksual diantara lelaki dengan lelaki.
2. Disebabkan oleh seks bebas iaitu bertukar-tukar pasangan.
3. Disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dengan cara bertukar atau berkongsi jarum suntikan.

Oleh itu janganlah kita benarkan diri dan akal fikiran kita terjebak dengan unsur-unsur maksiat atau dirosakkan oleh bahan-bahan perosak seperti arak dan  dadah dan sebagainya yang akan menghentikan sama sekali fungsi akal dan menjatuhkan martabat diri dan keluarga dalam kehinaan.

Asas kekuatan iman dan akidah yang mantap perlu ditaman didalam diri setiap muslim, kerana kekuatan ini sahajalah cara yang boleh menyelamat kita samaada agama, akal, nyawa, keturunan, maruah dan harta benda. Tanpa keimanan yang kukuh kita akan gagal menikmati kesejahteraan dan keselamatan hidup yang hakiki, kerana itu, marilah sama-sama kita mengambil berat terhadap mereka-mereka yang dibawah jagaan kita agar tidak terlibat serta bebas dari perkara-perkara negetif yang boleh merosakkan hidup dan masa depan mereka.

Sahabat,
Akhirkata marilah  sama-sama berusaha menjadikan diri dan keluarga serta masyarakat kita sentiasa berada dalam rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. sepanjang masa. Mudah-mudah hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Terdapat lima perkara perlu kita hayati untuk tingkatkan hubungan hati kita dengan Allah S.W.T. di antaranya adalah seperti berikut :

1. Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. dengan melakukan ibadah wajib dan ibadah sunat serta menjauhi segala larangan-Nya.

2. Berusaha membina keimanan yang mantap serta jiwa yang kental, kerana melalui keimanan kepada Allah S.W.T. sahajalah yang dapat mengawal dan mencegah kemungkaran.

3. Bertanggungjawab mendidik anak-anak dan mereka yang dibawah jagaan kita terutamanya memastikan setiap makanan yang diberikan dari sumber yang halal, bersih dan berzat serta menjauhi dari sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba’, penipuan dan sebagainya.

4. Peranan masyarakat juga penting terutama mengambil tahu hal-hal yang berlaku disekeliling. Disamping membantu perkara-perkara yang baik serta berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah dalam masyarakat.

5. Hidupkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat, menjauhi perkara-perkara tidak berfaedah serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
( Surah al-Anfal ayat 27 )

Pembinaan Rumahtangga Islam Satu Tuntutan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setengah pasangan atau salah seorang daripadanya meletakkan tujuan yang tidak betul dalam perkahwinan. Sebahagiannya kerana bermatlamatkan kekayaan, kecantikan, keturunan, nafsu dan sebagainya. Cabaran yang akan dihadapi adalah berdasarkan sejauhmana matlamat yang ingin dicapai dalam rumahtangga. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan, kerana itu perkahwinan disyariatkan.

Islam memberikan perhatian yang sangat besar dalam pembentukan sebuah keluarga, kerana keluarga merupakan satu masyarakat yang kecil sebelum terbentuknya sebuah masyarakat yang lebih luas. Mendirikan dan membentuk sebuah keluarga yang berteraskan Islam, sakinah, mawaddah wa rahmah harus dimulai dengan meletakkan asas keislaman yang kukuh, yang dimulai dengan memilih jodoh mengikut cara Islam, proses walimatul ‘urus, membangun keluarga dari tahap awal, dan mendidik anggota keluarga .

Sahabat yang dimuliakan,
Kejahilan adalah musuh kepada kebahagiaan rumah tangga. Kejahilan mengurus akan membuka ruang yang lebih luas kepada cabaran yang lebih besar. Pengurusan rumahtangga mesti didasarkan kepada tiga perkara berikut :

1. Proses pendidikan Islam perlu berjalan untuk mengukuhkan kesedaran beragama iaitu menyuburkan ketaatan kepada Allah S.W.T., tidak menganiaya sesama manusia, melahirkan sifat kasih sayang dan bertimbangan rasa dan lain-lain.

2. Memahami hukum fikah bab munakahat iaitu memahami kewajipan dan tanggungjawab suami kepada isteri , kewajipan mendidik dan memberi nafkah kepada anak-anak dan memahami hukum-hakam mengenai penceraian, talak, hak-hak suami dan isteri dan sebagainya jika berlaku perselisihan.

3. Memahami perlunya toleransi dan kerjasama serta komunikasi yang baik diantara suami, isteri dan anak-anak. Termasuk keluarga di kedua-dua belah pihak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Perkahwinan itu adalah sunahku, maka barangsiapa yang benci kepada sunahku, nescaya telah membenci aku.”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.” 
(Hadis Riwayat Thusiy)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan jadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
(Surah al-Rum ayat 21)

Di dalam Islam sebelum seseorang itu ingin mendirikan rumahtangga maka pemilihan jodoh hendaklah berdasarkan pada agama seseorang kerana ini akan membawa kepada kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kerana masing-masing mempunyai asas dalam kefahaman agama.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Wanita itu dikawini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.”

Selain daripada mengutamakan agama satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian adalah sekufu (persamaan). Perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Adakah Islam mengaku suami isteri itu bertaraf-taraf? Jawapannya ia. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentunya tidak sama orang berilmu dengan yang tidak berilmu, orang yang bertakwa tidak sama dengan orang yang tidak bertakwa, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama.

Manusia yang jahat pun dari sudut kemanusiaan perlu diberi pertolongan dan dihormati sebagai manusia. Dari semua perbezaan hidup dan nilai-nilai hidup manusia, tidak ada yang lebih mulia melainkan insan yang  bertakwa kepada Allah S.W.T.

Pembinaan institusi kekeluargaan yang mantap merupakan hospital yang paling anggun bagi menghadapi segala bentuk cabaran. Keluarga yang mantap dan bahagia menjadi penawar kepada segala masaalah. Ia juga menjadi prasyarat dalam merencana rekayasa sosial. Rekayasa sosial adalah satu cara dalam mengukuhkan institusi keluarga menerusi pembentukan masyarakat sakinah dalam menghadapi era globalisasi zaman moden ini. Pendekatan ini diambil dengan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang aman, makmur, seimbang, maju, berbudaya dan bertatasusila dengan berlandaskan norma moral dan nilai kerohanian hidup yang positif.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Jika seorang perempuan melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, tiada berdosa jika keduanya mengadakan perdamaian sesama mereka, berdamai itu adalah lebih baik, memang manusia berperangai kikir, jika kamu berbuat baik kepada isteri kamu dan bertakwa, sesungguhnya Allah Amat Mengetahui." (Surah An-Nisaa' ayat 128)

Apakah ciri-ciri penting yang perlu ada pada bakal pasangan suami isteri supaya menjamin kebahagiaan rumahtangga yang akan dibina?

1. Mempunyai matang fizikal iaitu sihat tubuh badan dan tidak naif.

2. Mempunyai kematangan intelektual iaitu  mempunyai keyakinan diri (bersikap objektif), mampu membuang segala perangai buruk dan amalan negatif, mengaku kekurangannya dan berkeinginan untuk membaiki kelemahan diri.

3. Mempunyai kematangan emosi iaitu tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya.

4. Mempunyai kematangan sosial iaitu mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni, mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana dia berada.

5. Mempunyai kematangan moral iaitu memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan akibat perbuatannya terhadap orang lain.

6. Mempunyai kematangan usia iaitu antara 24-30 tahun bagi lelaki dan 20-25 tahun bagi wanita. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat sesuatu tempat.
(dalam kes-kes tertentu jika di dapati pasangan tersebut lebih muda daripada kematangan usia tersebuat dan memerlukan mereka berkahwin maka ianya lebih baik daripada terlibat dengan gejala zina)

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam pembinaan rumah tangga bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari bahawa menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada isteri dan anak-anak ada satu keperluan yang diutamakan. Semoga dengan ilmu dan pendidikan akan melahirkan rumah tangga muslim 'menjadikan rumahku syurgaku' dan mereka sentiasa terbimbing dengan ilmu dan akhlak Islam. 

Bapa juga perlu bekerja keras  nencari nafkah untuk mendapatkan wang dan harta supaya sekurang-kurangnya dapat memenuhi tiga keperluan asasi kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan riyak atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Amalkanlah kehidupan secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga darinya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, sepertiganya untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga seperti kata pepatah "beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis" 

Proses pendidikan kepada keluarga perlu berjalan dengan baik dan berterusan. Untuk melahirkan susana tarbiah persekitarannya perlulah persekitaran yang baik kerana ianya akan membantu mencapai kebahagiaan rumahtangga tetapi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi dan menghalang wujudnya kebahagiaan dan keharmonian dalam keluarga. Banyak aspek persekitaran yang perlu diambil perhatian seperti jiran tetangga, masyarakat sekeliling, pembantu rumah, pengaruh media, pengaruh pemikiran barat, keselesaan dan keindahan di dalam dan luar rumah, menghiasi rumah dengan peralatan dan perhiasan yang diredai Allah. Ibu bapa hendaklah pandai membentuk suasana yang harmoni.

Daripada Saat r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumahtangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Semasa majlis perkahwinan beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian adalah seperti berikut :
1. Menyedari tujuan sebenar kita mengadakan walimah.
2. Menghindari perbuatan syirik dan kurafat.
3. Mengelak daripada melakukan maksiat.
4. Mengundang golongan yang kurang berada.
5. Mengelakkan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita)
6. Menghindarkan hiburan yang merosakkan nilai ibadah. (hiburan yang memuji kebesaran Allah tidaklah dilarang)
7. Menghindari pembaziran.
8. Mengelakkan perhiasan yang melampau.
9. Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kebahagiaan kedua mempelai serta keluarga mereka.

Sahabat,
Perkahwinan adalah sunah Rasulullah S.A.W. dan hanya jalan perkahwinan sahaja dapat menyelesaikan perzinaan dan pembuangan dan kelahiran anak-anak tidak sah taraf. Apabila sudah ada jodoh dan ada calun yang sesuai teruskanlah diijab kabulkan kerana jika ditangguh-tangguh lagi akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Janganlah dipandang kepada hantaran dan mas kawin yang mahal kerana ianya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak lelaki yang berhajat untuk mengambil seorang wanita itu untuk menjadi isterinya .

Rasulullah S.A.W.  memberi cara mudah bagi laki-laki untuk mengetahui akhlak calon isterinya dengan mengetahui besar kecil mas kawin yang dimintanya. Seorang wanita yang kuat agamanya tentu tidak akan membebani calon suaminya dengan mas kawin yang mahal harganya. Tetapi dia akan menunjukkan jalan bagi suaminya jalan yang mudah untuk segera mengawininya.
 Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
”Sebaik baik wanita yaitu yang paling murah permintaan mas kawinnya.” 
(Hadis Riwayat Thabrani)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu kawinkanlah saja. Jika tidak, dikawatirkan akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Sunday, January 2, 2011

Enam Persoalan Hidup Dari Imam al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al- Ghazali bertanya kepada murid-muridnya;
Pertama. "Apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini?". 

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "MATI".

Sebab itu sudah janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
Firman Allah S.W.T maksudnya :
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya die telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya. 
(Surah Ali Imran ayat 185)
Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". 

Murid-muridnya ada yang menjawab negara, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "MASA LALU"

Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak mampu kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga."Apa yang paling besar di dunia ini?". 

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung,bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "NAFSU".

Firman Allah S.W.T maksudnya :
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."
(Surah al-A'raf ayat 179)
Maka kita harus menjaga hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah," Apakah yang paling berat di dunia ini?"

Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan tersebut hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "MEMEGANG AMANAH"

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung2, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh" 
(Surah al-Ahzab ayat 72)
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu memikul tanggungjawab setelah Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT., sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.


Pertanyaan yang kelima ditanya oleh Imam Al-Ghazali adalah,"Apa yang paling ringan di dunia ini?". 

Ada yang menjawab Kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah "MENINGGALKAN SOLAT"

Disebabkan pekerjaan kita tinggalkan solat, meeting dan sebagainya.

Kemudian  pertanyaan yang keenam dan terakhir ditanya oleh Al- Ghazali adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini? 

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang...Benar kata Imam Al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah "LIDAH  MANUSIA". Kerana melalui lidah manusia ia boleh menyakiti hati dan melukai perasaan saudara sendiri.

(Dipetik daripada tulisan Wan Mohd Asyiq)


Internet Baik Buruknya Kita di Golongan Yang Mana?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari kita.

Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet ini :

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat
diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain 'game', mendengar lagu, bersembang kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, membuka web site yang kurang bermanfaat untuk menambahkan ilmu pengetahuan seperti membaca kehidupan artis-artis atau ahli-ahli sukan dan sebagainya tanpa tujuan yang jelas.. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu semata-mata. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan dan menghantar nota-nota tazkirah dalam fb dan blog kepada masyarakat.

Pepatah Arab ada menyatakan :
"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Masa adalah kehidupan sesiapa yang mensia-siakannya ini  bermakna dia mensia-siakan kehidupannya.

Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman lucah, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, bersembang dengan  menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. Lebih dahsyat lagi jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral membuat fitnah dan menyebarkannya pula dengan menggunakan teknologi 'super impose'

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita. Sekarang ini kita berada digolongan mana? Jika berada di golongan yang pertama, alhamdulillah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Masa yang kita peruntukkan menghadap komputer berjam-jam dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. Teruskan kerja-kerja yang murni ini.

Sekiranya kita golongan yang kedua, kita adalah  golongan yang akan rugi kerana masa kita dipergunakan dengan banyak tanpa berfaedah . Kita akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.

Jika termasuk  golongan yang ketiga kita akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat . Oleh itu hendaklah kita jangan menjadi  golongan ketiga ini dan minta di hentikan tabiat buruk itu.  Secara sedar atau tidak golongan ketiga ini telah membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik sesiapa yang terlibat dengan perbuatan fitnah tadi. Seseorang akan menjadi golongan muflis di hari akhirat nanti jika tidak bertaubat .

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Mudarat internet amat besar. Kerana internet boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.

Akhirkata berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.