Monday, March 7, 2011

Orang Mukmin Yang Bertanggungjawab Tidak Akan Meninggalkan Kerja -kerja Amar Makruf Nahi Mungkar.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup sebagai seorang mukmin sentiasa dipertanggungjawabkan dengan tugas dan amanah yang besar. Selain diamanahkan menjadi seorang suami dan ayah untuk membimbing keluarganya, dia juga bertanggungjawab untuk memimpin umat ini semoga tugas sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini dapat di jalankan dengan sempurna.

Tugas untuk memimpin umat ini bergerak di dalam Jemaah Islam di panggil sebagai daie dan murabbi. Tugas sebagai daie dan murabbi bukanlah tugas yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa kerana kerana kesilapan kita memimpin umat Islam dan berlaku penyelewengan akan mengakibatkan  Islam di fitnah dan menyebabkan orang akan lari daripada ajaran Islam maka kita akan menanggung dosanya.

Tugas untuk mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran adalah tugas yang amat mulia kerana tugas ini adalah tugas para rasul yang diutus oleh Allah S.W.T. Islam tidak akan tersebar luas apabila tugas amar makruf nahi mungkar ini tidak dilaksanakan dan gejala kerosakan dan kefasadan akan tersebar luas dan semakin parah bila umat Islam hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu pikul bersama tugas yang mulia ini. Pasti bala Allah S.W.T akan turun ditempat itu jika tidak ada usaha-usha yang berterusan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan.


Ketahuilah, bahawasanya amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah  S.W.T. telah mengutuskan para Nabi sekalian.

Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf dan nahi mungkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.

Tugas menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, di kaji dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah  ada di antara kamu  segolongan umat yang menyeru (manusia) kepada kebajikan menyuruh kepada yang makruf  dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung." 
(Surah Ali-Imran ayat 104)

Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar makruf dan nahi munkar. Sebab perkataan ' waltakun 'yang bermaksud hendaklah ada, ini adalah suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh. Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan beruntung yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: 'Wa Ulaika Humul Muflihuun' yang maksudnya: Merekalah orang yang beruntung. Ternyata padanya bahwa tugas itu merupakan wajib fardu Kifayah, bukannya fardu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefarduannya ke atas manusia yang lain.

Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.”
(Surah at-Taubah: 71)

Allah S.W.T. telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oelh Allah Ta’ala dalam ayat tersebut sebagai orang yang beriman:

Berfirman Allah lagi maksudnya :
"Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampau batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan mungkar yang selalu mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." (Surah al-Maaidah ayat 78-79)

Ayat tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah  S.W.T. kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan kejahatan.

Allah S.W.T. berfirman lagi maksudnya :
“Kamu sekalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah ali-Imran ayat 110)

Ayat tersebut menunjukkan bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu paling utama sekali kerana Allah telah memberi kepujian kepada orang yang menjalankan tugas ini, sebagai sebaik-baik ummat di atas muka bumi ini.

Berfirman Allah S.W.T. lagi maksudnya :
 "Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik."
(Surah al-A'raaf ayat 165)

Berfirman Allah S.W.T. maksudnya :
“Dan tolong-menolong kamu atas kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Maidah ayat 2)

Perintah ini adalah suatu kemestian dan maksud tolong-menolong itu ialah mengajak melakukannya dan mempermudahkan jalan kepada melakukan kebajikan serta menutup jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada kejahatan, dan permusuhan sekadar kemampuan.

Adapun terdapat riwayat daripada hadis yang memberitakan tentang amar makruf dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. dari Rasulullah  S.A.W. sabdanya maksudnya :
“Tiada ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahwa Allah hampir-hampir akan menimpakan seksaNya atas mereka sekalian.”

Dalam dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya, kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukimin yang dipilih menjadi para daie atau pendakwah hendaklah  menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat mempunyai tiga tata-cara atau adab yang penting menghiasi akhlaknya. Perkara tersebut adalah seperti berikut :
(1) Berilmu
(2) Warak
(3) Berbudi pekerti baik

Berilmu maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan batasan syariat Islam.

Warak  maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain. Hendaklah kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak tentulah ia akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani terhadapnya.

Adapun berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan pokok bab ini dan tujuan asalnya. Berilmu dan berwarak saja tidak mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk menahannya hanya dengan berilmu dan berwarak semata-mata, melainkan jika ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan perasaan marah dan tidak sabar itu.

Dengan terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat dihapuskan.

Sekali peristiwa pernah Khalifah al-Makmun diberi nasihat oleh seorang dan orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata  Khalifah al-Makmun kepadanya : "Wahai manusia! Berkata lunaklah! Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada orang yang lebih hina dariku. Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:
“Maka katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Surah Taha ayat 44)

Orang yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan lemah-lembut kerana para Anbia sentiasa mengunakan pendekatan yang lemah lembut untuk mengajak manusia beriman kepada Allah S.W.T. dan meninggalkan kemugkaran yang dilakukannya.

Sahabat yang dikasihi.
Untuk menjadi para daie atau pendakwah bukan semestinya kita perlu memiliki ilmu yang tinggi seperti para ulama, tetapi sebenarnya kita semua adalah para pendakwah kerana Nabi S.A.W ada bersabda maksudnya : "Sampaikanlah daripadaku satu ayat." Oleh itu kita wajib sampaikan Islam ini kepada isteri, anak-anak, jira tetangga, kawan-kawan pejabat, saudara mara , sahabat handai dan sesiapa saja orang yang kita kenal atau pun tidak.

Jika ada kenalan kita orang yang bukan Islam perlu juga kita sampaikan tentang kebaikan Islam semoga terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Kalau ada bahan-bahan tarbiah yang ringkas mengenai kebaikan Islam hulurkanlah kepada mereka supaya mereka dapat membacanya dan cuba mendekati dengan ajaran Islam.

Biasakanlah diri kita memberi nasihat yang baik dan cegahlah kemungkaran yang kita lihat berlaku dihadapan mata. Jika kita sampaikan dakwah atau ilmu Islam ini kepada mereka dan mereka amalkan ilmu tersebut kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. Sekiranya mereka tak terima atau tidak amalkan kita tetap mendapat pahala kerana kita telah berusaha memberi nasihat yang baik . Ingatlah hidayah itu milik Allah S.W.T. dan Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Dalam suatu hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau di zalimi." Lalu seorang lelaki bertanya : "Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia di zalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya?" Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: "Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya". (Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. )

Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang di zalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang di zalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut atau pun menasihatkannya dengan baik.  Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan mungkar oleh agama.

Hubungan kekuatan iman dalam kalbu mukmin terukur pada sejauh mana kemauan dan kemampuannya dalam amar makruf nahi mungkar. Sabda Nabi S.A.W maksudnya :
“Barangsiapa melihat kemungkaran, harus mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita besama-sama memikul tugas amar makruf nahi mungkar dan sentiasa istiqamah dengan tugas ini kerana di hari akhirat pasti kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. adakah kita telah melaksanakan tugas ini dengan  ikhlas dan bersungguh-sungguh?. Jika jawapannya kita telah melaksanakan ketika di dunia maka kita akan terselamat daripada azab yang pedih kerana satu kesalahan besar jika kita tinggalkan suruhan Allah S.W.T. ini, dan amalan-amalan kita yang lain akan dihitung dengan cara yang mudah kerana pahala menjalankan tugas ini lebih berat daripada amalan sunat kita.

Sunday, March 6, 2011

Empat Jalan Membatu Seorang Mukmin ke Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang mukmin perlulah meningkatkan amalannya setiap hari sebagai persiapan untuk bertemu dengan Allah S.W.T. Perbanyakkanlah bekalan pahala dan kebaikan semoga memudahkan kita menghadapai kehidupan di alam barzakh dan hari akhirat yang penuh kesukaran dan penderitaan. Majoriti manusia akan mengalami azab sengsara yang amat dahsyat ketika berada di alam barzakh , Padang Mahsyar, Mizan (timbangan amal) dan meniti di siratul mustakim. Hanya para mukmin yang terpilih sahaja akan dipermudahkan Allah S.W.T. menghadapai perjalanan kehidupan selepas kematiannya. Bagaimana seorang mukmin yang diredai Allah, ketika berada di alam barzakh seperti duduk di taman-taman syurga, disoal siasat oleh Munkar dan Nakir dengan mudah, diberi kerehatan sementara menanti hari kiamat. Bila berlaku hari kiamat dia termasuk golongan yang dirahmati Allah S.W.T mendapat perlindungan Arasy, diberi minum air daripada kolam (khaudh)  Rasulullah S.A.W. tidak dahaga sampai bila-bila dan meniti siratul mustakim pantas seperti kilat.

Alangkan bahagianya para mukmin seperti ini, apakah amalan yang dilakukan ketika di dunia hingga dia mendapat status 'VVIP' disisi Allah S.W.T?

Pasti ada tip-tip yang diamalkan semasa di dunia hingga dia mendapat kemulian seperti ini. Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. terdapat beberapa jalan yang diamalkan dan dihayati akan memudahkannya mendapat rahmat dan keredaan Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.

Jalan-jalan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Menuntut ilmu yang bermanfaat. (Ilmu tauhid, ilmu fekah dan ilmu tasauf)

Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.

Firman-Nya yang bermaksud:“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah al-Ankabut ayat 69)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang pergi menuntut ilmu, Allah akan melorongkan untuknya laluan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada para penuntut ilmu kerana sayangnya para malaikat kepada para penuntut ilmu itu." (Riwayat Ahmad no.18577, al-Tirmizi no.2898, Abu Daud no.3643, Ibn Majah no. 228)

Nabi S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi.”

Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.

Orang-orang yang berhimpun dalam majlis ilmu dan majlis zikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan. Penghuni langit melihat majlis-majlis ilmu dan majlis zikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit.

Disebabkan ramainya malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ilmu adalah  sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para sahabat r.a menghadiri majlis ilmu yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.

Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya”

Kedua : Mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Orang mukmin akan mengamalkan ilmu yang dia miliki dan  akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang mukmin yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“……sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.”
(Surah  al-Kahf, ayat 13)

Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang Allah kurniakan kepadanya, meningkatkan ketakwaannya, maka dengan itu Allah akan mengurniakan kepadanya al-furqan yang membolehkan dia membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan yang benar. Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Surah al-Anfal, ayat 29)

Ketiga : Beramal dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T.

Keikhlasan niat ialah supaya segala sesuatu kita kerjakan adalah semata-mata kerana Allah dan bukan untuk mendapatkan sanjungan atau pujian dari makhluk. Apa yang kita lakukan hendaklah dengan niat untuk mencari keredaan Allah S.W.T, bukanlah dengan niat mendapat keduniaan dan bukan pula kerana riak.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Dengan ini jelas Allah meliaht hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya. Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"

Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk"

Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah S.W.T.
maksudnya: "Iblis berkata : "Wahai Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik (perbuatan maksiat)  di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas (di antara mereka)." (Surah al-Hijr ayat 39-40)

Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah S.W.T. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah maksudnya :
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nikmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "Engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka"

Keempat : Mengamalkan sifat-sifat mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.

Asas penting dalam kehidupan seorang mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah S.W.T.Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki  akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.

Adapun sifat-sifat mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (taqwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah s.w.t.

 Firman Allah maksudnya :  “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah S.W.T. ).”( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia.  Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).

 6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah S.W.T. yang banyak diperolehi.

Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Reda dengan Qadak dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Sabda Nabi S.A.W. bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sifat-sifat mazmumah pula adalah berlawanan dengan sifat-sifat mahmudah maka perlulah ditinggalkan untuk menjadi mukmin yang diredai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita beramal dengan amalan-amalan yang membawa kita menuju jalan ke syurga Allah S.W.T. Jalan ke syurga Allah S.W.T. bukanlah mudah kerana perlu kepada pengorbanan dan istiqamah dan sanggup bersusah payah ketika di dunia ini. Bersusah payah sedikit di dunia adalah lebih baik daripada menderita berpanjangan ketika kita bertemu dengan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti.

 

Renungan Bersama

Assalammualaikum  buat saudara seislam ku yang dirahmati ALLAH SWT......

marilah kita menghayati sejenak renungan ini sebagai muhasabah diri kita bersama...mudah-mudahan bertambah iman didada insya'ALLAH....Amin.
 
Jika kau merasa lelah dan tidak berdaya dari usaha yang sepertinya sia-sia......
ALLAH tahu betapa kau telah bersusah -payah.

Jika kau telah menangis sekian lama dan hatimu terasa perit......
ALLAH telah menghitung rintihan air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menanti sesuatu dan waktu serasa berlalu......
ALLAH sedang menanti bersamamu.

Jika kau merasa sendirian dan saudara-saudaramu sibuk dengan banyak urusan.......
ALLAH sentiasa berada dekatmu.

Ketika kau berfikir, kau sudah mencuba segalanya dan tidak tahu harus berbuat apa lagi......
ALLAH selalu punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu tidak masuk akal dan kau merasa sangat tertekan.........
ALLAH mampu menenangkanmu.

Jika kau merasa ada jejak-jejak harapan terdetik di hatimu......
ALLAH sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kamu merasa ingin mengucap syukur......
ALLAH telah memberkahimu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mempunyai mimpi untuk digenapi......
ALLAH telah membuka dan memanggilmu dengan namamu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan engkau dipenuhi keajaibpan......
ALLAH telah tersenyum padamu.
 
Ingatlah wahai saudara- saudaraku.....

Dimanakah kamu dan kemana pun kamu sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui.

(Di petik daripada tulisan Nor Azita Idris)

Terjemahan Surah Al Waqiah

Bismillahirahmanirrahim.
[1]
Apabila berlaku hari kiamat itu,
[2]
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
[3]
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
[4]
(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan.
[5]
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
[6]
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
[7]
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
[8]
Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
[9]
Dan puak pihak kiri; - alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
[10]
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
[11]
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
[12]
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[13]
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
[14]
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
[15]
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
[16]
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
[17]
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -
[18]
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
[19]
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
[20]
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
[21]
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
[22]
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
[23]
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
[24]
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
[25]
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
[26]
Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).
[27]
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
[28]
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
[29]
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
[30]
Dan naungan yang tetap terbentang,
[31]
Dan air yang sentiasa mengalir,
[32]
Serta buah-buahan yang banyak,
[33]
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
[34]
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
[35]
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
[36]
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
[37]
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
[38]
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
[39]
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
[40]
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
[41]
Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
[42]
Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
[43]
Serta naungan dari asap hitam,
[44]
Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.
[45]
Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
[46]
Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
[47]
Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
[48]
“Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? ”
[49]
Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
[50]
“Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum.
[51]
“Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
[52]
Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
[53]
“Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
[54]
“Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
[55]
“Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”.
[56]
Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
[57]
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
[58]
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
[59]
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
[60]
Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
[61]
(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
[62]
Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).
[63]
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
[64]
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
[65]
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggalah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,
[66]
(Sambil berkata): “Sesungguhnya kami menanggung kerugian.
[67]
“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) ”
[68]
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
[69]
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
[70]
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
[71]
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
[72]
Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?
[73]
Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
[74]
Oleh yang demikian - (wahai orang yang lalai) - bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).
[75]
Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran, -
[76]
Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, -
[77]
Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
[78]
Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
[79]
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
[80]
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
[81]
Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambilewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
[82]
Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
[83]
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, -
[84]
Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, -
[85]
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
[86]
Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), -
[87]
Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?
[88]
Kesudahannya: jika ia (yang mati itu) dari orang-orang ” Muqarrabiin “,
[89]
Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan.
[90]
Dan jika ia dari puak kanan,
[91]
Maka (akan dikatakan kepadanya):” Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan”.
[92]
Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat,
[93]
Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak,
[94]
Serta bakaran api neraka.
[95]
Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini.
[96]
Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

(Di ambil daripada kiriman Al-Biruni Khalid)

Saturday, March 5, 2011

Sikap Yang Baik dan Suka Memberi Pertolongan Adalah Akhalk Terpuji

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."
(Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berdasarkan hadis di atas sikap yang baik dan sanggup memberikan pertolongan adalah akhlak terpuji yang sangat dicintai oleh Allah S.W.T. Setiap orang mukmin akan berusaha sebaik mungkin ketika di dunia ini untuk melakukan amal soleh dan amal kebaikan semoga dirahmati dan diredai oleh Allah S.W.T samaada di dunia dan akhirat.

Amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Memberi manfaat kepada orang lain.

2. Mengembirakan hati orang Islam.

3. Menghilangkan kesusahannya.

4. Menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar.

5. Menunaikan hajatnya.

6. Menahan kemarahannya sekali pun dia mampu membalasnya.

7. Akhlak yang buruk akan merosakkan amalan.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Memberi manfaat kepada orang lain.

Manusia yang paling dikasihi oleh Allah S.W.T. adalah dia sentiasa dalam hidupnya memberi manfaat kepada orang lain. Jika dia memiliki ilmu maka ilmunya akan disampaikan dan ilmu tersebut memberi manfaat, ianya mendatangkan kesedaran dan kebaikan untuk di amalkan.

Dengan kata lain, segala ilmu yang diberikan akan menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Contohnya seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Jika dia memiliki harta, maka hartanya akan di manfaatkan sebagai sedekah jariah. Tangan kanannya memberikan sumbangan hingga tangan kirinya tidak mengetahui.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya  Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
(Hadis riwayat Muslim)

Selain daripada itu kemana sahaja dia pergi dia membawa kebaikan kepada masyarakat, tidak keluar dari mulutnya melainkan perkara yang baik dan kata-kata nasihat. Tangannya pula ringan membantu kepada mereka yang memerlukan khidmatnya tanpa meminta bayaran. Tidak sedikit pun dia merasa rugi apabila dipergunakan masanya untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Begitu juga apa saja yang dia miliki samaada rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya orang lain akan mendapat menfaatnya kerana keikhlasannya memberi bantuan dan sumbangan.

2. Mengembirakan hati orang Islam.

Amalan yang paling disukai oleh Allah S.W.T. adalah seseorang yang mengembirakan hati saudaranya. Suatu yang sangat dituntut terhadap seseorang muslim ialah pergaulan sesama saudaranya wajib dilakukan dengan baik serta menggembirakan saudaranya. Dengan kata lain tidak membebankan saudaranya dengan sesuatu yang boleh melukakan hati atau menyusahkannya, serta rasa terganggu dan serba salah yang membawa ke arah mendukacitakan.

Tanggungjawab ini amat dituntut di dalam Islam sepertimana diterangkan oleh Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kita mengembirakan hati saudara kita di dunia ini, dihari akhirat nanti Allah S.W.T akan mengembirakan hati kita  ketika mana ramai manusia masa itu sedang berdukacita kerana takut amalan-amalannya tidak diterima oleh Allah S.W.T.

3. Menghilangkan kesusahannya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Betapa besarnya pahala kita melapangkan kesusahan saudara kita samaada kesusahan itu disebabkan dia ditimpa musibah kemalangan,  kematian orang yang dikasihi, kemiskinan atau tiada mempunyai pekerjaan. Maka kita bantu sekadar kemampuan kita hingga hilang kesusahan tersebut maka Allah S.W.T akan memudahkan urusan kita samaada di dunia dan akhirat dan diberi-Nya pahala yang berlipat kali ganda.

4. Menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah : “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."
(Surah al-Baqarah ayat 215)

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan yang ingin dibantu. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Ada tiga perbuatan yang menjadi kunci surga, yaitu mengucapkan salam (afsus salam), menjalin silaturahmi (wasiatul arham) dan memberi makan (anith tha'am) orang-orang lapar."

Nabi S.A.W. bersabda kepada Sayidina Ali k.w : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya."

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa memberi sedekah untuk menunaikan keperluan hidup saudara kita dan memberi makan orang yang kelaparan adalah satu amalan yang sungguh mulia dan ianya adalah salah satu kunci untuk memasuki syurga. Contoh kita membantu saudara kita di Palestin, Sudan dan Somalia atau ditempat-tempat bencana alam yang mengalami kebuluran akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

5. Menunaikan hajatnya.

Nabi S.A.W. dengan jelas daripada hadis di atas menyatakan bahawa baginda lebih suka memenuhi hajat saudaranya daripada beriktikaf di dalam masjid Nabawi (masjid Nabi di Madinah) selama sebulan dan satu lagi kebaikannya memenuhi hajat saudaranya hingga selesai nescaya Allah akan tetapkan kakinya dihari kiamat (dipermudahkan urusannya dihari akhirat).

Kita sedia maklum bahawa pahala solat di masjid Nabawi adalah sama dengan  1000 kali solat di masjid  yang lain selain masjidil haram. Begitu juga pahala berikhtikaf di masjid Nabawi pasti lebih baik daripada berikhtikaf di masjid-masjid lain.

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya :
"Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( masjidil Nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan masjidil Haram."

Nabi S.A.W. bersabda kepada Saydina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Takutlah pada orang murah hati, kerana doanya akan dikabulkan Allah."

"Wahai Ali ! Jangan engkau mengherdik orang yang meminta pertolongan, sekalipun ia datang dengan naik kuda (berkenderaan) dan berilah ia, kerana sesungguhnya sedekah itu lebih dahulu jatuh ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan peminta."

6. Menahan kemarahannya sekali pun dia mampu membalasnya.

Sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya pada hari kiamat.

Fiirman Allah S.W.T.  yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Wahai Ali ! Jauhilah sifat marah kerana sesungguhnya marah itu dari syaitan, dan syaitan itulah yang mengusaimu dikala marah."

Seorang Arab Badawi bertanya Nabi S.A.W.  katanya : "Aku mau diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari kiamat "
Nabi S.A.W menjawab : "Jangan marah kepada orang lain niscaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya"

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

7. Akhlak yang buruk akan merosakkan amalan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kerana akhlak buruk boleh merosakkan amal umpama cuka boleh merosakkan madu.

Seorang Arab Badawi bertanya kepada Nabi S.A.W. katanya : "Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?
Nabi S.A.W menjawab : "Buruk akhlak dan sedikit ketaatan".

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat beberapa pengajaran hadis di atas.

1. Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

2. Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

3. Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

4. Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

5. Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Marilah kita mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang sentiasa membuat kebaikan di dunia ini. Buangkan perasaan hasad dengki, mementingkan diri, hati yang sukar untuk memberi pertolongan kepada orang lain, perasaan buruk sangka dan perasaan cepat marah. Jika kita berjaya meningkatkan diri kita menjadi mukmin soleh dan solehah maka kita akan dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya dan dekat dengan syurga-Nya.

Friday, March 4, 2011

12 Golongan Bangkit Dari Kubur

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Naba ayat 18 maksudnya :- "Yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut di atas pernah ditanyakan oleh Saidina Muaz bin Jabal r.a., katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat ini?" Maka Rasulullah SAW menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda menjawab:

"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan memasuki syurga.

Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:-

1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat lima waktu.

3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.

5. Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8. Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10. Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit2 lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11. Meraka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.

Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah:

12. Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian Mustaqim laksana kilat. Ini balasan orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat."

Muhasabahlah diri kita, dalam golongan mana sebenarnya kita berada. Moga-moga kita berada dalam golongan orang yang beramal soleh. InsyaAllah.

(Di petik daripada tulisan Ramli Joned)

Percaya dan Beriman Kepada Para Malaikat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rukun iman yang kedua ialah percaya kepada malaikat. Setiap muslim yang mengucap syahadah wajib mempercayai adanya malaikat. Malaikat juga adalah makhluk Allah yang diciptakan dari cahaya. Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul. Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah sahaja yang tahu.

Beriman kepada malaikat merupakan bagian dari akidah. Apabila hal itu hilang, gugurlah keIslaman seseorang.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "… Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya."
(Surah an- Nisaa’ ayat 136)

Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang – orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya”
(Surah al-Anbiyaa’ ayat  26-28)

Malaikat adalah kekuatan-kekuatan sentiasa patuh, tunduk dan taat pada perintah serta ketentuan Allah SWT. Malaikat berasal dari kata  bahasa arab yang bermaksud kekuatan. Dalam ajaran agama Islam terdapat 10 malaikat yang wajib kita ketahui dari ramai malaikat yang ada di dunia dan akhirat yang tidak kita ketahui .

Namun berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan bentuk makhluk yang lain. Ia berakal, boleh berkata-kata dan boleh bergerak ke suatu jarak yang jauh dalam masa yang singkat. Keadaan malaikat semata-mata adalah untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah. Malaikat itu tidak makan dan tidak minum, tidak mengantuk dan tidak tidak tidur, tidak juga ia berasa penat dan letih.

Di dalam all-Quran dan Hadis banyak menjelaskan tentang sifat-sifat malaikat:

1. Malaikat dicipta daripada cahaya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang bermaksud : "Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada api dan manusia dicipta daripada apa yang diceritakan kepadamu (tanah)"
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Malaikat tidak berkehendak dan tiada nafsu.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan mereka berkata: 'Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?"
(Surah al-Furqaan ayat 7)

3. Malaikat taat melaksanakan perintah Allah SWT tanpa sedikit pun membantah .

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka bersujud".
(Surah al-A'raaf ayat 206)

4. Malaikat dikurniakan Allah SWT kekuatan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka."(Surah al-Haaqqah ayat 17)

5. Malaikat boleh berubah menjadi apa jua bentuk dengan izin Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Luth, dia merasa susah dan merasa sempit dadanya kerana kedatangan mereka, dan dia berkata: "Ini adalah hari yang amat sulit".(Surah Huud ayat 77)

6. Malaikat dijadikan Allah sebagai penyampai wahyu kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dia menurunkan para malaikat dengan membawa wahyu dengan perintahNya, kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya; ‘Peringatkanlah olehmu sekalian bahwasanya tidaak ada Tuhan yang hak melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku’."(An Nahl : 2)

7. Diantara para malakiat ada yang bertugas menyertai manusia.
Salah satu tugas malaikat tersebut adalah mencatat perbuatan orang-orang mukallaf, tanpa lalai sedikit pun.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "(Yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lainnya duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Surah Qaaf ayat 17-18)

Selain itu ada pula malaikat yang menjaga kita dari bencana atau perkara negatif.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah…"(Surah ar-Ra’d ayat 11)

8. Para malaikat diciptakan sebelum penciptaan manusia.

Firman Allah S.W.T.maksudnya :"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpankan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
(Surah al-Baqarah ayat 30)

9. Jumlah malaikat sangatlah ramai, tiada yang mengetahui kecuali Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " …Dan tidak ada yang mengetahui tentara Tuhanmu melainkan Dia sendiri …"
(Surah al Muddatstsir ayat 31)

Bahkan dalam sebuah hadis sahih Rasulullah S.A.W.bersabda maksudnya : "Bisinglah (suasana) di langit, dan memang sudah semestinya demikian, Tidaklah ada tempat pijakan telapak kaki kecuali terdapat padanya malaikat bersujud atau berukuk." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ath Thabari, dsb.)

Malaikat sangat ramai bilangannya dan Allah sahaja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka. Iaitu :

* Malaikat Jibril : Tugasnya membawa wahyu dari Allah Ta’ala kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, air bah, ribut dan lain-lain lagi.

* Malaikat Mikail : Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan, mengeluarkan hasil galian bumi.

* Malaikat Israfil : Tugasnya untuk meniup “sangkakala” ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur dab sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.

* Malaikat Izrail : Tugasnya ialah mengambil nyawa, iaitu mematikan apabila sudah sampai ajal, dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat dan tidak akan lewat sesaat.

* Malaikat Munkar : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.

* Malaikat Nakir : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.

* Malaikat Raqib : Tugasnya ialah menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.

* Malaikat Atid : Tugasnya adalah untuk menulis dosa bagi orang yang membuat mungkar dan kejahatan.

* Malaikat Ridhwan : Tugasnya menjaga syurga.

 * Malaikat Malik : Tugasnya menjaga neraka.

Malaikat dijadikan Allah untuk menjalankan tugas-tugas yang tertentu dan berlainan. Setiap tugasan yang diberikan Allah kepada malaikat, akan dilakukan oleh malaikat tanpa kompromi.

Sedangkan ‘Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa, apabila sudah sampai ajal seseorang sebagaimana yang tertulis di Loh Mahfuz, 'Izrail akan menjalankan perintah yang Allah arahkan dengan mencabut ajal makhluk tersebut, tidak cepat sesaat dan tidak lewat sesaat. Begitulah yang diperjelaskan dalam ilmu Tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Percaya adanya malaikat yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. untuk melaksanakan perintah Allah. Allah menciptakan malaikat dari nur iaitu cahaya. Maka, malaikat tidak terdiri daripada jisim dan tidak diberikan nafsu untuk makan, minum atau tidur. Malaikat juga tidak mempunyai jantina untuk memudahkan mereka mentaati Allah S.W.T. sepanjang masa.

Rasulullah Ű”Ù„Ù‰ Ű§Ù„Ù„Ù‡ Űčليه ÙˆŰłÙ„Ù… bersabda:

لَۧ ŰȘَŰŻْŰźُلُ Ű§Ù„ْمَلَۧۊِكَŰ©ُ ŰšَيْŰȘًۧ فِيهِ كَلْŰšٌ وَلَۧ Ű”ُÙˆŰ±َŰ©ُ ŰȘَمَِۧ۫يلَ

“Malaikat Tidak masuk rumah yang terdapat anjing dan gambar makhluq bernyawa di dalamnya”.
(Muttafaq ‘Alaih dari hadis Abu Thalhah, lafadz milik Bukhari)

Abdullah bin Abbas Ű±Ű¶ÙŠ Ű§Ù„Ù„Ù‡ Űčنه berkata:

يُ۱ِÙŠŰŻُ Ű§Ù„ŰȘَّمَِۧ۫يلَ Ű§Ù„َّŰȘِي فِيهَۧ Ű§Ù„ْŰŁَ۱ْوَُۭۧ

“Yang dimaksud adalah patung/ gambar bernyawa”

“Jibril mendatangiku lalu berkata: “Sesungguhnya aku datang kepadamu semalam dan tidak ada yang menghalangiku memasuki rumahmu melainkan di atas pintu ada beberapa patung, di dalam rumah ada kain tipis bergambar, serta ada anjing, maka perintahkan patung itu di potong kepalanya supaya menjadi seperti bentuk pohon dan perintahkan kain tipis penutup (dinding) itu dipotong lalu di jadikan dua bantal yang di sandari dan perintahkan dengan anjing supaya di keluarkan.” (Hasid Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Baihaqi dll, disahihkan Albani dalam sahihul jami’)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan takbur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir". (Surah al-Baqarah Ayat 34)

Sahabat yang dimuliakan,
Malaikat yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai sayap. Dalam beberapa hadis dikatakan bahwa Jibril memiliki 600 sayap, Israfil memiliki 1200 sayap, dimana satu sayapnya menyamai 600 sayap Jibril dan yang terakhir dikatakan bahwa Hamalat al-’Arsy memiliki 2400 sayap dimana satu sayapnya menyamai 1200 sayap Israfil. Wujud malaikat mustahil dapat dilihat dengan mata kasar, kerana mata manusia tercipta dari unsur dasar tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk tidak akan mampu melihat wujud dari malaikat yang asalnya terdiri dari cahaya, bahkan Nabi Muhammad S.A.W.  sendiri pun disebutkan secara jelas hanya mampu melihat wujud asli dari malaikat Jibril sebanyak dua kali.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (Surah an-Najm ayat 13)”

Dalam kisah suci perjalanan Israk dan Mikraj, sesampainya di pos perjalanan Sidratul Muntaha, Malaikat Jibril tidak sanggup lagi mendampingi Rasulullah S.A.W. untuk terus naik menghadap kehadirat Allah SWT; Jibril berkata : “Aku sama sekali tidak mampu mendekati Allah, perlu 60.000 tahun lagi aku harus terbang. Itulah jarak antara aku dan Allah yang dapat aku capai. Jika aku terus juga ke atas, aku pasti hancur luluh”. Maha Suci Allah, ternyata Malaikat Mulia Jibril a.s. pun tidak sampai kepada Allah SWT. Begitu mulianya Nabi Muhammad S.A.W. dapat bertemu Allah S.W.T. untuk menerima perintah ibadah solat lima waktu.

Sahabat yang dikasihi,
Para malaikat adalah utusan Allah S.W.T. dan hamba-Nya yang di ciptakan untuk tugas-tugas tertentu. Doa para malaikat adalah makbul disisi Allah S.W.T. Terdapat 6 golongan yang mendapat doa para malaikat.

1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci‘”
(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”
(Hadis Riwayat Muslim )

3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf-saf terhadapan”
(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf”
(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 782)

6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia‘”
(Hadis Riwayat Ahmad. no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)

Marilah sama-sama kita taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Malaikat akan sentiasa mendoakan dan mendampingi  orang-orang mukmin yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah S.W.T. Bila malaikat rahmat bersama kita maka pada masa yang sama iblis dan syaitan tidak akan berani mendekati kita insya Allah.

Thursday, March 3, 2011

Empat Sifat Orang Mukmin Sidiq, Amanah , Tabilq dan Fatanah.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.

Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan  akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud, berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sahabat yang dikasihi,
Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.
DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W.  bersabda bermaksud :
"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
 "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah  di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.
 
Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan  kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "
(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim) 
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)


Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat  ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam keranamelihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.