Monday, April 29, 2013

Soal Jawab Agama Siri 7 (Talak, Zihar, Hukum bersumpah, Tinggalkan Solat Jumaat, Sifat Marah, Sentuhan Kulit, Anak Susuan, Menjual Pakaian, Sambuatan Hari Lahir dan Musafir)


 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Siri 7 membincangkan mengenai persoalan talak, hukum zihar, hukum bersumpah, tinggalkan solat Jumaat, sifat marah, sentuhan kulit lelaki dan wanita, anak susuan,  menjual pakaian yang tidak menutup aurat, sambutan hari lahir dan amalan-amalan semasa musafir.


Talak

121.Soalan: Apakah jenis talak jika si suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali?


Talak ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah Talak Raj`i iaitu apabila suami menceraikan isterinya satu atau dua kali, ianya boleh rujuk kembali sebelum habis iddahnya. Kedua Talak Baa'in iaitu suami menceraikan isteri kali ketiga. Talak Baa'in tidak boleh dirujuk semasa iddah.

Sekiranya seorang suami menceraikan isterinya untuk kali ketiga iaitu  Talak Baa`in maka tidalah boleh lagi proses rujuk walaupun belum atau habis iddahnya. Kalau keduanya ingin berkahwin kembali mestilah perempuan itu kahwin dahulu dengan lelaki lain kemudian setelah cerai dengan suami kedua dan setelah habis iddahnya barulah boleh berkahwin kembali dengan suaminya yang pertama.

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Selepas itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (Surah Al-Baqarah ayat 230)

122.Soalan:  Apakah yang dinamakan Tebus Talak?

Tebus Talak dikenali sebagai Khuluk yang mana ada situasi si isteri meminta cerai dengan suaminya tetapi suaminya berkeras tidak mahu bercerai ataupun belum bersedia kearah itu sehingga isteri saggup memberikan wang atau sejumlah harta tertentu asalkan suaminya mahu menceraikannya. Keadaan seperti ini dinamakan Khuluk. Penceraian seperti ini hukumnya harus dalam agama dan berlainan dengan talak lain.

Cara melakukan Tebus Talak jika isteri berkata kepada suaminya: ”Jika abang ceraikan saya maka saya bayar kepada abang RM1000” atau “Ceraikan saya dengan RM1000” Jika suami bersetuju dengan syarat tersebut dan isterinya pun membayar wang yang ditentukan  dan berjanji dengan itu maka sahlah Khuluk tersebut. Dalam hal seperti ini perlu disyaratkan:

1) Mestilah diperdengarkan oleh suami dengan menjatuhkan talak yang diminta oleh isterinya.

2) Kalau jarak masanya lama   baru si suami memberikan talaknya maka yang demikian Khuluk tidak terjadi tetapi hanya talak yang biasa yang mana tidak wajib bagi isteri untuk membayarnya.

Kejadian Khuluk juga boleh berlaku jika suami mengucapkan kepada pasangannya “Aku talakkan engkau dengan RM1000” lalu dijawab isterinya “Aku terima” dan isteri membayar wang yang diminta itu dengan tidak berantara dengan kata kata yang lain atau masa yang panjang. Sahlah Khuluk tersbut.

123.Soalan: Adakah boleh jika merujuk kembali kepada pasangan tersebut jika Khuluk terjadi?

Perempuan yang telah mencapai keinginan cerai dengan cara Khuluk maka tiada boleh dirujuk kembali tetapi keduanya boleh kahwin kembali dengan cara nikah yang baru.

124. Soalan :  Apakah yang dimaksudkan cerai cara Taklik? Adakah jatuh talak jika suami berkata kepada isterinya, "Jika kamu pergi kerumah abang kamu Osman maka jatuh talak satu? Dan si isteri pergi juga kerumah abangnya Osman.


Cerai cara taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan.
Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti persetujuan suami ketika akad nikah, “Apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak ”.

Apabila suami berkata kepada isterinya, "Jika kamu pergi ke rumah abang kamu Osman maka akan jatuh talak satu" dan si isteri pun pergi kerumah abangnya Osman samaada dengan sengaja atau tidak sengaja maka akan jatuh talak satu.

125.Soalan: Apakah hukumnya jika suami menyamakan isterinya sama dengan ibunya seperti “badanmu sama seperti badan ibuku”? 


Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang  menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan kifarah bersabit dengan kesalahan tersebut.
 

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Mujadalah ayat 2 yang maksudnya:  "Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"
 

Apabila suami berkata begitu dan tidak terus gugur talak isterinya, wajiblah dia membayar kifarah dan haram keatas dirinya bersetubuh dengan isterinya itu sebelum membayar kifarah. Kifarah tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu memerdekakan seorang hamba abdi, kalau tidak sanggup memerdekakan hambanya wajiblah kifarahnya berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak sanggup memerdekakan hamba dan tidak mampu berpuasa dua bulan berturut turut maka kifarahnya member makan 60 orang miskin  tiap tiap seorang ¼ gantang (0.675kg) dari makanan asasi di negeri itu seperti di negara kita dengan beras.  Perkataan zihar ini adalah perkataan mungkar dan dilarang dalam agama.

TAKSIRAN

1 Cupak beras = ¼ gantang Baghdad = 0.675kg
1 Gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7kg
Kadar Nilaian yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2009 secupak beras = RM1.75

Contoh :

Sekiranya seseorang tidak mampu berpuasa 60 hari berturut-turut disebabkan sakit atau tua hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin. Bersamaan 60 x 1.75 = RM 105.00

126.Soalan: Apakah hukumnya jika suami berjanji atau bersumpah tidak mahu bersama dengan isteri dalam masa empat bulan tetapi suami melanggari janjinya?

Perbuatan ini dinamakan Ilaak iaitu ucapan dan perbuatan yang tidak baik diucapkan dalam hubungan suami isteri seperti mengatakan: “Demi Allah aku tidak akan bersama (mencampuri) dengan isteriku selama empat bulan.” Maka jika ucapan itu dilafazkan bahawa dia tidak mahu bersama isterinya ia adalah termasuk dalam Ilaak. Suami hendaklah menunggu sehingga empat bulan tersebut.

Jika dia kembali berbaik dengan isterinya sebelum tempoh empat bulan, maka wajiblah baginya membayar kaffarah sumpahnya sahaja iaitu:

1) Memberi makan sepuluh orang miskin, atau

2) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau

3) Memerdekakan seorang hamba.

Jika tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas, maka mengikut tertib berikutnya hendaklah dia berpuasa tiga hari samada secara berturut-turut atau tidak berturut-turut. Para fuqaha telah bersepakat bahawa puasa hanya boleh dilakukan jika dia tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas.

Sebagai kesimpulan, kaffarah sumpah mesti ditunaikan dengan melakukan salah satu daripada tiga pilihan seperti yang disebut dalam ayat al-Quran di atas. Puasa hanya boleh dilakukan apabila dia tidak mampu melakukan tiga pilihan tersebut.

Firman Allah SWT :

    لَۧ يُŰ€َِۧ۟۰ُكُمُ Ű§Ù„Ù„َّهُ ŰšِŰ§Ù„Ù„َّŰșْوِ فِي ŰŁَيْمَŰ§Ù†ِكُمْ وَلَـٰكِن يُŰ€َِۧ۟۰ُكُم Űšِمَۧ ŰčَقَّŰŻŰȘُّمُ Ű§Ù„ْŰŁَيْمَŰ§Ù†َ ۖ فَكَفَّۧ۱َŰȘُهُ Ű„ِŰ·ْŰčَŰ§Ù…ُ ŰčَŰŽَ۱َŰ©ِ مَŰłَŰ§Ùƒِينَ مِنْ ŰŁَوْŰłَŰ·ِ مَۧ ŰȘُŰ·ْŰčِمُونَ ŰŁَهْلِيكُمْ ŰŁَوْ كِŰłْوَŰȘُهُمْ ŰŁَوْ ŰȘَŰ­ْ۱ِÙŠŰ±ُ ۱َقَŰšَŰ©ٍ ۖفَمَن لَّمْ يَŰŹِŰŻْ فَŰ”ِيَŰ§Ù…ُ Ű«َلََۧ۫Ű©ِ ŰŁَيَّŰ§Ù…ٍ ۚ ۰َ‌ٰلِكَ كَفَّۧ۱َŰ©ُ ŰŁَيْمَŰ§Ù†ِكُمْ Ű„ِ۰َۧ Ű­َلَفْŰȘُمْ ۚ وَْۭۧفَŰžُÙˆŰ§ ŰŁَيْمَŰ§Ù†َكُمْ ۚ كَ۰َ‌ٰلِكَ يُŰšَيِّنُ Ű§Ù„Ù„َّهُ لَكُمْ ŰąÙŠَۧŰȘِهِ لَŰčَلَّكُمْ ŰȘَŰŽْكُ۱ُونَ
 

Maksudnya: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maidah ayat 89)

Tetapi jika empat bulan dia tidak kembali berbaik dengan isterinya, hakim berhak menyuruh pilih kepadanya antara dua perkara iaitu membayar kaffarah sumpah serta kembali baik kepada isterinya atau menceraikan isterinya itu. Jika suami tidak mahu melaksanakan salah satu daripadanya hakim berhak menceraikan isterinya secara paksaan.

127.Soalan: Kerja seharian saya adalah memantau keadaan pesakit yang tenat dan terpaksa melakukan pekerjaan tersebut walaupun pada waktu sembahyang Jumaat, apakah hukumnya meninggalkan sembahyang Jumaat satu kali atau lebih disebabkan keadaan kerja saya seperti ini?

Perkara yang dilarang dalam Islam adalah meninggalkan sembahyang Jumaat walau pun sekali tanpa uzur, sedangkan uzur itu dalam kes ini adalah sangat jelas. Maka hendaklah seseorang muslim berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan keuzuran tersebut sebaik mungkin kerana seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan adalah mengikut niatnya. Jika saudara bersungguh sungguh mengelakkan keuzuran tersebut maka saudara akan memilih untuk tidak meninggalkan sembahyang Jumaat. Saudara boleh berbincang dengan pegawai atasan untuk di gantikan pada masa solat Jumaat seorang kaki tangan wanita atau bukan Islam supaya dapat menunaikan solat Jumaat yang difardukan oleh Allah SWT.

128.Soalan: Saya telah berhirah ke satu fasa yang lebih baik iaitu bertudung dengan niat untuk menutup aurat dan ingin lebih dihormati sebagai wanita, tetapi ada yang memandang serong atas perubahan saya ini dengan mengatakan saya memakai tudung adalah untuk mengaburi mata orang ramai atas kesilapan yang lalu. Adakah betul niat yang saya tanamkan atas perubahan saya ini?

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin Al Khattab r.a berkata: “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat pahala berdasarkan apa yang diniatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti mati, sakit atau seumpamanya yang menghalang mereka daripada melaksanakan perbuatan yang diniatnya maka dia diberi paha berdasarkan niatnya itu. Hadis ini juga membimbing kita agar sentiasa ikhlas di dalam setiap amalan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat juga mendapat taufik dan kejayaan di dunia.

Saudari teruskan dengan amal soleh dan menutup aurat kerana segala kebaikan yang saudari lakukan akan dinilai oleh Allah SWT bukannya manusia. Jika mereka mengata atau mengumpat dibelakang saudari sebenarnya mereka sedang memberikan pahala kebaikan kepada saudari, banyakkan bersabar dan bertenang anggaplah ini sebagai ujian saudari untuk mentaati Allah SWT.

129.Soalan: Saya sering memarahi pekerja saya kerana mereka selalu melakukan kerja tidak menepati citarasa yang saya mahukan. Apakah tabiat buruk saya ini akan memberikan kesan buruk terhadap diri saya?

Amalan memarahi atau panas baran adalah satu sifat yang tercela dalam Islam. Islam menyarankan agar kita selalu bersabar dalam setiap perkara yang dihadapinya kerana kemarahan adalah kesukaan syaitan. Apabila seseorang menghambakan sifat tercela ini dalam dirinya maka dirinya sendiri akan jatuh bersama kesan buruk yang akan menimpanya dan juga masyarakat. Ia bukan sahaja memudaratkan kepada individu iaitu pada badannya, malah pada akhlaknya dan juga imannya. Perbuatan ini dapat dilihat pada raut wajahnya, menggeletar,darahnya meluap luap, urat lehernya tegang dan pergerakan akan menjadi kelam kabut dan mudah mengeluarkan kata kata kejian. Semestinya gerak kerja yang akan dilakukan menjadi tidak menentu lalu boleh jadi menyakiti tubuh badannya sendiri. Kemudaratan kepada masyarakat juga terlibat jika kemarahan tidak dapat dibendung. Mula perasaan dengki dan menyembunyikan niat jahat pula. Ia dapat mencetuskan permusuhan dan kebencian terhadap sahabat handai dan rosaklah kehidupan bermasyarakat.

 
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredai " (Hadis Riwayat Ahmad).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah rahiyallahu ‘anhu, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW : “Berilah saya nasihat.” Baginda SAW .bersabda, “Jangan marah.” Lelaki itu terus mengulang-ulang permintaannya dan baginda tetap menjawab, “Jangan marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT maksudnya yang bermaksud: ”Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.  Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Surah Ali Imran ayat 133-134)

130.Soalan: Apakah cara-cara anjuran Islam untuk mengatasi atau mengurangkan perasan marah?


Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:

1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terutamanya contoh yang terdapat dalam sunahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah SWT maksudnya: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali Imran ayat 134)

2. Memohon kepada Allah SWT supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (Surah al-A'raf (7) ayat 200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda maksudnya : "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi SAW melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

131.Soalan: Apakah hukum bersentuhan kulit (tidak sengaja) antara lelaki dan 

perempuan ketika proses jual beli (terutama ketika memulangkan baki duit)?
 

Islam melarang sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Sebaiknya elakkan sentuhan walaupun ketika jual beli barangan. Dinasihatkan wanita atau lelaki yang bekerja di pondok-pondok tol sebaik baiknya memakai sarung tangan kerana bersentuhan di antara lelaki dan wanita tidak dapat dielakkan ketika bayaran harga tol dilakukan.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda: "Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Hadis Riwayat Muslim, Sahih Muslim, 13/125, no. 4802)

132.Soalan: Saya lelaki dan mempunyai seorang sepupu perempuan yang sejak kecil disusukan oleh nenek sebelah ibu. Setelah dewasa saya berkemusykilan tentang hukum aurat dan hubungan mahram, adakah dia dikira ibu saudara susuan?

Huraian mengenai ibu susuan adalah seperti berikut: Diriwayatkan oleh Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata: “Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya: Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: 'Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu)' ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain." 

(Hadis Riwayat Bukhari )

Huraian Hadis: Apabila seorang perempuan menyusukan seorang bayi di bawah umur dua tahun sebanyak lima kali susuan atau lebih, maka anak tersebut menjadi anak susuannya dan anak suaminya. Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Berikut disenaraikan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:·


1. Perempuan yang menyusukan. 2. Suami ibu susuan. 3. Ibu bapa kepada ibu susuan. 4. Ibu bapa kepada suami ibu susuan. 5. Adik beradik kepada ibu susuan. 6. Adik beradik kepada bapa susuan. 7. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan. 8. Anak-anak kepada ibu susuan. 9. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan adalah anak susuan yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya hingga ke bawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu'nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah. 


Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Di haramkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 
(Surah an-Nisa'ayat 23)

Serta sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesuatu yang diharamkan dengan sebab penyusuan sebagaimana apa-apa yang diharamkan oleh sebab nasab.”

Berdasarkan huraian di atas anak susuan tadi telah menjadi ibu saudara susuan kepada saudara kerana nenek sudara telah menyusukannya. Maka dia adalah mahram saudara.

133.Soalan: Ibu saya ada menanam pokok tebu di belakang rumah tetapi ada jiran beragama lain mengambilnya untuk melakukan sembahyang dan lain-lain untuk menyembah dan sebagainya dan mereka meminta secara baik. Apakah hukumnya jika saya memberi tebu tersebut? 

Jika kita tahu jiran yg bukan Islam mahu meminta pokok tebu untuk sembahyang agama dia maka haram kita untuk memberikannya kerana kita tidak boleh bersyubahat di dalam perkara akidah.

Firman Allah SWT maksudnya : " Katakanlah: Hai orang-orang kafir . Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah . Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah . Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku" (Surah Al-Kafirun ayat 1-6)

Jika kita tidak tahu tujuannya tidak jadi masalah apabila kita memberikannya. Berbaik-baik dengan jiran adalah dituntut walaupun jiran bukan Islam.

134.Soalan: saya seorang peniaga pakaian. Apakah hukumnya jika saya menjual pakaian yang tidak menutup aurat? 

Dalam Islam setiap penjual perlulah memastikan barang jualannya adalah barangan halal, bersih dan tidak mengandungi bahan yang merbahaya. Islam amat mementingkan kemaslahatan pengguna, barangan baik, bermutu dan tidak terlalu mahal sehingga menyusahkan pengguna. Satu perkara lagi Islam melarang umatnya menjual pakaian perempuan yang jelas bila dipakai mendedahkan aurat kerana penjual dikira bersyubahat untuk mempromosikan pakaian yang mendedahkan aurat. Menjual baju kanak-kanak yang belum baligh masih diharuskan kerana kanak-kanak tidak diwajibkan menutup aurat. Baju dalam atau seluar dalam lelaki dan wanita juga harus kerana ianya dipakai di dalam sahaja. Kain ela bersifat umum boleh dijual kerana terpulang kepada pengguna jenis baju yg mereka hendak buat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

135.Soalan: Saya selalu menghadiri jemputan makan malam oleh sahabat sahabat dihotel-hotel, soalannya benarkah sesuatu makanan yang dimasak yang disyaki bercampur wain akan menyebabkan amalan kita tidak diterima selama 40 hari? Saya tidak pasti atau nampak wain itu digunakan atau tidak cuma dengar dari kawan kawan yang bercerita.
 

Makan di hotel yang tidak ada sijil halal dan dimiliki oleh bukan Islam termasuk makanan syubahat. Jika di dapati terdapat wain dalam campuran masakan tersebut jelas makanan tersebut haram di makan, sesiapa yang minum arak atau makanan yg bercampur arak maka ibadah seseorang tidak akan diterima selama 40 hari. 

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Barangsiapa yang meminum arak dan mabuk, solatnya tidak diterima selama 40 hari dan jika dia mati, dia akan masuk neraka." (Hadis Riwayat Ibn Maajah no. 3377)

136.Soalan: Adakah menjadi satu kesalahan jika kita dengar lagu lagu dari cakera padat (CD) semasa memandu dan juga main muzik untuk diri sendiri, serta bermain muzik untuk penonton? 

 
Mendengar lagu dari CD tidak salah jika lagu-lagu tersebut berbentuk nasihat, nasyid, puji-pujian kepada Allah SWT, lagu-lagu mengajak kepada adab sopan dan sebagainya. Lagu-lagu berunsurkan cinta untuk melakukan maksiat berdua-duaan, putus asa dengan rahmat Allah SWT, mengagungkan budaya barat adalah dilarang kerana perbuatan tersebut mengajak kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT. Masa cukup berharga, oleh itu gunakanlah dengan sebaik-baiknya semasa memandu seperti mendengar CD ceramah agama, bacaan al-Quran, atau pun mendengar saluran radio IKIM kerana banyak ilmu dan informasi yang menfaat di dalam rancangan radio IKIM. dan lagu-lagu yang di perdengarkan adalah lagu-lagu yang baik senikatanya dan mengandungi kata-kata nasihat.

137.Soalan: Apakah hukumnya menyambut hari lahir seseorang, menyambut hari ulang tahun perkahwinan, memotong kek, meniup lilin dan menyanyi lagu “happy Birthday”?
 

Sambutan hari lahir dan hari perkahwinan dengan tujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak atau saudara mara adalah tidak dilarang. Pastikan sambutan tersebut tidak berlaku pembaziran, dijauhi cara-cara barat menyambutnya (tiup lilindan sebagainya) dan dijauhi pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa batas, seperti mengadakan majlis tari menari . Jika di adakan majlis tersebut terdapat unsur-unsur maksiat dan dosa maka perbuatan tersebut dilarang. Sebaik-baiknya majlis tersebut di sertai dengan tazkirah ringkas,ucapan dari tetamu dan doa selamat adalah lebih baik dan bermanfaat.

Memberi ucapan doa jika seseorang di hari lahirnya adalah diharuskan kerana dengan ucapan tersebut terjalin ikatan ukuwah dan kasih sayang sesama saudara muslim. Balas membalas doa juga digalakkan kerana doa sahabat kepada sahabatnya yang lain adalah mustajab di sisi Allah SWT. Begitu juga doa ibu bapa kepada anak-anaknya mustajab disisi Allah SWT . Dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapa juga mustajab disisi Allah SWT.

138.Soalan: Apakah hukumnya jika kita bersolat dengan memakai pakaian yang bergambar kartun seperti angrybird, mickey mouse dan sebagainya? Bagaimana cara untuk menebus semula kesalahan yang pernah dilakukan itu?
 

Islam mengajar umatnya berakhlak mulia dan terdapat adab-adab dalam Islam semasa solat, makan, bergaul dengan masyarakat. Pakaian seorang mukmin juga penuh adab sopan. Memakai pakaian bergambar karton seperti angrybird, mickey mouse, upin dan ipin untuk remaja atau orang dewasa adalah kurang sopannya kerana pakaian tersebut disukai oleh kanak-kanak. Anak-anak kita perlu juga diajar supaya tidak memakai pakaian yang bergambar atau mengandungi kata-kata yang kurang sopan. Jangan pakai pakaian bergambar ketika solat kerana boleh menganggu kekhusyukan jemaah lain.

139.Soalan: Saya seorang yang pemalu. Kawan saya sering mengajak saya berjumpa kawan kawan yang lain berhibur di tempat karaoke dengan alasan saya akan dapat berkawan dengan membuang sifat malu nanti. Apakah pandangan ustaz?
 

Sifat malu adalah fitrah dari Allah SWT dan sifat ini adalah sifat yang mulia di sisi Allah SWT .Kawan saudara yang cuba mengajak ketempat karaoke adalah kawan yang bukanlah jenis kawan yang baik atau soleh kerana tempat karaoke adalah tempat membuang masa dan jika terdapat pergaulan bebas lelaki dan wanita ianya akan menjadi tempat maksiat.

Orang yang mempunyai sifat malu  akan menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan perbuatan jahat yang lain serta keburukan akhlak yang lain. Oleh itu, sifat malu ini merupakan sumber kebaikan dan salah satu cabang iman. Bersyukurlah kerana saudara dikurniakan sifat ini sedangkan orang yang melakukan perbuatan maksiat adalah orang yang tidak malu. Jangan diikuti ajakan kawan saudara dan nasihatkannya supaya menjauhi tempat tersebut kerana banyak keburukannya daripada kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Hadis Riwayat Muslim No.50)

Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu lebih daripada gadis gadis pingitan (gadis yang selalu di rumah).

140.Soalan: Saya belajar di utara tanah air. Saya sering menaiki bas untuk berulang alik ke sana dan ke semenanjung. Sepanjang perjalanan saya sering tidak boleh tidur kerana risau akan keselamatan diri. Apakah perkara terbaik yang boleh saya amalkan?

Sebelum menaiki bas saudara perlulah membaca doa-doa tersebut sebagai doa perlindungan Allah SWT untuk keselamatan daripada musibah.


Terdapat empat amalan perlu dilakukan oleh seorang mukmin untuk dijauhi kemalangan dan musibah (dengan izin Allah) iaitu :


1. Membaca doa keluar rumah.
2. Membaca doa naik kenderaan.
3. Membaca doa dijauhi musibah
4. Membaca doa untuk bermusafir.


Huraiannya :

1. Membaca doa keluar rumah :


Setiap keluar rumah hendaklah selalu membaca doa. Nabi SAW mengajarkan kita supaya menbaca doa ini :


ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ، ŰȘَوَكَّلْŰȘُ Űčَلَى Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ، وَÙ„Ű§َ Ű­َوْلَ وَÙ„Ű§َ قُوَّŰ©َ Ű„ِÙ„Ű§َّ ŰšِŰ§Ù„Ù„Ù‡ِ.

(Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah)

Maksudnya : “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Nasai )


2. Membaca doa naik kenderaan :


Nabi SAW mengajar kepada kita apabila hendak mulakan perjalanan perlulah membaca doa naik kenderaan : (Subhanalladzi sakhara lana hadza wama kunna lahu muqrinin wainna ila robbina lamunqalibun...)


Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (Surah az-Zukruf ayat 13-14)

3. Membaca doa di jauhi musibah.
 

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), membaca 7 kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu').

Termasuk terhindar daripada musibah dan kemalangan atau di jauhi daripada gangguan sihir dan hasad dengki.


4. Membaca doa untuk bermusafir:


Ű§Ù„Ù„Ù‡ ŰŁَكْŰšَ۱ ، Ű§Ù„Ù„Ù‡ ŰŁَكْŰšَ۱ ŰłُŰšْŰ­Ű§Ù†َ Ű§Ù„َّ۰ِي ŰłَŰźَّ۱َ لَنَۧ هَ۰َۧ وَمَۧ كُنَّۧ لَهُ مُقْ۱ِنِينَ وَŰ„ِنَّۧ Ű„ِلَى ۱َŰšِّنَۧ لَمُنقَلِŰšُونَ ‏‏Ű§Ù„Ù„َّهُمَّ Ű„ِنَّۧ نَŰłْŰŁَلُكَ فِي Űłَفَ۱ِنَۧ هَ۰َۧ Ű§Ù„ْŰšِ۱َّ‏ وَŰ§Ù„ŰȘَّقْوَى وَمِنْ Ű§Ù„ْŰčَمَلِ مَۧ ‏ ‏ŰȘَ۱ْ۶َى ، Ű§Ù„Ù„َّهُمَّ هَوِّنْ Űčَلَيْنَۧ‏ Űłَفَ۱َنَۧ هَ۰َۧ‏ وَۧ۷ْوِ Űčَنَّۧ ŰšُŰčْŰŻَهُ ،‏ Ű§Ù„Ù„َّهُمَّ ŰŁَنْŰȘَ Ű§Ù„Ű”َِّۭۧŰšُ فِي Ű§Ù„Űłَّفَ۱ِ‏ وَŰ§Ù„ْŰźَلِيفَŰ©ُ فِي‏ Ű§Ù„ŰŁَهْلِ ‏،‏ Ű§Ù„Ù„َّهُمَّ‏ Ű„ِنِّي ŰŁَŰčُÙˆŰ°ُ Űšِكَ مِنْ ‏ ‏وَŰčْŰ«َۧۥِ‏ Ű§Ù„Űłَّفَ۱ِ وَكَ۹َۚŰ©ِ Ű§Ù„ْمَنْŰžَ۱ِ وَŰłُÙˆŰĄِ ‏ ‏Ű§Ù„ْمُنْقَلَŰšِ فِي Ű§Ù„ْمَŰ§Ù„ِ وَŰ§Ù„ŰŁَهْلِ
 

Maksudnya : “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketakwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindungan-Mu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga ”

Jika saudara beramal keempat-empat doa di atas sebelum saudara memulakan perjalanan  untuk bermusafir ke distinasi yang hendak dituju maka insya Allah saudara akan terpelihara daripada sebarang musibah atau kemalangan yang tidak di ingini.

Yakinilah dengan mengamalkan doa-doa tersebut di atas saudara akan disertai malaikat rahmat yang menjaga keselamatan saudara dengan izin Allah SWT.

Satu lagi amalan yang dapat menjauhkan daripada musibah adalah banyakkan bersedekah. Walaupun jumlahnya sedikit sekadar kemampuan tetapi ianya mempergaruhi keselamatan diri saudara dan malaikat yang menjaga rezeki akan mendoakan keselamatan orang yang bersedekah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Semasa di dalam perjalanan banyakkanlah berzikir kerana seseorang mukmin amat memerlukan ketenangan hati dan jiwa. Amalan berzikir ini boleh menghubungkan hati kita dengan Allah SWT dan bergantung pertolongan daripada-Nya. Allah akan mengurniakan kelebihan dan rahmat-Nya melalui kebenaran dan petunjuk. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Ahzab ayat 41-43)



Saturday, April 27, 2013

Soal Jawab Agama Siri 6 (Solat Berjemaah, Syarat Imam dan Makmum, Solat Di Luar Waktu, Sujud Syukur, Bertaubat, Ziarah Orang Sakit, Buruk Sangka dan Aurat Wanita Ketika Solat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 6 membincangkan mengenai persoalan fadilat solat berjemaah, syarat-syarat untuk menjadi imam dan makmm dalam solat berjemaah, solat yang dikerjakan diluar waktu kerana tertidur, cara-cara sujud syukur, adab-adab menziarahi orang sakit , sifat berburuk sangka dan aurat wanita ketika solat.

Solat Berjemaah

101.Soalan: Apakah kelebihan jika saya solat berjemaah berbanding solat bersendirian?


Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardu Jumaat ialah dua orang. Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadilat pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )
 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)

102.Soalan: Kenapakah Rasulullah SAW begitu menekankan umatnya untuk solat berjemaah di masjid?

Rahsianya, adalah kerana masjid adalah asas utama dan terpenting bagi pembentukan masyarakat Islam. Masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan adanya komitmen terhadap sistem, akidah dan anjuran Islam. Hal ini hanya dapat di tumbuhkan dengan semangat masjid. Tidak hairanlah kalau sahabat berlumba-lumba mendekatkan dirinya di masjid. Mereka tidak rela satu pun kesempatan solat jemaah berlalu begitu sahaja. Malah, sebahagian sahabat Ansar yang tinggal jauh, ramai yang ingin memindahkan rumahnya berhampiran masjid.


Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).

103. Apakah tertib seorang imam dan makmum ketika solat berjemaah dilakukan?

Sebelum memulai solat dengan makmumnya, seorang imam setelah muazin selesai mengumandangkan azan dan qamat (iqamah), maka imam berdiri paling depan dan menghadap makmum untuk mengatur barisan terlebih dahulu. Jika sudah lurus, rapat dan rapi imam menghadap kiblat untuk mulai ibadah solat berjemaah dengan khusyuk.

Dalam kita mengerjakan solat berjemaah untuk lelaki saf yang paling  baik adalah saf yang paling hadapan sekali dan untuk  wanita adalah saf yang di barisan paling belakang sekali.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197).

104.Soalan: Apakah syarat syarat untuk menjadi imam ketika solat berjemaah?

 
Syarat Untuk Menjadi Imam Solat Berjamaah :

 
1. Lebih banyak mengerti dan faham masalah ibadah solat.
2. Lebih banyak hafal surah-surah al-Quran.
3. Lebih fasih dan baik dalam membaca bacaan-bacaan solat.
4. Lebih tua daripada ahli jemaah lainnya.
5. Tidak mengikuti gerakan solat orang lain.
6. Lelaki. Tetapi jika semua makmum adalah wanita, maka imam boleh wanita.

Bacaan dua rekaat awal untuk solat Zuhur dan Asar pada surah al-Fatihah dan bacaan surah pengiringnya dibaca secara perlahan (sirran  yang hanya boleh didengar sendiri, orang lain tidak jelas mendengarnya). Sedangkan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh dibaca secara  nyaring yang dapat didengar makmum. Untuk solat Jumaat, Aidulfitri, Aiduladha, Gerhana, Istiqo, Tarawih dan Witir dibaca nyaring, sedangkan untuk solat malam dibaca sedang, tidak nyaring dan tidak perlahan.

105.Soalan: Apakah pula syarat syarat untuk menjadi makmum ketika solat berjemaah?

1. Niat untuk mengikuti imam dan mengikuti gerakan imam.
2. Berada satu tempat dengan imam.
3. Lelaki dewasa tidak sah jika menjadi makmum imam wanita.
4. Jika imam batal, maka seorang makmum maju ke depan menggantikan imam.
5. Jika imam lupa jumlah rekaat atau salah gerakan solat, makmum mengingatkan dengan membaca subhanallah dengan suara yang dapat didengar imam. Untuk makmum wanita dengan cara bertepuk tangan.
6. Makmum dapat melihat atau mendengar imam.
7. Makmum berada di belakang imam.
8. Mengerjakan ibadah solat yang sama dengan imam.
9. Jika datang terlambat, maka makmum akan menjadi masbuk yang boleh mengikuti imam sama seperti makmum lainnya, namun setelah imam salam masbuk menambah jumlah rakaat yang tertinggal. Jika berhasil mulai dengan mendapatkan rukuk bersama imam walaupun sebentar maka masbuk mendapatkan satu rakaat. Jika masbuk adalah makmum pertama, maka masbuk menyentuh belakang imam untuk mengajak solat berjemaah.

106.Soalan: Apakah kedudukan yang betul jika kita hendak melakukan solat berjemaah?

Kedudukan Imam Dan Makmum Dalam Solat Jemaah.

1. Jika terdiri dari dua lelaki atau dua wanita saja, maka yang satu menjadi imam dan yang satu menjadi makmum berada di sebelah kanan imam agak ke belakang sedikit.

2. Jika makmum terdiri dari dua orang atau lebih maka kedudukan makmum adalah membuat barisan sendiri di belakang imam. Jika makmum yang kedua adalah masbuk, maka masbuh menepuk bahu makmum pertama untuk melangkah kebelakang membuat barisan tanpa membatalkan solat.

3. Jika terdiri dari makmum lelaki dan makmum wanita, maka makmum lelaki berada dibelakang imam, dan wanita dibelakang makmum lelaki.

4. Jika ada anak-anak maka anak lelaki berada di belakang makmum lelaki dewasa dan disusul dengan makmum anak-anak perempuan dan kemudian yang terakhir adalah makmum perempuan dewasa.

Solat Di luar Waktu.

107. Soalan: Saya terlambat bangun ketika mahu menunaikan solat subuh.  Adakah saya boleh menunaikan solat subuh ketika matahari sudah terbit?


Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, iaitu melalui firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah an-Nisaa' (4) ayat 103).

Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qada. Secara lebih mendalam, qada didefinasikan sebagai - "Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan."

Sebab-sebab Membolehkan Solat di Qada.

Al-Quran dan as-Sunah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syariat tersebut, iaitu:

1.     Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.

2.     Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.

3.     Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.

4.     Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.

Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardu lalu kemudian diqadakannya di lain waktu. Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Anas Bin Malik: "Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim (Misykat al- Masabih 3/181/046)
 

108. Soalan. Apabila kita solat Asar baru mendapat satu rekaat tiba-tiba azan Magrib di laungkan. Adakah kita boleh teruskan solat Asar tersebut?

Boleh diteruskan solat Asar tersebut kerana berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari, maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari, maka sempurnalah solatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Sujud Syukur

109.Soalan: Adakah kita boleh sujud tanda bersyukur atas khabar berita yang diterima?


Sujud Syukur adalah amalan sunah Rasulullah SAW apabila mendapat berita gembira mengenai kejayaan sesuatu urusan atau dikurniakan rezeki yang tiada disangka-sangka.

Dari Abu Bakrah: Apabila Rasulullah SAW. menemukan sesuatu yang menggembirakan baginda atau disampaikannya kepada baginda sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud  syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

110.Soalan: Apakah sujud syukur mempunyai syarat syarat seperti syarat sah solat?

Adapun cara mengerjakan sujud syukur itu tidak berbeza  sepertimana sujud  tatkala solat. Hanya syarat-syarat yang diwajibkan dalam mengerjakan solat, seperti harus mempunyai wuduk (air sembahyang), menghadap qiblat, pakaian yang bersih daripada najis dan lain-lain, itu semua adalah tidak disyaratkan didalam sujud syukur.

Juga tidak disyaratkahn untuk dilakukan ditempat-tempat tertentu seperti masjid/surau, tetapi dibolehkan dilakukan disetiap tempat, asalkan  tidak ditempat-tempat yang kotor, seperti tandas dan lain-lain. Boleh ianya dilakukan di tepi jalanan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai,  dan sebagainya.

Dalam pada itu, tidak ada bacaan-bacaan yang khusus pada waktu melakukan sujud syukur itu. Menurut penjelasan Jumhur Ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan takbir lebih dahulu, kemudian sujud, sesudah itu bangkit dari sujud dan terus memberi salam. Ada juga sebahagian ulama yang  berpendapat bahawa  sujud syukur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi ianya cukup dengan bersujud sahaja, kemudian bangikit dan duduk kembali.

111.Soalan: Apakah kebaikan jika kita melakukan sujud syukur ini?

Sebagai seorang mukmin yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT perlulah zahirkan tanda kesyukuran kita apabila mendapat sahaja berita baik yang mengembirakan atau kejayaan sesuatu urusan yang kita usahakan.

Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dengan melimpahkan nikmat yang lebih baik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat Ku. ” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Sekiranya kita sentiasa bersyukur kepada Allah SWT maka Dia akan memberi tambahan nikmat di jalan yang tidak disangka-sangka. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” 

(Surah Ibrahim ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Bertaubat.

112.Soalan: Saya insaf atas kesilapan yang saya lakukan dan ingin bertaubat. Bagimanakah caranya boleh saya lakukan?


Sekiranya seorang mukmin itu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya nescaya doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Allah SWT cukup cinta dan kasih kepada para hamba-hamba-Nya yang bertaubat hingga menitiskan air mata penyesalan.

Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Syarat-syarat bertaubat adalah seperti berikut :

1. Meninggalkan dosa tersebut.

2. Mengakui akan dosa yang dikerjakan dan menyesali akan perbuatannya yang terlanjur.

3. Berazam tidak akan mengulagi dosa-dosa tersebut.

4. Keluar daripada suasana lama dan tinggalkan rakan-rakan lama dan kembali kepada suasana baru dan rakan-rakan baru yang soleh.

 5. Jika dosa tersebut melibatkan sesama manusia dan telah mengambil hak orang lain maka pulangkan kembali yang punya hak syarat taubat itu di terma.

Perbezaan Pendapat Dengan Suami.

113.Soalan: Saya sering bertelagah dengan suami dalam membuat suatu keputusan. Apakah cara terbaik yang dituntut dalam Islam?


Cara terbaik yang dituntut oleh Islam adalah berbincang dengan jujur dan ikhlas dengan rasa hormat menghormati dan kasih sayanag. Jangan terlalu taksub dengan pendapat sendiri dan cubalah menghormati pendapat orang lain seboleh-bolehnya cuba buangkan perasan ego dan tinggi diri.

Sekiranya kita sentiasa bermusywarah (bermesyuarat) di dalam semua urusan yang penting nescaya Allah SWT akan berikan pertolongan-Nya  dan ditunjuki jalan kebenaran.

Al-Hasan Al-Bashri mengatakan: "Tidaklah sebuah kaum bermusyawarah di antara mereka kecuali Allah akan tunjuki mereka kepada yang paling utama dari yang mereka ketahui saat itu." (Ibnu Hajar mengatakan: "Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad dan Ibnu Abi Hatim dengan sanad yang kuat." Lihat Fathul Bari, 13/340)

Allah perintahkan Nabi SAW untuk bermusyawarah dengan sahabat-sahabat baginda padahal baginda sudah cukup dengan bimbingan dari Allah. Hal ini dalam rangka memberi contoh kepada umatnya sehingga mereka mengikuti baginda ketika dilanda suatu masalah, dan ketika mereka bersepakat dalam sebuah perkara, maka Allah akan memberikan taufiq-Nya kepada mereka kepada yang paling benar. (Tafsir Ath-Thabari, 4/152-153 dengan diringkas)

Jika puan rasa pendapat suami kurang tepat berilah sebab musababnya dengan penuh hikmah dan alasan-alasan yang konkrit dan bernas.

Menziarahi Orang Sakit dan Kepentingan Solat Kepada Pesakit

114.Soalan: Apakah hukum jika kita menziarahi orang yang sakit?


Salah satu hak muslim yang wajib ditunaikan adalah jika saudara sakit maka hendaklah kita menziarahinya. Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan di tuntut oleh Islam. Mengunjungi muslim yang sedang sakit adalah suatu kewajiban ke atas muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat dan sahabat handai sendiri. Mengunjungi orang sakit termasuk salah satu amal soleh yang sangat afdal. Rahmat Allah SWT senantiasa menaungi diri pesakit dan orang yang mengunjunginya.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)

115.Soalan: Apakah wajib pesakit menunaikan solat fardu?

Sudah menjadi perkara lumrah ramai pesakit muslim yang tinggal di hospital tidak melakukan solat. Sedangkan solat wajib dikerjakan samaada secara duduk, berbaring, mengiring atau isyarat mata kerana tidak mampu mengerakkan anggotanya. Islam tidak mengizinkan solat ditinggalkan walaupun pesakit terpaksa memakai lampin kerana penyakit yang dialami.

Islam hanya membenarkan solat ditinggalkan dalam beberapa keadaan sahaja iaitu ketika terlupa atau dalam keadaan tertidur. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu , Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda maksudnya : "Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solahnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solah yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solah untuk mengingati Aku.” (Hadis Riwayat Muslim)

116.Soalan: Apakah hukum jika seseorang itu lalai dan meninggalkan solatnya?

Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengiktikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama."
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)

117.Soalan: Apakah peranan keluarga apabila menziarahi ahli keluarga yang sakit untuk mengingatkan tentang solat?
Sebahagian daripada pesakit sedang berada dalam keadaan tenat dan sedang menunggu saat kematian. Alangkan ruginya sekiranya di saat-saat akhir hayatnya tidak menunaikan solat dan memandang ringan kewajipan solat, ahli keluarga dan pelawat yang menziarhi pesakit perlu mengingatkan pesakit supaya sentiasa mengerjakan solat mengikut kemampuan mereka. Ahli keluarga yang menjaga pesakit haruslah membantu pesakit berwuduk, utamakan solat lebih daripada perkara yang lain. Di haruskan menjamakkan solat ketika sakit yang serius kerana kesukaran mengambil wuduk dan keuzuran fizikal.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Persoalan pertama yang akan ditanya dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat, ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), maka akan diterima seluruh amalnya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), akan ditolak seluruh amalnya." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berburuk Sangka

118.Soalan: Apakah hukumnya jika kita berburuk sangka terhadap orang lain?


Allah ‘Azza wa-Jalla telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota jemaah Islam.  Apabila sikap buruk ini terdapat di kalangan anggota jemaah ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.

Pengharaman ini telah ditegaskan oleh Nabi SAW. seperti sabdanya yang bermaksud : Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama).  Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.”  (Hadis Riwayat Bukhari)

Aurat Wanita Ketika Solat

119.Soalan: Apakah dibenarkan dalam Islam seorang wanita bersolat dengan tidak memakai telekung tetapi hanya cukup menutup aurat dengan berjubah dan memakai tudung yang menutupi dada?

Islam membenarkan seorang muslimah memakai pakaian menutup aurat dengan mengerjakan solat walau pun tidak memakai telekong seperti amalan masyarakt Islam sekarang. Aurat wanita sama ketika di dalam solat atau di luar solat.

Kewajipan menutup aurat adalah berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf ayat 31)

Menutup aurat adalah salah satu syarat sah solat yang mana aurat yang bahagian tubuhnya wajib ditutup ketika bersolat. Jadi pakaian yang memenuhi syarat maka solatnya sah tidak kira berjubah atau berbaju kurung asalkan tudungnya labuh hingga menutup dada mereka dan kainnya labuh sehingga boleh menutupi aurat kaki. (sebaik-baiknya memakai sarung kaki).

120.Soalan: Saya bersolat tetapi memakai seluar jeans, t-shirt dan bertudung. Adakah dengan berpakaian begini solat saya diterima?

Islam melarang wanita berpakaian ketat samaada ketika solat atau pun ketika luar solat. Wanita yang memakai seluar jeans, berbaju kemeja t, tudung tiga segi yang nipis (tidak memutup dada mereka) masih dikira belum sempurna menutup aurat ketika di luar begitu juga ketika solat. Jika pakaian seperti ini dipakai ketika solat dikhuatiri solatnya tidak diterima kerana pakaiannya tidak memenui syarat sempurna menutup aurat.

Oleh itu pakailah pakaian yang sempurna dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan samaada ketika solat atau pun ketika diluar solat ketika berhadapan dengan masyarakat . Malulah kita kepada Allah SWT ketika berhadapan dengan-Nya semoga Dia menerima solat kita yang dikerjakan semata-mata mencari keredaan dan rahmat daripada-Nya.





Soal Jawab Agama Siri 5 (Rasuah, 5 Dosa-dosa Besar, Mewarnakan rambut,Panjang Angan-angan, Khusyuk Dalam Solat, Doa, Menghina Ulama dan Sedekah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 5 membincangkan mengenai persoalan rasuah, 5 dosa-dosa besar iaitu mengambil riba, memakan harta anak yatim,  lari daripada peperangan, derhaka kepada ibu bapa, sumpah palsu, hukum mewarnakan rambut, panjang angan-angan, khusyuk dalam solat, sebab-sebad doa tidak dimakbulkan, menghina ulama dan sedekah.

Rasuah :

 
81.Apakah takrif rasuah dan perbuatan macamana yang termasuk dalam kategori rasuah?

Rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan, pertolongan, diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah."

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”(Hadis Riwayat Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai sahih)

82.Soalan: Apakah pengertian rasuah dalam konteks Islam pula?

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunah dan Ijmak Ulama.  Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT maksudnya  : “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188).

Rasulullah SAW bersabda  maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani).

83.Soalan: Apakah punca punca dan kesan terjadinya rasuah ini?

Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Mereka yang memberi dan menerima rasuah adalah mereka yang lemah imannya dan tidak takut kepada kemurkaan Allah SWT.

Harta yang dimiliki bersumberkan rasuah tidak akan diberkati Allah SWT kerana kehidupan mereka dan keluarga tidak akan tenang untuk mengecapi kebahagiaan hidup.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan kumpulan dhaif yang lain .


84.Soalan: Apakah hukumnya jika kita terlibat dalam gejala rasuah tersebut?

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Sedekah dan ibadah haji juga tidak akan diterima oleh Allah SWT. Alangkah ruginya mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini kerana ibadah dan doa mereka menjadi sia-sia, dan tidak akan  mendapat rahmat Allah SWT.

85.Soalan: Apakah akibat jika kita tidak menghindarkan gejala ini dari kehidupan kita?

Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” (surah Ali Imran ayat 112)

Riba :

86.Soalan: Apakah hukum mengambil riba?


Riba adalah salah satu dosa besar yang di laknat oleh Allah SWT . Di bawah ini di nyatakan dalili-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW mengenai pengharaman riba.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman". ( Surah Al-Baqarah ayat 278)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat pemakan riba, pembayarnya, penulisnya dan dua orang saksinya." (Hadis Riwayat Daraqutni daripada Abdullah bin Handullah)

87.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Riba Nasi`ah?

Riba Nasi'ah. Menurut Qatadah, riba al-nasi'ah adalah riba kaum jahiliyyah dimana seorang menjual sesuatu hingga tempoh waktu tertentu. Apabila tempoh waktu itu tamat sedangkan pembelinya belum mampu melunasi pembayarannya maka harganya dinaikkan dan tempohnya dilanjutkan lagi.

Mujahid mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah ada orang yang mempunyai hutang kepada orang lain, lalu yang berhutang berkata kepada pemberi hutang, "Hutang saya akan saya bayar "sekian (lebih)" dengan syarat anda melanjutkan tempohnya kepada saya". Lalu orang itu melanjutkan waktunya.

88.Soalan:  Apakah yang dimaksudkan dengan Riba Fadhl?

Riba ini terjadi apabila seseorang menjual sesuatu dengan sejenisnya dengan tambahan, seperti menjual emas dengan emas, mata wang dirham dengan dirham, gandum dengan gandum dan seterusnya.

Dari Abu Said Al-Khudari, katanya, "Bilal datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa kurma kualitas Barni. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Dari mana kurma itu ?". Ia menjawab , "Kami punya kurma yang buruk lalu kami tukar beli dua liter dengan satu liter". Maka Rasulullah bersabda (maksudnya) : "Masya Allah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kau lakukan. Jika kamu mahu membeli, juallah dahulu kurmamu itu kemudian kamu beli kurma yang kamu inginkan". (Muttafaq 'alaih)

89.Soalan: Zaman kini banyak bank yang menawarkan pinjaman yang ada unsur unsur riba seperti pinjaman rumah,kereta dan sebagainya. Bagaimanakah untuk kita menghindari perkara ini?

Untuk meninggalkan riba maka perlulah kita kembali kepada sistem perbankan Islam yang telah diperkenalkan oleh Bank Islam, Bank Muamalat , Bank Rakyat dan Perbankan Islam yang terdapat di dalam bank-bank yang lain.


Bagi membolehkan sistem perbankan yang diamalkan selaras dengan hukum Islam, urusniaga faedah (riba) adalah diharamkan sama sekali. Sebaliknya, bank masih boleh menjana keuntungan walaupun tanpa urusniaga riba melalui konsep-konsep berikut:-

* Mudharabah (perkongsian keuntungan)
* Wadiah (simpanan amanah)
* Musyarakah (usaha sama)
* Murabahan (kos tambahan)
* Ijarah (pajakan)

Harta Anak Yatim :

 
90.Soalan: Apakah hukumnya jika kita diamanahkan menjaga harta anak yatim tetapi kita menggunakan dan memakan harta tersebut untuk kepentingan peribadi?
 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan meraka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)." (Surah An-Nisa’ ayat 10).

Dalam ayat ini ada ancaman neraka bagi orang yang memakan harta anak yatim sehingga perbuatan ini hukumnya dosa besar.

Lari dari medan pertempuran

91.Soalan: Apakah hukumnya jika kita diberi tanggungjawab untuk menyertai suatu pertempuran untuk menyelamatkan negara tetapi kita lari dari menyertainya?


Berdosa besar bagi mereka yang lari dari peperangan kerana takut, tetapi tidak berdosa bagi mereka yang lari kerana ia adalah sebahagian taktik peperangan dan bagi mereka yang mencari perlindungan sebelum meneruskan peperangan tersebut.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kamu tujuh dosa dosa besar yang membinasakan! Lalu para sahabat bertanya: Apakah dia wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Syirik kepada Allah, sihir,membunuh diri yang diharamkan, melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik berzina.” (Hadis Riwayat Bukhari (5/294), Muslim (90), Abu Daud (2874) dan an-Nasaie (6/257).

Derhaka kepada ibu bapa.

92.Soalan: Apakah hukum apabila kita menyakiti hati ibu bapa kita?


Berdosa besar sekiranya kita menyakiti hati ibu dan bapa kita.  Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi )
 

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Bagaimana di dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya bersyukur kepada-Nya setelah itu bersyukur kepada kedua ibubapanya. Menunjukkan betapa penting seorang anak itu berterima kasih dan menyayangi ibu bapanya yang telah banyak berjasa kepada dirinya.


Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi. Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan muslim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."(Hadis riwayat Tabrani).

Sumpah Palsu

93.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Sumpah Palsu dan apakah hukum melakukannya?


Sumpah palsu iaitu jika seseorang bersumpah untuk melakukan sesuatu perbuatan, namun ternyata ia tidak melakukan perbuatan itu atau ia bersumpah tidak akan melakukan sesuatu perbuatan, namun nyatanya ia kemudian melakukan perbuatan tersebut.
 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang orang yang menukar janjinya dengan Allah dan sumpah sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata- kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak pula akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih. (Surah Ali Imran ayat 77)

Mewarnakan Rambut

94.Soalan: Apakah hukum jika kita mewarnakan rambut?


Terdapat beberapa hukum mengenai mewarnakan rambut :

1. Sunat :
Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.

2. Harus :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.

b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

3. Makruh :
a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.

b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

4. Haram :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b).

b) Mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

Pewarna tersebut tidak mengandungi bahan yang tidak dibenarkan seperti najis dan menutupi air daripada kena kepada rambut serta tidak bertujuan menunjukkan kecantikan kepada orang lain.

Dengan syarat pewarna tersebut bukanlah dari jenis yang kekal yang bermaksud tidak mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. Mereka juga hendaklah menggunakan perwarna yang suci dan halal dan tidak memudaratkan kesihatan individu seperti kanser,kekeringan rambut, alergik ataupun memudaratkan terhadap janin yang dikandung akibat bahan kimia pewarna.

Sifat Berangan-angan.

95.Soalan: Saya sering berangan angan sebelum tidur. Apakah hukum jika kita berangan–angan?


Jauhkan diri daripada panjang angan angan atau berangan kerana sifat ini adalah satu sifat peribadi yang tidak disukai oleh nabi SAW, mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusaha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.

Meninggalkan (angan-angan) tentang masa depan yang belum pasti, tidak menyibukkan diri atau memaksa diri dengannya, tidak terlalu mengharapkannya, tidak larut dalam penantian terhadapnya dan tidak mengkhuatirkannya. Kehidupan harus ditumpukan kepada apa yang kita hadapi hari ini sahaja.

Ali berkata: “Jauhi oleh kamu panjang angan-angan, kerana hal tersebut boleh membuat kamu lupa (lalai).”

Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabulkan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Khusyuk Dalam Solat

96.Soalan: Bagaimanakah mahu khusyuk dalam solat kerana saya sering terfikir perkara lain ketika mengerjakan solat?

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadah solat. Apabila di dalam solat sesorang itu hendaklah merasai bahawa Allah SWT sering mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muqarabah. Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajjud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. .Khusyuk dalam solat amatlah dituntut dalam Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al mukminun ayat 1-2).

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar

Doa Tidak dimakbulkan.

97.Soalan: Apakah ciri ciri doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT? 


Mengapakah doa-doa kita tidak memberi sebarang kesan dan dimakbulkan. Di manakah silapnya? Padahal kita telah berdoa dan meminta setiap hari. Sesungguhnya yakin dan percayalah bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya; Sebagaimana firman-Nya;


 ÙˆَقَŰ§Ù„َ ۱َ‌Űšُّكُمُ ۧۯْŰčُونِي ŰŁَŰłْŰȘَŰŹِŰšْ لَكُمْ


Maksudnya : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Daku perkenankan permohonanmu itu.”  (Surah Mukmin ayat 60)

Namun begitu seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah di Iraq. “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT pada hal kami selalu berdoa?”

Ibrahim Adham menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”

Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.

Beliau menjawab, “Ada sepuluh perkara, iaitu:

1. Kamu mengetahui hak Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.

2. Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak berusaha beramal dengannya.

3. Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah  SAW  tetapi kamu tinggalkan sunahnya.

4. Kamu mengecapi nikmat Allah SWT tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.

5. Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya

6. Kamu mengaku adanya syurga tetapi kamu tidak beramal untuknya.

7. Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak menghindari darinya.

8. Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

9. Kamu sibuk mencari dan memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri

10. Kamu kebumikan jenazah saudaramu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya

Jika begitu, bagaimana mungkin Allah Ta’ala dapat mengkabulkan doa kamu?” .

Daripada sepuluh sebab itu, tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjalankan tugas sebagai hamba Allah yang seenarnya. Sewajarnyalah kita tidak mendapat apa yang dihajatkan . Oleh itu perbaikailah hubungan kita dengan Allah SWT dan perhubungan kita sesama manusia.

Nasihat Daripada Ulama dan Orang Soleh.

98.Soalan: Apakah hukum jika kita menghina ulama atau orang soleh yang memberi ilmu dan menyebarkannya? 


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak. (Hadis riwayat Abu Daud dan At Tarmizi).

Menghina dan mengenepikan ulama serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa besar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang mengingkari ayat ayat keterangan Allah, membunuh nabi nabi tanpa alas an yang benar dan membunuh orang yang menyuruh berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah (berita menggembirakan) kepada mereka azab yang pedih. Mereka itulah orang yang terbatal amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Mereka tidak akan peroleh sesiapapun yang dapat member pertolongan.” (surah Ali Imran, ayat 21-22)

Sedekah 

99.Soalan: Apakah balasan bagi orang yang suka bersedekah? 

Islam menggalakkan sedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin supaya jurang perbezaan di antara mereka dapat dikurangkan.

Firman Allah SWT  maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa  yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat 272)

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk  dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan bahawa selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

 100. soalan : Jika saya tidak berkemampuan bersedekah dengan harta, apakah yang boleh saya lakukan untuk mendapat ganjaran sedekah? 

Jika saudara tidak berkemampuan dan tidak berharta untuk bersedekah dengan harta, saudara masih boleh bersedekah  iaitu melalui hati (niat), lisan dan perbuatan.

Rasulullah SAW ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu sedekah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Pertama sedekah dengan hati :


Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.


Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).


Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "


Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setakat lintasan hati kita untuk membuat kebaikan belum dikira mendapat pahala disisi Allah s.w.t. selagi kita tak merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.


Kedua sedekah dengan lisan :
Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.

Ketiga sedekah dengan perbuatan :

 
1. Senyuman, sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."

2. Solat : Solat adalah sedekah untuk diri sendiri. Berjalan ke masjid juga merupakan sedekah.

3. Puasa sunat : Puasa sunat adalah sedekah untuk diri sendiri.

4. Tidak mampu menunaikan haji dan umrah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Duha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).

5. Manusia mempunyai sebanyak 360 sendi dan sedekahnya ialah solat Duha dua rekaat setiap hari.

6. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.

7. Membersihkan masjid dan menjaga kebersihannya.

8. Menolong insan yang memerlukan dan mendamaikan antara dua orang.

9. Memberi tumpang seseorang atau barang-barang dengan kenderaan.

10. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.

11. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.

12. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu  membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilangsaikan hutang tersebut.

13. Mengajarkan ilmu.

14. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..
Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit, dengan niat yang baik,  dengan kata-kata yang baik dan senyuman kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini.

Thursday, April 25, 2013

Soal Jawab Agama Siri 4 (Solat Duha, Kenduri Kahwin, Memaafkan Orang Lain, Fidyah Puasa dan Puasa Sunat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 4 membincangkan mengenai persoalan solat Duha, majlis kenduri kahwin, maafkan kesalahan orang lain, fidyah puasa dan jenis-jenis puasa sunat.
 

Kelebihan Solat Duha Dan Kunci Murah Rezeki dan Keberkatannya.
 

61.Soalan: Di pejabat saya mempunyai sahabat yang sering menunaikan solat Duha sebelum masuk waktu tengahari. Apakah kelebihan solat sunat ini?
 

Solat Duha adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda tidak pernah meninggalkannya kerana betapa besar akan fadilatnya. Solat Duha adalah solat sunat yang dituntut, dan tanda kesyukuran dan pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya yang memberi nikmat dan rezeki yang tidak putus-putus.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu Duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Solat Duha adalah solat sunat yang dikerjakan 28 minit selepas terbit matahari (selepas masuk waktu syuruk) dan sebelum masuk waktu zohor (waktu yang sesuai adalah diantara jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi). Soat Duha boleh dikerjakan 2, 4, 6, 8, 10 atau 12 rekaat.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi maksudnya : "Wahai anak Adam jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan  4 rekaat pada waktu permulaan siang (solat Duha) , nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya (Hadis Riwayat Hakim dan Thabrani)

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Duha." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

62.Soalan: Apakah doa yang boleh kita amalkan ketika selesai menunaikan solat sunat Duha ini?

Sekurang-kurang solat Duha adalah dua rekaat, selepas salam Nabi S.A.W. mengajar kita berdoa seperti berikut (maksudnya) : " Ya Allah bahawasanya waktu Duha itu waktu Duha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu , kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu . Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh ."

Doa yang kita ucapkan cukup indah dan penuh pengharapan kepada Allah S.W.T. Sebagai hamba yang lemah yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T yang menguasai langit dan bumi dan yang menjaga rezeki dan perbendaharaan alam semesta.

Majlis Kenduri Kahwin (Walimatul Urus)
 

63.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan kenduri kahwin (walimahul urus) mengikut syariat Islam?
 

Kata walimah (Ű§Ù„ÙˆÙ„ÙŠÙ…Ű©) diambil dari kata asal walmun (Ű§Ù„ÙˆÙ„Ù…) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya.

Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)

Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan bagi meraikan pernikahan pasangan pengantin baru.

64.Soalan: Adakah duit hantaran itu termasuk amalan umat Islam terdahulu dan adakah maskahwin diwajibkan semasa akad nikah ?

Hantaran belanja tidak termasuk dalam amalan yang dituntut dalam ajaran Islam dan bukan amalan umat Islam terdahulu (sahabat-sahabat Rasulullah SAW) kerana Islam tidak membebankan umatnya untuk mengadakan majlis walimatul urus dengan perbelanjaan yang besar. Tetapi jika pihak bakal pengantin lelaki bersetuju untuk memberikan hadiah (memberikan hantaran) sempena majlis perkahwinan mereka Islam tidak menghalangnya. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan  dari al-Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". (Hadis Riwayat Abu Daud ).

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.

65.Soalan: Adakah hukum bersanding pengantin lelaki dan perempuan semasa majlis perkahwinan ?

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat bersanding ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini

Apa yang berlaku semasa  majlis bersanding  ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.

66.Soalan: Apakah hukum amalan berinai yang dilaksanakan pada majlis tersebut?
 

Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi SAW  tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra : "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai).”(Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa’i 5092)

Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi SAW  melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

67.Soalan: Apakah hukum pengantin perempuan  bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?
 

Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”

Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam "Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.

68.Soalan: Apakah tujuan mengadakan majlis kahwin (walimah) mengikut konteks Islam?

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

69.Soalan: Apakah hukum jika majlis walimah ini disertakan dengan hiburan?

Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis  riwayat Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan dan memuji-muja kecantikan wanita adalah dilarang.

Memaafkan Kesalahan Orang Lain

70.Soalan: Apakah perlu kita memaafkan kesalahan orang yang melakukan kesalahan kepada kita mengikut ajaran Islam?

Manusia biasa sering melakukan kesilapan dan kesalahan.  Sebaik-baik orang yang bersalah adalah perlu meminta maaf. Jika seseorang mengaku kesalahannya dan meminta maaf secara baik dan dia menyesal di atas keterlanjurannya maka kita sepatutnya memaafkannya. Sifat pemaaf adalah akhlak muslim yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan manusia termasuk orang yang bukan Islam yang menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).

71.Soalan: Apakah kelebihan seorang muslim yang mampu menahan marahnya?
 

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Cara-cara Bayaran Fidyah Untuk Mereka Yang Meninggalkan Puasa

72.Soalan: Apakah pengertian fidyah dan sebab-sebab di kenakan fidyah?

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin atau pun digantikan dengan nilai mata wang masa kini. Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun .

73.Soalan : Banyak manakah sebenarnya ukuran secupak beras dan siapkan yang wajib membayar fidyah?
 

Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi tidak sampai satu kilo.Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.

Contoh kiraan : Sekiranya mengikut kiraan semasa 1kilo beras harganya bersamaan dengan rm 2.60.Jika kita ambil kiraan secupak beras (556gm) = 2.60 x 0.556 = rm 1.45. Oleh itu secara kasar harga untuk dibayar secupak beras adalah rm 1.50

(Harga beras dikira mengikut harga pasaran terkini)

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:
 

1. Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

2. Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

3. Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

4. Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

5. Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

6. Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

7. Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

8. Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

9. Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

10. Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

11. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.

Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafie, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.

Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.

Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.

Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti hendaklah diutamakan.Sekarang ini terdapat masjid-masjid yang telah mengadakan kutipan wang fidyah untuk diberikan kepada fakir miskin. Cara ini amat memudahkan orang ramai yang ingin membayar fidyah (wang denda)

74.Soalan:  Berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?
 

Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.

75.Soalan: Selepas membayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?
 

Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.

Contoh mudah :

 1. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
 2. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
 3. Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
 4. Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 5. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
 6. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 7. Tinggal puasa 7 hari tahun lepas dan 7 hari 2 tahun lepas dan 7 hari 3 tahun lepas, (7 + 14 + 21) bayar 42 cupak.

Dalam kes ke 7, seseorang yang telah meninggalkan puasa selama 3 tahun adalah 21 hari, wajib diqadakan adalah 21 hari puasa qada dan wajib membayar fidyah sebanyak 42 cupak (42 x rm 1.50 = rm 63.00). Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya. Wallaulam.

Fadhilat-fadhilat Puasa-puasa Sunnat :
 

76.Soalan: Apakah fadilat atau kelebihan bagi orang yang berpuasa sunat enam hari dalam bulan syawal?
 

Fadilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Hadis Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal.

Jika terdapat puasa qada sebaik-baiknya selesaikan dahulu puasa qada di dalam bulan Ramadan dengan di ikuti puasa enam. Sebahagian ulama menetapkan mengqada puasa Ramadan yang ketinggalan wajiblah berturut-turut, namun sebahagian yang lain mengatakan qada Ramadan tidaklah wajib disegerakan, boleh ditangguhkan sehingga bulan Syaaban samada uzur ataupun tidak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah ujarnya: "Atasku ada puasa dari bulan Ramadan, maka aku tidak mengqadanya sehingga datanglah bulan Syaaban tahun yang berikutnya".

77.Soalan: Apakah kebaikan bagi orang yang mengamalkan puasa sunat Puasa Hari Arafah?
 

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji berpuasa sunat di Hari Arafah. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah SAW telah ditanya oleh sahabat mengenai Puasa Hari 'Arafah, sabdanya yang bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Hadis Riwayatkan oleh Muslim dan al-Tirmizi).

Menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Hadis Riwayat Muslim)

78.Soalan: Apakah fadilat berpuasa sunat pada Bulan Muharram?
 

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam." (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Hadis Riwayat al-Tabrani)

79.Soalan: Apakah kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
 

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Hadis Riwayat Muslim)

80.Soalan: Apakah kelebihan yang boleh kita perolehi  jika kita berpuasa pada hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah SAW. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda SAW. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram." (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Sebaik-baiknya dalam bulan Muharram kita berpuasa sunat dua hari iaitu 9 dan 10 Muharram. supaya puasa kita tidak menyamai puasa orang Yahudi kerana Yahudi akan berpuasa pada 10 Muharram sahaja. Wallaulam.

Kalian Perlu Mengundi Dan Memilih Pemimpin Yang Berakhlak Mulia

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Pemilihan pemimpin yang akan bertanggungjawab menguruskan kebajikan rakyat dan mentadbir negara dengan jujur dan amanah adalah satu kewajipan. Tanpa ada pemimpin tidak mungkin kemaslahatan rakyat dapat diurus dengan baik. Kemakmuran suatu negara, rakyatnya bersatu padu, terhindar daripada kebinasaan, kepincangan dan kerosakan adalah mempunyai perhubungan yang erat dengan pemimpin yang amanah. Jika seorang pemimpin itu rasuah, rendah akhlak dan moralnya, sering melakukan dosa-dosa besar dan bersubahat dengan pembuat fitnah maka pemimpin tersebut tidak layak dipilih dan diberi peluang untuk memimpin rakyat.

Kuasa mengundi ada ditangan kalian dan kalian perlulah berhati-hati dan berwaspada supaya tidak melakukan kesilapan dan keliru semasa membuat pengundian. Kenapakan mengundi dalam pilihan satu amanah yang tidak boleh diabaikan? Seseorang yang engan mengundi dan menganggap ianya perkara yang tidak penting maka dia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT dihari akhirat nanti sekiranya golongan perasuah , mabuk kuasa dan mereka yang rendah akhlaknya terpilih di sebabkan majoriti memihak kepada mereka.

Terdapat beberapa faktor kenapa kalian perlu mengundi. 


Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut :
 

Pertama : Kaedah fiqh

Melakukan mudarat yang kecil bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mudharat yang kecil adalah bila diadakan pilihan raya akan berlaku perselisihan faham, lobi-melobi, mendedahkan keburukan parti-parti yang bertanding, berlaku ketegangan dalam masyarakat hingga boleh mencetuskan pergaduhan. Banyak masa dan wang ringgit terbuang semasa di adakan pilihan raya yaitu dengan di adakan ceramah, kempen, menampal poster dan memasang bendera.

Mudharat yang lebih besar pula akan berlaku apabila hak pemerentahan diberikan kepada pemimpin yang tidak adil iaitu hasil dan kekayaan negara akan disalah urus bukan untuk kepentingan rakyat tetapi lebih kepada individu tertentu dan kroni. Rakyat akan mengalami kerugian besar kerana undang-undang Islam tidak akan dipraktikkan dalam kehidupan bernegara, tidak berlaku adil dalam perbicaraan dimahkamah, kos untuk mendapat pendidikan tinggi terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi, cukai-cukai akan dinaikkan, projek-projek kerajaan akan diagih-agihkan dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan pemimpin sahaja, gejala sosial dan keruntuhan akhlak akan berlaku bermaharajalela tanpa ada pemulihan yang bersepadu.
 

Kedua : Memahami Fiqh Awlawiyat ialah memahami apa yang paling utama daripada beberapa perkara dari sudut pelaksanaan. Ini bermakna memberikan hak keutamaan didahulukan pada perkara yang mesti didahulukan daripada perkara yang lain yang utama dikemudiankan, sesuai dengan masa dan waktu perlaksanaannya.

Al-Fadhil Dr. Yusuf al-Qardawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat seperti berikut :
“Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil”.

Dalam realiti semasa seorang muslim itu perlu menguatamakan perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Undang-undang Islam belum lagi dilaksanakan sepenuhnya dalam masyarakat kita. Proses perlaksanaannya perlu kepada masa dan peringkat demi peringkat. Oleh itu salah satu cara dan jalan menuju kepada perlaksanaan undang-undang Islam adalah umat Islam perlu mengambil peluang memilih pemimpin yang beriman dan bertakwa semoga penyebaran fikrah dan dakwah Islam dapat di jalankan secara berterusan.


Kalian perlu mengangkat peribadi yang sesuai ke kedudukan yang sesuai dalam memimpin umat dan negara. Pilihlah ahli dewan undangan negeri dan wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia, golongan yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik demi pengurusan perjalanan negara dan kehidupan rakyat, mereka yang mendepani cabaran besar serta merebut peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.

Oleh yang demikian mengundi dengan prinsip menurut urutan berikut; menyokong calon yang mendukung agenda Islam; memilih calon yang tidak mengancam perjuangan Islam di Malaysia; (jika) dalam kalangan calon-calon bukan Islam, (memilih) peribadi calon yang tidak memusuhi Islam; dan akhir sekali, mengundi peribadi calon bukan Islam yang bahayanya terhadap perjuangan ummah paling minimum.

Ketiga : Tahaluf Siyasi Islami.


Bekerjasama dengan organisasi lain atau parti-parti politik lain yang tidak bermatlamatkan Islam untuk membina sebuah kerajaan. Kerjasama ini berlaku terhadap apa jua bidang yang telah dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Ulama-ulama gerakan telah memberi pandangan yang berbeza dalam mengeluarkan hukum bekerjasama dengan gerakan atau organisasi yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam.

Para Ulama Haraki telah mengharuskan Tahaluf Siyasi Islami dalam gerakan Islam antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban. (Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban, kitab al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, (m/s 114-116)


Bekerjasama dengan bukan Islam dalam politik aman (siasah dakwah silmiyah).
Adalah di benarkan ahli-ahli politik muslim untuk meminta pertolongan demi menjaga maslahah umat Islam,negara dan rakyat seluruhnya itu sendiri agar keselamatan diri terjamin dan kerja kebajikan dan keadilan akan berterusan melalui pilihan raya dan perkongsian kuasa.


Keharusan Tahaluf Siyasi Islami dengan kerjasama gerakan/ parti yang bukan Islam boleh di bahagikan dalam beberapa syarat iaitu :
 

1. Orang bukan Islam di yakini amanahnya untuk merialisasikan kerja-kerja kebajikan dan keadilan dalam ajaran Islam samaada secara perbincangan, perjanjian dan sebagainya.

2. Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut pengabaian kepada beberapa prinsip Islam
 

3. Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut kita berdiam diri dari berkata benar atau setuju dengan kebatilan
 

4. Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu bermuka-muka dengan orang bukan Islam atau memuji kekufuran mereka.
 

5. Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu penguasaan orang bukan Islam ke atas orang Islam dengan membawa kepada kemudharatan kepada umat Islam dan ajaran Islam. Tidak mengadaikan prinsip Islam.

Contoh keharusan bekerjasama dengan mereka dengan tujuan maslahah menegakkan keadilan Islam dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri adalah ketika mana Nabi Muhammad SAW dibantu (kerjasama) oleh bapa saudaranya yang bukan Islam iaitu Abu Talib.

Berkata Imam Ibnu Kathir : " Hikmah yang bgitu besar kepada Islam dan Rasulullah SAW di sebalik kufur Abu Talib ialah kekuatannya sebagai benteng utuh da’wah Nabi yang sentiasa mempertahankan Nabi. Seandainya Abu Talib masuk Islam, sudah pasti orang Quraisy tidak akan mempedulikan kemuliaan ,kebesaran dan penghormatan yang ada pada peribadi Abu Talib. Mereka akan menghapuskan Nabi SAW serta Abu TAlib dengan kekerasan dan cemuhan jahat mereka.


Perlindungan yang di berikan Abu Talib kepada Nabi Muhammad bukanlah ketika di saat getir sahaja bahkan dalam segenap sudut sehinggakan Nabi menjadi terlalu sayang kepada beliau.Ini dapat di buktikan bila mana meninggalnya Abu Talib, Nabi menjadi terlalu sedih.

Jelaslah, bahawa bukan kerana hubungan darah daging sahaja, tapi kerana jasa dan pengorbanan yang di berikan oleh beliau. Sekiranya darah daging di jadikan ukuran, ini kurang tepat kerana Nabi tidak melakukan perkara yang sama pada Abu Jahal dan Abu Lahab.

Sebagai kesimpulan di atas, dapatlah di fahami bahawa hukum bekerjasama dengan bukan Islam dalam politik adalah harus dari sudut syarak selama mana ia memberikan kemaslahatan umum mengatasi kemudharatan.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam Islam matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila matlamat kalian ingin menjadikan Malaysia negara berkebajikan dan kearah tertegaknya negara Islam maka jalan-jalan yang kalian gunakan untuk mencapai matlamat yang murni ini perlulah syarak benarkan dan bersih daripada unsur penipuan.


Jika kalian berkempen dan menyokong calun yang akan bertanding (calun yang berakhlak dan berintegeriti) maka gunakanlah cara-cara bersih dan beradab sopan. Jangan gunakan cara Machiavelli atau matlamat menghalalkan cara iaitu dengan menggunakan kempen cara kotor dengan maki-hamun, fitnah-memfitnah, mengadu domba dan tuduh menuduh. Setiap dakwaan dan tuduhan perlu disertakan dengan bahan bukti bukan cakap-cakap sahaja dan emosi semata-mata.


Tonjolkanlah manifesto yang lebih baik daripada manifesto calun lawan dan buktikan bahawa kalian mampu melaksanakan semua janji-janji yang akan diberikan kepada rakyat. Buktikan pemerentahan lama telah menyalahgunakan kuasa dan berlaku penyelewengan harta negara kepada perkara yang tidak bermanfaat dan membazir, hak rakyat bersuara dinafikan, kezaliman dan ketidakadilan berlaku dimana-mana.


Sahabat yang dikasihi,
Pastikan kalain benar-benar memilik calun yang akan menguntungkan Islam dan calun-calun yang akan membantu menegakkan keadilan dan memberi kebajikan kepada rakyat semuanya. Ingat kalian pasti akan bertanggungjawab samaada kebaikan atau keburukan yang akan berlaku kerana keputusan yang telah kalian lakukan. Jika kalian inginkan kebaikan dan keberkatan dan mendapat keredaan Allah SWT maka pilihlah mereka yang berusaha untuk menegakkan Islam sebagai cara hidup dan mereka yang bercita-cita untuk menghapuskan kezaliman dan ketidak adilan yang telah lama berakar umbi di dalam negara.