Wednesday, October 9, 2013

Soal Jawab Agama Siri 97 (Ciri-ciri Dajjal, Hukum Bersalaman, Makhluk Jin, Menjaga Anak Yatim Dan Selesaikan Hutang)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 97 adalah membicarakan persoalan Dajjal di akhir zaman, hukum bersalaman dengan wanita yang ajnabi, kehidupan mahkluk jin, memuliakan dan menjaga harta anak yatim dan cara selesaikan hutang jika si beri hutang sudah meninggal dunia.

765. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan ciri-ciri Dajjal bermata satu yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW?

Jawapan :

 

Apa yang disebut dalam hadis ialah; Dajjal bermata satu adalah buta sebelah matanya, bukan bermata satu ditengah-tengah dahinya. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnya tentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu Dajjal). Ketahuilah bahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Di tengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’” (Hadis Soheh al-Bukhari; 7408. Soheh Muslim; 2933, dari Anas bin Malik r.a.).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjal itu mata kirinya buta, rambutnya lebat / kusut, serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka” (Hadis Soheh Muslim, 2934, dari Huzaifah r.a.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."



766. Soalan : Apakah hukumnya bersalaman dengan wanita yang ajnabi (bukan mahram)?

Jawapan : 

Berdasarkan pengamatan ulama, seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi.

Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan :
"Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan". (Kitab al-Azkar, 228).

Dalilnya ialah ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah SAW. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah :

"Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan". (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10).

Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : "Aku datang kepada Rasulullah SAW. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”.

Lantas Rasulullah SAW. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. 

Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”.

Lalu Nabi SAW menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah SAW. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda SAW. adalah qudwah dan ikutan kita semua. Wallahualam

767. Soalan : Saya pernah membaca beberapa ayat al-Quran bahawa Allah mencipta alam buana ini dari ledakan Big Bang dan seperti dalam teori fizik, dari situlah Allah SWT mencipta planet-planet melalui pergerakan graviti terhadap bahan yang terhasil dari ledakan itu sendiri. Bumi kita sekarang terletak dalam salah sebuah galaksi yg terdiri dari jutaan galaksi yg lain (Maha Suci Allah). 

Dalam al-Quran saya tidak ketemukan apa-apa hidupan lain di planet tersebut, adakah terdapat  hidupan lain yang dinamakan ‘makhluk asing’ di planet -planet yang lain? Tidak berlawanan dengan ayat yang menyatakan manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna dan menjadi khalifah di alam ini, dalam banyak teori mengenai keujudan mereka (alien) tubuh fizik mereka tidak sehebat kita, berkaki pendek, kepala dan bermata besar, tidak boleh bercakap melainkan dengan telepati sahaja. Namun mereka amat pintar terbukti dengan kemampuan teknologi UFOnya (kalis graviti, memansuhkan inertia, dan lain-lain). 

Apakah ada hadis sahih menjelaskan keujudan makhluk asing di planet-planet tersebut? Apakah Nabi Muhammad SAW pernah membuat hubungan dengan mereka?

Terdapat teori lain yang mendakwa kenderaan Jin merupakan kapal piring terbang 
(UFO). Apakah pandangan Islam terhadap dakwaan ini?

Jawapan :

Terimakasih di atas soalan tersebut dan saya akan cuba menjelaskan setakat kemampuan yang ada berdasarkan nas-nas di dalam al-Quran dan hadis-hadsi Nabi SAW.

1.Pertama : Mengenai kebenaran teori Big Bang :

Terdapat ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan mengenai teori Big Bang.

Firman Allah SWT maksudnya :  "Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya." (Surah al-Anbiya' (21) ayat 30)

Memang terbukti bahawa sarjana-sarjana Barat sudah mengakui dan menerima teori Big Bang bukanlah lagi teori, tapi satu realiti sedangkan fenomena Big Bang ini sudah dijelaskan dalam dalam al-Quran. Lawati laman web Harun Yahya dari Turki untuk lebih memahami teori Big Bang.

2. Kedua:  Apakah ada makhluk asing hidup di galaksi dan planet yang bertaburan itu? Jawapan yang paling selamat ialah Wallahu a'lam (Allah yang lebih Mengetahui). 

Walaubagimana pun perlu kita fahami bahawa  di dalam al-Quran surah az-Zaariyat (51) ayat 56 Allah SWT berfirman maksudnya :"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku". 

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua makhluk ciptaan Allah SWT ini di muka bumi ini adalah semata-mata untuk menyembah dan beribadah kepaad Allah SWT. Jika ada makhluk-maklhuk lain di planet-planet lain ianya tidak lari daripada makhluk jenis jin , kerana penciptaan jin berlaku sebelum Nabi Adam a.s di ciptakan oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran , Allah SWT berfirman maksudnya : “Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat dan dengan apa yang tidak kamu lihat” (Surah al-Haaqqah (69) ayat 38-39)

Yang pasti sudah ada dua jenis makhluk yang tidak dapat kita lihat telah mampu dilihat oleh sebahagian orang termasuk para Nabi, antaranya Malaikat dan Jin. Jika Jin ini menampakkan dirinya dalam bentuk piring terbang pun ada kemungkinan juga. Malaikat memenuhi 7 petala langit, dijelaskan oleh ayat”

Firman Allah SWT maksudnya : ”Semua langit hampir  pecah di sebelah atasnya (kerana kebesaran Allah) sedang malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya” (Surah asy-Syuura(42) ayat 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Tidak ada siapa yang mengetahui bilangan tentera Tuhanmu (malaikat) kecuali Dia sendiri”  (Surah al-Muddatsir (74) ayat 31)

Di dalam al-Quran terdapat huraian mengenai makhluk jin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami telah menciptakan Jin sebelum Adam dari api yang amat panas” (Surah al-Hijr (15) ayat 27)

” Sesungguhnya ia (jin) dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka” (Surah al-A'raf (7) ayat  27)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Jin ada tiga species: yang terbang melayang, sejenis lagi yang berbentuk ular dan anjing dan satu lagi berdiam di dalam lumpur dan berjalan.” (Hadis Riwayat Tabrani, a-lHakim dan al-Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani dalam sahih al-Jaami’ 3/85)

Di dalam riwayat ada menceritakan bahawa Nabi SAW  pernah membuat perhubungan dengan makhluk ghaib iaitu  Malaikat (Malaiat Jibril) dan Jin, memang benar sama sekali.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan ingatlah ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur:an…” (Surah  al-Ahqaf (46) ayat 29)

Selain daripada kedua makhluk ghaib tersebut tidak terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW ada membuat perhubungan.

Ramai yang tertanya-tanya kapal piring terbang (UFO) yang pernah dilihat oleh manusia, adakah ianya dimiliki oleh makhluk jin atau makhluk asing?

Sebenarnya kapal piring terbang (UFO) adalah kenderaan makhluk jin dan makhluk yang dilihat oleh manusia seperti makhluk asing, berukuran lebih kecil daripada manusia sebenarnya mereka adalah jenis jin yang menampakkan keujudannya di alam dunia. Keadaan ini jarang-jarang berlaku dan tidak mustahil boleh berlaku dengan izin Allah.

Persoalan ini pernah ditanya oleh Muhammad Isa Daud (MID) kepada sahabatnya daripada Jin Islam (JI) bernama Mustafa . Dialog mereka seperti berikut :

MID :  Selama ini ada anggapan bahawa mata kalian selamanya merah, apakah benar"?

JI      : Tidak selamanya demikian. Mata kami , sebagaimana halnya dengan mata manusia, banyak sekali macamnya. Ada mata yang merah hitam, kuning, coklat tua, seperti mata mausia.  Adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata kami, yakni sinar yang selamanya cenderung berwarna merah. Ia tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya, bahkan disitu terdapat suatu keindahan.

Sedangkan telinga kami kedua-duanya mirip telinga kuda, khususnya dalam hal bentuknya yang runcing. Ada pula di antara kami yang telinganya mirip telinga kucing. Kalau ada di antara kami menyerupakan diri dalam bentuk-bentuk tertentu, maka yang paling mereka sukai adalah kucing, kuda atau harimau.

Hidung kami serupa hidung manusia. Hanya ia tidak mancung seperti hidung kalian. Lazimnya hidung kami pesek atau bulat mirip hidung lelaki atau wanita Filipina.

Jin Islam memanjangkan janggutnya, kerana mengikut sunah Nabi Muhammad SAW. Terdapat juga yang tidak berjanggut.

Rambut kami sangat tebal, dan lebih tebal lagi pada kaum wanita jin. Di kalangan kaum lelaki rambut kami terasa lebih kasar, dan dalam skala besar lebih banyak yang botak.

Rambut kaum wanita, bagi kami sangat -sangat panjang. Dan itu, merupakan lambang kecantikan. Sehingga ada di antara mereka yang rambutnya terseret di tanah kerana panjangnya.

MID    : Bagaimana pula tangan dan kaki kalian.?

JI         : Tangan kami seperti tangan kalian. Cuma dari segi panjang lengan dan kuku, agak berbeza. Lengan kami, dalam bandingannya dengan tubuh kami, terbilang sangat panjang, bila dibandingkan dengan lengan kalian terhadap tubuh kalian. Demikian pula halnya dengan kuku-kuku kami. Sebab, jari-jari kami pun panjang-panjang. Sedangkan kaki kami , beza dengan kaki  kalian dalam hal letak tumit dan keruncingan jari-jarinya.

MID    : Apakah kalian juga punya tulang, jantung, organ pernafasan dan pencernaan?

JI         : Ya sama seperti kalian, sekalipun tulang kami, dibandingkan dengan kulit atau daging kami, agak besar. Sekarang ini, kami memiliki kelenturah yang tidak mungkin kalian bayangkan. Organ-organ kami yang selebihnya, agak kecil-kecil. Semuanya berfungsi seperti tubuh kalian, sekalipun kami tidak memerlukan  oksigen untuk bernafas sebanyak yang kalian perlukan.

Begitu pula dengan alat pencernaan yang mencerna segala yang kami makan. Sisa-sisa pencernaan kami juga keluar dari lubang-lubang pencernaan seperti kalian alami, sekalipun najis kami tidak berbentuk kasar, melainkan lebih mirip dengan wab yang sangat pekat.

Sedangkan air kencing, juga berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya, tetapi sangat ringan dan mirip aliran air pancur dikalangan kalian. Itu sebabnya , maka ada syaitan yang boleh mengencingi telinga seorang muslim yang sedang tidur tidak menyebut ASMA ALLAH dan yang dimalam harinya tidak pernah berniat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah, Tuhan semesta alam.

Muhammad Isa Daud menceritakan terdapat peristiwa yang berlaku  :

"Seorang Amerika (namanya Mash) berjumpa di kebunnya makhluk yang pendek tinggi sekitar 160 sentimeter. Di pinggan kanannya ada senjata, sedang di pinggang kirinya tergantung beg besar. Mereka melarikan diri dengan pesawat mereka tingginya kira-kira 2.5 meter. Pesawat mereka diperbuat dari bahan sejenis kaca, pintu pesawat tertutp, dari bawah ke atas. Pesawat berlepas dengan penyemburan cahaya yang sangat menyilaukan."

JI     :  Aku bersumpah kepadamu dengan nama Allah, bahawa mereka adalah jin. Akan tetapi, lazimnya, mereka menampakkan diri dalam bentuk yang lebih tinggi dan besar daripada bentuk mereka yang sebenarnya.

MID  :  Dari mana mereka datang?

JI     : Entah, tetapi mungkin saja mereka itu adalah penghuni ruang cahaya yang terdapat di antara sinar merah dan awan. Atau, penduduk yang datang dari dasar lautan. Sekarang engkau sudah tahu secara lengkap. Kerana itu kemukakan kebenaran yang engkau ketahui ke seluruh dunia, sehingga tidak ada lagi kegelapan yang ditimbulkan oleh tipu-muslihat jin dan yang terbentuk kerana dugaan-dugaan salah. 

[ Perhatian : Misteri terlihatnya UFO (Kapal Piring berbentuk bulat) sebenarnya adalah pesawat daripada makhluk jin bukannya makhluk asing dari planet yang lain daripada bumi. Mustafa (Jin Islam) yang berbicara dengan Muhammad Isa Daud menjelaskan beliau sudah melakukan penerbangan lebih seratus kali di angkasa raya tetapi tidak berjumpapun dengan makhluk asing yang dikatakan oleh manusia. Jika kalian bertemu dengan apa saja bentuk rupa makhluk samaada cantik atau hodoh sebenarnya mereka adalah terdiri daripada makhluk jin yang boleh menyerupai sesuatu. ]

Jin yang berdiam di suatu tempat dan memperlihatkan diri dalam peristiwa-peristiwa yang ganjil-ganjil. Apabila mereka (jin) berhadapan dengan seorang muslim yang bertakwa dan kuat akidahnya, lalu orang itu membaca Ayat Kursi dan ayat pertama dalam surah Ash- Shaffat . [Firman Allah SWT maksudnya, "Demi (rombongan malaikat) yang berbaris bershaf-shaf" (Surah Ash-Shaffat ayat 1) ], pasti mereka terbakar dengan kekuatan yang diberikan Allah, atau lari lintang pukang, tanpa mahu kembali lagi ketempat itu.

Dari hadis riwayat Tabrani di atas, memang terdapat species Jin yang terbang di angkasa. Ini diperkuatkan oleh dalil al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya : ” kecuali syaitan (jin) yang mencuri-curi yang dapat didengar (dari Malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang” (Surah al-Hijr (15) ayat 18)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : " ...tapi sekarang barangsiapa yang mencuba mengintip tentu akan menemui panah api yang sedia menunggu.”(Surah al-Jin (72) ayat 9) 

Maka dengan sifat dan keupayaan jin di angkasalepas mengintip rahsia langit, maka sudah tentu mereka memiliki keupayaan terbang dan kekuatan yang canggih. Walllahu a'lam.

(Ruj: DrSulaiman al-Ashqay, Alamul Jinn was Syayaathin/134; Dr alBasith alJamal, Mausu’ah al-Isyaraat al-Ilmiyah fi alQur:an was Sunnah dan Buku Dialog Dengan Jin Islam - Muhammad Isa Daud)

768. Soalan : Saya terdengar pendapat mengatakan pemegang wasiat harta anak yatim mempunyai sebahagian hak keatas harta tersebut. Dan ia dibolehkan utk membelanjakan asalkan tidak dgn secara pembaziran.

Betulkah pandangan sebegini?

Jawapan : 

Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:

“Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yg miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) AQT 4 (an-Nisaa’ : 06

Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:

1. Menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)

2. Membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan

3. Menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu

4. Pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.


Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya. 

769.Soalan : Apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Jawapan :

Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:


“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675). Wallahu a'lam.

770. Soalan : Bagaimana melunaskan hutang, apabila orang yang memberi hutang sudah meninggal dunia atau tidak diketahui sekarang dia berada di mana?

Jawapan :

Hal ini telah dijawab oleh Syaikh Ibnu ‘Uthaimin Rahimahullah. Beliau mengatakan, “Apabila kamu mempunyai hutang kepada seseorang dan kamu merasa belum membayarnya dan merasa hutang tersebut masih ada sampai orang yang memberi hutang mengambil haknya, dan apabila orang yang memberi hhutang tadi telah meninggal, maka hutang tersebut diberikan pada ahli warisnya. Jika kamu tidak mengetahui ahli warisnya atau tidak mengetahui orang tersebut atau tidak mengetahui di mana dia berada, maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah subhanahu wa ta’ala mengetahui hal ini dan akan menunaikan pada orang tersebut.” (Syarh Riyadhis Sholihin, Bab Taubat, 1/47)

Dan juga telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawa beliau membeli hamba daripada seorang lelaki. Kemudian beliau masuk (ke dalam rumah) untuk mengambil wang pembayaran. Akan tetapi tuan hamba tadi telah pergi sehinggakan Ibnu Mas’ud yakin lagi tuan hamba tersebut tidak akan kembali. Akhirnya beliau bersedekah dengan wang tadi dan mengatakan, “Ya Allah, wang ini adalah milik tuan hamba tadi. Jika dia redha, maka balasan untuknya. Namun jika dia enggan, maka balasan untukku dan baginya kebaikanku sesuai dengan kadarnya.” (Tazkiyatun Nufus pada Bab At Taubah yang dikumpulkan dari tulisan Ibnu Rojab, Ibnul Qoyyim, dan Imam Al Ghozali oleh Dr. Ahmad Farid)

Kesimpulan:

a) Kena pastikan bahawa memang orang yang kita berhutang dengannya tidak dapat ditemui.

b) Jika tidak dapat ditemui, maka bayarkan hutang itu kepada warisnya.

c) Jika tidak diketahui siapa warisnya, maka boleh bersedekah dengan meniatkan untuk pemilik hutang tersebut.


Wallahua’lam.






Kiraan Zakat Pelaburan Dalam Bursa Saham Patuh Syariah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Membayar zakat adalah salah satu kewajipan setiap muslim . Apabila wang simpanan atau wang pelaburah cukup nisab dan tempuh maka kewajipan membayar zakat tidak boleh di abaikan. Oleh itu bagaimana kita hendak mengira kiraan zakat untuk pelaburan tersebut.

Di dalam Bursa Saham terdapat beberapa produk yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti, derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya.

Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan.

Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini iaitu :

Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual beli sepanjang tahun. 

Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.

Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat. Orang yang melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertamanya, bagi saham yang dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan yang diperolehi.

Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung tahun sahaja.

Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.

Contoh: Puan Nur  bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (patuh syariah). 
Berikut adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.

Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian.

Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun 2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. 

Manakala, pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.

Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:

* 31 Dis. 2010
* Jual RM9.50/Unit
* 10,000 X RM9.50 > RM95,000
* Baki selepas jualan> -RM5,000.

Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang berjumlah RM9,500.

Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki, yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang melebihi haul.

Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan, yakni keuntungannya tidak dizakatkan.

Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan. Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Contoh: Jamal membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit > RM50,000. 

Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jamal ialah, 10,000 unit X RM5.50 > 55,000 X 2.5% > RM1,375.

Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka masih wajib dizakatkan.

Contohnya:
Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit
Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit
Jumlah saham > 10,000 unit
Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.

Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.

Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat perniagaan. Wallahu a'lam.








Jauhi Empat Belas Amalan Yang Di Sukai Syaitan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syaitan merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Syaitan ialah musuh utama bagi seorang mukmin seperti yang kerap kali diulang oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT :

Ű„ِنَّ Ű§Ù„ŰŽَّيْŰ·َŰ§Ù†َ لَكُمْ ŰčَŰŻُوٌّ فَۧŰȘَّŰźِ۰ُوهُ ŰčَŰŻُوًّۧ Ű„ِنَّمَۧ يَŰŻْŰčُو Ű­ِŰČْŰšَهُ لِيَكُونُÙˆŰ§ مِنْ ŰŁَŰ”ْŰ­َِۧۚ Ű§Ù„ŰłَّŰčِÙŠŰ±ِ

Maksudnya : "Sesungguhnya syaitan ialah musuh kepada kamu, maka jadikanlah dia musuh. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka." (Surah Faatir ayat 6)

Kita haruslah sedaya upaya berusaha menjauhi amalan-amalan yang diwarisi daripada syaitan atau perbuatan yang boleh menyebabkan kita menjadi pengikutnya. Walaupun kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat, hadis-hadis Rasulullah SAW banyak mendedahkan hakikat sebenar syaitan dan cara-cara untuk menghindari tipu muslihatnya.

Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama. Iaitu ;

1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri :

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Apabila seseorang daripada kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. "(Hadis Riwayat Muslim)

Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun ada diantara kita seorang yang kidal. Sekiranya jika kalian makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.

2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri :

Rasulullah SAW melihat seseorang yang minum sambil berdiri.
Baginda menegur, " Jangan begitu! "

Orang itu bertanya, " Mengapa? "

Rasulullah menjawab, " Adakah kamu suka minum bersama kucing? "

Orang itu menjawab, " Tidak. "

Rasulullah SAW meneruskan: "Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk daripadanya, iaitu syaitan. "(Hadis Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)

Oleh itu, elakkan minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti keadaan yang sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.

3. Syaitan ketawa apabila menguap sehingga mengeluarkan bunyi :

Sekiranya kalian menguap, ingatlah itu adalah daripada syaitan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Menguap adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang daripada kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi 'Haaa', maka ketawalah syaitan. " ( Hadis Riwayat Bukhari)

Jika tidak dapat menahan diri daripada menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). "
( Hadis Riwayat Muslim)

4. Syaitan kencing di telinga :

Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua belah telinganya seperti di dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud : " Itu ialah orang yang syaitan telah kencing di dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya. "

Rasulullah SAW berkata demikian apabila diceritakan kepada baginda tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam :

Imam Muslim meriwayatkan hadis yang bermaksud: "Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah dengan membaca 'Bismillah' ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan kepada golongannya ; " Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga memiliki makanan malam. "

Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan kepada golongannya ; " Kalian telah mendapat tempat bermalam. "

Apabila seseorang tidak mengingati Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan kepada golongannya ; "Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam. "

Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar dari rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika menutup pintu dan tingkap agar terselamat daripada gangguan syaitan.

6. Syaitan makan sisa-sisa makanan :

Apabila Rasulullah SAW makan, baginda menjilat jari-jarinya sebanyak tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda (maksudnya) : "Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan sebarang kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan. "

Anas melanjutkan ; " Rasulullah juga menyuruh kami untuk menghabiskan sebarang sisa makanan. "

Baginda berpesan ; " Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. " (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak usahlah kalian menjadi pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Entah berapa ramai yang tamak ketika makan sehingga menyebabkan makanan berlebihan dibiarkan untuk santapan musuhnya sendiri.

7. Orang yang membazir ialah saudara syaitan:

Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. 

Allah SWT sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya.

Firman Allah SWT ;

Ű„ِنَّ Ű§Ù„ْمُŰšَ۰ِّ۱ِينَ كَŰ§Ù†ُÙˆŰ§ Ű„ِŰźْوَŰ§Ù†َ Ű§Ù„ŰŽَّيَۧ۷ِينِ وَكَŰ§Ù†َ Ű§Ù„ŰŽَّيْŰ·َŰ§Ù†ُ لِ۱َŰšِّهِ كَفُÙˆŰ±ًۧ

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan." (Surah Al-Isra' ayat 27)

8. Syaitan mengganggu ibadat manusia :

Sahabat bernama ‘Uthman bin Abi al-‘Ash mengadu kepada Rasulullah SAW ;

" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quran ku, dan ia selalu mengelirukan aku. "
Maka Rasulullah menjawab ; " Itulah syaitan yang disebut sebagai 'Khanzab', maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Uthman bin al-‘Ash kemudian berkata; " Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku. " (Hadis Riwayat Muslim)

9. Sikap terburu-buru adalah daripada syaitan :

Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru di dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketenangan adalah daripada Allah manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan. " (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

10. Sikap cemburu adalah daripada syaitan :

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis Aishah r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: " Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? "

" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti tuan? "

Kemudian Rasulullah SAW melanjutkan : "Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?"

" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? "

" Ya. "

" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? "

" Ya. "

" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? "

" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. "

11. Perasaan marah adalah daripada syaitan :

Apabila seseorang itu di dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Perkara ini boleh diatasi dengan membaca 'istiqhfar' . 

Sulaiman Bin Surd berkata: "Ketika aku sedang duduk bersama Nabi SAW, terdapat dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang daripada mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul. Maka Nabi SAW bersabda: " Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah 'A'uzubillahi minash syaitan' nescaya kemarahannya akan hilang. "
( Hadis Riwayat Bukhari)

12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja :

Kita sering dilarang oleh ibu bapa kita supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja.

Pesanan ini berasal daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: " Apabila malam menjelang tiba, maka tahanlah anak-anak kalian (daripada keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya', maka lepaskanlah mereka. "
(Hadis Riwayat Bukhari)

13. Pasar adalah tempat kegemaran syaitan :

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat syaitan melepak.

Rasulullah SAW bersabda: " Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir yang keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar ialah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacakkan. " ( Hadis Riwayat Muslim)

Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk di dalam hadis di atas.

14. Syaitan boleh membesar seperti rumah :

Imam Ahmad Bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seseorang yang dibonceng oleh Nabi SAW. Dia berkata , " Tunggangan Nabi SAW tergelincir, maka aku katakan celaka syaitan. "

Nabi SAW bersabda : " Janganlah kalian menyebut 'Celakalah syaitan!' kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata, 'Demi kekuatanku!' . Sebaliknya sebutlah 'Bismillah!' kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat. "

Sahabat yang dimuliakan,
Demikian sebahagian himpunan hadis-hadis yang berkaitan dengan syaitan. Semoga perkongsian ini dapat membantu kita untuk lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan terpelihara daripada musuh nombor satu manusia iaitu syaitan dan iblis laknatullah. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT daripada muslihat, godaan dan tipu daya mereka.

Tuesday, October 8, 2013

Soal Jawab Agama Siri 96 (Perkahwinan, Hak Waris, Akad Wakalah Aqiqah /Korban, Tuduhan Ahli Syurga /Neraka Dan Ciri-ciri Iman)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 96 adalah menjawab persoalan orang Islam yang tidak mahu kahwin, hak waris, akad wakalah aqiqah / korban melalui sms, tuduhan seseorang ahli syurga atau neraka dan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman.


761. Soalan : Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya bagi orang Islam yang tidak berkahwin? Adakah kalau kita tidak berkahwin tidak mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ? Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, ulama terkenal Ibn Jarir al-Tabari  tidak berkahwin sepanjang hayat mereka. Minta ustaz tolong memberi penjelasan.

Jawapan :


Untuk menjawab soalan berkenaan dengan hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.

Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.

Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.

Rasulullah SAW telah pun bersabda maksudnya, "“Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya” (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).

Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin. Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.

Para ulama yang tidak berkahwin itu, sebenarnya mereka bukan membenci perkahwinan tetapi mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.

Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. “Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Saya akan solat malam selamanya.” Seorang lagi berkata, “Saya akan puasa sepanjang tahun.” Dan seorang lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya.” Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, “Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertakwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.

762. Soalan : Harta yang kita miliki dan isteri kita sekarang, contohnya kereta, rumah, wang atau tanah perlukah diletakkan penama atau orang yang akan mewarisinya kelak jika kita meninggal dunia. Jika diletakkan, adakah ia akan dikira sebagai hibah, atau ianya dikira harta pusaka yg wajib dibahagi mengikut hukum faraid setelah peninggalan kita. Jika tidak diletakkan penama, apakah risiko yg akan kita hadapi setelah meninggal nanti. Minta penjelasan ustaz.

Jawapan :


Perlu atau tidak meletakkan penama pada harta adalah bergantung kepada maslahah pemilik harta dan waris-warisnya. Namun menurut fatwa ulama ; Penama tidak lebih dari pemegang amanah sahaja. Apabila berlaku kematian pemilik harta, penama wajib menguruskan harta tersebut dengan membahagikannya kepada waris-waris si mati. Ia tidak boleh dianggap hibah kerana hibah ialah pemberian ketika hidup dan hibah hanya dikira sah apabila telah diterima/dipegang oleh penerima hibah (yakni telah bertukar nama/milik kepadanya).

Oleh kerana harta/wang yang ditinggalkan itu masih atas nama si mati, maka harta itu dianggap harta peninggalan si mati dan mesti diagihkan kepada waris-warisnya setelah ditolak hutang-hutang. nazar (jika ada). upah haji (jika belum menunaikan haji dan berkemampuan) dan wasiatnya (jika ada). Jika ada wasiat si mati maka jumlah wasiat tersebut tidak boleh melebihi 1/3 harta si mati.

763. Soalan : Boleh atau tidak aqad wakalah aqiqah / korban dlm sms / e-mail / whatsapp dan lain-lain jika kita bercadang membaut aqiqah?  Jika boleh minta ustaz huraikan.

Jawapan;


Sebarang akad tidak sah melainkan dengan sighah yang jelas. Maksud sighah ialah pernyataan secara zahir dari kedua pihak yang  berakad sebagai tanda kerelaan mereka untuk melakukan aqad. Ia meliputi ijab (iaitu pernyataan untuk beraqad dari pihak yang memulakan akad) dan qabul (iaitu penerimaan/persetujuan dari pihak kedua).

Sighah (pernyataan) ini boleh berupa percakapan, tulisan, bahasa isyarat yang difahami ( Ruj : al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/160 (perkataan ‘sighah’). atau dengan perbuatan / tindakan (seperti satu pihak memberi dan satu pihak lagi mengambil).  Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa berakad melalui sms, email dan seumpamanya masuk dalam hukum akad melalui tulisan. Para ulamak mengharuskannya dengan syarat tulisan itu jelas (tiada kesamaran), benar datang dari pihak berakad dan bertujuan akad ( Ruj : al-Mu’amalaat al-Maliyah-2, as-Syubaily, hlm. 76).

Selain itu, kedua pihak yang berakad hendaklah orang yang sah untuk berakad, iaitu; telah baligh dan beraqal (waras).

Oleh kerana melalui sms, e-mail dan seumpamanya itu aqad dilakukan secara berjauhan, qabul dari pihak kedua dikira setelah tulisan sms / e-mail dari pihak pertama dibaca dan difahaminya dan ia menyatakan persetujuannya selepas itu. Wallahu a’lam.

764 : Soalan : Saya hendak tanya satu soalan. Boleh atau tidak boleh kalau kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si Anu masuk syurga si Anu kafir, si Anu masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah nabi pernah mengatakan seorang wanita masuk neraka dengan sebab dia menyiksa seekor kucing dan seorang wanita yang lain masuk syurga dengan sebab dia memberi minum seekor anjing? Minta penjelasan ustaz.

Jawapan :


 Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pengampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini ia melakukan maksiat, mungkin esok ia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan ia menjadi ahli syurga. Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan ia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka.

Apa yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan ia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas dari al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkaiNya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka). Wallahu a'lam.

765. Soalan : Saya ada belajar tentang perkara-perkara yang membatalkan iman. Antaranya ialah seperti menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal dan juga lain-lain. Bila saya terfikir pasal benda ni saya jadi risau pulak ustaz. Sebab kadang-kadang tu kan macam bila kita ada buat dosa, pastu dalam hati kita macam tak kisah dengan perbuatan dosa kita tu...seolah-olah macam kita menghalalkan yang haram......ataupun kadang-kadang bila kita nampak perbuatan dosa depan mata kita, tapi kita macam tak kisah akan perbuatan tersebut....saya takut semua ini termasuk dalam kategori menghalalkan yg haram yang boleh membawa kepada batalnya iman....nauzubillah.... mohon penjelasan daripada ustaz.

Jawapan :


 Iman yang sempurna terkandung di dalamnya 3 unsur;

1. Keyakinan hati

2. Pengakuan lidah

3. Amalan anggota

Unsur pertama dan kedua adalah dasar iman di mana jika tiada seorang itu adalah kafir. Jika seorang muslim hilang keduanya ia akan jadi murtad. Adapun unsur ketiga (amalan) ia adalah penyempurna kepada iman. Jika tiada, tidaklah menjadi kafir atau murtad, akan tetapi imannya tidak sempurna yakni ia masih dianggap mukmin, namun mukmin ashi (mukmin yang melakukan maksiat). Seorang mukmin yang sempurna ialah mukmin muthi' (mukmin yang taat).

Seorang muslim / mukmin akan jadi kafir / murtad jika hilang keyakinan hatinya terhadap Allah atau Rasul atau Agama (yakni mana-mana ajaran Islam yang pasti, yang tidak diragui lagi kedudukannya sebagai ajaran Islam). Jika ia mengisytiharkan ketidakyakinannya kepada orang lain, ia kafir / murtad di sisi Allah dan di sisi manusia. Jika ia tidak mengisytiharkannya, ia kafir / murtad di sisi Allah, adapun di sisi manusia ia masih Islam kerana keputusan di sisi manusia dihukum berdasarkan apa yang zahir / nampak.

Merujuk kepada soalan saudara, selagi seorang itu tetap meyakini perintah Allah SWT dengan hatinya dan tiada tanda / bukti secara zahir ia menafikan perintah itu, ia masih mukmin walaupun ia tidak melaksanakan perintah itu. Namun jika ia meninggalkan perintah itu bersama hati yang engkar (tidak percaya lagi dengan perintah itu) atau ia bercakap mengkritik perintah itu (dalam keadaan ia tahu itu perintah Allah yang pasti, tiada keraguan), ketika itu ia jadi kafir / murtad.  Wallahu a'lam.

Sunday, October 6, 2013

Penggunaan Air Mustakmal Untuk Mengambil Wuduk

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ulama telah membahaskan panjang lebar mengenai hukum penggunaan air mustakmal adakah sah sekiranya di gunakan untuk mengambil wuduk?

Biasanya di dalam kitab-kitab feqah kita akan berjumpa bahawa definasi air mustakmal adalah seperti berikut :

"Air mustakmal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Ia adalah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas yang kecil (berwuduk) atau hadas besar (mandi wajib). Ini bermakna air yang telah dibasuhkan kepada anggota yang wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, maka air itu dikira sebagai air mustakmal iaitu tidak boleh di buat bersuci. Ia hanya boleh dibuat minum atau makan sahaja atau membasuh benda-benda yang bukan najis. Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal."

Kebiasaanya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk dengannya adalah disebabkan ianya telah tercampur dengan unsur-unsur najis. Maka adakah tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga sekiranya terpercik air dari anggota tubuhnya ia boleh menjejaskan kesucian sumber air untuk berwuduk? Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

Bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu itu dia di dalam keadaan junub. Maka dia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam kemana dia tadi lalu dijawabnya bahawa dia datang sedang di dalam keadaan junub dan tidak hendak menemaninya di dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no: 283)

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di dalam bab “Keringat Orang Junub dan Seorang Muslim Tidak Najis.” 

Jelas melalui hadis di atas, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun di dalam keadaan berjunub. Oleh itu tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air dari tubuh seorang mukmin lalu jatuh ke dalam bekas air ianya akan menghilangkan kesucian air tersebut. Jelas apabila barang yang suci bertemu barang yang suci ianya tidak akan memberi pengaruh apa-apa.

Tambahan lagi menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

Ibnu Hibban (rahimahullah) telah menyebutkan hal ini di dalam satu bab yang tersendiri di dalam kitabnya, sebagai bantahan terhadap orang yang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis. (Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 469.)

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW tidak mengharamkan penggunaan air mustakmal untuk berwuduk.

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan dari Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…” 
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 164.)

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud no: 110).

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu. - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 261).

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat lagi.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 250).

Ulama berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain. Apa pun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

Selanjutnya Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan sebuah athar secara mu’allaq:

“Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh memerintahkan keluarganya untuk berwuduk dengan sisa air yang dia pakai bersiwak (membersihkan gigi dengan kayu sugi)” - Athar Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu’, Bab “Mempergunakan Sisa Air Wuduk Orang Lain.”

Mengikut amalan kebiasaan di Malaysia ternyata sisa air yang dipakai untuk mencelupkan kayu siwak/sugi adalah termasuk dalam jenis air mustakmal yang tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk. Ternyata Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh seorang sahabat yang hidup sezaman dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menyelisihi amalan yang lazim diamalkan di Malaysia ini.

Abu Juhaifah berkata: “Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar menemui kami waktu tengahari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwuduk maka manusia mengambil sisa air wuduknya, kemudian menyapukan ke badan mereka..” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 187)

Berkenaan dengan hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.” - Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 196

Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas adalah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa timbulnya keraguan. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

"Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa berbeza sedikitpun. Hal itu adalah disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak dijumpai satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu. - Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 1, ms. 36"

Benarkan Imam as-Syafi'i menolak penggunaan air mustakmal dalam wuduk?

Merujuk kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang al-Thohaarah (bersuci) jilid 1, halaman 32 hingga 44, ketika beliau membicarakan hukum penggunaan air yang kurang dari dua kolah, ternyata perbincangan beliau lebih berkisar tantang apabila air yang kurang dari dua kolah tersebut bercampur dengan najis. Maka di dalam keadaan ini hukum air tersebut adalah tidak menyucikan dan tidak sah digunakan untuk berwuduk. Sedangkan bagi air yang umat Islam di Malaysia definasikan sebagai mustakmal maka beliau menganggap ianya suci lagi menyucikan. Telah tertulis di dalam kitab al-Umm:

Al-Rabi’ berkata dan itu adalah kata al-Syafi’i bahawa: “Apabila seorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu di dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, nescaya dia dapat berwuduk dengan air itu. Kerana yang tedapat pada sugi itu adalah air liurnya. Dan kalau dia meludah atau berdahak atau berhingus dalam air, nescaya tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka tidaklah menajiskan air kecuali binatang itu anjing dan babi.

Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya jatuh dalam air, nescaya tidak menajiskan. Kerana keringat manusia dan binatang ternak itu tidak najis. Dan sama sahaja dari tempat manapun peluh itu, dari bawah bahu atau lainnya. - Al-Imam al-Syafi’i rahimahullah, Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, ms. 38.

Selarilah pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah dengan hadis-hadis yang sabit dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tentang keabsahannya menggunakan air mustakmal untuk berwuduk.

Berkenaan dengan hukum penggunaan air mustakmal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa di sana ada air yang suci namun tidak menyucikan yang mereka sebutkan dengan air mustakmal…Namun tidak ada dalil manapun yang menunjukkan akan kebenaran pendapat ini bahkan dalil sebaliknya (sucinya air mustakmal) menunjukkan dengan sangat jelas. - Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms.52.

Pengarang Kitab Shahih Fikih Sunnah pula berkata:

Dalam hal ini (penggunaan air mustakmal) para ulamak berbeza pendapat, apakah ia tetap suci atau tidak? Pendapat yang paling kuat menyatakan bahawa ia masih tetap dianggap air yang dapat menyucikan selagi tidak keluar dari nama air mutlak dan tidak bercampur dengan suatu najis yang sampai mempengaruhi salah satu sifatnya (iaitu warna, bau dan rasa). Ini adalah pendapat Ali bin Abu Thalib, Ibnu ‘Umar, Ibnu Umamah, segolongan ulama salaf, yang masyhur dari mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Syafi’i dan Ahmad, pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Mundzir dan pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam (Ibnu Taymiyyah). - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 160.

Sahabat yang dikasihi,
Semoga dengan penjelasan yang serba ringkas ini akan dapat menghilangkan keraguan tentang kesucian air mustakmal untuk digunakan ketika berwuduk. Maka air yang di dalam baldi, tong drum, kolah dan sebagainya yang biasa kita gunakan di rumah untuk menyimpan air adalah dibenarkan untuk dipergunakan untuk berwuduk walaupun telah terpercik dengan air dari badan kita. Air di dalam bekas tersebut adalah sama hukumnya dengan air mutlak selagi tidak bercampur dengan najis atau berubah bau, warna dan rasanya. Wallau a'lam.

Tafsir Surah Az-Zalzalah Ayat 7-8

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :

فَمَنْ يَŰčْمَلْ مِŰ«ْقَŰ§Ù„َ ۰َ۱َّŰ©ٍ Űźَيْ۱ًۧ يَ۱َهُ (7) وَمَنْ يَŰčْمَلْ مِŰ«ْقَŰ§Ù„َ ۰َ۱َّŰ©ٍ ŰŽَ۱ًّۧ يَ۱َهُ (8)

Maksudnya : "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula".(Surah Az-Zalzalah (99) ayat 7-8)

Asbabun Nuzul Surah Az-Zalzalah Ayat 7-8 :

Said bin Jubair r.a menerangkan , bahawa kedua ayat ini diturunkan berkenaan dengan kaum muslimin yang kala :  Surah al-Insan (76) ayat 8, maksudnya : ( "Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan") di turunkan, beranggapan , orang yang bersedekah sangat kecil tak akan mendapat pahala. Sementara yang lainnya beranggapan , dosa-dosa ringan yang mereka lakukan tak akan mendapat seksa." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Huraiannya : 

Dalam ayat-ayat ini Allah memperincikan balasan amal masing-masing. Maka barangsiapa beramal baik, walaupun amalnya itu seberat zarrah (atom) atau kerana terlalu kecil nescaya akan diterima balasannya, begitu pula yang beramal jahat walaupun seberat zarrah (atom) akan merasakan balasannya. Amal kebajikan orang-orang kafir tidak dapat menolongnya dan melepaskannya dari seksa kekafirannya. Mereka akan tetap sengsara selama-lamanya di dalam neraka. 

Adapun keterangan ayat yang menyatakan bahawa pahala amal perbuatan mereka tidak berguna, maksudnya tidak dapat melepaskan mereka dari seksa kekafiran, walaupun ada keringanan dari seksa kejahatannya selain azab kekafiran. Adapun seksa kekafiran tidak akan dikurangi sedikitpun, sebagaimana firman Allah SWT: 

ÙˆÙ†Ű¶Űč Ű§Ù„Ù…ÙˆŰ§ŰČين Ű§Ù„Ù‚ŰłŰ· ليوم Ű§Ù„Ù‚ÙŠŰ§Ù…Ű© ÙÙ„Ű§ ŰȘŰžÙ„Ù… Ù†ÙŰł ŰŽÙŠŰŠŰ§ ÙˆŰ„Ù† ÙƒŰ§Ù† Ù…Ű«Ù‚Ű§Ù„ ۭۚ۩ من ŰźŰ±ŰŻÙ„ ŰŁŰȘÙŠÙ†Ű§ ŰšÙ‡Ű§ وكفى ŰšÙ†Ű§ Ű­Ű§ŰłŰšÙŠÙ†

Maksudnya : "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hart kiamat, maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit, sekali pun hanya  seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala).Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan. (Surah al-Anbiya' (21) ayat 47) 

Dalam sebuah Hadis dinyatakan bahawa Hatim seorang yang paling pemurah dari orang musyrik Arab, diringankan azabnya kerana kedermawanannya. Begitu pula Abu Lahab diringankan sedikit azabnya kerana kegembiraannya dengan kelahiran Nabi SAW.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita perbanyakkan amal-amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan, walau pun nampak kecil tetapi sebenarnya besar disisi Allah SWT. Kita tidak tahu yang mana satu amalan kita diterima dan diredhai oelh Allah SWT sehingga dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat-Nya. Kita juga perlu jauhkan diri  daripada melakukan dosa-dosa besar dan kecil. Janganlah kita melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan kerana setiap dosa yang kita lakukan akan terdapat satu titik hitam dalam hati kita. Jika titik hitam ini terlalu banyak maka hati kita akan terhijab untuk menerima taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T. Kebenaran akan sukar masuk ke hati kita. Setiap perkara dosa walau pun kecil semuanya akan dihisab oleh Allah SWT, di akhirat nanti. Kita pun tidak mengetahui dosa yang mana satu yang akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT tidak diberinya ampun sehingga Dia masukkan kita ke dalam neraka-Nya nauzubillahiminzalik.

Teruskan beristighfar dan bertaubat setiap hari kerana ini sajalah jalan yang akan menyelamatkan kita daripada penderitaan yang segsara di hari akhirat nanti. Berdoalah semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita samada yang besar atau pun yang kecil.

Doa Abu Darda Himpunan Daripada Beberapa Doa Di Dalam Al-Quran

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Doa Abu Darda adalah daripada beberapa ayat-ayat al-Quran dijadikan satu bentuk doa yang di amalkan setiap hari. Amalkanlah doa ini sebagai munajat dan pergantungan diri kita kepada Allah SWT.

Doa Abu Darda.



Antara ayat-ayat al Quran yang menjadi intipati kepada doa Abu Darda.:

1. Surah At-Taubah ayat 129, "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”

2. Surah Al-Kahfi ayat 39, " (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)

3. Surah At-Thalaq ayat 12, "Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu."

4. Surah Hud ayat 56,  ” Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus."

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya kekuatan orang mukmin adalah bergantung sejauhmana dia berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, dan dia yakin bahawa Allah SWT akan memberi pertolongan di jalan yang tidak disangka-sagka.