Monday, February 21, 2011

Sembilan Soalan Manusia di Jawab Oleh Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kejadian yang berlaku dimuka bumi dan kepada diri manusia semuanya mengandungi hikmah dan Allah S.W.T. Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Manusia perlu bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah dibalik setiap peristiwa yang berlaku. Dari sinilah akan melahirkan jiwa yang  reda dengan Qadak dan Qadar dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Terdapat sembilan persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah S.W.T. dan Dia menjawannya di dalam al-Quran.

Soalan pertama : Kenapa aku diuji?

Quran menjawab : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut  ayat 2-3).

Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga.

Soalan kedua : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

Quran menjawab : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah  ayat 216)

Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya.

Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat ini?

Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Soalan keempat  : Kenapa kita rasa kecewa?

Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran  ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.

Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?

Quran menjawab : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)

Benarlah saranan Allah S.W.T. bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.

Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?

Quran menjawab : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)

Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan.

Soalan ketujuh : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah  ayat 111)

Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah S.W.T. telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya.

Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!

Quran menjawab : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf  ayat 12)

Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.

Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?

Quran menjawab : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah S.W.T. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah S.W.T. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat daripada Allah S.W.T kepada semua hamba-hamba-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah dibalik semua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah  Al-Hadid ayat 22) 

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " 
(Surah Yunus ayat 61)




Sunday, February 20, 2011

14 Kebaikan Dunia yang Perlu di Miliki Oleh Orang Mukmin

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan melalui lima fasa alam, bermula daipada alam roh, alam kandungan ibu, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.

Semasa di dalam alam roh (alam arwah) Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'." Kesemua roh makhluk telah membuat pengakuan kepada Allah S.W.T. bahawa mereka semuanya mengakui bahawa Tidak ada Tuhan lain melainkan Allah S.W.T.

Selepas berada di alam arwah, roh manusia pula di turunkan kebumi melalui perut kandungan ibu. Seperti hadis di bawah :

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud  r.a katanya:
“Rasulullah S.A.W.  telah menceritakan kepada kami sedang baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah  dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”.
(Surah al-Mu’minun ayat 12-14).

Apabila manusia dilahirkan di dunia ini maka bermulalah tanggungjawab manusia kepada Allah apabila mencapai umur akil baligh. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah ibu bapanyalah yang akan membentuk anak tersebut samaada menjadi yahudi, nasrani, majusi atau Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menyahudikannya, atau menasranikannya atau memajusikankannya."

Manusia dilahirkan kedunia adalah untuk menyembah Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56)

Setelah manusia faham bahawa hidup di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. kemudian manusia melaksanakan pula tanggungjawabnya sebagai khalifah dimuka bumi ini iaitu memakmurkan muka bumi Allah S.W.T. ini dengan kebaikan.

Allah S.W.T. berfirman tentang kriteria khalifah-Nya.
"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan beramal soleh (kebaikan), bahwa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah di bumi, Sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah. Sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah diredai-Nya untuk mereka, serta Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka menjadi aman setelah mereka ketakutan. Mereka akan menyembah-Ku dan tidak menyekutukan apapun dengan-Ku. Dan barang siapa kafir setelah itu, maka mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur ayat 55).

Pada ayat tersebut, jelas sekali Allah berjanji akan menjadikan hamba-hamba-Nya sebagai khalifah yang akan menguasai dan memimpin dunia. Tetapi janji itu akan ditepati-Nya bagi manusia yang beriman dan beramal kebaikan. Dengan demikian dapat disimpulkan, bahwa kriteria lain dari seorang khalifatullah adalah iman dan amal soleh.

Terdapat 14 ciri-ciri kebaikan di dunia ini yang dikurniakan Allah S.W.T kepada orang-orang mukmin sebagai bekalan untuk dia melaksanakan fungsi sebagai khalifah Allah (pemimpin) di dunia ini.

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT

Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti selamat. Orang Islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…" (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadith Qudsi) "Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.

Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Diberi kefahaman dalam agama

Untuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tidak mampu menyelamatkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dapat berbuat amalan soleh

Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah Az-Zumar ayat 10)

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat

Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa: "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak dan ilmu akliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredmaan Allah SWT.

Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

5. Mendapat isteri yang solehah

Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.

Sabda Rasulullah SAW : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri." (Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya.

Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab.

Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Namun ada juga orang yang Allah beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.

6. Mendapat zuriat penyejuk hati

Betapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka.

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna. Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja.

Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.

Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Kawan yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Kawan yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan

Dengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang Mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.

Rasulullah SAW memohon: "Ya Allah, ‘afiatkanlah tubuh badanku dan ‘afiatkanlah pendengaranku." (Hadis Riwayat Ibnu Syaibah)

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Seseorang itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu adalah satu nikmat daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu dengan amal kebajikan dan amalan salih sebelum sakit. Seseorang itu janganlah mensia-siakan masa lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya hendaklah digunakan untuk melakukan semua perintah Allah yang diredai.

Kedua nikmat sihat dan kelapangan itu adalah cubaan Allah ke atas manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan lapang itu untuk memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat kemenangan begitu juga sebaliknya.

9. Panjang umur di dalam ketaatan

Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya." (Hadis Riwayat Jabir r.a.)

10. Mendapat rezeki yang halal

Rasulullah SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah masalahnya yang berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.

11. Beroleh keimanan dan ketakwaan

Dengan iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia. Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW : "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga bersabda : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya’ala)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis Riwayat Muslim)

Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah SWT ialah :

BertaqwaKaya Jiwa (Berakhlak mulia)Tidak menonjolkan diri

Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

12. Banyak mengingati Allah SWT

Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan. Orang Mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan.

Firman-Nya: "...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW : "Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi." (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya.

Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tanda cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah SWT, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat.

Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah

Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah.

Misalnya jika ada orang terganggu dengan turunnya hujan pada waktu hujan itu ‘tak diperlukan’, dia sentiasa mencari hikmah di sebaliknya. Bila dapat nikmat pula, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah. Firman Allah Taala: "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah)

Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT : "….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (Surah An-Nahl, ayat 32)

Sabda Rasulullah SAW : "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah." (Hadis Riwayat Abu Na’im)

Para ulama yang beramal dengan ilmunya melihat sesuatu dengan mata hati. Oleh itu, dalam senarai kebaikan di dunia yang mereka turunkan di atas, tidak ada perkara-perkara berbentuk nikmat zahir semata-mata. Misalnya mereka tidak kata kebaikan di dunia itu ada pada rumah besar, kedudukan tinggi, isteri cantik, duit banyak, nama popular, kenderaan mewah dan lain-lain yang sering kita buru hari ini. Semua ini tidak ada dalam senarai para ulama. Bermakna, mendapat semua itu belum bererti mendapat kebaikan yang hakiki.

Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat 122 dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia.

Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat, Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Maka di antara manusia ada yang berdoa : 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia', dan di akhirat dia tidak memperoleh bahagian apa pun. Dan di antara mereka ada yang berdoa :  'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka' ."
 (Surah al-Baqarah ayat  200-201)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama kita jadikan kebaikan hidup di dunia ini untuk mencapai kebahagiaan kita di hari akhirat. Kita tidak mahu berbahagia semata-mata di dunia sahaja, kerana kehidupan yang sebenarnya dan kehidupan di hari akhirat yang mendapat balasan syurga.

Hadis Kewajipan Pemimpin.

 
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi SAW bersabda: “ Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

21 Kunci Kejayaan Dunia dan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di bawah ini disenaraikan 21 kunci kejayaan dunia dan akhirat untuk renungan kita bersama 

1-Kunci solat adalah taharah/kebersihan.

2-Kunci Haji adalah Ihram dan menjauhi perkara yang diharamkan semasa haji.

3-Pintu segala kebaikan adalah bersikap benar dalam semua perkara.

4-Kinci syuga adalah bertauhid kepada Allah SWT.

5-Kunci Ilmu adalah bertanya kepada guru secara penuh beradab.

6-Kunci kejayaan adalah kesabaran.

7-Kunci kemajuan/kelebihan  adalah bersyukur.

8-Kunci kekuasaan adalah berkasih-sayang dan ingat mengingati.

9-Kunci kejayaan adalah bertakwa.

10-Kunci taufiq adalah berkasih sayang dan mencintai Allah SWT.

11-Kunci segala kemaqbulan adalah berdoa.

12-Kuci kecintaan akhirat adalah meninggalkan segala perkara haram di dunia.

13-Kunci keimanan adalah berfikir kepada apa yang mendorong beribadat kepada Allah SWT dan bertadabbur kepadanya.

14-Kunci bertemu dengan Allah SWT adalah hati sejahtera dari segala dosa, ikhlas dalam bercinta kepada Allah SWT, membenci dan meninggalkan segala perkara yang Allah SWT larang dan benci.

15-Kunci menghidupkan hati mencintai Allah SWT adalah bertadabbur kepada ayat-ayat Al-Quran,menjauhi perkara berkaitan dengan sihir dan meninggalkan segala dosa.

16-Kunci mencapai rahmat adalah mengamalkan konsep al-Ihsan dalam beribadat kepada Allah SWT dan berusaha berbakti kepada hamba-hamba Allah SWT.

17- Kunci rezeki adalah berusaha dengan penuh Istighfar dan bertakwa kepada Allah SWT.

18-Kunci kemuliaan adalah taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

19-Kunci kejayaan di akhirat adalah pendek angan-angan.

20-Kunci segala kebaikkan adalah cinta kepada Allah SWT dan cinta hari akhirat.

21-Kunci segala kejahatan adalah cinta dunia dan panjang angan-angan.

(Di petik daripada tulisan Nur Muslimah)

Cara Syaitan Pengaruhi Wanita

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syaitan memiliki berbagai cara strategi dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

I. Menghilangkan Definisi Hijab
Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai.

Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.
Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang?" Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.”

Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu perlu cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang,” syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita
kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit
Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya “cool” dan “vogue”, yakni dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy,” katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.


II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih “power”, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada para wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.” Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala……. orang tetap menamakannya dengan jilbab.”
Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja.” Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis.”

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya.”

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki,” bersungut. “Fitnah? Ah…… itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman.”

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup
Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Sumber idea dan buah fikiran: Kitab “At ta’ari asy syaithani”, Adnan ath-Thursyah

(Di petik daripada tulisan Nur Muslimah)

Saturday, February 19, 2011

Lima Tanda Hati di Sayangi Allah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan yang kita tempuhi pada saat ini merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang berharga dan amat tinggi nilainya. Sejajar itu sebagai seorang mukmin hendaklah kita sentiasa kembali mentaati perintah Allah S.W.T, mematuhi suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya, menyerahkan wala' (ketaatan) hanya kepada-Nya dan jadikan agama-Nya sebagai satu-satunya cara hidup yang syamil dan kamil. Bagi memenuhi tuntutan ini, maka hati mestilah diambil berat, dijaga, dikawal, dibentuk, diproses dan dididik dengan sebaik-baiknya.

Hati merupakan bekas yang bersedia menerima apa saja sama ada petunjuk atau kesesatan, futur atau takwa. Maka ia mestilah terlebih dahulu agar ia menjadi sihat dan mulia dengan Islam. Hati yang Rabbani akan setiap masa dan ketika berhubung dengan Allah S.W.T. dan mematuhi titah perintah-Nya. Di antara tanda yang memperlihatkan dan menunjukkan hidupnya hati ialah sentiasa mengingati Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, dia adalah hati."

Untuk melihat dan mengetahui sejauh mana keras atau lembut, kontang atau subur, mati atau hidup hati kita, terdapat beberapa tanda yang menjadi bukti. Antara tanda-tandanya ialah :

Pertama : Sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan Zikrullah :

Dalam ertikata yang luas seperti membaca al-Quran, zikir waktu pagi dan petang dan menunaikan ibadah khusus yang lain.

Sayyidina Ali r.a pernah meriwayatkan satu hadis dari Nabi S.A.W. yang bermaksud :
"Apabila engkau mendapat sesuatu musibah (kecelakaan) bacalah 'Bismillaahi'rrahmaanirrahiim, wa laa haula walaa quwwata illaa billaahil 'aliyil 'aziim'. Nescaya Allah menjauhkan daripadanya 70 pintu dari segala macam bala, kesusahan dan dukacita."
(Hadis Riwayat Ibnu Sinny dan Addailamy)

Sabda Nabi S.A.W.  lagi yang bermaksud :
"Barangsiapa mendatangi (pulang) kerumahnya, maka dibacanya akan surah al-Namd (surah al-Fatihah) dan surah al-Ikhlas, maka menafikan Allah daripadanya fakir dan mendapat ia kebajikan yang banyak di tempat itu."

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
“Semaikanlah perasaan takwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kedua : Kuat berpegang kepada Deen Islam.

Menyampaikan kebenaran didalam apa suasana dan ketika. Untuk mendapat pegangan yang kuat perlu kepada proses yang betul. Pegangaan yang kuat sebenarnya merupakan hasil yang lahir dari Iman yang betul.

'Hati laksana bekas yang paling disukai Allah S.W.T.  Ia perlu diproses hingga menjadi lembut, bersih, kuat pegangan terhadap Deen Allah dan lembut terhadap saudara-saudaranya.'

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah  Fushilat ayat 30-32)

Dari Abu Amrah Sufyan bin Abdillah r.a berkata : “Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan sahaja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia.

Pemilik hati yang takut kepada Allah akan menjauhi larangan-Nya dan meninggalkan perkara yang sia-sia.

"Dari Abu Hurairah r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W.  maksudnya : "Diantara kebaikan Islam seseorang ialah ia meninggalkan apa saja yang tidak penting baginya"
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Huraian hadis di atas :

1. Berkata Ibnu Rajab rahimahullah: "Hadis ini adalah salah satu prinsip agung (ushul) dari prinsip-prinsip adab (etika)."

2. Anjuran memanfaatkan waktu sebaik-baiknya dengan hal-hal yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

3. Anjuran agar seorang hamba menjauhkan dirinya dari perkara-perkara sia-sia dan menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara yang mulia lagi berguna.

4. Anjuran untuk selalu melakukan mujahadah (perjuangan) menaklukkan nafsu dan memperbaiki diri dengan menjauhkannya dari perkara-perkara hina dan rendah yang disukainya dan merupakan seleranya.

5. Ikut campur dalam urusan orang lain yang tidak ada sangkut pautnya dengan seseorang adalah menyebabkan terjadinya permusuhan dan persengketaan.

6. Menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak ada kepentingannya dengan seseorang adalah perbuatan sia-sia dan tanda lemahnya iman.

7. Hati yang sibuk dengan Allah pasti menjauhi semua urusan makhluk yang tidak berguna.

Keempat : Bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.

Ditanya Nabi s.a.w yang bermaksud , " Wahai Rasulullah s.a.w siapakah sebaik-baik manusia?"
Jawab baginda, " Setiap orang yang beriman."
Ditanya apakah itu?
Jawab baginda, "Yang bertakwa, tidak ada penipuan, melampau dan hasad."

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan dari persangkaan (zhan) karena sesungguhnya sebagian dari persangkaan itu merupakan dosa.”
(Surah Al-Hujurat: 12)

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
"Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "Apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab Nabi S.A.W.: "Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya"
( Hadis Riwayat At-Tabrani)

Kelima : Tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah S.W.T.

Hati akan merasa reda, puas dan izzah (mulia) dengan sistem Allah S.W.T.  sepanjang hayat.

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syarak, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syarak berdasarkan kaedah: “Yang baik ialah  apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak.”

Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syarak dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syarak. Antaranya Firman Allah SWT maksudnya : “Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”
(Surah al-Jaatsiyah ayat 18)

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).
(Surah al-A’raf ayat 3)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.”
(Surah an-Nisa’ ayat 60)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita bersihkan dan proses hati kita supaya lima tanda-tanda hati yang disayang Allah S.W.T. akan kita miliki. Semoga Allah campakkan cahaya iman dalam hati kita hingga hati kita menjadi luas, lapang dan tenang. Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada pembersihnya, pembersih hati ialah mengingat mati dan sentiasa mengingati Allah. Tidak boleh menyelamatkan seseorang itu azab Allah melainkan hati yang disayangi dan dirahmati-Nya.

Thursday, February 17, 2011

Jangan Putus Asa Daripada Rahmat Allah dan Binalah Rasa Cinta Kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini, penuh dengan dugaan dan cabaran. Manusia sering terlupa bahawa hidup di dunia ini adalah medan ujian yang perlu dihadapi dengan hati yang tabah dan penuh kesabaran. Manusia sering berputus asa dengan rahmat Allah apabila di uji dengan ujian yang berat. Dia tidak sanggup menghadapinya dengan hati yang tenang dan sering putus asa dan kecewa. Hakikat sebenarnya kesusahan di dunia ini adalah bersifat sementara, kerana matlamat kehidupan sebenarnya adalah di hari akhirat.

Ada yang diuji dengan pasangan hidup yang buruk akhlaknya dan tidak bertanggungjawab memenuhi tuntutan hidup berkeluarga, ada yang di uji denagn anak-anak yang tidak mendengan nasihat ibu bapa dan sanggup menderhakai orang tuanya, ada yang diuji dengan penyakit yang berpanjangan belum bertemu penawarnya, ada yang diuji dengan kemewahan harta benda hingga lupa daratan hidup bergelumangan dengan noda dan dosa dan tidak mahu lihat dibawah untuk memberi bantuan fakir miskin. Ada yang dipilih menjadi pemimpin masyarakat kekuasaan dan kemewahan ada di hujung jari, tetapi gagal menjadi pemimpin yang adil. Tidak kurang juga ada yang diuji dengan kemiskinan dan tidak bersyukur hingga sanggup meninggalkan ibadah fardu semata-mata bekerja siang malam mencari harta dunia.

Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang asing. Asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada Allah dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT. Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, seorang ulama besar bernama Sheikh Abu Madyan  ada menyatakan : “Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”.

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.
Allah S.W.T. masih mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya. Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta Ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan kepada mereka yang buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan tanggungjawab  syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda orang yang berilmu jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta Ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Rasulullah S.A.W.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (Surah Ali-Imran ayat 164)

Nabi SAW adalah Utusan Allah yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui ucapan kata-kata, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Tuhan sekelian alam  dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta hamba pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka Jahanam.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya. Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah yang bermaksud : "Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (Surah al-Ankabut ayat 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… "
(Surah al-Zumar ayat 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, baginda melazimi istighfar 70 kali setiap hari.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat baginda . Sebaliknya, istighfar baginda  adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu hatinya untuk mengenali-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Cinta Allah terhadap hamba-Nya seperti yang dipetik dari hadis Nabi S.A.W.  lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia , maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta Ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Manusia yang meletakkan keagungan cintanya  kepada Allah S.W.T. jika berlaku pertembungan di antara cinta sesama manusia dengan cinta kepada Allah, maka dia sanggup meninggalkan cinta sesama manusia dan mengutamakan cintanya kepada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tidak ada (kewajipan) taat pada makhluk dalam hal berbuat maksiat kepada Allah” (Hadis Riwayat Muslim).

Jika sekiranya arahan makhluk samaada ibu bapa, suami, isteri, pemimpin negara, ketua pejabat dan sesiapa saja yang kita sanjung, bertentangan dengan arahan Allah dan Rasul-Nya maka wajib kita tinggalkan sebagai cinta dan kasih kita kepada Allah dan Rasul-Nya yang tidak berbelah bagi dan menutamakan arahan Allah dan Rasul-Nya.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT. Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi kita melalui diri dan peribadi Rasulullah SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta Ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi dan diberinya kasih dan rahmat-Nya kepada kita melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (Surah asy-Syura ayat 28).

Tafsir dan Kelebihan Surah al-Waqiah.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.  keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam al-Quran mengandungi 114 surah semuanya. Terdapat beberapa surah penting yang mempunyai kelebihan untuk diamalkan sebagai bacaan setiap hari. Antara surah tersebut adalah surah al-Waqiah. Surah al-Waqiah adalah surah yang ke 56 di dalam al-Quran yang mengandungi 96 ayat. Surah ini di turunkan di Makkah. Surah ini menjelaskan tentang kejadian hari kiamat, syurga dan neraka.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ayat ke 13-14 yang berbunyi : "Segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian" dirasakan berat oleh para sahabat. Maka dari itu, turun ayat ke 39-40 yang berbunyi : "Segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan besar pula dari orang-orang yang kemudian." Dengan demikian, syurga akan seimbang antara orang yang terdahulu dan orang yang kemudian.

Surah al-Waqiah begitu jelas sekali menyuruh manusia supaya sedar bahawa manusia perlu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan mempercayai rukun iman yang kelima iaitu mempercayai hari kiamat itu wujud. Pada hari kiamatlah di mana semua manusia seawal Nabi Adam sehinggalah ke akhir-akhir zaman manusia akan dihitung dan diberi ganjaran di atas setiap bentuk perbuatan mereka. Di hari itu nanti tidak akan ada seorang pun yang mampu menyembunyikan apa-apa jua serta mendustakan apa-apa jua melainkan semuanya sudah diketahui. Mereka yang tidak bertakwa akan diselubungi dengan seribu penyesalan yang sia-sia. Mereka kelak akan dihumban ke dalam api neraka dan diberi minum dari air yang mendidih dan diberi makan dari pohon zaqqun.

Beruntunglah orang-orang yang beriman dan membenarkan hukum Allah. Golongan ini akan mendapat kemenangan, kenikmatan dan kebahagiaan di dalam syurga. Nikmat syurga adalah nikmat yang abadi dan ianya sedikitpun belum pernah menyamai nikmat kebahagiaan di dunia. Sekiranya kita yang mengecapi nikmat kebahagiaan di dunia sudah merasa betapa besar pemberian Allah kepada kita, apatah lagi apabila berada di syurga kelak. Tidak dapat terjangkau oleh pemikiran kita. Subhanallah!

Setelah memahami serba sedikit tentang maksud ayat-ayat di dalam surah al-Waqiah,  marilah kita melihat dan mengetahui kelebihan-kelebihan tentang surah ini. Memang kita ketahui semua ayat al-Quran mempunyai kelebihan dan manafaat. Allah tidak membezakan atau melebihkan sesetengah ayat al-Quran berbanding yang lain sepertimana di dalam surah al-Anam ayat 38 yang bermaksud "Tiadalah kami alpakan sesuatu pun dalam al-kitab dan pada Tuhanlah mereka semua dihimpunkan."

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi S.A.W. juga tidak menyebut bahawa sesetengah ayat al-Quran itu mempunyai kelebihan dalam menyempurnakan sesuatu perkara. Oleh itu kita perlu beranggapan bahawa semua ayat di dalam al-Quran adalah sama rata kelebihannya. Dengan ini jelaslah bahawa sesiapa yang membaca al-Quran secara istiqamah dan sempurna tidak kira apa surah dan ayat sekalipun, insyaAllah, dia bakal menerima kebaikan di dunia dan akhirat.

Namun demikian Allah berfirman pula di dalam surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud "Allah menganugerahkan hikmah iaitu kefahaman mengenai al-Quran dan sunah kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang menerima hikmah itu, dia benar-benar mendapat kurnia yang banyak."

Di dalam mengharungi hidup manusia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri mahupun keluarga. Kestabilan ekonomi sesebuah keluarga perlu untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran. Kebahagiaan itu akan memberikan kita ketenangan supaya kita dapat beribadat dengan selesa tanpa memikirkan kesusahan mencari rezeki. Untuk itu kita perlu melakukan ataupun mengamalkan perkara-perkara yang membolehkan kita mendapat rezeki.

Ramai yang mengetahui bahawa amalan surah al-Waqiah ini akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. "
(Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Firman Allah S.W.T maksudnya : " maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan maka, "Salam bagimu (wahai) dari golongan kanan! (sambut malaikat)"
(Surah al-Waqiah ayat 89-91)

Ia menjelaskan bahawa sesiapa yang dekat kepada Allah, dia akan menemui kebaikan. Dan barang siapa yang mengingkari Allah, dia akan menemui kepedihan. Di dalam ayat 75 hingga 82 juga ada menyebut peringatan Allah bahawa semua yang berlaku adalah dalam ketetapanNya.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Lalu Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Dan sesungguhnya itu benar-benar sumpah yang besar sekiranya kamu mengetahui dan (ini) sesungguhnya al-Quran yang sangat mulia, dan kitab yang terpelihara (Loh mahfuz) tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan seluruh alam. Apakah kamu menganggap remeh berita ini (al-Quran)?"
(Surah al-Waqiah ayat 75-82)

Termasuklah rezeki. Manusia boleh berdoa dan berusaha tetapi yang menentukan segalanya adalah Allah. Namun amalan surah ini mestilah disertakan dengan usaha dan kerajinan dalam melakukan kerja. Tidak boleh berpeluk tubuh saja. Tidak ada doa yang akan termakbul dengan sendiri tanpa usaha.

Doa dan usaha perlulah seimbang. Malah sesiapa yang berusaha serta mengamalkan pembacaan surah ini lalu disertakan juga amalan-amalan yang lain seperti solat sunat Duha, beramal soleh, solat sunat tahajud dan solat sunat hajat , sentasa berwuduk, menghubungkan silaturahim, menghormati ibu bapa, pasti akan memberi lebih keberkesanan lagi. Niat melakukan kerja juga memainkan peranan penting. Niat menambah rezeki mestilah kerana Allah dan untuk disalurkan ke jalan Allah. Jalan untuk melakukan kerja juga mestilah dengan cara yang halal.

Saranan bahawa surah al-Waqiah ini dibaca pada waktu malam dikuatkan dengan pembentangan surah al Muzammil ayat 20, firman Allah S.W.T maksudnya : "Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama seperduanya, dan selama sepertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu) padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.."

Di dalam ayat-ayat al Quran itu Allah sering menyeru manusia supaya bangun beribadat di malam hari di ketika manusia-manusia lain sedang di alun mimpi. Di malam hari juga turunnya para malaikat dan Jibril dengan izin Allah bagi mengatur semua urusan.

Mengenai jumlah bacaan yang perlu dibaca, tidak dapat dipastikan. Tidak ada saranan supaya surah ini dibaca beberapa kali. Namun adalah elok sekira ianya dapat dibaca lebih dari sekali mengikut kemampuan. Kerana sekiranya ia dibaca sekali sahaja ianya kurang berkesan di hati lalu akan menjadi kurang mustajab. Membaca surah al-Waqiah, atau apa-apa surah sekali pun adalah ibarat kita mengingati Allah. Semakin banyak kita membacanya, semakin dekat kita dengan Allah. Jadi bacalah ia berkali-kali dengan khusyuk dan tawaduk.

Setelah segala usaha bersama doa yang dilakukan dengan khusyuk dan istiqamah bagi tujuan untuk mendapatkan rezeki, apa yang perlu dilakukan selepas itu adalah dengan berserah kepada Allah. Hanya Allah lah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Sekiranya Allah mengurniakan sesuatu yang tidak sesuai kepada hambanya, sesungguhnya Allah lebih mengetahui dan perlu diterima dengan hati yang reda. Perlu diingat bahawa Allah selalu menguji hamba-Nya bukan saja dengan kesulitan tetapi juga dengan kesenangan dan kenikmatan.

Dengan membaca surah al-Waqiah dalam aspek jiwa, jiwa akan menjadi lebih tenang. al-Quran dapat mengubah peribadi seseorang manusia daripada negatif kepada positif sekiranya diamalkan dengan cara istiqamah dan tawaduk. Surah al-Waqiah yang dibaca mampu merawat jiwa yang gelisah menjadi tenang, fikiran yang kacau menjadi rapi dan tersusun.

Kelebihan orang-orang yang membaca al-Quran secara khusuk dan istiqamah akan diberikan keberuntungan yang berlipat kali ganda oleh Allah. Tak kiralah samada dari segi kekayaan di dunia mahupun kesenangan di akhirat. Tetapi bagi mereka yang kufur dan menentang ajaran Allah, orang-orang ini akan dijauhkan nikmat-nikmat Allah dan rahmatNya. Pun begitu semuanya terserah bulat-bulat kepada Allah tentang siapa yang akan diberikan rahmat dan hidayatNya. Sepertimana disebutkan di dalam surah az Zumar ayat 52 yang membawa maksud " Tidakkah mereka mengetahui Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman."

Sahabat yang dimuliakan,
Kelak apabila hari kiamat berlaku, tiada siapa yg boleh menafikanya, ini untuk menolak dakwaan orang-orang kafir yang tidak percaya akan adanya hari kiamat. Mati dan hari kiamat adalah pasti. Fungsi mati dan hari kiamat ini ialah untuk menjatuhkan dan meninggikan darjat manusia. Nanti pada hari kiamat Allah akan merendahkan sebahagian kaum dan meninggikan sebahagian kaum, yang direndahkan akan ke neraka manakala yang ditinggikan darjatnya dimasukkan ke syurga. Seorang yang kaya raya tetapi kafir dan jahat pasti akan dijatuhkan manakala yang miskin tetapi beriman dan beramal soleh pasti akan ditinggikan.

Kelak bila terjadinya kiamat, bumi keseluruhannya bergoncang segoncang2nya menjadi gempa bumi yang sangat dahsyat, penghuninya menjadi hancur lebur selumat-lumatnya, binasa termasuk gunung-ganang menjadi debu berterbangan padahal satu ketika dulu tegak gagak berdiri. Ketika itu manusia akan dikumpulkan menjadi tiga golongan:

1. Golongan kanan (ashabul yamin) dinamakan juga golongan bahagia (ashabul maimanah)

2. Golongan kiri (ashabul syimal) dinamakan juga golongan sengsara (ashabul masy'amah).

3. Golongan terdahulu (as-sabiqun) dinamai juga golongan dihampiri oleh Tuhan (al-muqarrabun).

Siapakah orang-orang yang ada dalam golongan ini?

1. Golongan kanan / golongan bahagia ialah mereka yg diberi kitab amalan daripada sebelah kanan, yang akan menjadi penghuni syurga, yang paling senang hidupnya di syurga.

2. Golongan kiri / golongan sengsara ialah orang-orang yang diberi kitab amalan masing-masing daripada sebelah kiri yang akan menjadi penghuni neraka yang kehidupan mereka amat sukar dan amat azab.

3. Golongan terdahulu / golongan dihampiri oleh Tuhan. Golongan ini, seumpama jika di dunia sekarang, orang panggil 'Very Important Persons'. Mereka adalah orang yg sangat istimewa kerana merekalah yang terdahulu masuk Islam /beriman. Golongan ini pula kebanyakannya daripada orang-orang terdahulu dan sedikit daripada orang-orang yang kemudian.

Berkenaan siapakah orang-orang terdahulu dan orang-orang kemudian para pentafsir berbeza pendapat. Ada yang mengatakan yang terdahulu itu ialah orang yang lebih dahulu masuk syurga. Ada juga yang berpendapat orang-orang terdahulu ialah orang-orang yang lebih awal masuk Islam semasa zaman Rasulullah S.A.W, ada pula yg berpendapat pengikut Para Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad S.A.W. Ada juga yang menyatakan bahawa pejuang-pejuang yang bersama-sama dengan Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebelum dan semasa Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut tafsir oleh Ahmad Sonhadji Mohamad 'golongan terdahulu' ini ialah golongan yang paling dahulu beriman, yang mendapat darjat paling tinggi dalam syurga. Mereka ini telah mendahului golongan yang lain untuk berbuat taat semasa berada di dunia. Ini kerana siapa yang cepat berbuat kebaikan merekalah yang paling dahulu layak mendapat penghormatan di akhirat. Golongan inilah yang paling hampir dengan Allah, berada di bawah lindungan Arasy dan ditempatkan di tempat yang mulia iaitu syurga Jannatun Na'im, tempat yang kekal untuk bersenang lenang.

Orang-orang yang hampir kepad Allah (al-muqarrabun) dan orang-orang yang paling dahulu (as-sabiqun), inilah merupakan kumpulan yang paling ramai, sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada para Nabi kerana mereka adalah golongan orang terdahulu dan ramai pula orang yang beriman kepada ajaran Allah yang disampaikan oleh mereka, manakala orang-orang yang terkemudian amatlah sedikit. Kumpulan terdahulu yang ramai dan yang terkemudian yang sedikit ini berada dalam kebun kenikmatan syurga, terdapat pelbagai jenis buah-buahan, penghuni syurga semuanya berehat atas katil yang bertatahkan emas permata dengan berkeadaan berbaring dan bertelekan, berhadapan-hadapan serta dilayani anak-anak  muda yang berkhidmat sebagai khadam.

Anak-anak muda ini berseri-seri muka dan sentiasa muda. Mereka membawa hidangan berupa mangkuk-mangkuk, cerek-cerek yang berkilat dan gelas-gelas berisi arak yg apabila diminum tidak memabukkan. Mereka beroleh buah-buahan yang banyak dan pelbagai jenis.

Menurut Ibnu Abbas apabila seorang daripada tergerak inginkan daging burung, maka akan terbanglah seekor burung dan terhidanglah daging burung yg telahpun dimasak. Begitulah kenikmatan syurga terhadap orang-orang yang beriman yang menjadi penghuni syurga. Kata Ar-Razi, didahulukan buah-buahan daripada makanan kerana di syurga, penghuninya sentiasa kekenyangan, mereka makan hanya sebagai pencuci mulut. Di samping itu mereka disediakan bidadari-bidadari jelita untuk bersenang-senang dengan mereka, kulit bidadari-bidadari tersebut putih berseri-seri, berwajah manis seolah-olah permata (diumpamakan bagai berlian yg tersimpan lagi mengghairahkan) sebagai balasan terhadap amalan baik mereka.

Kemudian Allah mengkhabarkan bahawa di dalam syurga penghuni-penghuninya tidak pernah mendengar kata-kata yang sia-sia dan yang mendatangkan dosa. Yang ada hanyalah ucapan "selamat sejahtera!" yakni sebaran salam sesama mereka.

Golongan kanan ialah golongan yang hidup mewah dan berkedudukan tinggi dalam syurga. Mereka tinggal dalam perkebunan teratai yang tidak berduri, malahan setiap durinya ditumbuhi buah. Jika buah itu dikopek akan terbelah dua dan mempunyai 70 jenis rasa dan ada lagi buah-buahan lain yang tidak sama rasa dengannya.

Demikian menurut hadis al-Hakim dan al-Baihaqi. Terdapat perkebunan pisang yang tersusun buahnya, memenuhi tandan dari bawah terus ke atas. Mereka dilindungi di bawah lindungan yang terbentang luas, kekal sepanjang masa tidak terkena matahari kerana syurga suasananya sentiasa redup seperti yang disebut juga dalam ayat 13 surah  al-Insaan:

لَۧ يَ۱َوۡنَ فِيہَۧ ŰŽَمۡŰłً۬ۧ وَلَۧ ŰČَمۡهَ۱ِÙŠŰ±ً۬ۧ (ÙĄÙŁ

Maksudnya: "Mereka tidak melihat (merasakan teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang berlebihan" (Surah al-Insan ayat 13)

Ada pula air yang tercurah sentiasa mengalir siang dan malam dan banyak pula buah-buahan yang berbuah tidak ikut musimnya dan tidak pula dilarang untuk mengambilnya. Terdapat pula tilam-tilam yang lembut yang boleh direndahkan dan ditinggikan.

Allah menyatakan di syurga Dia menciptakan para wanita dengan ciptaan yang ajaib, untuk ahli syurga diciptakan sentiasa baru dengan bentuk yg begitu indah lagi amat ajaib. Bahkan perempuan-perempuan yang tua semasa di dunia nanti akan dikembalikan muda dan yang hodoh akan dikembalikan cantik.

Allah menyatakan juga setiap wanita itu sentiasa gadis biarpun setelah disetubuhi oleh suami masing-masing, sifatnya sentiasa merindu dendam kepada suami, sentiasa cinta yang asyik kepada suami. Umur mereka pula sama sebaya.

Adalah diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.ha katanya: Saya menanyakan Rasulullah S.A.W. tentang firman Allah,

Ű„ِنَّŰą ŰŁَÙ†ŰŽَŰŁۡنَـٰهُنَّ Ű„ِÙ†ŰŽَ۹ۥً۬ (ÙŁÙ„) فَŰŹَŰčَلۡنَـٰهُنَّ ŰŁَŰšۡكَۧ۱ًۧ (ÙŁÙŠ) Űčُ۱ُŰšًۧ ŰŁَŰȘۡ۱ًَۧۚ۬ۧ(ÙŁÙ§

lalu dijawab oleh baginda: "Hai ummi Salamah merekalah wanita-wanita yang telah meninggal dunia berkeadaan tua, botak, rabun dan sakit mata, dibangkitkan Allah berkeadaan muda belia"

Dalam hadis at-Tirmizi disebutkan, bahawa seorang perempuan tua datang menemui Nabi Muhammad S.A.W. lalu memohon: "Wahai Rasulullah bermohonlah tuan kepada Allah agar saya dimasukkan ke dalam syurga". Di jawab oleh Rasulullah S.A.W. : "Hai Ibu Polan, sesungguhnya syurga itu tiada dimasuki oleh orang-orang tua". Maka orang tua itu beredar sambil menangis, lalu ujar baginda kepada para sahabat : "Khabarkan kepada perempuan tua itu, bahawasanya tidak masuk syurga dalam keadaan tua seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas."

Golongan kiri ialah golongan yang diberi kitab amalan pada tangan kiri mendapat balasan yang buruk, hidup dalam suasana udara dan angin yang panas yg ditiupkan dari neraka Samum yang sangat panas dan sangat busuk baunya. Mereka diletakkan di bawah lindungan asap yg hitam dan berbau busuk itu. Tiada pula naungan yg sejuk padahal dahulu semasa di dunia merekalah yang hidup paling senang dan sentiasa menurut nafsu syahwat dan berterusan membuat dosa dan menyekutukan Allah. Pada mereka peringatan tentang akhirat adalah omongan kosong. Mereka sesat dan di akhirat mereka diberi makanan daripada pohon zaqqum dan minuman berapa minuman mendidih. Meraka minum seperti unta yg sangat haus.

Dalam ayat 57 hingga 82, Allah mengemukakan alasan-alasan supaya mereka percayakan adanya akhirat.. yakni bila Allah sudah dapat menciptakan kehidupan sekarang mengapa pula Allah tidak boleh menciptakan kehidupan pada masa akan datang. Begitu juga Allah menciptakan manusia daripada setetes mani yang mengandungi berjuta-juta sperma, dan daripada satu persejuta titik sperma itulah asal kejadian seseorang.

Bila Allah sudah terbukti menciptakan manusia daripada sperma mengapa pula tidak mempercayai kehidupan selepas mati. Kemudian perhatikan pula setiap hari ribuan manusia yang mati dan ribuan pula yang lahir ke dunia. Ini juga menunjukan Allah S.W.T.  boleh menghidupkan setiap yang telah mati. Perhatikan pula tumbuh-tumbuhan, siapa pula yang menumbuhkannya, manusia hanya mampu mencangkul tanah, menggemburkan dan menabur benih, siapakah yang menumbuhkannya dan siapa pula yang menjadikan pelbagai bentuk tumbuh-tumbuhan dan pelbagai buah-buahan dan pelbagai warna dan rasa buah-buahan? Jadi begitulah juga Allah menghidupkan semula manusi yang telah mati.

Perhatikan juga pada air yang kita minum, siapakah yang mengangkatnya dari laut ke awan kemudian mengumpulkannya sebagai wap lalu menurunkannya sebagai hujan atupun embun ketika malam? Air laut rasanya masin sedangkan air hujan rasanya tawar, air hujan mengalir ke bumi menyuburkan tanaman sebagai makanan, bertakung ke tasik mengalir ke sungai-sungai, siapakah yang mengatur semuanya itu? Jika Allah memberi kita minum dan menjadikan tanam-tanaman subur daripada air itu mengapa pula Alllah tidak boleh menghidupkan semula makhluk yang telah mati?

Begitu juga perhatikan pula kepada api, siapakah yang menyalakannya sehingga manusia dapat gunakan untuk memasak, memanaskan badan di musim sejuk?

Kemudian Allah bersumpah di atas kemuliaan al-Quran dan ketinggian martabat-Nya, kerana Dialah Allah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Ungkapan kata-kata-Nya itu dikuatkan dengan  sumpah masa terbenam bintang-bintang, sumpahNya supaya manusia mengetahui betapa besar kudrat Allah dan kesempurnaan hikmatNya serta banyak rahmatNya, dan Dia tidak membiarkan hamba-hamba-Nya berkeadaan sia-sia Allah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur Al-Quran adalah kitab yang terpelihara hanya disentuh oleh orang-orang yang suci, oleh itu tidak seharusnya manusi menanggap remeh akan pengajarannya.

Kematian yang dirasai ialah ketika nyawa sampai di kerongkongan, iaitu semasa menghadapi kesengsaraan maut (sakaratul maut) iaitu ketika roh dicabut oleh malaikat. Allah memberi amaran bahawa ketika nazak, sakitnya tidak terhingga, ketika tercungap-cungap kerana nyawa akan tercabut, Allah lebih dekat kepada mayat yang akan dicabut nyawa berbanding dengan pengetahuan manusia tentang kematian itu. Manusia tidak  dapat melihat malaikat-malaikat yang Allah utuskan untuk mencabut nyawa orang yang sedang nazak. Allah menempelak, Jadi jika manusia tidak dikuasai oleh Allah mengapa ketika orang itu sedang nazak manusia yang melihatnya tidak dapat mengembalikan nyawa orang yang sedang nazak dan tercabut nyawanya itu? Cubalah lakukan jika tidak percaya kepada hari Pembalasan. Jadi janganlah mendustakan ayat-ayat  al-Quran.

Orang-orang yang sedang nazak ini diberitahu oleh Allah jika mereka terdiri daripada golongan al-muqarrabin Allah dekatkan mereka di sisi-Nya dengan memperoleh kerehatan dan nikmat syurga. Jika mereka golongan kanan para malaikat akan menggembirakan mereka dengan ucapan selamat sejahtera. Jika mereka golongan yg mendustakan hari akhirat lagi sesat hidupnya, mereka disambut oleh para malaikat dengan hidangan pertama mereka ialah air yang panas mendidih menyebabkan muka mereka terbakar. Kemudian mereka dihumbankan ke neraka.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati pengajaran yang terdapat di dalam surah al-Waqiah ini, merupakan satu surah yang jelas menceritakan tentang kenikmatan hidup di syurga dan azab yang diterima akibat daripada mendustakan ayat-ayat Allah S.W.T. dan tidak meyakini akan kehidupan di hari akhirat.

Mudah-mudahan dengan membaca kisah yg digambarkan ini hati kita semakin gerun untuk berbuat maksiat. Marilah kita berusaha bersungguh membersihkan hati kita dan berdoa agar Allah bantu kita dalam beribadat kepadaNya.. Amiin.

Tuesday, February 15, 2011

Ibu Bapa Perlu Berlaku Adil Dalam Pemberian Hadiah ( Hibah ) dan Kasih Sayang Kepada Anak-anak

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap yang hidup akan menghadapi kematian. Kematian akan datang bila-bila masa, samaada kita mengalami sakit sebelum mati atau mati datang mengejut tanpa ada tanda-tanda kematian. Oleh itu Islam menuntut supaya umatnya membuat wasiat sebelum mengalami kematian. Tujuan surat wasiat adalah untuk memudahkan ketika pembahagiaan harta pusaka secara faraid dijalankan, menyelesaikan hutang-hutang simati, sedekah jariah  yang dicadangkan oleh simati, ianya boleh berjalan lancar setelah kematiaan orang yang memiliki harta tersebut. Dengan adanya surat wasiat para ahli waris akan mengetahuinya dengan lengkap perkara-perkara yang ingin diselesaikan sebagaimana kehendak simati.

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hak bagi seseorang yang hendak mewasiatkan hartanya (menangguhkannya) bermalam sehingga dua malam, melainkan hendaklah ia segera menulis wasiat itu”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dari hadis diatas jelaslah kepada kita Nabi S.A.W. meminta agar umatnya jangan menangguh-nangguhkan untuk membuat wasiat kerana hidup dan mati ditetapkan oleh Allah, oleh yang demikian tidak sesiapa pun yang dapat tahu bila kematian itu akan menjemputnya. Seseorang yang hendak berwasiat janganlah ia menangguh-nangguhkan membuat wasiatnya demi kebaikan dirinya sendiri dan waris-waris yang akan mewarisi harta pusaka sepeninggalannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Semua waris yang akan memiliki harta pusaka dan mendapatkannya secara pembahagiaan mengikut faraid tidak boleh dinamakan di dalam surat wasiat tersebut. Yang boleh dinamakan dalam surat wasiat tersebut adalah anak angkat, saudara-mara (yang tidak menjadi waris), sahabat-handai dan untuk rumah anak yatim, sekolah agama, pembinaan masjid dan lain-lain berbentuk sedekah jariah, tetapi jumlahnya semuanya tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta si mati  setelah ditolak hutang piutang si mati. Dan bakinya akan dibahagikan menurut cara faraid kepada waris simati.

Perkara yang paling penting yang dituliskan dalam surat wasiat tersebut adalah semua hutang-piutangnya dan senarai itu perlu lengkap dan jelas supaya ianya dapat dibereskan saja selepas kematian barulah dibahagi-bahagikan menurut surat wasiat dan secara faraid.

Roh simati akan tergantung di antara langit dan bumi apabila hutang-hutangnya tidak diselesaikan. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan

 
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah).


Sahabat yang dimuliakan,
Islam mengalakkan ibu bapa yang mempunyai harta dapat membahagikan hartanya secara hibah (hadiah) kepada anak-anaknya secara adil, seorang anak tidak boleh mendapat lebih bahagian daripada anak-anak yang lain kerana ianya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan  iri hati kepada anak-anak yang lain.

Islam memberi perhatian berat terhadap pendidikan kepada anak-anak supaya mereka terdidik dengan akhlak Islam dan berperibadi mulia. Justeru mereka dituntut hak-hak Allah dan hak-hak manusia, terutama hak-hak ibu bapa terhadap anak-anak dan sebaliknya.

Atas dasar ini ibu dan bapa dilarang melakukan tindakan yang boleh menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap mereka dan sesama adik beradik dan kaum keluarga seperti mengutamakan sebahagian mereka dengan pemberian istimewa, sama ada ketika masih hidup atau berkuat kuasa selepas mati.

Terdapat satu hadis daripada Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Al-Nu'man bin Basyir.
Al-Nu`man bin Basyir r.a. meriwayatkan: "Bapaku memberi sedekah kepadaku sebahagian daripada hartanya. Lalu ibuku berkata: 'Aku tidak suka dengan pemberian ini sehingga engkau persaksikan kepada Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu.' Lalu bapaku pergi memberitahu Rasulullah S.A.W. tentang sedekahnya kepadaku. Lalu Rasulullah S.A.W. bertanya: 'Adakah engkau beri kepada semua anakmu pemberian seumpama itu? Jawabnya: 'Tidak'. Sabda Rasulullah S.A.W.  'Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah berlaku adil terhadap anak-anakmu, lalu bapaku mengambil balik pemberian itu”.

Menerusi hadis ini Al-Nu`man bin Basyir Al Ansari Al Khasraji melaporkan, bapanya telah memberi hadiah kepadanya daripada sebahagian harta kepunyaannya, ibunya kurang puas hati dengan pemberian yang mengutamakan al Nu`man, sedangkan mereka mempunyai beberapa orang anak-anak selain Al-Nu`man.

Pergilah Basyir untuk menemui Nabi dan seterusnya meminta persaksian benar atas pemberiannya itu, sebelum itu Nabi S.A.W. bertanya: “Adakah engkau memberi hadiah atau sesuatu pemberian yang sama kepada anak-anakmu yang lain?” Jawabnya tidak. Seterusnya Nabi menjelaskan, pemberian yang membeza-bezakan di antara anak anak ini bertentangan dengan takwa dan satu tindakan zalim terhadap anak-anak. Oleh itu aku tidak sedia memberi persaksian baik atas perbuatan ini, sambil menasihati Basyir sama ada menarik balik pemberian itu atau memberikan hadiah yang sama kepada anak-anaknya yang lain. Lalu Basyir akur dengan kesilapannya dan mengambil balik pemberiannya kepada al Nu`man.

Sahabat yang dikasihi,
Harta dan tamakkan kekayaan dunia merupakan faktor utama manusia ditimpa kecelakaan hidup seperti putus hubungan di antara keluarga dan sanak saudara, berlaku kejadian derhaka kepada ibu bapa dan berbagai-bagai kejadian lagi berlaku dalam masyarakat. Justeru Islam mengambil berat terhadap ibu bapa apabila menguruskan harta kekayaan mereka, terutama apabila membahagikannya kepada anak-anak ketika mereka masih hidup.

Islam telah menyusun peraturan dan kaedah pengurusan harta, terutama setelah empunya harta meninggal dunia, umat Islam harus berpuas hati dengan hukum dan pengurusan yang telah diputus oleh Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak seharusnya mencari alternatif lain kerana hukum Allah tetap adil dan tidak wajar dipertikaikan. Soalnya bagaimana cara pembahagiannya kepada anak-anak, terutama ketika mereka masih hidup?

Ulama sepakat menyatakan kewajipan berlaku adil terhadap anak-anak pada setiap pemberian atau hibah (hadiah) , malah menurut ulama salaf, keadilan bukan sahaja pada penghebahan harta tetapi juga sentuhan kasih sayang, kemesraan, pelukan dan ciuman dan hubungan dalam pergaulan harian. Ini kerana sikap membeza-beza bakal membawa kepada jauh hati sesama mereka dan hidup pecah belah yang sangat buruk dalam keluarga. Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : 'Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim' ".

(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi S.A.W. yang di riwayatkan oleh  Ibn Abbas yang bermaksud : “Samakan pemberian kepada anak-anak kamu. Andainya aku ingin melebihkan seseorang nescaya aku melebihkan wanita”

Maksud hadis tersebut pebahagiaan harta secara hibah (hadiah) hendaklah diberikan cecara adil yang itu sama rata di antara anak lelaki dan perempuan kerana tidak ada larangan daripada Allah S.W.T. dalam urusan ini. Tetapi sekiranya pembahagiaan itu dibuat selepas kematian ibu atau bapa maka pembahagiaannya mestilah di buat secara faraid iaitu  anak lelaki akan mendapat dua bahagian dan  anak perempuan mendapat satu bahagian.

Membeza-bezakan pemberian di antara anak-anak memungkinkan timbulnya kesan buruk pada jiwa mereka seperti permusuhan, perkelahian di antara adik-beradik, terputus hubungan silaturahim, durhaka kepada ibu bapa dan sebagainya. Gejala-gejala ini merupakan sikap yang ditolak oleh Islam. Malah apa jua perkara yang membawa kepada haram maka hukumnya haram. Mengikut kaedah Fiqh : Hukum pada cara sama dengan hukum pada tujuan. (apabila matlamatnya haram maka jalan menuju kematlamat juga haram)

Imam Ahmad, Imam Bukhari, al Thawri, al Zuhri dan lain-lain berpendapat haram malah tidak sah pemberian atau hibah yang membeza-bezakan di antara anak-anak samada kerana ada sebab atau tanpa sebab, kecuali pada barang yang tiada nilai atau rendah nilainya.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Tidak harus bagi seseorang memberi suatu pemberian atau menghhuibah satu hibah, kemudian menarik balik pemberiannya kecuali pemberian bapa kepada anak. Bandingan orang yang menarik balik hibahnya bagaikan anjing muntah setelah makan kenyang, kemudian diulangi lagi makan dan kemudian mengulangi muntah”

Jika dilahirkan anak selepas hartanya dibahagikan (secara hibah) pada masa hidupnya, hendaklah bapa membuat pembahagian semula dengan adil antara semua anak-anaknya. Jika dilahirkan selepas kematian bapa atau ampunya harta pusaka, hendaklah pihak penerima pusaka membahagikan secara adil sesama adik-beradik mereka yang baru dilahirkan mengikut hukum faraid.


Sahabat yang dihormati,
Sebagai ibu bapa dan mempunyai anak-anak perlulah berlaku adil samaada pemberian harta secara hibah, pemberian pendidikan dan kasih sayang. Jangan dibeza-bezakan di antara anak-anak kerana  ibu bapa perlu berlaku adil kerana sikap adil adalah menghampiri takwa sedangkan sikap tak adil adalah melakukan satu kezaliman.

Kesimpulannya :

1: Wajib berlaku adil terhadap anak-anak tanpa membezakan di antara satu dengan yang lain dalam pembahagian harta dan bukan harta.

2: Kezaliman dalam pembahagian harta boleh menyebabkan seseorang hilang kelayakan menjadi saksi kerana keadilannya terjejas dengan sebab ini.

3: Wajib memulangkan pemberian yang terlebih ambil kepada pihak empunya yang sebenar supaya tidak berlaku pengambilan hak orang lain dengan cara yang batil.

4: Jika hukum-hukum yang diputuskan bertentangan dengan syarak tidak harus dijalankan kerana batal dan menyalahi dalil-dalil yang sahih.

5: Menyarankan supaya berkasih sayang diantara saudara serta menolak sikap dendam dan buruk hati.

6: Tidak diwajibkan berlaku keadilan pada pemberian kepada kaum kerabat yang bukan waris penerima pusaka.

7: Diharamkan memberi persaksian kepada pemberian yang sememangnya tidak adil kerana persaksian ini bermakna menolong untuk berbuat dosa dan meningkatkan permusuhan di antara pihak-pihak yang bertelagah.